title
stringlengths
26
159
content
stringlengths
414
63.9k
Lebuhraya Pan Borneo tetap utamakan hidupan liar
Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo akan turut mengambil kira kepentingan hidupan liar di sesetengah kawasan yang terjejas seperti taman negara dan santuari hidupan liar. Menurut Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, pendekatan itu bertujuan mengurangkan gangguan terhadap haiwan liar selain memelihara habitat semula jadi mereka, memetik laporan Bernama. “Bagi laluan ini, kita menempuh Santuari Hidupan Liar Samunsan, yang antara lain dihuni monyet proboscis, harimau dahan, burung enggang, lotong kelabu, ungka dan penyu. Manakala untuk memenuhi keperluan monyet proboscis, kami membina jambatan sepanjang 270 meter berbanding kira-kira 100 meter bagi membolehkan mereka bergerak bebas sepanjang tebing sungai di bawah jambatan ini,” katanya. Turut dibina pos pengawal hidupan liar sepanjang laluan di santuari ini untuk menghalang pemburuan haram. Fadillah berkata pembinaan jambatan dua lorong akan memberi kesan minimal kepada hutan bakau di kawasan itu selain dilengkapi dengan lampu tanpa silau bagi melindungi penyu. Mengenai kerja pembinaan yang agak terlewat sedikit, beliau berkata keadaan itu tidak kritikal dan sebahagian besarnya disebabkan cuaca buruk. Jalan Telok Melanao-Sematan merupakan pakej kerja pertama di bawah pembinaan Lebuhraya Pan Borneo sepanjang 783.9km di Bandaraya Miri dan dijangka siap pada awal Januari 2019.
KL MRT : Penutupan jalan di PJU 7/1 Persiaran Surian dari 10 malam ini (5 Feb) hingga 10 pagi esok (6 Feb)
MMC Gamuda KVMRT (PDP) Sdn Bhd telah mengumumkan penutupan jalan sepenuhnya di PJU 7/1 berhampiran Persiaran Surian pada hari ini jam 10 malam sehingga 10 pagi esok (6 Februari 2016). Penutupan selama 12 jam ini adalah bagi kerja-kerja pemasangan struktur keluli pada penyambung jejambat di Stesen MRT Mutiara Damansara. Ia melibatkan penutupan sepanjang 500 m di kedua-dua arah di Jalan PJU 7/1 tersebut. Sepanjang tempoh penutupan itu, pengguna jalan raya yang ingin ke Mutiara Damansara melalui Jalan PJU 7/1 dari Kota Damansara atau LDP akan dilencongkan ke Jalan PJU 7/8. Manakala pengguna jalan raya yang datang dari arah Mutiara Damansara yang ingin ke Persiaran Surian (arah Lebuhraya LDP) melalui Jalan PJU 7/1 akan dilencongkan ke Jalan PJU 7/4 dan keluar dari Jalan PJU 7/8. Bagi yang datang dari Mutiara Damansara dan Damansara Perdana yang ingin ke Persiaran Surian (arah Kota Damansara) melalui Jalan PJU 7/1 akan dilencongkan ke Jalan PJU 8/1, kemudian terus ke persimpangan Damansara Perdana dan pusing ke kanan, seterusnya menghala ke persimpangan Bandar Utama dan membuat pusingan-U untuk akses ke Persiaran Surian. Sila rujuk rajah di bawah untuk lencongan dan jalan alternatif yang disediakan sepanjang penutupan ini.
Kenaikan tambang pengangkutan awam tidak halang orang ramai menggunakannya – Syed Hamid
Menurut Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar, walau pun kenaikan tambang pengangkutan awam dilaksanakan baru-baru ini, namun ia masih menjadi pilihan orang ramai untuk terus menggunakan perkhidmatan ini. Memetik laporan The Sun Daily, Syed Hamid berkata, diskaun turut diberikan kepada pelajar, warga emas dan orang kurang upaya (OKU), bagi membantu mereka mengurangkan beban akibat kenaikan tambang pengangkutan awam ini. Baru-baru ini, Prasarana dan Keretapi Tanah Melayu (KTM) telah mengumumkan semakan struktur tambang bagi perkhidmatan masing-masing. “Jika diikutkan jumlah penumpang, ternyata ia tidak memberikan sebarang kesan. Malah menerusi angka yang kami peroleh, jumlah penumpang terus meningkat dan ini menunjukkan perkembangan yang positif,” ujarnya. Beliau turut menambah, kerajaan akan terus menyalurkan bantuan sehingga RM250 juta setahun bagi kos pengendalian sistem rel di Malaysia. Syed Hamid turut menegaskan adalah tidak munasabah untuk menyemak tambang pengangkutan awak berdasarkan harga minyak dunia yang tidak menentu dan menurun sejak kebelakangan ini. “Kita tidak boleh meramalkannya, ada kos-kos lain yang perlu diambil kira. Saya rasa ini bukan satu isu,” katanya. Apa pendapat anda mengenai perkara ini?
Polis kenalpasti 20 kawasan kerap berlaku kemalangan di Lembah Klang – rancang ketatkan penguatkuasaan
Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti sejumlah 20 kawasan di sekitar Lembah Klang yang kerap berlaku kemalangan hingga membabitkan kematian dan kecederaan serius. Menurut Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur DSP Datuk Law Soon Hong, berdasarkan statistik dan angka, kawasan berkenaan telah mencatatkan kadar kemalangan yang tertinggi, menurut laporan The Sun. Lokasi yang disenaraikan adalah seperti berikut: Lebuhraya Lingkaran Kedua (MRR2) Lebuhraya Sprint Jalan Kuching Jalan Loke Yew Jalan Cheras Lebuhraya Besraya Jalan Tun Razak Jalan Duta Jalan Ipoh Lebuhraya KL-Seremban Jalan Klang Lama Lebuhraya DUKE Jalan Kepong Jalan Ampang Jalan Segambut Jalan Genting Klang Jalan Pudu Lebuhraya KESAS Jalan Sungai Besi Lebuhraya Persekutuan “Penunggang motosikal merupakan yang paling banyak terlibat dengan kemalangan maut diikuti dengan pemandu kenderaan lain yang gagal mengawal kenderaan sewaktu memandu. Tahun lalu, sebanyak 120 kes kemalangan telah dicatatkan berbanding 119 pada tahun 2014 di kawasan berkenaan,” ujar Law. Beliau turut menambah Ops Selamat 8/2016 sempena Tahun Baru Cina telah pun dilancarkan dan beroperasi sehingga 16 Februari ini dengan sekurang-kurangnya 300 anggota trafik bertugas di sekitar pusat bandar. Law turut berkata sebanyak 489,543 saman trafik telah dikeluarkan pada tahun lalu dengan amaun sebanyak RM9.7 juta. “Kami merancang untuk mengetatkan lagi penguatkuasaan termasuk mengenakan denda secara maksimum bagi mereka yang melanggar peraturan lalu lintas ini,” tambahnya lagi. Sementara itu, Law turut menasihati orang ramai yang ingin pulang ke kampung halaman sempena cuti Tahun Baru Cina ini untuk mengisi borang ‘Balik Kampung’ dan menyerahkannya di balai polis berhampiran. Ini dapat membantu pihak polis melakukan rondaan di kawasan tempat tinggal anda.
VIDEO: JANGAN LAKUKAN ini di stesen minyak
Here's what NOT to do when you're at a fuel station…More details here: http://paultan.org/2016/02/04/video-things-not-to-do-when-youre-at-a-fuel-station/ Posted by Paul Tan's Automotive News on Thursday, February 4, 2016 Berapa kali dalam seminggu anda akan mengisi minyak kenderaan? Sekali? Atau mungkin lebih? Dan pernahkah anda melihat sesuatu perkara yang tidak sepatutnya berlaku di stesen minyak (atau anda sendiri pernah melakukannya). Sila tonton video khas dari Petronas Primax ini, yang menampilkan hos Driven Web Series. Perkara paling biasa yang dilakukan ialah membiarkan enjin terus hidup ketika mengisi minyak. Tahukah anda, minyak merupakan bahan yang amat mudah terbakar. Secara faktanya, bukan setakat minyak yang mudah mencetuskan pembakaran, tetapi wasapnya. Di mana enjin yang masih hidup ini berpotensi untuk menyalakan api, sama ada menerusi system ekzos yang panas atau percikan dari system elektronik. Itu sebabnya ada sesetengah kenderaan yang perlukan kunci untuk membuka penutup pengisi bahan api. Seterusnya menggunakan telefon bimbit atau merokok di pam minyak adalah sangat merbahaya. Penggunaan telefon bimbit, vape atau apa juga peranti elektronik mampu mengundang risiko. Di mana ia boleh menghasilkan percikan elektronik, dan seterusnya mampu menyebabkan kebakaran. Untuk itu, jangan sama sekali menggunakan sebarang peranti elektronik atau pun merokok di stesen minyak! Untuk penunggang motosikal, jangan sesekali duduk di atas motosikal anda ketika sedang mengisi minyak. Tangki minyak motosikal adalah lebih kecil berbanding kereya, dan selalunya saluran minyaknya lebih pendek atau tiada langsung. Jadi ketika anda mahu mengisi minyak , ada kemungkinan ia akan memercik keluar terutamanya jika sudah penuh. Apa yang boleh berlaku? Percikan yang terkeluar itu boleh terkena enjin yang panas dan kebarangkalian mampu mencetuskan kebakaran. Hendak selamat? Jangan duduk di atas motor anda sewaktu mengisi minyak! Soal keselamatan bukanlah suatu yang patut dianggap remeh, tak kiralah ketika berada di jalan raya mahu pun stesen minyak. Itulah pesanan dari Petronas untuk anda. Dalam masa yang sama, Petronas turut telah melancarkan kempen Coffee Break sempena Tahun Baru Cina 2016 ini, dengan menghidangkan 880,000 cawan kopi di 142 stesen Petronas pada hujung minggu 6 dan 7 Februari serta 13 hingga 14 Februari ini. Selamat Tahun Baru Cina bagi yang meraikannya dan ingat, sentiasa berhati-hati di jalan raya dan nikmati perjalanan anda bersama Petronas Primax.
Toyota hadiahkan Camry Hybrid 2.5 kepada pelanggan bertuah – terima lebih 9,000 penyertaan menerusi pertandingan ‘Beli & Menang Toyota’
Dengan penyertaan melebihi 9,000 dari para pelanggan Toyota, seorang wanita bertuah telah dinobatkan sebagai pemenang pertandingan ‘Beli & Menang Toyota’ yang tamat pada Disember 2015. Pemenang bertuah tersebut, Khoo Bee Ngoh telah membawa pulang Toyota Camry 2.5 Hybrid baharu. UMW Toyota Motor (UMWT) telah menganjurkan siri jelajah ‘Toyota WOW Road Tour is Back 2 Excite’ sejak September hingga November lalu. Dan sebagai sebahagiab daripada promosi jualan istimewa ini, UMWT turut menganjurkan pertandingan ‘Beli & Menang Toyota’, di mana ia memberikan peluang kepada semua pelanggan yang menempah mana-mana model Toyota di siri jelajah tersebut, layak untuk memenangi Toyota Camry 2.5 Hybrid. Khoo yang membeli model Vios 1.5J (AT) di siri jelajah WOW di Sunway Pyramid, telah menerima hadiah yang dimenanginya ini di bilik pameran Toyota di Subang Jaya, yang disampaikan oleh Pengarah Eksekutif Bahagian Jualan UMTW, Khong Man Chong. UMWT juga akan meneruskan siri jelajah WOW di beberapa lokasi terpilih di seluruh negara pada tahun ini, di samping lebih banyak promosi jualan menarik turut ditawarkan.
Enjin GDI/TGDI Proton bukannya pengganti CamPro
Pengumuman Proton mengenai barisan enjin baharu yang bakal diperkenalkan pada 2018 membuatkan ramai yang tertanya-tanya bagaimana dengan nasib enjin CamPro. Di mana enjin tersebut yang buat pertama kalinya diperkenalkan menerusi model Gen2 pada tahun 2004, dan sejak itu ia telah menerima beberapa siri penaiktarafan sehinggalah enjin VVT digunakan pada Iriz. Melepasi sedekad, enjin tersebut agak sukar untuk diteruskan dengan keadaan pasaran sekarang, menurut Ketua Pegawai Teknikal Proton Abdul Rashid Musa. “Seperti yang anda tahu, (enjin baharu GDI dan TGDI Proton) tidak boleh menggunakan bahan api dengan RON yang rendah kerana ia adalah enjin yang sangat efisien,” ujarnya. Sambungnya lagi, “Jadi ia bergantung pada pasaran. Selain itu, ia juga banyak bergantung pada beberapa perkara termasuk kos. Dengan negara yang telah mengurangkan syarat dan kos menjadi lebih sensitif, maka enjin VVT lebih sesuai untuk pasaran.” Seperti yang pernah dimaklumkan sebelum ini, enjin suntikan terus baharu ini boleh dikuasakan dengan petrol RON 95. Rashid turut menambah, negara dengan memiliki syarat yang lebih tinggi termasuk emisi standard yang juga tinggi seperti bakal menggunakan Euro 6C, juga boleh menggunakan enjin GDI dan TGDI baharu ini. “Jadi inilah alasannya mengapa kami tidak menghentikan penggunaan CamPro, kerana ia bergantung pasaran mana yang dimasuki dan bersesuaian. Namun jika bergantung pada teknologi atau kos, kita akan mencari penyelesaian bagi kedua-duanya.” “Oleh itu, kita perlu lihat pasaran mana lebih bersesuaian berbanding hanya jual apa yang kita ada, Jika sasaran pasaran itu lebih sensitif soal harga, kita akan menawarkan teknologi yang lebih bersesuaian dengan harga yang kompetitif berbanding teknologi baharu,” ujarnya.
Lebuhraya Kinrara-Damansara – penjajaran laluan boleh digunakan untuk pengangkutan awam
Selepas dibatalkan sejak setahun yang lalu, penjajaran laluan yang direncanakn bagi Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex) boleh digunakan untuk laluan pengangkutan awam, mengikut draf yang diusulkan oleh Perancang Pengangkutan Awam Selangor. Draf tersebut bagi mengusulkan penjajaran laluan yang sepatutnya digunakan untuk Kidex boleh ditukar menjadi laluan pengangkutan awam di kawasan terbabit, menurut laporan The Sun Daily. Laluan yang diusulkan itu melibatkan sepanjang 11 km, akan menghubungkan Seksyen 16 Petaling Jaya ke Bandar Kinrara. Di mana laluan utara-selatan itu akan bersilang dengan empat lagi laluan pengangkutan awam, yang kini beroperasi dari arah timur-barat, menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran yang berkongsi berita ini dengan pihak media semalam. Beliau turut berkata laluan pengangkutan awam ini juga akan memberikan manfaat pada perkhidmatan komuter di kawasan terbabit, secara tidak langsung mampu memberikan sambungan pengangkutan yang lebih baik di sekitar Lembah Klang. Buat masa ini, kerajaan negeri Selangor belum mengumumkan perincian mengenai rancangan ini, namun Rajiv berkata projek yang diusulkan ini akan memberikan kesan yang minima mengenai pengambilan tanah kerana ia menggunakan penjajaran yang sama dengan Kidex. “Membina laluan pengangkutan awam tidaklah begitu sukar dan memerlukan kawasan yang lebih luas berbanding pembinaan lebuhraya,” ujarnya. Kidex merupakan projek lebuh raya paling mahal yang pernah dicadangkan iaitu melibatkan kos sehingga Rm148 juta bagi setiap kilometer. Lebuh raya yang menghubungkan bahagian utara Damansara ke selatan Bandar Kinrara sepankang 14.6 kilometer ini dijangka memakan kos sebanyak RM2.2 bilion, dibina sepenuhnya secara jejambat. Namun kerajaan Selangor membuat keputusan untuk membatalkan Projek Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex) atas alasan syarikat konsesi gagal memenuhi syarat ditetapkan dalam tempohnya. Malah kerajaan negeri juga berpendirian bahawa pembinaan lebuhraya dalam negeri Selangor perlulah bermanfaat bukan sahaja kepada pengguna lebuhraya tetapi juga dinikmati oleh penduduk di mana lebuhraya itu dibina.
Lebuhraya GCE laksana ETC mulai 2 Mac ini
PROLINTAS Expressway Sdn Bhd telah mengumumkan Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) akan melaksanakan sistem pembayaran tol secara elektronik (ETC) sepenuhnya di Plaza Tol Bukit Jelutong, Elimina dan Plaza Tol Lagong mulai 2 Mac ini. Pelaksanaan itu adalah sebahagian daripada usaha PROLINTAS untuk memastikan pengguna lebuh raya itu dapat melalui plaza tol dengan lebih lancar, pantas dan selesa. Malah bermula semalam, lorong tambah nilai 24 jam dibuka di kedua-dua belah arah bagi ketiga-tiga plaza tol. Ketua Eksekutif Kumpulan PROLINTAS, Datuk Ir Zainudin A. Kadir, berkata sistem tersebut akan bermula pukul 12 tengah hari pada hari berkenaan. Katanya sebagai insentif kepada pengguna, mulai 18 Januari lalu, kad Touch’n Go diberi percuma di setiap lorong tunai di ketiga-tiga plaza tol yang boleh didapati dengan membayar nilai sebanyak RM5 setiap kad. Selain itu, pengguna juga boleh membeli SmartTag dengan harga promosi bernilai RM99 yang mula dijual semalam dengan syarat pengguna menambah nilai minima sebanyak RM20 pada kad Touch’n Go mereka semasa pembelian.
Lori dilarang berada di lebuhraya sepanjang CNY
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan, di bawah Ops Tahun Baru Cina, semua lori pengangkutan dilarang berada di semua lebuhraya pada 6,7, 13 dan 14 Februari ini. Menurut Pengarah Penguatkuasa JPJ Datuk V. Valluvan Vello, langkah ini diambil bagi memastikan ia mampu mengurangkan kesesakan trafik di lebuhraya, termasuk meminimakan kemalangan yang membabitkan kenderaan berat sepanjang musim perayaan ini. “Kami telah memberikan notis pada semua pihak yang terlibat dan hanya memberikan pengecualian pada lori pengangkutan yang membawa barangan makanan, bahan api, sisa buangan logistik dan ubat sahaja,” ujarnya menerusi laporan The Sun Daily. JPJ juga bakal menempatkan 4,500 pegawai dan 700 kenderaan penguatkuasa sepanjang lebuhraya dan jalan utama di seluruh negara bagi memantau dan penguatkuasaan termasuk menyaman pengguna jalan raya yang didapati melanggar undang-undang jalan raya. Valluvan turut menambah JPJ juga akan memeriksa 82 depoh bas ekspres dan 29 terminal bas di seluruh negara bagi memastikan bas-bas terbabit mengikut langkah keselamatan yang ditetapkan. “Kami berharap dapat mengurangkan kadar kemalangan di negara ini dan ini merupakan salah satu inisiatif kami tahun ini,” ujarnya lagi.
Prasarana terima 14 unit set pertama tren Innovia Metro 300 untuk LRT Kelana Jaya – dilancarkan Jun ini
Laluan Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya telah menerima set pertama daripada 14 kereta api metro Innovia tanpa pemandu yang akan memulakan operasi pada pertengahan tahun ini. Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd., Datuk Azmi Abdul Aziz, kereta api baharu Bombardier Innovia Metro 300 itu dijangka meningkatkan kapasiti dan menambah baik kualiti pengangkutan awam di Kuala Lumpur. Katanya, tren baharu ini akan menyediakan kekerapan yang lebih baik dan mengurangkan tempoh menunggu di stesen, di samping memendekkan perjalanan tidak lebih daripada 2.8 minit, memetik laporan Bernama. Kereta api generasi terkini ini dilengkapi dengan 16 televisyen litar tertutup itu mempunyai ‘Peta Laluan Dinamik’ yang menyediakan maklumat kepada penumpang mengenai arah destinasi selain ‘Sistem Pelincir Roda’ yang boleh mengurangkan gangguan bunyi tren. Azmi berkata, kereta api baharu itu akan mampu memuatkan tambahan 20 penumpang bagi setiap gerabak, daripada kapasiti sedia ada sebanyak 200 penumpang. Mengenai baki 13 lagi set Innovia Metro 300 baharu, Azmi berkata, konsortium Bombardier-Hartasuma akan menyerahkan satu set bagi setiap bulan kepada Prasarana sehingga Jun 2017. Beliau berkata, kesemua set akan dihantar dari Kilang Kingston Bombardier di Kanada, yang menjadi tempat pemasangan. Sebaik sahaja tiba di Malaysia, kereta api itu akan dihantar pula ke Kilang Hartasuma di sini untuk melengkapkan bahagian dalaman dan pengujian sebelum diserah ke Depot LRT Subang untuk pengujian lanjut dan pensijilan. Penambahan laluan LRT Kelana Jaya akan menyaksikan 12 stesen lagi dibina antara Kelana Jaya ke Putra Height dan dijangka siap pada 30 Jun.
SPRM cekup tiga pegawai JPJ kerana lesen ‘terbang’
Ekoran berleluasanya kes menjual lesen memandu atau ‘lesen terbang’ di Sarawak, terbaru, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan 14 individu termasuk tiga pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) vagi membantu siasatan, memetik laporan Bernama. Pengarah SPRM Sarawak Datuk Badrul Shah Norman berkata, kesemua suspek berumur 19 hingga 50 tahun ditahan di Limbang, Miri, Bintulu dan Sibu dalam satu operasi khas dilakukan sejak 11 Januari lepas. “Mereka yang ditahan ialah tiga pegawai JPJ, sembilan orang awam yang ingin mendapatkan lesen memandu serta dua orang yang bertindak sebagai orang tengah,” katanya. Badrul berkata, tiga pegawai JPJ serta seorang individu bertindak sebagai orang tengah kini ditahan reman selama tujuh hari. “Siasatan awal SPRM menunjukkan suapan diberikan bagi mendapatkan lesen memandu kenderaan pelbagai kelas tanpa perlu menduduki ujian memandu,” katanya. Beliau berkata pihak terbabit didapati cuba memperoleh lesen dengan mengemukakan dokumen palsu permohonan pertukaran lesen Brunei ke lesen Malaysia. Ia membabitkan nilai suapan dianggarkan antara RM2,500 dan RM2,800 bagi satu lesen mengikut kelas kenderaan yang dipohon. Beliau berkata operasi khas itu masih dijalankan dengan ramai lagi individu akan ditangkap dipercayai terlibat dalam sindiket penjualan lesen terbang.
Tun Mahathir beri bayangan Proton tidak akan membina enjin diesel pada masa akan datang
Pengerusi Proton, Tun Dr Mahathir Mohamad telah memberi bayangan bahawa pengeluar kenderaan nasional ini tidak akan membina penjana kuasa diesel pada masa akan datang, seperti Eropah, yang turut sedang mempertimbangkan teknologi ini selepas berlakunya skandal “dieselgate” oleh Volkswagen. Ketika ditanya berhubung perkara ini, bekas Perdana Menteri ini menjawab, “Diesel merupakan enjin yang digemari di Eropah, tetapi kini mereka mempunyao pendapat yang berbeza. Anda tahu apa yang telah terjadi dengan rekod prestasi enjin diesel baru-baru ini. Jadi sekarang, mereka perlu berfikir kembali adakah baik mempunyai enjin diesel atau pun petrol.” Kenyataan itu mungkin merujuk pada kontroversi Volkswagen, di mana Wolfsburg dikatakan ‘menipu’ penggubal undang-undang bukan setakat sekali, tetapi dua kali. Di Amerika Syarikat, terdapat pendedahan bahawa syarikat terbabit telah memasang ‘satu peranti khas’ di dalam kereta dieselnya, untuk memanipulasi sistem kawalan emisi yang dikendalikan oleh Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA). Walau pun model diesel memiliki prestasi enjin dan penjimatan bahan api yang lebih baik untuk pemanduan setiap hari tetapi ia turut mampu menghasilkan 40 kali ganda gas pencemaran oksida nitrogen (NOx). Walau pun Volkswagen mengakui kontroversi tersebut, di mana sekumpulan jurutera telah menjalankan ujian dalaman terdapat penggunaan bahan api dan emisi karbon dioksida, namun ia menemui kesalahan tersebut sememangnya berada pada tahap serius. Mungkin disebabkan hal sebeginilah Proton enggan membina enjin diesel. Walau bagaimana pun, Proton turut sedang membangunkan kenderaan elektrik (EV) dengan model prototaipnya menggunakan Iriz. Sebelum ini iaitu pada tahun 2014, Ketua Pegawai Teknikal Proton, Abdul Rashid Musa, berkata, Proton sedang mencari sumber enjin diesel daripada syarikat luar, namun sehingga kini tiada sebarang perkhabaran mengenainya. “Percaya pada saya, enjin petrol akan mampu digunakan untuk tempoh yang lama, cukup lama. Walau pun bukan di Eropah, tapi sekurang-kurangnya di Asia,” ujar Tun Mahathir.
Perodua catat rekod jualan tertinggi pada 2015 – 213,300 unit dengan 46.7% adalah daripada Axia
Perodua telah merekodkan jualan tahunan tertinggi pada tahun 2015, dengan 213,300 unit terjual pada tahun lalu. Kejayaan ini telah diumumkan oleh Presiden dan CEO Perodua Datuk Aminar Rashid Salleh dalam sesi reviu prestasi tahunan syarikat ini di Perodua Sentral, pagi tadi. “Berdasarkan anggaran dalam Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) kami pada tahun 2015 iaitu 667,000 unit, kami percaya kami telah berjaya menguasai pasaran sebanyak 32%, dan kami berazam untuk mengekalkannya pada tahun ini dengan sasaran jualan sebanyak 216,000,” ujar Aminar. Menguasai 32% daripada pasaran bererti Perodua berada pada kedudukan utama yang selesa sejak 10 tahun yang lalu. Rekod ini juga menunjukkan bahawa Peroda telah mencapai sasaran pada tahun 2015 iaitu sebanyak 208,000 unit, yang telah diumumkan pada tahun 2015 lalu dan mengekalkannya walau pun selepas GST diperkenalkan, termasuk ketika ekonomi negara agak lembap. Pada tahun 2014, Perodua telah mencatatkan jualan sebanyak 195,600 unit dan 196,100 unit pula pada tahun sebelumnya. Tidak perlu lagi untuk berteka-teki mengenai penyumbang utama dalam kejayaan rekod jualan Perodua ini, kerana yang pasti ia adalah dari model Axia iaitu mencatatkan sebanyak 99,700 unit pada tahun pertama jualannya, iaitu 46.7% daripada jumlah keseluruhan jualan. Aminar berkata, disebabkan keadaan ekonomi yang mencabar, ramai pengguna telah mengambil keputusan untuk membeli kenderaan kompak yang lebih murah termasuk penggunaan bahan api yang lebih efisien. Seterusnya, Aminar berkata, pada tahun ini merupakan tahun yang cukup mencabar buat industri automotif, tetapi Perodua tetap optimis dengan menganggarkan TIV bagi 2016 ini meningkat ke 670,000 dari 667,000 pada tahun 2015 selepas pelancaran beberapa produk baharu. Perodua turut mensasarkan jualan sebanyak 216,000 unit pada tahun ini akan tercapai sedikit masa lagi. Selain jualan kenderaan pula, bahagian perkhidmatan selepas jualan Perodua juga telah memecahkan rekod dengan pengambilan 1.96 juta pada tahun lalu, berbanding 1.92 juta pada 2014. Lonjakan angka ini didorong oleh penambah baikan dan menaik taraf kemudahan servis. Sehingga Disember 2015, Perodua mempunyai 181 buah pusat jualan dan 190 buah pusat servis di seluruh negara. Perniagaan aksesori dan alat ganti juga telah merekodkan pendapatan tertinggi dengan RM248 juta pada tahun 2015, iaitu peningkatan sebanyak 2%. Tahun lalu, Perodua telah memperkenalkan aksesori tambahan Gear Up untuk model Axia and Myvi. Sasaran perkhidmatan selepas jualan dan alat ganti/aksesori bagi tahun ini ialah masing-masing dua juta dan 5% dengan pertumbuhan hasil sebanyak RM260.2 juta. Dalam sesi ini juga, Aminar turut memberitahu shif kedua telah ditambah bagi produksi di kilang baharu Perodua Global Manufacturing (PGM), di mana shif tunggal sebelum ini bagi memproduksi Axia telah mencapai kapasiti maksimum 100,000. Manakala kilang enjin di Sendayan TechValley berdekatan Seremban pula bakal beroperasi pada separuh pertama tahun ini.
Yamaha NMax 2016 kini di Malaysia – jangkaan RM10k
Kelmarin Hong Leong Yamaha telah melancarkan model skuter NMax 2016 untuk pasaran Malaysia. Dengan enjin 155 cc silinder-tunggal, NMax ini mampu memberikan kuasa sehingga 14.8 hp dan tork pula 14.4 Nm pada 6,000 rpm. Bagi NMax pemasangan tempatan (CKD) ini, ia tidak disertakan dengan sistem brek anti-kekunci (ABS) tetapi cakera hadapan dan belakang dengan diameter 230 mm masih boleh memberikan daya brek yang optimum. Manakala suntikan bahan apinya mampu memberikan penjimatan bahan api yang lebih ekonomi serta kuasa yang optimum. Kotak gear bagi motosikal ini ialah dry-clutch CVT yang turut membantu menyalurkan prestasi yang berpadanan. Buat setakat ini, harganya masih belum ditetapkan namun dijangka sekitar RM10,000, iaitu lebih murah berbanding pencabar terdekatnya, Honda PCX150 yang berharga RM11,990.
Ural sidecar diimport ke Malaysia – bermula RM80,000
Dibawa masuk ke pasaran Malaysia oleh Reed Motorcycle yang beroperasi di Kampung Baru, motosikal Ural ini diproduksi oleh syarikat Rusia yang terkenal dengan pembuatan sidecar. Bagi Ural ini, ia dibangunkan berdasarkan BMW R71 di mana rekaannya telah diperlesenkan di Rusia pada tahun 1939 selepas Rusia mengambil keputusan untuk memodenkan kenderaan yang sering digunakan oleh angkatan tenteranya. Hari ini, Ural merupakan motosikal sidecar yang dikuasai enjin 750 cc dua-silinder. Mengekalkan imej penuh retro, ia akan dibawa masuk ke Malaysia mulai Mac ini. Reed Motorcycle yang mahu mengembangkan lagi perniagaan motosikalnya mengambil keputusan untuk membawa masuk Ural ke pasaran tempatan kerana keunikannya serta mahu memperluaskan penglibatan keluarga dan rakan penunggang, terutamanya mereka yang memang tidak atau takut menunggang motosikal roda dua standard. Menurut Pengarah Urusannya, Mohamed Nik Faisullah Reed, “Pada mulanya kami mahu mengimport Ural pada tahun 2014. Selepas berurusan dengan syarikat di Rusia dan menguruskan perkara yang berkaitan, kami mulakan proses penyediaan reka bentuk sidecar ini bagi kelulusan JPJ serta mendapatkan AP dari MITI.” Menurut Nik lagi, proses terbabit hampir siap dan kini Reed Motorcycle hanya menantikan surat kebenaran daripada kementerian sebelum penghantaran Ural dari Irbit Sverdlovsk Orbast dimulakan. Jenis kelulusan dari JPJ bagi kenderaan ini ialah motosikal, dan Nik turut berkata, sesiapa yang memiliki lesen B Penuh boleh menunggang Ural ini secara sah di jalan raya. Harga yang bakal ditetapkan buat Ural ini ialah bermula RM80,000 hingga RM140,000 bergantung pada model dan spesifikasinya. Walau bagaimana pun, Urul bukanlah motosikal solo selepas mendapati permintaannya tidak mencukupi syarat produksi.
UberX Malaysia semak semula struktur harga – tambang asas/minit, per minit/kilometer berkurangan
Ini berita baik buat para penumpang perkhidmatan Uber! Uber Malaysia telah mengumumkan harga bagi UberX telah dikurangkan mulai semalam iaitu 18 Januari 2016. Menurut Uber, kadar baharu ini adalah untuk menggalakkan aksesibiliti atau kebolehcapaian di mana jarak perjalanan yang singkat di sekitar kawasan bandar adalah lebih selamat dengan harga yang berpatutan. Di bawah struktur harga baharu Uber di Kuala Lumpur, tambang asas/minimum adalah 95 sen (berbanding RM2 sebelum in), manakala tarif selepas mula bergerak ialah 25 sen per minit (sebelum ini 35 sen) atau 60 sen bagi setiap kilometer (sebelum ini 70 sen per km). Merujuk carta tambang dari Uber ini, bagi perjalanan dari KL Sentral ke Mid Valley hanya sekitar RM4, iaitu setengah dari harga lama (RM8), di mana ia lebih berpatutan berbanding teksi biasa (RM12). Selain itu, tambang jangkaan dari 1Utama ke Taman Tun Dr Ismail adalah sekitar RM3 berbanding RM5 harga sebelum ini dan RM8 jika menaiki teksi biasa. Manakala yuran pembatalan tembahan masih RM5, tiada perubahan. Pemandu Uber berkata ini adalah didorong oleh peningkatan penggunaan servis ini apatah lagi ia turut menawarkan tambang yang rendah. Di samping itu, jumlah pada perkongsian platform Uber yang kini semakin bertambah, turut membantu mengurangkan lagi masa menunggu oleh pelanggan dan pemandu.
Proton Perdana akan menggunakan enjin 2.0L NE01 pada akhir 2017 – dengan transmisi CVT baharu
Selain barisan enjin baharu Proton yang diumumkan semalam, antara berita lain yang turut disahihkan ialah Proton Perdana akan datang bakal dikuasakan oleh enjin NE01 yang dibangunkan dengan kerjasama Petronas, pada akhir 2017. Ia akan menggantkan enjin Honda R20A3 2.0 liter dan K24Z2 2.4 liter i-VTEC yang dipadankan buat Perdana 2016 yang bakal dilancarkan pada suku pertama tahun ini. Ini kali pertama Proton mengesahkan enjin baharu sedang dibangunkan dengan empat siri enjin baharu iaitu dua daripadanya enjin dua-silinder, 1.0 liter dan 1.2 liter serta enjin empat-silinder bagi kapasiti 1.3 liter dan 1.5 liter. Di mana ia turut menggunakan teknologi pancitan bahan api secara terus (GDi) dan pancitan bahan api secara terus dengan pengecas turbo (TGDI). Bukan itu saja, enjin tersebut juga akan dipadankan dengan transmisi CVT baharu yang juga sedang dibangunkan, sekali gus mengenepikan transmisi automatik lima-kelajuan Honda yang telah lama digunakan. Dengar cerita, ia bakal diproduksikan oleh Jatco, iaitu pakar transmisi CVT dari Jepun, yang pernah menyertai pameran Alami Proton pada tahun lalu. Menurut CEO Proton, Datuk Abdul Harith Abdullah, juga terdapat kemungkinan Perdana bakal menggunakan enjin baharu 1.5 liter TGDI. Beliau turut menambah, enjin ini lebih kecil berbanding yang ada pada sedan segmen-D tetapi mungkin mempunyai nisbah kuasa yang hampir menyamai enjin Honda 2.4 liter, yang mampu menghasilkan kuasa maksimum sehingga 180 hp dan tork 250 nm. GALERI : Sesi pengenalan Proton Perdana 2016 GALERI : Proton Perdana versi rendered oleh Theophilus Chin
Proton Saga akan datang dalam segmen-A, padanan enjin 1.0L dan 1.2L VVT 3-silinder; mungkin 1.0L turbo
Pada sidang media pengumuman enjin baharu di Proton yang berlangsung semalam, CEO Proton Datuk Abdul Harith Abdullah turut mengesahkan Proton Saga model akan datang akan diposisikan di bawah segmen-A, sebaris dengan model sedan yang berada di bawah yang segmen yang sama termasuk Honda Brio Amaze, Toyota Etios, Hyundai Xcent dan Ford Figo Aspire. Model Saga yang ada di pasaran sekarang berada di bawah segmen-B dengan ciri-ciri tambahan termasuk kekemasan, material dan peranti yang lebih berkualiti tinggi. Penyelarasan semula posisinya ini mungkin membolehkan Saga menjadi model mampu milik dengan struktur harga yang lebih kompetitif termasuk bersaing rapat dengan model pesaingnya terutamanya model sedan yang bakal diperkenalkan Perodua kelak. Langkah ini juga diambil sebagai satu usaha yang lebih besar untuk menyelaraskan jenis model Proton yang sedikit mengelirukan, dengan barisan akan datang yang lebih meluas bagi perbezaan yang lebih jelas antara model. Harith juga berkata, model Saga masa akan datang bakal dipadankan dengan enjin VVT tiga-silinder baharu, bersesaran 1.0 liter dan 1.2 liter. “Pada masa akan datang, Proton Saga akan diletakkan di bawah segmen-A atau segmen-A+, jadi enjin 1.0 liter sangat sesuai untuk diaplikasikan,” ujarnya, sambil menambah Proton sedang membangunkan versi pengecas turbo bagi enjin 1.0 liter. Seperti mana yang diperkatakan semalam, enjin baharu ini tidak akan memasuki produksi sebelum akhir 2017, jadi model Saga 2016, yang bakal dilancarkan pada tahun ini, mungkin akan menggunakan enjin 1.3 VVT iaitu sama seperti Iriz atau pun IAFM+ yang sama pada model Saga sedia ada. Bagi enjin CamPro yang tidak lagi diteruskan bagi pasaran Malaysia, Harith berkata, untuk sesetengah pasaran, di mana piawaian emisi dan penjimatan bahan api tidak begitu ketat, Proton mungkin akan meneruskan penggunaannya, memandangkan ia merupakan penjana kuasa yang paling murah.
UMW Toyota Motor bakal lancar Hilux, Fortuner dan Innova baharu tahun ini – agensi penyelidikan
Menurut beberapa agensi kajian penyelidikan, UMW Toyota Motor (UMWT) bakal memperkenalkan tiga model baharu di pasaran Malaysia bagi tahun ini. Model tersebut ialah Toyota Hilux, Fortuner dan Innova baharu. TA Research, pada Disember lalu telah mengeluarkan 21 laporan selepas melawat UMW, ada menyebut, syarikat pengeluar kenderaan tersebut tidak akan melancarkan kenderaan penumpang pada tahun ini. Tetapi “menurut pihak pengurusan, terdapat model baharu bagi segmen komersil akan dilancarkan, iaitu Innova, Hilux dan Fortuner.” RHB juga telah mengeluarkan laporan semalam, turut mendakwa perkara yang sama, di mana tiga model tersebut akan dilancarkan pada suku kedua dan suku ketiga tahun ini. Agensi penyelidikan tempatan ini turut menyatakan tiada kenderaan penumpang akan dilancarkan sehingga akhir 2016. Ketibaan model trio ini bukanlah suatu berita yang mengejutkan kerana ia adalah penggantian bagi model sedia ada yang sememangnya ditunggu-tunggu. Malah menurut sumber, ketiga-tiga model tersebut juga akan didatangkan dengan enjin baharu tetapi tidak mendedahkannya secara lebih terperinci. Hilux telah melakukan penampilan terbaru pada Mei 2015 di Thailand dan Australia di mana ia merupakan pasaran terbesar bagi trak pikap berkenaan. Ia dijanakan oleh dua enjin turbodiesel baharu termasuk kotak gear manual dan auto enam-kelajuan yang dipertingkatkan. Di samping lebih mantap, ia juga ditampilkan dengan kerangka yang lebih tegar dan telah meningkatkan tahap keselesaannya. Manakala Fortuner pula merupakan SUV tiga barisan tempat duduk yang dibina berdasarkan platform Hilux. Indonesia juga bakal menerima kehadiran model baharu ini sebelum Januari berakhir. Ia juga didatangkan dengan dua pilihan enjin GD turbodiesel iaitu 2.8 liter (177 hp/450 Nm) dan 2.4 liter (150 hp/400 Nm). Terakhir sekali, Innova iaitu MPV tiga barisan tempat duduk ini turut ditawarkan dengan dua pilihan enjin iaitu 2.0 liter Dual VVT-i 1TR-FE dengan kuasa 139 hp/183 Nm dan 2.4 liter turbodiesel yang sama dengan Hilux. Enjin ini dipadankan dengan transmisi manual lima-kelajuan atau automatik enam-kelajuan. Malah model yang juga dikenali sebagai Kijang Innova di Indonesia telah pun dilancarkan di negara berkenaan pada November lalu.
Proton Perdana 2016: perincian awal 2.4L vs 2.0L
Pada program pelancaran kempen ‘My New Proton’ yang diadakan pagi tadi, kami dikejutkan prebiu Proton Perdana 2016. Seperti yang diketahui, Perdana 2016 ini diasaskan dari model Honda Accord generasi kelapan. Kami difahamkan model ini akan hadir dengan dua varian berbeza iaitu versi 2.0L dan 2.4L, sama seperti Honda Accord. Untuk bahagian luaran, muka Perdana 2016 direka dengan rekaan signatur Proton (seperti Iriz dan Preve) bermula dari lampu utama dan wing pada gril hadapan serta logo Proton terbaharu dengan efek 3D. Lampu utama jenis projektor xenon untuk model 2.4L (projektor halogen untuk model 2.0L) turut disertakan dengan lampu nyalaan siang LED. Sirip sisi pada fender hadapan ditambah membezakan rupa Perdana 2016 dan Accord pada sisi hadapan. Rekaan yang paling ketara membezakan Accord dan Perdana adalah pada bahagian belakang. Bahagian but menampakkan Perdana ini lebih tinggi dari Accord dengan penambahan quater window pada tiang-C. Lampu belakang juga dipertingkatkan dengan penggunaan lampu jenis LED seiring dengan rekaan sedan segmen-D pesaingnya kini. Untuk model 2.4L, Proton akan memadankan kit badan yang merangkumi lips spoiler pada bahagian depan dan belakang bersama skirt sisi. Difahamkan kedua-dua varian akan dilengkapi rim bersaiz 17-inci tetapi dengan dua opsyen rekaan berbeza. Walaupun rekaan yang dipertontonkan belum dimuktamadkan untuk produksi, kami berpendapat terlalu banyak trim krom pada bahagian luaran yang menyebabkan rekaan keseluruhan tampak agak ‘sarat’ (visual tidak dapat disertakan kerana kami tidak dibenarkan mengambil gambar pada sesi prebiu ini). Pada bahagian dalaman, tidak ada banyak yang berubah jika dibandingkan dengan Accord. Perdana ini dilengkapi dengan pedal penukar gear dan kawalan kelajuan pada roda stereng, sistem hiburan dan navigasi GPS, penghawa dingin dua-zon, kamera undur, sistem anti-perangkap untuk tingkap hadapan, stereng teleskopik dan tempat duduk larasan kuasa untuk pemandu. Reka bentuk papan pemuka adalah seiras dengan Accord kecuali tambahan paparan skrin sesentuh pada bahagian tengah. Model ini disahkan tidak mempunyai sistem kemasukan kunci pintar untuk kedua-dua varian. Kemasan dalaman ditawarkan dengan dua warna berbeza mengikut varian iaitu beige untuk model 2.4L dan hitam untuk model 2.0L. Kesemua tempat duduk juga dibaluti dengan kulit penuh, manakala untuk trim model 2.4L menerima kekemasan kayuan dan model asas 2.0L hanya dipadankan dengan trim berwarna perak. Perdana 2016 masih lagi mengekalkan enjin Honda K24Z I-VTEC aci sesondol berkembar untuk varian 2.4L (177 hp/222 Nm) dan R20A I-VTEC aci sesondol tunggal untuk varian 2.0L (154 hp/189 Nm). GALERI: Spyshot Perdana 2016
Proton panggil balik Exora, Preve dan Suprima S varian-CFE – hos penyejuk minyak bermasalah
Proton telah mengumumkan akan menghubungi sejumlah 94,577 pemilik model Exora, Preve dan Suprima S bagi semua varian CFE di Malaysia ekoran masalah hos penyejuk minyak. Syarikat kereta nasional ini berkata, apabila menghampiri titik perbatuan 40,000 km, ia boleh mengakibatkannya pecah. Model yang terlibat adalah varian CFE termasuk Proton Exora (59,663 unit), Preve (28,642 unit) dan Suprima S (6,290 unit). Proton mengakui kesilapan ini dilakukan ketika memilih material bagi hos penyejuk minyak tersebut. Isu ini timbul apabila minyak daripada hos getah itu menjadi berasid dan mengakisnya bergantung pada suhu yang tinggi. Proton akan menggantikan hos getah yang bermasalah tersebut dengan hos logam dan turut mengesahkan penukaran komponen ini akan bermula penghujung bulan ini. Bagi pemilik kenderaan yang terlibat dan yang masih dilindungi waranti, Proton berkata, kos penukaran komponen terbabit dan tenaga buruh akan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat ini. Manakala bagi pengguna kenderaan yang terlibat tetapi telah tamat warantinya, Proton berkata, ia hanya akan dilakukan secara percuma sekiranya anda mematuhi perkhidmatan servis berkala yang disyorkan. Panggilan bagi semua pemilik kenderaan yang terlibat akan dimulakan hujung bulan ini, tetapi Proton akan memfokuskan mana-mana unit kenderaan yang menghampiri jarak perbatuan 40,000 km yang lebih berisiko untuk hos terbabit pecah.
Proton Perdana 2016 – tempahan telah dibuka mulai hari ini, harga antara RM100k-RM150k
Dengan segala spyshot Proton Perdana 2016 yang diperoleh sebelum ini, kami dapati beberapa elemen yang ditampilkan bagi model sedan segmen-D Proton yang bakal dilancarkan tidak lama lagi, banyak berasaskan model Honda Accord generasi sebelum ini. Dalam majlis pra-prebiu yang berlangsung pagi tadi di Pusat Kecemerlangan Proton (COE) Shah Alam, Pengerusi Proton Tun Mahathir Mohamed turut mengumumkan Perdana 2016 ini dibuka tempahan secara rasminya mulai hari ini. Malah Tun Mahathir turut mengatakan, harga yang bakal ditawarkan bagi Perdana 2016 ini adalah antara RM100k-RM150k. Walau bagaimana pun, beliau masih enggan mendedahkan tarikh sebenar pelancaran cuma sekali lagi menegaskan, ia bakal berlaku pada suku pertama tahun ini. Perdana 2016 ini akan dilengkapi dengan enjin 2.4 liter yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 181 hp dan tork 222 Nm. Antara elemen yang ditawarkan termasuklah pedal penukar gear, kawalan kelajuan, sistem hiburan dengan navigasi GPS dan fungsi kamera undur, penghawa dingin dua-zon, cermin berkuasa anti-perangkap untuk bahagian hadapan, stereng boleh laras kecondongan dan teleskopik serta tempat duduk pemandu boleh laras secara elektronik. Bagi aspek keselamatanya pula, Perdana 2016 akan dilengkapi dengan beg udara (tidak dimaklumkan jumlahnya), kawasan kestabilan elektronik termasuk ABS dan EBD. Krew kami telah pun menyaksikan secara lebih dekat Perdana 2016 ini sebentar tadi (sayangnya tidak dibenarkan untuk merakamkan sebarang foto), dan akan memperincikannya dalam artikel seterusnya. GALERI: Pra-prebiu Proton Perdana 2016 GALERI: Proton Perdana 2016 hasil rendered
Proton Edar umum harga baharu, naik sehingga RM2k
Seperti yang diumumkan dua minggu yang lalu, Proton telah mengesahkan kenaikan harga bagi semua modelnya efektif 15 Februari 2016. Ia melibatkan kenaikan antara RM339 sehingga RM2,024 bergantung pada varian modelnya. Harga yang diumumkan ini adalah termasuk GST dan insurans. Di mana model Preve 1.6 CVT Executive menerima kenaikan paling tinggi iaitu sebanyak 1.89% dari RM60,546 menjadi RM62,570. Manakala Iriz 1.6 CVT Premium pula mengalami kenaikan harga paling sedikit iaitu hanya 0.55% dengan harga terdahulu RM61,691 dan kini ditawarkan pada RM62,030. Menurut Proton, kenaikan harga ini tidak dapat dielakkan berikutan kejatuhan ringgit memandangkan kebanyakan bahan mentah dibeli dalam mata wang asing. Malah kelemahan ringgit turut memberikan kesan terhadap kos operasi dan keseluruhan sistem rantaian syarikat. Bagi menyerap impak akibat kesan kejatuhan ringgit, sejak Ogos 2015 lalu, Proton telah melakukan pelbagai usaha termasuklah mengurangkan kos operasi dan rasionalisasi operasi yang diperlukan. Malah impak ini bukan setakat dirasai oleh Proton tetapi boleh dikatakan keseluruhan industri.
LPT : Laluan haiwan liar di lebuh raya bakal dikaji
Kajian berhubung cadangan pembinaan laluan untuk haiwan liar untuk melintas lebuhraya akan dijalankan oleh kerajaan melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), menurut Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Menurut beliau lagi, kementerian bersedia membina laluan itu yang dijangka akan menelan kos RM3 juta ke RM4 juta bergantung kepada kedudukan kewangan sekiranya kajian tersebut mendapati cadangan itu boleh dilaksanakan. “Saya ada mesyuarat dengan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, LLM, untuk membincangkan persoalan berbangkit tentang hutan, kalau hutan semakin sedikit, kediaman haiwan semakin sempit, kawasan pergerakan haiwan juga terhad,” kata beliau melalui Bernama. “Kerajaan pusat melalui PERHILITAN telah mengambil keputusan untuk mewujudkan ‘Forest Spine’ sekali gus untuk memastikan wujud koridor-koridor hutan yang bersambung supaya ada laluan untuk haiwan liar,” ujar beliau lagi. Habitat hidupan liar seperti gajah dan harimau kini terjejas akibat projek pembangunan seperti pembinaan jalan raya dan empangan hidro elektrik yang memaksa haiwan liar itu berhijrah dari satu tempat ke satu tempat selain faktor kurangnya sumber makanan, tambah beliau. Rasa sedih dengan kes kematian seekor harimau belang yang sedang bunting akibat dirempuh sebuah MPV di Kemaman baru-baru ini turut dizahirkan Wan Junaidi dan berharap kejadian seperti itu tidak berulang.
Michelle Yeoh lancar program Langkah Selamat Keselamatan Jalanraya – kerjasama dengan FIA, Nat Geo dan Prudence, sarat dengan info berkaitan
Prudential Corporation Asia telah bekerjasama dengan Federation Internationale de l’Automobile (FIA) dan National Geographic Channel, bersama Tan Sri Michelle Yeoh, melancarkan program Langkah Selamat Keselamatan Jalanraya di Pavilion, Kuala Lumpur pada 13 Februari lalu. Menteri Pengangkutan Datuk Sri Liow Tiong Lai turut berbesar hati melancarkan program ini, termasuk dengan Jean Todt selaku presiden FIA dan Duta Khas Keselamatan Jalan Raya Bangsa-bangsa Bersatu, dan Donald Kanak, Pengerusi Prudence Foundation. Langkah Selamat Keselamatan Jalanraya ini merupakan program serantau bagi memberikan kesedaran bahawa salah satu punca utama kematian di dunia ialah akibat kemalangan jalan raya. Malah program ini memberikan informasi yang jelas dan ringkas menerusi mesej mendidik tentang keselamatan jalan raya. Menurut statistik, sebanyak 1.3 juta orang terbunuh akibat kemalangan jalan raya setiap tahun, termasuk 500 kanak-kanak setiap hari. Malah kemalangan jalan raya juga dikaitkan sebagai punca utama kematian bagi individu berusia antara 15 hingga 29 tahun. Di Malaysia, dianggarkan sejumlah 6,000 hingga 7,000 kematian dicatatkan dalam tempoh setahun, iaitu agak tinggi berbanding negara lain. Berbanding purata di seluruh dunia iaitu 18 kematian bagi 100,000 populasi, di Malaysia pula mencatatkan 23.6 kematian bagi setiap 100,000. Program Langkah Selamat Keselamatan Jalanraya ini akan menyebarkan video mengenai risiko memandu dalam keadaan mabuk, memandu dengan fokus terganggu, kepentingan tali pinggang keledar, mematuhi had laju, serta juga keselamatan motosikal dan pejalan kaki. “Adalah menjadi harapan saya untuk kempen ini turut memainkan peranan yang penting seperti mana yang disarankan oleh kementerian saya bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Ia adalah penting bahawa kita terus mendidik orang ramai mengenai langkah-langkah keselamatan jalan raya sehingga ia menjadi satu cara hidup bagi pemilik kenderaan di Malaysia,” ujar Liow. Yeoh, selaku duta program ini pula berkata, “Saya sangat berbesar hati dilantik sebagai duta bagi program ini. Keselamatan jalan raya adalah sangat penting. Sudah ramai yang menjadi mangsa termasuk yang mengalami kecederaan disebabkan kemalangan. Jadi dengan adanya program ini, saya dapat mengambil bahagian dalam memberikan kesedaran orang ramai tentang keselamatan jalan raya.” Program ini turut disokong oleh Persatuan Automobil Malaysia (AAM), Institut Automotif Malaysia (MAI) dan Bosch.
Suzuki Ertiga, Dreza dilancarkan di Thailand
Suzuki Ertiga Dreza Suzuki Ertiga baharu telah pun dilancarkan di Thailand. MPV tujuh-tempat duduk yang dinaiktaraf ini menampilkan dua varian iaitu standard GL dan Ertiza Dreza baharu yang lebih sporty. Dipasang di Indonesia, Ertiga GL ialah model yang dipertontonkan di Gaikindo Indonesia International Auto Show 2015. Model facelift ini telah tampil dengan bampar hadapan, gril dan perumah lampu kabus yang dimodifikasi. Manakala bahagian belakangnya memperkenalkan lampu belakang berbentuk-L baharu dengan kekemasan krom, malah roda baharunya juga diperkenalkan. Seperti yang dijangka, Dreza pula hadir dengan spoiler sisi, bampar belakang dan sayap belakang yang lebih sporty. Ia turut menampilkan lampu nyalaan siang LED dan rim aloi 15-inci. Bukan itu sahaja, Dreza turut ditampilkan dengan bampar hadapan dan belakang baharu. Secara keseluruhan, varian ini 60 mm lebih panjang secara keseluruhannya – 4,325 mm ke 4,265 mm. Suzuki Ertiga Bahagian dalamnya, ia turut dilengkapi dengan upholstery dan kekemasan berwarna, bersama beberapa elemen yang disenaraikan. Bagi varian tertinggi, Dreza mendapat dua tambahan speaker (tweeter), kekemasan krom pada pemegang pintu dalaman dan kayuan pada bahagian papan pemuka. Manakala varian GL pula menawarkan kit yang sedia ada, termasuk unit kepala 2-DIN bagi audio dengan empat-speaker, sambungan USB, corong penghawa dingin hadapan dan belakang, pengesan parkir undur dan beberapa elemen lain. Sayangnya, hanya Dreza sahaja dilengkapi dengan sistem brek ABS dan EBD, serta lampu brek ketiga pada sayap belakang. Tetapi kedua-dua varian, mengekalkan ruang but yang sama iaitu berkapasiti 482 liter dengan tempat duduk ketiga dibaringkan, dan 736 liter jika tempat duduk kedua dan ketiga dibaring sepenuhnya. Kedua-dua varian menawarkan kuasa yang sama iaitu 92 PS/130 Nm dengan enjin 1.4 liter, empat-silinder siri-K dan transmisi automatik empat-kelajuan. Walau pun kuasa yang dihasilkan itu ‘sederhana’ namun ia harus menampung berat 1,195 kg bagi Dreza dan 1,185 kg untuk GL. Ertiga GL berharga 655,000 baht (RM76k) dan Dreza pula 715,000 baht (RM83k). Dengan apa yang tertera di sini, adakah anda akan berasa teruja dengan model Suzuki Ertiga yang bakal di’rebadged‘ oleh Proton tidak lama lagi? Kongsikan komen anda bersama kami. GALERI: Suzuki Ertiga GL GALLERY: Suzuki Ertiga Dreza
UMW Toyota muncul dengan tagline baharu “It’s All About The Drive” – signifikan gaya hidup pantas
UWM Toyota Motor telah pun memperkenalkan tagline baharu mereka iaitu “It’s All About The Drive”. Sebelum ini, syarikat ini telah pun menggunakan “Moving Forward” sebagai tagline. Menurut Toyota, perubahan tagline ini adalah merangkumi pelbagai teknologi kenderaan yang ditawarkan untuk masa hadapan. Bukan setakat mementingkan keselamatan, tetapi ia juga menampilkan pelbagai keseronokan apabila berada di dalam kenderaan, yang disesuaikan dengan “gaya hidup yang pantas berubah”. Ini kerana sudah menjadi matlamat Toyota yang menjadikan para pelanggan sebagai keutamaan. Malah dengan penambahbaikan yang berterusan, pengalaman pemanduan sentiasa dipertimbangkan. Bukan itu saja, Toyota turut beranggapan, kepuasan dan kehendak pengguna adalah penentu model kenderaan yang dibangunkan. Pendek kata, apa yang dikehendaki dan diperlukan oleh para pengguna, adalah pemacu dan pendorong Toyota untuk membangunkan sesuatu model. Dengan adanya tagline baharu ini, Toyota berazam untuk menghasilkan lebih banyak perkara yang lebih menarik termasuk memperluaskan lagi penggunaan teknologi kenderaan, memastikan perjalanan lebih selamat dan dapat menyesuaikan diri dengan gaya hidup yang pantas berubah.
Honda Civic 2016 aktif diuji sekitar Thailand
Honda Civic 2016 sekali lagi ditemukan sedang diuji sekitar Thailand. Kali ini dengan visual sedan segmen C tersebut yang lebih jelas ihsan dari grup Facebook Honda Civic X Thailand. Seperti yang anda lihat, sedan ini dipenuhi dengan pelekat bercorak ‘X’ di seluruh badan Civic generasi ke-10 tersebut. Sebelum ini Civic berwarna perak tersebut dilihat pada Januari 2016 dan November 2015 dengan sedikit penyamaran ringan. Penampilan terbaharu ini nampaknya tidak berubah dengan kesemua lencana, lampu hadapan dan belakang dilekat dengan pelekat penyamaran. Pada pandangan profil sisi, boleh disimpulkan kereta ini akan dilengkapi rim aloi lima-jejari dan spoiler belakang untuk pasaran Thailand. Berdasarkan maklumat dari sumber tersebut, kereta tersebut juga dilihat dilengkapi dengan lampu hadapan LED, lampu isyarat cermin sisi dan yang paling utama ia dikuasakan oleh enjin 1.5 VTEC Turbo terbaharu Honda, dan dipadankan dengan kotak gear CVT. Untuk Civic spesifikasi US, enjin tersebut berupaya menjana 174 hp pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 220 Nm hadir bermula 1,800 rpm hingga 5,000 rpm. Difahamkan model ini turut akan dikeluarkan dalam varian 2.0 liter DOHC empat-silinder tanpa bantuan pengecas turbo (berkuasa 158 hp pada takat 6,500 rpm dan tork maksima 187 Nm pada takat 4,200 rpm). Walau bagaimana pun, ketua R&D Honda Keiji Ohtsu sebelum ini membuat kenyataan tiada lagi kata putus sama ada semua Civic untuk pasaran Asia Tenggara akan dibekalkan dengan enjin janaan pengecas turbo tersebut. Kita perlu menunggu Civic ini dilancarkan di Thailand untuk mendapatkan maklumat yang lebih lanjut sebelum kenyataan Ohtsu-san tersebut boleh disahkan. Namun begitu, Civic yang dicanangkan oleh Honda sebagai Civic terbaik pernah dibina ini perlu dibangunkan dengan mengambil kira banyak aspek untuk menghadapi pesaing-pesaing dari Eropah seperti BMW 3-Series, Mercedes-Benz C-Class, Audi A4 dan juga pesaing tradisi seperti Toyota Corolla, Mazda 3, Hyundai Elantra dan Kia Cerato. GALERI: Honda Civic 2016 spesifikasi Amerika Syarikat 2016 Honda Civic Sedan 2016 Honda Civic Sedan 2016 Honda Civic Sedan 2016 Honda Civic Sedan 2016 Honda Civic Sedan 2016 Honda Civic Sedan 2016 Honda Civic Sedan 2016 Honda Civic Sedan 2016 Honda Civic Sedan
Toyota Hilux 2016 – harga jangkaan bagi Semenanjung dan Sarawak, spesifikasi didedahkan, bermula RM93k
Awal bulan ini, Datuk Ismet Suki, Presiden UMW Toyota Motor, telah mengesahkan Toyota Hilux baharu dijangka bakal tiba di pasaran Malaysia pada suku kedua (Q2) tahun 2016. Ia akan menawarkan enam pilihan varian iaitu 2.4 MT 4×4 single cab, 2.4 STD MT 4×4 Double cab, 2.4 MT 2×4 Double cab, 2.4G MT 4×4 Double cab, 2.4G AT 4×4 Double cab dan spesifikasi tertinggi 2.8G AT 4×4 Double cab. Namun kami menjangkakan ia akan dilancarkan sedikit masa lagi memandangkan sudah ada pengedar yang berani mendedahkan harga jangkaannya bagi pasaran Semenanjung Malaysia dan Sarawak. Berikut merupakan harga jangkaannya (termasuk GST dan insurans) seperti mana yang didedahkan: 2.4 MT 4×4 single cab – RM93,260 (Semenanjung)/RM94,720 (Sarawak) 2.4 STD MT 4×4 double cab -RM105,240 (Semenanjung)/RM106,650 (Sarawak) 2.4 MT 2×4 double cab – RM95,260 (Semenanjung)/RM96,700 (Sarawak) 2.4G MT 4×4 double cab – RM115,260 (Semenanjung)/RM116,690 (Sarawak) 2.4G AT 4×4 double cab – RM125,260 (Semenanjung)/RM126,530 (Sarawak) 2.8G AT 4×4 double cab – RM135,260 (Semenanjung)/RM136,120 (Sarawak) Seperti mana Hilux baharu yang telah diperkenalkan di Australia dan Thailand pada Mei 2015, ternyata Hilux versi Malaysia juga menampilkan dua pilihan enjin dari keluarga GD turbodiesel iaitu berkapasiti 2.4 liter dan 2.8 liter. Kemungkinan besar ia juga dipadankan dengan kotak gear baharu manual enam-kelajuan dan automatik. Kesemua varian dilengkapi dengan lampu utama halogen multi-reflektor dan lampu nyalaan siang (DRL) jenis mentol. Kesemua varian (kecuali single cab) turut didatangkan dengan lampu kabus hadapan dan bedliner. Bagi bahagian kabinnya pula, ia turut dilengkapi dengan meter Optitron, paparan pelbagai-maklumat, kemasukan pintar dan sistem penghidup enjin bagi semua varian kecuali single cab. Namun tambahan elemen bagi 2.8G AT 4×4 iaitu kawalan iluminasi pada bahagian meter dan paparan berwarna TFT 4.2-inci. Untuk sistem hiburan pula, ia menampilkan unit kepala 2-DIN dengan format MP3 dan sambungan AUX, USB untuk semua varian. Namun tambahan bagi 2.4G MT 4×4 double cab, 2.4G AT 4×4 double cab dan 2.8G AT 4×4 double cab yang hadir dengan pemain DVD, skrin sesentuh 6.1-inci, sambungan Bluetooth, kad SD, dan kamera undur. Bagi tempat duduk, single cab hanya dibaluti dengan material PVC, manakala fabrik dengan enam-cara pelarasan tempat duduk pemandu bagi 2.4 STD MT 4×4 double cab, 2.4 MT 2×4 double cab, dan 2.4G MT 4×4 double cab. Manakala untuk 2.4G AT 4×4 double cab dan 2.8G AT 4×4 double cab pula dilengkapi dengan kombinasi kulit dan lapan-cara pelarasan tempat duduk pemandu. Untuk semua varian 4WD, ia dilengkapi dengan 4WD Transfer Switch dan Rear Differential Lock. Manakala Kawalan Cengkaman Aktif (A-TRC) pula turut ada pada varian 2.4G MT 4×4 double cab, 2.4G AT 4×4 double cab dan 2.8G AT 4×4 double cab. Aspek keselamatan yang tertera menerusi spesifikasi yang didedahkan ini ialah semua varian menerima tiga beg udara (enam bagi varian tertinggi), ABS dengan EBD. Manakala Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dan Bantuan Kawalan Mendaki (HAC) pula hanya untuk 2.4G AT 4×4 double cab dan 2.8G AT 4×4 double cab. Melihat harga yang didedahkan ini, ia mengalami peningkatan antara RM10,000 dan RM15,000 berbanding model sebelum ini, di mana varian 2.8G berbeza RM20,000 lebih daripada model 3.0G sebelum ini, walau pun ia tidak didatangkan dengan elemen yang lebih tinggi. GALERY: Toyota Hilux pasaran Australia
AES dan KEJARA akan dilaksanakan serentak Mac ini
Bagi usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya, Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalanraya (KEJARA) akan dilaksanakan serentak selewat-lewatnya Mac ini. Menerusi laporan yang disiarkan oleh Berita Harian, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata, keputusan pelaksanaan dua skim itu akan dibawa ke Kabinet untuk dibincangkan dalam masa terdekat sebelum ia dilaksanakan. “Kita tidak boleh lagi berdolak dalik dalam isu keselamatan. Kerajaan terpaksa ambil inisiatif yang serius iaitu kuatkuasakan semula AES. “Menerusi KEJARA pula, kita akan tolak mata demerit pemandu. Bila disaman, kita akan tolak mata bergantung kepada kesalahan yang dilakukan. Bila sampai 20 mata, kita akan gantung lesen pemandu,” katanya yang turut menegaskan AES dan KEJARA adalah salah satu cara berkesan dalam mengurangkan nahas jalan raya. “Tujuan utama kita nak selamatkan nyawa. Kerajaan tak berniat nak denda pemandu tetapi kita nak ubah sikap pemandu agar mereka bertanggungjawab terhadap jalan raya,” katanya. Beliau berkata, pada masa ini terdapat 14 kamera AES masih berfungsi. Pada 18 Disember 2012, Peguam Negara memutuskan supaya pelaksanaan AES dikaji semula berikutan ia mendapat tentangan hebat daripada rakyat.
Proton dedah info enjin GDi dan TGDi – timing chain, transmisi CVT baharu, maksimum 180 hp/250 Nm
Dalam sidang media yang berlangsung petang ini di Pusat Kecemerlangan Proton (COE) Shah Alam, turut diadakan lintas langsung bersama pasukan jurutera Proton yang terlibat dengan pembangunan enjin baharu ini yang kini berada di United Kingdon (UK). Diketuai oleh Ketua Pegawai Teknikal Proton, Rashid Musa, ia turut disertai oleh Ricardo dan Lotus yang bekerjasama dalam satu pasukan. Empat siri enjin baharu Proton ini merangkumi enam varian enjin yang diklasifikasikan sebagai 1.0L tiga-silinder VVT (Pemasaan injap boleh laras), 1.2L tiga-silinder VVT, 1.3L empat-silinder GDI (pancitan bahan api secara terus), 1.5L empat-silinder, 1.3L empat-silinder TGDI (pancitan bahan api secara terus dengan pengecas turbo) dan 1.5L empat-silinder TGDI. Menurut Rashid, projek pembangunan enjin baharu Proton ini melibatkan 200 jurutera yang mengambil masa selama 40 bulan dengan kos pelaburan bernilai RM600 juta untuk melengkapkan kesemua varian enjin tersebut. Kesemua enjin tersebut akan diuji secara kompresensif di Lotus dan Ricardo, dan oleh jurutera Proton sendiri. Ia juga akan diuji di 25 dyno test centre dengan masa ujian 250,000 jam. Ia juga akan diuji dengan jarak perbatuan sehingga 4.8 juta km di jalan raya bagi mencabar keupayaan enjin ini hingga ke tahapnya. Daripada enam enjin tersebut, 1.5 liter TGDi merupakan yang paling berkuasa dengan kuasa maksimum sehingga 180 hp dan puncak tork 250 Nm. Walau bagaimana pun, kuasa dan tork yang mampu dihasilkan oleh lain-lain varian tidak dinyatakan. Namun Proton mendakwa, kesemua enjin ini mampu mencapai prestasi 25% lebih tinggi berbanding enjin Proton sedia ada. Bukan itu sahaja, enjin ini juga boleh menggunakan bahan api sekurang-kurangnya RON95. Malah menurut Rashid, enjin baharu ini juga akan dipadankan dengan transmisi CVT baharu (daripada Jatco) yang lebih efisien berbanding yang ada pada model sedia ada. Proton kini dalam proses terakhir untuk penjana kuasa ini bagi model masa akan datang. Selain itu, enjin baharu ini juga menepati piawaian Euro 6C serta bakal menampilkan belt-driven starter generator, fungsi start/stop, Dual VVT dan timing chain. Bagi sudut penjimatannya, Proton mensasarkan emisi CO2 adalah di bawah 99 g/km. Bagi enjin 1.0 liter, penjimatan bahan apinya dianggarkan sebanyak 5.0 liter per 100 km dan 4.0 liter per 100 km bagi tambahan sesetengah teknologi. “Projek ini dilihat mampu membawa Proton ke tahap yang lebih kompetitif dan mampu mencipta sejarah yang tersendiri buat Proton,” ujar Rashid. Enjin baharu ini dijangka bakal dibawa pulang ke Malaysia pada September ini. Manakala aplikasi pertama enjin ini dijangka pada akhir tahun 2017.
Proton sedang membangunkan enjin baharu dengan teknologi GDi dan TGDi – 4 siri baharu, 6 varian
Bagi membuktikan kesungguhannya di dalam industri automotif, Proton sedang membangunkan barisan enjin baharu. Projek membangunkan enjin baharu ini telah mula berlangsung sejak Mac tahun lalu dan bekerjasama dengan Ricardo dan Lotus. Proses pembangunan enjin baharu ini dijalankan di United Kingdom (UK). Menurut Datuk Abdul Harith Abdullah, CEO Proton, sebanyak empat siri enjin baharu iaitu dua daripadanya enjin dua-silinder, 1.0 liter dan 1.2 liter serta enjin empat-silinder bagi kapasiti 1.3 liter dan 1.5 liter. Empat siri enjin baharu ini merangkumi enam varian enjin yang diklasifikasikan sebagai 1.0L tiga-silinder VVT (Pemasaan injap boleh laras), 1.2L tiga-silinder VVT, 1.3L empat-silinder GDI (pancitan bahan api secara terus), 1.5L empat-silinder, 1.3L empat-silinder TGDI (pancitan bahan api secara terus dengan pengecas turbo) dan 1.5L empat-silinder TGDI. Datuk Harith turut berkata, bagi enjin 1.5 liter iaitu mampu menghasilkan kuasa sehingga 180 hp dan puncak tork 250 Nm. “Ia merupakan enjin yang sangat bagus. Bukan setakat daripada segi prestasi yang lebih memberangsangkan, malah ia juga bakal memberikan penjimatan bahan api yang lebih optimum iaitu 25% lebih bagus berbanding enjin yang digunakan pada model Proton sedia ada. Malah enjin ini juga 20% lebih baik dari segi prestasinya.” “Enjin ini akan diuji bagi jarak perbatuan merangkumi 4.8 juta km. Ia dijangka bakal dibawa pulang ke Malaysia pada September ini. Manakala aplikasi pertama enjin ini dijangka pada akhir tahun 2017,” ujar Datuk Harith. Proton mempunyai alasan sendiri mengapa UK menjadi pilihan untuk membangunkan enjin baharu ini. Di mana menurut Datuk Harith, kedua-dua pihak berkenaan mempunyai teknologi ini telah memahami konsep enjin yang Proton kehendaki termasuklah berhubung dengan enjin NE01 iaitu enjin hasil kerjasama antara Proton dengan Petronas. Malah teknologi GDi dan TGDi ini turut dikongsikan antara Petronas dan Ricardo. Sambung Datuk Harith lagi, “Enjin ini juga menepati piawaian standard emisi bagi seluruh dunia. Malah menepati EURO6C yang bakal digunakan menjelang tahun 2020.”
Kesinambungan sistem AP Terbuka selaras dengan misi NAP bagi kukuhkan penyertaan bumiputera – MITI
Keputusan kerajaan untuk meneruskan sistem Permit Import (AP) Terbuka seperti mana selaras dengan misi Dasar Automotif Nasional (NAP) 2014, ia dilihat mampu memperkukuhkan lagi penyertaan bumiputera dalam merancakkan lagi ekonomi negara, menurut laporan The Sun. “Kesinambungan sistem AP Terbuka ini akan memperluaskan lagi penyertaan daripada syarikat baharu bumiputera di dalam industri. Ia mampu menyalurkan mekanisme bagi memperkukuhkan dan meningkatkan lagi penyertaan bumiputera serta menambahkan ekuiti sedia ada iaitu sebanyak 36% di dalam sektor ini, ” ujar Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). Kenyataan menerusi e-mel tersebut turut menyebut satu jumlah tertentu bagi yuran yang dikutip menerusi sistem AP Terbuka ini akan diperuntukan untuk melaksanakan langkah yang telah digariskan di dalam NAP 2014 bagi meningkatkan daya saing syarikat bumiputera dalam teknologi, pembangunan modal insan dan rantaian bekalan. Menurut The Sun lagi, namun ada kebimbangan lain yang timbul iaitu merangkumi kesan negatif pada imej jenama yang dimiliki pengeluar komponen tulen (OEM), pelaburan oleh OEM, pendapatan kerajaan dalam soal cukai, implikasi pada industri-industri sokongan dan sektor perkhidmatan lain, komitmen antarabangsa di Pertubuhan Perdagangan Sedunia dan perjanjian perdagangan bebas, dan pelaburan yang diperbuat oleh pemegang AP semasa. Walau bagaimana pun, MITI turut berkata perkara ini akan dikaji oleh perunding yang dilantik. “Perunding yang dilantik untuk kajian ini telah berunding dengan persatuan yang mewakili pelbagai kumpulan di industri automotif seperti pemasang, pemegang francais dan peniaga kereta terpakai. Beberapa OEM utama juga terlibat dalam rundingan ini. Maka, pendapat dan kebimbangan industri diambil kira dan ia akan dikaji semula,” ujar kenyataan tersebut. MITI turut mendedahkan, antara pihak yang terbabit di dalam rundingan ini termasuklah Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Persatuan Pengedar Kereta dan Syarikat Kredit Kuala Lumpur & Selangor serta Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu (Pekema). Selain itu, ia juga melibatkan pertemuan dengan OEM termasuk BMW Group Malaysia, Honda Malaysia, Mercedes-Benz Malaysia dan UMW Toyota Motor. Malah pandangan daripada beberapa persatuan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Majlis Tindakan Ekonomi Melayu dan Yayasan Kepimpinan Perdana turut diambil kira. Sistem AP ini telah diperkenalkan pada tahun 70an untuk menggalakkan penyertaan bumiputera di dalam industri penjualan kereta terpakai. Namun ia menjadi isu besar sejak sedekad yang lalu apabila ada yang mendakwa, sistem ini telah dimonopoli oleh individu tertentu termasuk terdapatnya “Raja AP”. Isu yang diketengahkan oleh MITI ini melibatkan dua perkara iaitu francias bagi AP untuk pemegang francias rasmi bagi pengeluar kenderaan (seperti Honda Malaysia, Bermaz Motor dan BMW Malaysia, sekadar beberapa contoh) dan AP Terbuka untuk bumiputera yang mengimport kenderaan dari pelbagai jenama dan jenis. The Sun turut mengeluarkan angka terkini daripada MITI yang menunjukkan kini terdapat 100 syarikat memegang AP Terbuka ini dan 22 syarikat lain sebagai Francias AP. Sebelum ini, terdapat perancangan untuk memansuhkan sistem ini. NAP 2009 turut menyebut AP Terbuka ini sepatutnya ditamatkan pada akhir 2015, dan Francias AP pula akhir tahun 2020. Pada NAP 2014, kerajaan berkata akan melantik syarikat bertauliah untuk melakukan kajian yang lebih mendalam terhadap kesan penamatan AP Terbuka ini terutamanya pada syarikat bumiputera. Namun pada 23 Disember tahun lalu, iaitu beberapa hari sebelum sistem ini sepatutnya ditamatkan, MITI telah mengumumkan polisi AP Terbuka ini bakal diteruskan tetapi dengan peningkatan daripada sistem sedia ada. Di mana peningkatan ini belum dimaktubkan, dan mungkin akan dilaksana mulai 1 Januari 2017. “Pihak kerajaan akan melancarkan satu program untuk pengagihan yuran AP Terbuka ini untuk membuatkan semua pihak menikmati faedah daripada polisi baharu ini. Perincian mengenai program ini akan diumumkan kemudian,” ujar MITI lagi. Tambahnya lagi, “”Pasukan penyelidikan juag memberi pendapat bahawa sistem AP Terbuka ini akan memberi peluang kepada orang awam membeli kereta import terpakai pada satu harga saingan. Mereka juga mendapati pengagihan dan pengimportan industri kereta terpakai turut memberi sumbangan tinggi kepada industri automotif dan pembangunan sosioekonomi negara.” Kementerian terbabit juga menjelaskan sistem AP Terbuka ini turut menyumbang kepada perniagaan sokongan dan sektor perkhidmatan termasuk pembankan, insurans, perkapalan dan logistik yang dijangka menyumbang sebanyak RM450 juta setiap tahun, di samping RM2 bilion nilai daripada cukai dan yuran kepada kerajaan setiap tahun. Sistem ini, di mana Institut Automotif Malaysia (MAI) pernah tidak bersetuju mengenainya, turut akan memberikan peluang pekerjaan sebanyak 3,800 lebih tinggi dan pendapatan sederhana turut bertambah serta meningkatkan antara 5% daripada 36% ekuiti bumiputera di dalam sektor automotif. Menurut MITI lagi, “Jika sistem ini ditamatkan, tiada lagi kereta import terpakai akan dibenarkan masuk ke negara ini dan sekali gus mengenepikan peluang orang ramai untuk membeli kereta sedemikian. Juga peratusan penyertaan ekuiti bumiputera di sektor automotif akan berkurangan sebanyak 31%.” .
TPPA membolehkan automotif Malaysia bersaing rapat dengan Thailand dan Indonesia – Frost & Sullivan
Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) bakal memberikan petanda yang baik buat sektor automotif Malaysia dan membolehkan negara ini untuk bersaing secara lebih kompetitif dengan Thailand dan Indonedia, menurut firma perunding Frost & Sullivan. Memetik laporan yang disiarkan oleh Bernama, Timbalan Presiden Mobiliti, Vivek Vaidya berkata, “Malaysia akan mempunyai peluang yang lebih kompetitif sebagai hab eksport untuk kompenen auto di rantau ASEAN. “Thailand telah pun mendahului Malaysia dalam perjanjian pertukaran percuma ini dan mereka turut mempunyai kelebihan untuk dipergunakankan. Justeru, TPPA dilihat sebagai tiket untuk Malaysia membeli perjanjian dengan Jepun, Kanada, Australia, Amerika Syarikat dan Amerika Latin.” Menurut Vivek lagi, TPPA akan membantu syarikat Malaysia untuk meningkatkan lagi pasaran, membina lebih banyak peluang bagi kemahiran dan pertukaran teknologi dalam industri “Tetapi pemain industri tempatan harus mengadaptasi langkah yang dilakukan oleh pasaran lain dan perlu menjadi lebih kompetitif. Tidak boleh menguruskan bisnes seperti biasa, perlu ada perubahan,” sambungnya lagi. Di mana pakatan perdagangan ini akan membolehkan pemain industri menyertai negara-negara lain di bawah TPPA, yang mana menjelaskan 40% Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) tanpa melalui cukai atau pun sekatan-sekatan kastam. Vivek juga berkata jenama seperti Mercedes, Honda dan pengeluar komponen tulen (OEM) serta pembuat komponen lain yang mempunyai kilang di Malaysia akan dapat terus beroperasi di negara ini. “Apabila Malaysia menjadi sebahagian dari TPP, daya tarikan strategik Malaysia sebenarnya bertambah disebabkan oleh akses pasaran kepada negara-negara anggota TPP yang lain,” ujarnya lagi. Satu lagi negara yang mempunyai kelebihan signifikan dari TPP bagi sektor automotif ini ialah Vietnam. Di mana negara tersebut turut dilihat memiliki banyak kelebihan kerana ia lebih kompetitif daripada segi tenaga buruh. Sebanyak 12 negara dijangka bakal menandatangai pakatan perdagangan ini pada Februari depan, walau bagaimana pun ia tidak akan mempunyai sebarang kesan pada pasaran kereta tahun ini. “Ia akan bermula selepas tahun 2018, tetapi bagi sektor automotif, pengurangan cukai dan penghapusan cukai eksais hanya akan bermula dari tahun 2020,” ujar Vivek. Pada minggu lalu, firma perunding Frost & Sullivan telah mengumumkan Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) bakal dikurangkan pada 1.44 peratus ke 648,000 unit pada tahun 2016 berbanding jumlah yang dijangka pada tahun lalu iaitu sebanyak 657,500 unit.
SPYSHOT: Subaru XV 2016 kelihatan di Bangsar
Sebelum majlis pelancarannya yang dijadualkan pada 20 Januari ini, model facelift Subaru XV 2016 kelihatan di Bangsar, walau pun sisi badannya dihiasi pelekat berwarna-warni. Menerusi foto yang dirakam ini, kelihatan indikator pada lampu belakang XV ini kini dilitupi gelas kaca jernih berbanding yang berwarna pada model sedia ada. Manakala rel bumbung juga dihiasi dengan kekemasan aluminium menyerlahkan lagi gaya sporty. Walau bagaimana pun, tiada perubahan yang begitu jelas kelihatan bagi model facelift ini melainkan menerusi pandangan hadapannya. Bahagian hadapannya memiliki persamaan rekaan dengan model yang pernah diperkenalkan di Bangkok pada tahun lalu. Ini termasuklah gril hadapan haksagon yang diberi penambah baikan, lampu utama halogen baharu dengan lampu nyalaan siang (DRL) LED berbentuk-C dan lampu posisi berbentuk-L berdekatan dengan lampu kabus. Malah XV facelift ini juga tampil dengan rim aloi yang telah ditambah baik bersaiz 17-inci. Bagi bahagian kabinnya, XV facelift ini masih mengekalkan bentangan rekaan yang sama seperti model sebelumnya. Namun terdapat beberapa penambahan elemen termasuklah sistem multimedia dengan skrin sesentuh 6.2-inci (atau unit double-DIN), kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, 4WD, pedal aloi, paparan pelbagai-info, butang kawalan tambahan pada roda stereng dan tempat duduk berkuasa elektrik. Malah jahitan kontras turut menjadi ‘hiasan’ pada XV ini. Di bawah hudnya, terletak penjana kuasa 2.0 liter DOHC empat-silinder Boxer yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 150 PS pada 6,200 rpm dan puncak tork 196 Nm pada 4,200 rpm. Kuasa ini disalurkan menerusi transmisi Lineartronic CVT enam-kelajuan, ke Symmetrical All-Wheel Drive (SAWD). Subaru XV 2016 di Thailand Motor Expo 2015
Ford Malaysia tawar rebat tunai sempena CNY
Ford dan pengedarnya, Sime Darby Auto Connexion (SDAC) telah mengumumkan ‘Ford CNY Promo’ untuk memulakan sambutan Tahun Baru Cina (CNY). Promosi itu menawarkan rebat sehingga RM10,000 untuk kenderaan Ford terpilih dari sekarang hingga 31 Mac ini. Ford CNY Promo membolehkan para pelanggan memandu pulang model Ford kegemeran mereka pada harga lebih murah. Ia menawarkan rebat tunai menarik sehingga RM10,000 untuk sporty Fiesta, sehingga RM5,000 untuk SUV urban kompak versatil Ecosport dan sehingga RM3,000 bagi pembelian SUV Kuga penuh gaya. Bagi menambah ketenangan minda, Ford turut menawarkan promosi servis istimewa kepada pelanggan mulai sekarang hingga 15 Februari. Pemilik Ford yang membawa kenderaan mereka ke pusat servis untuk melakukan servis atau penyelenggaraan akan menerima pemeriksaan 27 poin secara percuma oleh juruteknik bertauliah Ford. Ford juga menawarkan diskaun sebanyak 10 hingga 20 peratus ke atas kos buruh dan alat ganti untuk kebanyakan pakej servis yang paling popular. Manakala pelanggan yang berbelanja lebih daripada RM300 akan menerima barangan eksklusif Ford. Sebagai tambahan kepada ‘Ford CNY Promo’, sesiapa sahaja yang memandu uji model baharu Ford mulai 16 hingga 24 Januari layak menerima penyusun but kereta. Mereka yang membuat tempahan sepanjang tempoh itu juga akan menerima sekaki payung Ford dan satu penyangkut/alat penyusun serba guna. Sepanjang tempoh yang sama, Ford turut mengadakan peraduan ‘Count The Kam’ yang menyeronokkan. Untuk peluang memenangi 200,000 AirAsia Big Points dan hadiah-hadiah lain, para peminat Ford boleh mengunjungi bilik pameran Ford SDAC PJ2 dan meneka jumlah buah limau mandarin yang diletakkan di dalam sebuah EcoSport, rakam selfie dengan kereta dan muat naik ke laman Facebook Ford Malaysia di www.facebook.com/Ford Malaysia.
MINI Malaysia memperkenalkan waranti yang lebih komprehensif untuk semua model baharu
MINI Malaysia telah mengumumkan program waranti perbatuan tanpa had selama empat tahun dengan servis berjadual percuma untuk semua MINI yang didaftarkan mulai 1 Januari 2016. Program waranti dan servis baharu ini menawarkan perlindungan tambahan selepas tahun ketiga pemilikan, di mana waranti yang disokong oleh pengeluar akan diteruskan ke tahun keempat dengan jarak perbatuan tanpa had. Bukan itu sahaja, program ini turut merangkumi servis berjadual dan penyelenggaraan secara percuma sehingga 60,000km berdasarkan kepada sistem Condition Based Service (CBS) pada MINI berkenaan. Skop servis yang ditawarkan dalam program waranti baharu ini termasuklah servis pemeriksaan kenderaan, penukaran minyak enjin dengan penapis dan pengisian semula minyak baru. Sementara komponen-komponen pula terdiri daripada penapis udara, penapis mikro, palam pencucuh dan bendalir brek. Bagaimanapun, komponen seperti brek hadapan dan belakang, termasuk cakera dan pad brek serta penggilap cermin utama kini tidak dimasukkan ke dalam program jaminan dan servis berkenaan. Bagi kenderaan yang didaftarkan pada Disember 2015, MINI Malaysia menawarkan satu pakej istimewa untuk pelanggan menaik taraf daripada pakej MINI Service Inclusive FIX selama tiga tahun/50,000km kepada program waranti perbatuan tanpa had selama empat Tahun dengan servis berjadual percuma yang baharu. Pakej yang dinaik taraf ini akan merangkumi program servis penuh daripada pakej jaminan sebelum ini, yang turut meliputi pad brek, cakera brek dan penggilap cermin. Bagi menikmati waranti ini adalah berdasarkan kepada servis berjadual yang dicadangkan oleh pengeluar di mana-mana Pengedar Sah MINI di seluruh negara. Sekiranya servis dilakukan oleh bengkel tidak bertauliah, Pengedar Sah MINI berhak untuk menolak apa jua tuntutan kerana kerosakan itu mungkin berlaku akibat kualiti servis yang tidak bagus atau penggunaan alat ganti tiruan.
Rewaco RF-1 LT-2 bakal dipasarkan di Malaysia – padanan enjin 1.5 liter turbo, kotak gear Punch CVT
Rewaco dari Jerman merupakan pembuat motosikal roda tiga sejak tahun 1990. Kini antara modelnya iaitu RF-1 LT-2 telah pun dibawa masuk ke pasaran Malaysia. Dijanakan oleh enjin 4A91T 1.5 liter empat-silinder buatan Mitsubishi, ia turut dipadankan dengan kotak gear Punch VT3 CVT, iaitu unit yang sama pada Proton Suprima S, Preve dan Exora CFE. Ia mampu menghasilkan kuasa sehingga 140 hp pada 6,000 rpm dengan puncak tork 210 Nm pada 2,500 rpm. Motosikal roda tiga ini seberat 705 kg dan memiliki dua tempat duduk. Malah varian tiga tempat duduk juga turut ditawarkan. Enjinnya terletak di bawah bahagian badannya dan satu intercooler turut diletakkan di atasnya bersama sebuah kipas elektrik kecil bagi menyejukkan enjin sewaktu motosikal ini berhenti. Kotak gearnya juga terletak di bahagian relung enjinnya. Model RF-1 yang dipaparkan menerusi foto-foto ini adalah prototaip untuk pasaran Malaysia dan kini sedang diperiksa untuk mendapatkan kebenaran bagi jualan pasaran tempatan. Motosikal roda tiga ini memiliki ukuran 3550 mm panjang dan 1880 mm lebar, iaitu menyamai saiz Perodua Axia. Mengendalikan RF-1 ini tidaklah sesukar mana, ia hanya memiliki dua kawalan iaitu pendikit dan brek kaki. Jangan risau tentang keseimbangan kerana ia kan motosikal beroda tiga. Sesiapa sahaja boleh belajar menunggangnya dalam tempoh beberapa minit sahaja. Tuil gearnya pula terletak pada tangki iaitu di antara tempat letak kaki penunggang, dan ia seperti tuil gear pada kereta transmisi CVT. Terdapat tiga ruang penyimpanan barang iaitu dua kotak di kedua sisi tempat duduk pembonceng dan satu lagi kotak di belakang motosikal. RF-1 ini akan diimport oleh Punch Powertrain Malaysia. Punch juga sedang mencari rakan pengedar di Malaysia untuk model motosikal roda tiga dan berkuasa tinggi buatan Rewaco. Jika di USA, RF-1 ini dijual pada harga USD45,000 (RM196,000). Agak-agak, berapakah harga jualannya di Malaysia? Dan apakah komen anda mengenai kehadiran RF-1 ini negara kita? Kongsikan komen anda bersama kami.
Honda Civic Type R solekan khas di Tokyo Auto Salon
Honda Civic Type R telah menerima suntikan selepas jualan oleh beberapa syarikat penalaan (tuner) khas untuk dipamerkan di Tokyo Auto Salon tahun ini. Jentera JDM yang ditala khas ini oleh dua jenama talaan terkenal iaitu Mugen dan Modulo menjadikan perhatian ramai dalam acara pameran automotif tersebut. Mugen, telah menampilkan kit penggayaan yang lebih agresif pada Civic Type R ini. Ia dimulakan dengan bampar yang direka khas bersama kekemasan beefier splitter berwarna hitam dengan kontras hitam sutera pada bahagian badannya. Sedikit serpihan hitam turut ditambah termasuk pada bahagian skirting sisi yang lebar dan wing belakang yang lebih ringan berbanding versi standard. Malah apa yang dilakukan oleh Mugen ini lebih pada penampilannya, tetapi tidak mengubah langsung bagi sudut teknikal dan mekanikal. Begitu juga dengan varian Modulo yang didatangkan dengan imej yang lebih garang termasuk menampilkan penutup tangki minyak baharu, skirting sisi yang lebih garang dan sedikit sentuhan merah pada bahagian badannya. Honda Civic Type R ini telah dilancarkan pada Oktober lalu sempena dengan Tokyo Motor Show 2015. Ia digambarkan sebagai “model Type paling ekstrem dan paling berprestasi tinggi yang pernah dibangunkan”. Ia dijanakan oleh enjin 2.0 liter turbo yang mampu menyalurkan kuasa sehingga 310 PS dan tork 400 Nm antara 2,500 dan 4,500 rpm. Enjin ini turut ditampilkan dengan pengecas turbo baharu, yang bekerjasama dengan sistem Variable Timing and Lift Electronic Control (VTEC) dan Dual-Variable Timing Control (VTC) ciptaan Honda. Penjana kuasa ini juga turut berpadu tenaga dengan kotak gear manual enam-kelajuan, yang membolehkan jentera ini dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 5.7 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum sehingga 270 km/j. Galeri Honda Civic Type R 2015
ASEAN NCAP: Toyota Fortuner, Innova baharu diiktiraf lima-bintang bagi AOP untuk varian dilengkapi ESC
Program Penilaian Kereta Baharu Asia Tenggara (ASEAN NCAP) telah mengumumkan varian Toyota Fortuner dan Innova baharu yang dilengkapi dengan Kawalan Stabiliti Elektronik (ESC) telah mencapai rating maksima lima-bintang dalam ujian Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP). Toyota Innova mendapat skor 14.10 dalam ujian AOP untuk rating lima-bintang. Bagaimanapun, seperti yang tertakluk pada syarat ASEAN NCAP, hanya kenderaan yang dilengkapi ESC layak menerima rating maksima – varian tanpa ESC hanya mendapat skor empat bintang. Untuk Perlindungan Penumpang Kanak-kanak (COP), Innova mematuhi 76% keseluruhan, dengan peratusan cukup untuk rating empat bintang. Dipasang di Indonesia, Innova yang diuji juga dilengkapi dengan cangak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX dan tambatan bahagian atas secara standard. Toyota Fortuner sebaliknya telah diiktiraf tetapi tidak diuji secara fizikal. ASEAN NCAP menjelaskan mereka telah diberi ‘bukti teknikal daripada Toyota yang menyatakan rekabentuk perlindungan dewasa adalah sama seperti Hilux.” SUV tujuh tempat duduk ini direka berasaskan trak pikap Hilux baharu. Ini membolehkan Fortuner dikecualikan dari mana-mana ujian sebenar. Ia diiktiraf sama dengan skor Hilux iaitu 14.53 untuk AOP – skor yang cukup untuk memenuhi rating lima-bintang. Ia juga mencapai skor empat-bintang, 71% memenuhi keperluan untuk COP. Hanya Innova dan Fortuner yang dilengkapi ESC diiktiraf skor lima-bintang ini. Varian yang tidak dilengkapi ESC tidak berjaya untuk mendapatkan markah penuh, jadi ia kekal dengan rating empat-bintang.
ASEAN NCAP: Empat bintang untuk Nissan Grand Livina; Hyundai i10 satu bintang bagi ujian kedua
ASEAN NCAP telah pun menyebarkan beberapa keputusan ujian terbaharunya, termasuklah bagi model MPV Nissan Grand Livina dan kereta kompak Hyundai i10. Bagi Nissan Grand Livina, pemasangan tempatan dan model facelift tahun 2013, telah menerima markah sebanyak 12.50 dari 16 mata maksimum dan melayakknya menerima penarafan empat-bintang bagi Pelindungan Penumpang Dewasa (AOP). Bagi Pelindungan Penumpang Kanak-kanak, MPV tiga barisan tempat duduk ini menerima 41% markah dengan hanya dua-bintang sahaja. ASEAN NCAP menjelaskan, model MPV ini tidak disertakan dengan peringatan pemasangan tali pinggang keledar atau Kawalan Kestabilan Elektronik, walau pun bagi varian spesifikasi-tertinggi. Manakala Hyundai i10 menerima pemarkahan paling rendah pada ujian ASEAN NCAP yang dilakukan pada Disember 2015, iaitu hanya mencapai penarafan satu-bintang iaitu 4.40 mata dari 16 mata penuh dalam AOP. Ini menunjukkan kemerosotan markah berbanding model terdahulu yang menerima 7.31 mata (dua-bintang) pada ujian fasa pertama ASEAN NCAP tahun 2013. i10, yang telah digantikan dengan model baharu di kebanyakan pasaran, yang sebelum ini telah melepasi ujian COP dengan 79% markah dan menerima penarafan empat-bintang. Ini menandakan peningkatan yang signifikan berbanding model pemasangan tempatan yang hanya menerima dua-bintang/48% markah. Kad skor di bawah ada perincian lebih lanjut mengenainya.
Naikkan kadar saman tidak akan kurangkan kemalangan, perlu ketatkan penguatkuasaan – MIROS
Pihak polis menyatakan dengan menaikkan kadar saman trafik mungkin boleh menghalang pemandu daripada melanggar undang-undang, seterusnya mengurangkan kadar kemalangan maut. Namun berbeza dengan pendapat Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) yang menyatakan kenaikan kadar saman itu sendiri tidak akan mengurangkan kadar kemalangan. Sebaliknya ia perludisertakan dengan penguatkuasaan yang lebih ketat dan lebih banyak kempen keselamatan jalan raya dilaksanakan, lapor The Star. Menurut pengerusi MIROS Tan Sri Lee Lam Thye, 140,000 saman trafik telah dikeluarkan oleh pihak polis sejak Ops Selamat 8 yang bermula pada 1 Febuari lalu, di mana ia menunjukkan orang awam tidak mengendahkan kompaun trafik. “Malaysia mempunyai undang-undang trafik yang bagus tetapi penguatkuasaannya agak lemah dan perlu diperkuatkan. Sebahagian pengguna jalan raya di negara ini tidak menghormati undang-undang trafik dan keselamatan jalan raya dan menganggap perlakuan tersebut adalah ‘normal’ kerana semua orang melakukannya,” kata beliau dalam kenyataannya. Tambahnya lagi idea untuk memberikan hukuman yang lebih berat perlu dipertimbangkan. “Di samping mengekalkan saman RM300 terus untuk pesalah trafik, kita juga perlu mempertimbangkan cadangan kerja-kerja kemasyarakatan seperti memungut sampah dan menyapu tepi jalan raya sebagai salah satu bentuk hukuman untuk pesalah,” kata Lee. Lee menekankan untuk meningkatkan tahap pendidikan keselamatan jalan raya dan mengubah mentaliti orang awam dan memastikan usaha ini menjadi sebahagian amalan harian, beliau berkata lebih usaha perlu dilakukan terutama untuk golongan remaja dan dewasa. “Kanak-kanak, bermula dari peringkat pra-sekolah, perlu diberi pendidikan berkenaan keselamatan jalan raya dan implikasi serius pemanduan cuai, dan tidak mengendahkan undang-undang jalan raya. Ini boleh memupuk kesedaran tentang keselamatan jalan raya dalam diri kanak-kanak dan membantu mereka menjadi pengguna jalan raya yang lebih bertanggung jawab dan bertimbang rasa apabila mereka dewasa kelak,” kata beliau. Tambah beliau dengan adanya pendidikan sedemikian akan memberikan lebih penekanan semasa pendidikan peringkat menengah dan tinggi. “Saya percaya yang pendidikan keselamatan tidak patut berhenti pada peringkat tingkatan tiga. Ia perlu diteruskan di kolej dan universiti agar bekas penuntut sekolah,pemegang diploma dan graduan universiti sentiasa diingatkan dengan amalan keselamatan jalan raya,” ujar Lee.
Malaysia naik taraf 75% jalan menjelang 2020 – laporan
Malaysia telah menyatakan komitmen untuk meningkatkan keselamatan bagi majoriti 144,000 km jalan di negara ini bagi memenuhi standard antarabangsa menjelang tahun 2020, menurut laporan The Sun dan The Star. Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata lebih banyak langkah perlu diambil untuk mengurangkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya. Di mana kadar kemalangan meningkat dari 476,196 kes pada 2014 ke 489,606 kes tahun lalu, dengan jumlah kematian meningkat dari 6,674 pada 2014 ke 6,706 tahun lalu. Menurutnya, kemalangan ini telah menyebabkan negara mengalami kerugian sebanyak RM8.63 bilion pada tahun lalu, di mana laporan sebelum ini menyebut jumlah itu termasuk bagi kos perubatan, insurans dan pembaikian kenderaan. Liow menambah, pihak kementerian sedang mencari penyelesaian bagi meningkatkan penarafan jalan raya di bawah Program Penilaian Jalan Antarabangsa (IRAP), sebuah badan bukan-berasaskan keuntungan yang menilai tahap keselamatan jalan raya di lebih 70 negara, lebih kurang seperti program penilaian kenderaan bagi keselamatan kenderaan yang dijual di pasaran. “Kementerian saya bekerjasama dengan pihak yang berkaitan untuk meningkatkan 75% standard infrastruktur jalan raya di Malaysia pada sekurang-kurangnya tahap tiga-bintang menerusi rangkaian jalan raya menjelang tahun 2020. Program ini mendakwa setiap jalan yang hanya mendapat satu bintang, tahap potensi untuk berlaku kecederaan dan kematian akibat kemalangan di jalan tersebut boleh dikurangkan separuh dari jumlah sebelumnya. Walau bagaimana pun, Liow berkata tidak ada gunanya jika membuat jalan yang lebih bagus seandainya sikap pemandu sendiri tidak berubah. Malah IRAP boleh menurunkan tahap jalan tersebut dari empat-bintang ke satu-bintang jika pengguna jalan raya masih mengamalkan sikap tidak berhemah di jalan raya. Liow turut berkata IRAP akan membantu untuk mengutamakan jalan yang patut diperbaiki “dengan menilai kos dan faedah bagi setiap pelaburan”. Sambil menambah, ASEAN IRAP akan dilancarkan pada tahun 2018.
Honda CBR150R 2016 dilancarkan di Indonesia – RM10,178, enjin kekal sama, hanya suntikan kosmetik
Pada 14 Februari lalu, Honda CBR150R 2016 telah pun dilancarkan di Indonesia oleh pelumba dari Honda MotoGP Racing Team iaitu Dani Pedrosa dan Marc Marquez, di Litar Lumba Sentul, Kabupaten Bogor, Jawa Barat. Imej yang ditonjolkan oleh CBR150R 2016 ternyata lebih berbeza berbanding generasi terdahulu CBR150R. Walau pun masih menggunakan enjin 150 cc silinder-tunggal yang sama seperti model sedia ada, namun CBR150R 2016 ini ada perbezaannya, menurut Toshiyuki Inuma, Pengarah Presiden Honda Indonesia. Beberapa perubahan yang disenaraikan termasuklah casis yang ringan dengan penyejuk-cecair bagi mengoptimakan pengendalian dan pergerakan. Honda telah memanjangkan bahagian swingarm sebanyak 13 mm, bagi mempertingkatkan daya kestabilannya. Enjin suntikan-terus bahan api ini dipasang pada sudut kecerunan 40-darjah, bagi memberikan beratnya lebih ke depan. Dengan 11.3 ke satu nisbah mampatan, CBR150R 2016 ini kini mampu menghamburkan sehingga 18.2 hp dan tork 12.6 Nm di mana kuasanya disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi enam-kelajuan. Modifikasi kosmestik telah pun dilakukan pada CBR150R 2016 ini, dengan tempat duduk belakangnya lebih pendek dan tinggi, memberikan imej yang lebih sporty. Malah fairing hadapannya juga sedikit rendah dan kluster insutrumen LCD digital terletak di bahagian kokpit. Lampu utamanya kini ditampilkan dengan unit LED, sama seperti lampu isyaratnya. Honda CBR150R 2016 dijual pada harga bermula 32.5 juta rupiah (RM10,178) dan versi edisi MotoGP pula berharga 33.3 juta rupiah (RM10,302). Terdapat dalam empat pilihan warna iaitu Revolution White, Nitro Black, Racing Red dan warna rasmi Repsol bagi MotoGP.
GoCar – sewa Iriz, Myvi atau Almera ikut jam atau hari
Mayflower Acme Tours, subsidiari bagi Warisan TC Holdings mengumumkan bahawa ia telah memperoleh kepentingan majoriti bagi meneruskan operasi GoCar, yang ditubuhkan pada Mac tahun lalu. Pengambilalihan ini menandakan kemasukan Mayflower dalam perniagaan perkhidmatan perkongsian kereta. Syarikat ini juga menambah, GoCar memberikan penyelesaian pengangkutan dapat tempoh yang singkat, membenarkan ahlinya menyewa kereta sama ada ikut jam atau hari melalui platform pandu-sendiri, dengan akses menerusi laman web syarikat atau aplikasi dalam talian. Sejak dilancarkan, GoCar telah menerima lebih 5,000 jam tempahan untuk keretanya di Cyberjaya, Mont Kiara, Mid Valley dan Bangsar. Perkhidmatan ini masih beroperasi di bawah nama dan jenama yang sama, dan kini mempunyai tiga model kenderaan yang ditawarkan iaitu Proton Iriz, Perodua Myvi dan Nissan Almera. Kadar sewa bagi Myvi adalah yang paling murah, iaitu kadar masa puncak (dari jam 8 pagi hingga 8 malam) hanya RM15.90 per jam. Manakala kadar bukan waktu puncak (dari 9 malam hingga 7 pagi) ialah RM11.90 per jam, dan kadar untuk sewaan 24-jam pula ialah RM159 mengikut penggunaan harian. Kadar bagi Iriz pula ialah RM16.90 (waktu puncak) dan RM11.90 (bukan waktu puncak) per jam, dan RM169 sehari. Manakala bagi Almera pula RM19.90 (waktu puncak) dan RM16.90 (bukan waktu puncak) per jam, dan RM209 sehari. Mayflower turut memaklumkan, GoCar telah dianugerahkan geran CIP 500 bernilai RM500,000 oleh Cradle Fund, di mana ia bakal digunakan untuk membolehkan perkhidmatan perkongsian kereta ini dapat berkembang ke pasaran baharu dan meningkatkan lagi jangkauan pemasaran.
Toyota C-HR crossover akan diproduksi di Turki
Toyota telah mendedahkan model C-HR yang sebelum ini diperkenalkan sebagai model konsep akan ‘dilahirkan’ dalam versi produksi dan dipasang di kilang Toyota yang terletak di Sakarya, Turki. Model Crossover ini akan dihasilkan dalam bentuk terakhir bakal dipertontonkan di Geneva Motor Show pada 1 Mac ini. Walau bagaimana pun, Toyota masih merahsiakan lagi spesifikasi teknikalnya, tetapi kemungkinan besar elemennya banyak diadaptasi dari model terkini Prius. Malah model produksi C-HR (kemungkinan bakal diberi nama lain) juga akan menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) yang baharu dibangunkan, sama seperti model terkini Prius. Ini merupakan model Toyota yang ke-lapan dipasang di Eropah, selepas AYGO, Yaris, Auris, Corolla, Verso, Camry, dan Avensis. Toyota turut menyebut, akan memproduksikan enjin hibrid bagi crossover di UK dan kilang tersebut terletak di Deeside, Wales. Toyota turut berkata, C-HR yang diproduksi di Turki itu akan dijual bagi pasaran benua Eropah termasuk beberapa negara lain yang berhampiran. Bagi model konsepnya, ia memilih hibrid sepenuhnya sebagai penjana kuasa bersama enjin petrol, yang dikatakan mampu memberikan penjimatan haba lebih dari 40%. Malah turut menggunakan motor elektrik baharu serta bateri yang lebih ringan dan kompak. Walau pun membawakan imej yang kelihatan funky, namun masih ada elemen praktikal yang cuba dipertaruhkan termasuklah penambahan pintu belakangnya. Difahamkan pereka Toyota telah menginspirasikan bentuk berlian sewaktu menghasilkan rekaan model konsepnya.
JPJ Terengganu sita 250 unit kereta klon
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak akan mengambil kira alasan menjadi mangsa penipuan penjual kenderaan klon dan akan akan mengambil tindakan tegas terhadap para pemiliknya. Perkara ini sekali lagi ditegaskan oleh Pengarah JPJ Terengganu, Abdul Rahman Emang Anyie berkata hanya segelintir yang menjadi mangsa manakala selebihnya menyedari walaupun ia kereta klon namun tetap membelinya kerana dijual dengan harga lebih murah berbanding kereta asli. “Kebanyakan pemilik kenderaan klon tahu mereka bakal berdepan tindakan oleh pihak berkuasa namun kerana keinginan menyebabkan mereka tidak mempedulikan implikasi undang-undang yang bakal dihadapi. “Menerusi tindakan penguatkuasaan tahun lalu sehingga semalam, JPJ Terengganu telah menyita lebih 250 kereta palsu atau klon di seluruh negeri,” katanya kepada Bernama. Beliau berkata, kebanyakan kenderaan klon yang disita ialah kenderaan yang dibawa masuk ke negara ini dari negara jiran. “Ia ditawar dengan harga berbeza mengikut jenis kenderaan dari sekitar RM12,000 (seunit) berbanding harga pasaran sebenar sekitar RM100,000,” katanya. Katanya, antara kenderaan mewah yang menjadi pilihan pembeli ialah Toyota Wish, Honda, Subaru, BMW dan Mercedes-Benz. “JPJ mempunyai kepakaran untuk mengesan kenderaan klon kerana sindiket menjual kenderaan klon biasanya akan menggunakan nombor pendaftaran yang sama dengan kenderaan jenis sama yang sah yang digunakan di negara ini selain menggunakan cukai jalan tidak sah,” katanya. “Apabila maklumat dalam sistem JPJ berbeza dengan maklumat yang terdapat pada kenderaan itu, kita akan menyita kenderaan itu di bawah Seksyen 64 (1) dan seterusnya mengeluarkan saman di bawah seksyen 108 (3) (e) dan 108 (3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mudah tertipu dengan penjual kereta klon dan perlu merujuk kepada pihak berkuasa untuk langkah keselamatan. Menurutnya, jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak kurang RM5,000 atau penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.
SPYSHOT: Toyota Fortuner kelihatan di Shah Alam!
Baru-baru ini, UMW Toyota telah mengesahkan bakal memperkenalkan tiga model baharu di pasaran Malaysia bagi tahun ini. Model tersebut ialah Toyota Hilux, Alphard dan Vellfire. Walau pun tidak menyatakan mengenai Fortuner (atau Innova). Walau bagaimana pun, terima kasih kepada Hakimin Zahid, yang berjaya merakamkan foto Toyota Fortuner baharu di Shah Alam, memberi petanda SUV ini bakal menjengah pasaran tempatan tidak lama lagi. Walau pun belum ada kepastian, adakah unit yang diuji ini turut akan dipadankan dengan enjin baharu siri-GD turbodiesel atau pun 2.7 liter Dual VVT-i empat-silinder baharu (2TR-FE). Model Fortuner sebelum ini dipadankan dengan enjin berkapasiti 2.4 liter (1GD-FTV) dan 2.8 liter (2GD-FTV), yang mampu menyalurkan kuasa masing-masing 150 hp/400 Nm dan 177 hp/450 Nm. Manakala enjin yang dijanakan oleh petrol boleh menghasilkan kuasa sehingga 166 hp dan tork 245 Nm. Manakala model semasa Fortuner di Malaysia pula hadir dengan enjin petrol 2.7 liter atau 2.5 liter turbodiesel, namun kami berharapkan enjin baharu yang lebih variasi akan diumumkan masa pelancarannya, walau pun sukar untuk memperoleh kedua-dua enjin GD. Di Thailand, pilihan enjin ini dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan (sebelum ini hanya empat-kelajuan) dengan pacuan dua- dan empat-roda. Untuk pasaran kita, varian 4WD paling digemari. Jika dilihat pada foto ini, agar sukar untuk mengesahkan adakah lampu utama yang lebih langsing akan dipadankan bersama LED walau pun sebahagian lampu nyalaan siang LED kelihatan. Walau bagaimana pun, elemen yang lebih jelas kelihatan ialah rim aloi bersaiz 18-inci, pelekat pada badan dan pelindung pintu. Walau pun foto kabinnya tiada, namun difahamkan Fortuner baharu ini akan menerima sentuhan rekaan yang lebih sofistikated berbanding dengan Hilux. Selain itu, elemen lain yang diwar-warkan termasuklah kluster instrumen Optitron seperti Camry dengan paparan LCD pelbagai-info TFT bersaiz besar, paparan infotaimen tujuh-inci, tempat duduk pelarasan elektrik dan penghawa dingin automatik. Selain itu, kena sama-sama nantikan sebarang perkembangan selanjutnya dari masa ke masa.
AES dan Sistem Pemberian Mata Demerit Kejara lebih berkesan berbanding kadar saman tinggi – Liow
Berikutan cadangan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk menaikkan kadar saman, ia mendapat respons daripada Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai. Beliau berpendapat, penguatkuasaan Sistem Pemberian Mata Demerit (Kejara) dan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) adalah cara yang lebih berkesan berbanding mengenakan kadar saman tinggi untuk mendidik pengguna jalan raya di negara ini lebih berhemah, menurut laporan Bernama. Katanya lagi, jumlah sama ada kadar saman tinggi atau rendah adalah suatu yang subjektif buat setiap rakyat Malaysia bergantung kepada jumlah pendapatan dan taraf kewangan mereka. “Bagi saya, Kejara dan AES merupakan penguatkuasaan yang lebih efektif berbanding saman sahaja. Sistem ini juga akan gantung lesen pengguna tidak kira sesiapa, jika dia lakukan kesalahan berkali-kali, kalau mata sampai tahap lesennya digantung maka ia suatu kaedah lebih berkesan,” ujarnya. “KDN dan pihak polis mempunyai cara lain untuk mendidik pengguna jalan raya, begitu juga dengan kami iaitu melalui Kejara dan AES, namun kita sentiasa bekerjasama dengan mereka dalam usaha ini,” katanya. Liow turut berkata kementeriannya sentiasa mengalu-alukan pelbagai inisiatif Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menjaga keselamatan jalan raya antaranya menaik taraf unit trafik kepada sebuah jabatan.
Mercedes-Benz GLE 250 d, GLE 400 4Matic telah dilancarkan di Malaysia – 3.0L V6, harga dari RM487k
Selain Mercedes-Benz GLC 250 4Matic, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) turut membawa masuk model SUV mewah GLE 250 ke pasaran tempatan. Didatangkan dengan dua varian iaitu GLE 250 d dan GLE 400 4Matic, kedua-duanya telah diberi penambah baikan pada bahagian luaran dan dalaman, serta turut menampilkan teknologi baharu bagi menaik taraf penjana kuasanya. Varian GLE 400 dijanakan oleh enjin 3.0 liter turbo berkembar V6 yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 333 PS dari 5,250 hingga 6,000 rpm dan puncak tork 480 Nm antara 1,600 hingga 4,000 rpm. Ia turut dipadankan dengan transmisi 7G-Tronic, yang mampu memacu SUV ini dari 0-100 km/j dalam hanya 6.1 saat serta mencapai kelajuan maksimum pada 247 km/j. Penggunaan bahan apinya pula tercatat sekitar 8.8 liter bagi setiap 100 km. Manakala bagi varian diesel GLE 250 d 4Matic pula, ia dikuasakan oleh enjin 2.0 liter bi-turbo empat-silinder, yang telah diberi penambah baikan untuk penjimatan bahan api yang lebih optimum iaitu sekitar 5.4 liter bagi setiap 100 km. Manakala kuasa yang mampu dihamburkan mencecah 204 PS pada 3,800 rpm dan puncak tork 500 Nm antara 1,600 hingga 1,800 rpm. GLE 250 d 4Matic turut dipadankan dengan transmisi automatik 9G-Tronic, yang mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 8.6 saat serta berkeupayaan mencecah kelajuan maksimum sehingga 212 km/j. Bagi rekaan luarannya, ia telah diberi suntikan yang lebih segar berbanding model terdahulu. Bahagian hadapannya lebih berketerampilan dengan padanan gril yang berimej lebih mantap. Selain itu, lampu belakangnya juga telah direka semula serta paip ekzoz yang pula lebih menonjol. Kedua-dua varian juga diserlahkan dengan rekaan luaran AMG Line dengan pakej pengayaan lebih elegan termasuk menampilkan rim aloi lima-jejari bersaiz 20-inci bagi GLE 250 d dan 21-inci dengan jejari-berkembar bagi GLE 400. Kedua-duanya juga ditampilkan dengan bumbung matahari. Bagi bahagian kabinnya, antara perubahan yang dilakukan ialah roda stereng tiga-jejari baharu, corong udara tengah yang direka semula serta skrin sistem hiburan COMAND Online yang ditampilkan umpama tablet. Kedua-dua varian juga menampilkan skrin bersaiz 8.0-inci dan sistem COMAND turut didatangkan bersama pemain DVD dan pengesan tanda trafik termasuk fungsi amaran salah jalan. Model GLE ini turut menawarkan pakej Sistem Hiburan Tempat Duduk Belakang sebagai standard termasuklah dua paparan bersaiz 20.3-inci dan kit bebas tangan Kleer. GLE 400 juga didatangkan dengan kekemasan AMG Line untuk bahagian dalaman termasuk tempat duduk sport balutan kulit Artico buatan tangan, roda stereng sport balutan kulit Nappa, kluster instrumen dan pedal sport keluli tahan karat. Warna baharu juga ditawarkan untuk bahagian kabin termasuk ginger beige, espresso brown, saddle brown dan porselin. GLE turut menampilskan sistem Dynamic Selecr yang menawarkan empat mod pemanduan (Individual, Comfort, Slippery & Sport) dengan hanya memutar tombol kawalan yang terletak di konsol tengah. Malah varian GLE 400 pula ditawarkan satu lagi mod pemanduan tambahan iaitu Offroad. Elemen standard yang turut ditawarkan bagi kedua-dua varian termasuklah lampu utama Intelligent LED, Bantuan Tambahan Lampu Tinggi Adaptif dan penutup ruang kompakmen Easy-Pack. Malah GLE 250d turut didatangkan sengan suspensi keluli Kawalan Ketegaran sebagai standard. Manakala GLE 400 pula ditampilkan dengan suspensi Sistem Redaman Adaptif. Bagi kit keselamatannya, GLE 250 d didatangkan dengan Collision Prevention Assist Plus dan Lane Tracking Package (Bantuan Titik Buta, Bantuan Kekal Laluan). Manakala GLE 400 pula didatangkan dengan pek Bantuan Pemanduan Tambahan termasuk Bantuan Stering, BAS PLUS dengan Bantuan Lintasan Trafik, Brek Pra-Keselematan Pengesan Penjalan Kaki, Amaran Impak Belakang, Bantuan Titik Buta Aktif dan Bantuan Kekal Laluan Aktif. Bagi model import sepenuhnya (CBU) ini, varian Mercedes-Benz ini ditawarkan pada harga RM486,888 untuk GLE 250 d 4Matic dan RM568,888 bagi GLE 400 4Matic, kedua-duanya adalah harga atas jalan tanpa insurans. Ia turut didatangkan dengan waranti selama empat tahun tanpa had perbatuan daripada MBM. GALERI: Mercedes-Benz GLE 400 4Matic
Volkswagen Sri Hartamas dilancarkan
Pusat 3S Volkswagen Sri Hartamas telah dilancarkan petang tadi oleh Volkswagen Malaysia dan FA Wagen Sdn. Bhd. Memiliki keluasan lebih 30,670 kaki persegi melibatkan tiga tingkat, Volkswagen Sri Hartamas bersedia untuk memenuhi semua keperluan pemilik kenderaan Volkswagen daripada jualan sehinggalah aspek selepas jualan yang merangkumi servis umum & pantas, diagnostik dan pembaikan utama. Pusat servis ini mempunyai lapan ruang penyelenggaraan bersama sepasukan 15 orang juruteknik berpengalaman dan bertauliah. Mereka mampu mendiagnos apa jua isu dengan efisien, pantas serta menawarkan servis berkualiti kepada pelanggan. FA Wagen Sdn. Bhd. telah melabur sebanyak RM5 juta untuk lokasi, bangunan, kemudahan serta ruang penyelenggaraan. Di samping peralatan dan kelengkapan diagnostik yang diluluskan oleh Volkswagen. Pengarah Urusan Volkswagen Group Malaysia, Armin Keller berkata, “Kerjasama kami dengan FA Wagen bermula pada tahun 2007 dan sejak itu telah mencapai banyak kejayaan. Pelaburan ke atas infrastruktur merupakan salah satu usaha kami untuk menambah baik perkhidmatan dan pengalaman pemilikan secara keseluruhannya. Volkswagen Malaysia akan terus fokus untuk meningkatkan pengalaman pemilikan para pelanggan.” Pengarah Urusan FA Wagen Sdn. Bhd., Cheng Seng Fook berkata, “FA Wagen berbangga untuk memperkenalkan pusat servis 3S terkini kami kepada anda. Kami mengakui bahawa para pelanggan adalah keutamaan kami. Maka, kami lihat wujud keperluan sebuah pusat servis Volkswagen di Sri Hartamas. Kami telah melabur sebanyak RM5 juta ke atas cawangan ini untuk meningkatkan lagi jenama Volkswagen.” Volkswagen Sri Hartamas beroperasi dari Isnin hingga Ahad, termasuk cuti umum untuk bilik pamerannya mulai jam 8.30am hingga 6pm. Manakala bahagian selepas jualan beroperasi dari Isnin hingga Jumaat mulai jam 8.30 pagi hingga 5.45 petang. Hari Sabtu pula, ia beroperasi dari jam 8:30 pagi hingga 12:30 tengahari.
Puspakom tawar 25 peringkat pemeriksaan kenderaan persendirian sukarela secara percuma sempena CNY
Sempena dengan Tahun Baru Cina (CNY) tidak lama lagi, Puspakom akan menawarkan perkhidmatan Pemeriksaan Kenderaan Sukarela (Voluntary Vehicle Inspection-VVI) Percuma mulai 17 sehingga 29 Januari 2016. Ia meliputi 25 peringkat pemeriksaan untuk semua pemilik kenderaan persendirian. Pemilik kenderaan boleh menghantar kenderaan masing-masing untuk diperiksa di semua cawangan PUSPAKOM di seluruh negara kecuali di cawangan Shah Alam, Mak Mandin dan Kota Bharu. Pemeriksaan VVI yang merangkumi peringkat seperti Ujian Pengeluaran Asap, Gelincir Sisi, Bahagian Atas dan Bawah kenderaan, Brek dan Suspensi dapat memberi pencerahan kepada pelanggan mengenai bahagian-bahagian kenderaan yang berkemungkinan rosak dan memerlukan perhatian. Laporan melalui pemeriksaan VVI ini dapat memudahkan pelanggan membuat penyelenggaraan dan pembaikan selanjutnya terhadap kenderaan mereka. Kempen VVI secara percuma ini adalah sebahagian daripada inisiatif dan tanggungjawab korporat PUSPAKOM dalam meningkatkan tahap kesedaran keselamatan kenderaan di kalangan orang ramai, terutamanya mengenai kepentingan menjalankan pemeriksaan kenderaan secara berkala. Inisiatif ini juga adalah seiring dengan seruan kerajaan dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya yang tinggi pada musim perayaan. Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Mohammed Shukor Ismail berkata, “Kami mengalu-alukan kedatangan pelanggan ke pusat pemeriksaan kami untuk menjalani VVI secara percuma. Pelanggan boleh terus mengunjungi cawangan kami tanpa perlu menunggu dan membuat temujanji. Melakukan pemeriksaan dan penyelenggaraan terhadap kenderaan adalah sama penting. Ini boleh menjamin keselamatan kenderaan dan orang tersayang anda.” Pelanggan boleh menjalani VVI secara percuma dari jam 8.00 pagi sehingga 5.00 petang setiap hari (mengikut waktu operasi setiap cawangan). Untuk maklumat lanjut, para pelanggan boleh menghubungi talian bebas tol PUSPAKOM 1-800-88-6927 atau layari laman sesawang PUSPAKOM di www.puspakom.com.my.
Pusat 3S Nissan Mertzyu Auto dibuka di Kota Kinabalu
Mertzyu Auto Sdn Bhd, pengedar sah Edaran Tan Chong Motors Sdn Bhd (ETCM) telah melancarkan secara rasmi Pusat 3S pengedar pertamanya di Kota Kinabalu, Sabah pada hari ini. Pembukaan ini mencatat sejarah sebagai pusat 3S ‘hibrid’ Nissan yang pertama seumpamanya. Ia mewakili kerjasama pertama di antara Tan Chong dengan pengedarnya sebagai pusat jualan, servis dan alat ganti yang beroperasi sepenuhnya. Metzyu Auto menjalankan operasi jualan bagi kereta Nissan sementara Tan Chong Ekspres Auto Service (TCEAS) menjalankan operasi Selepas Jualan untuk servis dan alat ganti. Memiliki keluasan penuh 40,000 kaki persegi, bilik pameran ini mampu mempamerkan sehingga enam buah kereta pada satu-satu masa. Terdapat lima ruang servis di Pusat Servis ini yang mampu menyelenggara sehingga 30 buah kenderaan pada operasi penuh. Pengarah Urusan Mertzyu Auto Sdn. Bhd., Oi Thiam Seng berkata, “Dengan pelaburan sekitar RM1.5 juta, ia merupakan pusat sehenti yang menawarkan kemudahan buat para pelanggan untuk memandu uji rangkaian model Nissan, melakukan servis dan mendapatkan alat ganti dengan semuanya di bawah satu bumbung.” Pusat 3S Nissan Mertzyu Auto mengadaptasi standard identiti Global Retail Visual Nissan demi menawarkan perkhidmatan 3S sepenuhnya, mengekalkan perhubungan pelanggan yang berkualiti. Antara kemudahan tambahan yang ditawarkan termasuklah tempat cuci kereta, perkhidmatan merias, pembelian dan memperbaharui insurans, petak penghantaran dengan penghawa dingin dalaman, sebuah lounge dan tempat minum bersama ketersambungan WiFi demi keselesaan pelanggan. Berucap pada majlis pelancaran tersebut, Pengurus Besar Kanan ETCM, Christopher Tan menjelaskan bahawa Kumpulan Tan Chong telah mengembangkan rangkaiannya dengan agresif di kawasan Malaysia Timur sejak dua tahun lalu. “Pasaran Malaysia Timur amat penting buat ETCM. Kami kini mempunyai 14 buah cawangan dan pengedaran di Malaysia Timur dengan tiga pusat 3S di Sarawak dan empat 3S di Sabah. Pusat 3S Nissan Mertzyu Auto nyata mengukuhkan lagi komitmen kami untuk memenuhi keperluan pelanggan menerusi penawaran barisan model Nissan yang mantap dan menarik,” katanya. Mertzyu Auto merupakan sebahagian daripada rangkaian 20 pengedar Nissan yang mantap di seluruh negara. Penambahan pengedar telah dirancang untuk tahun 2016. Waktu operasi untuk bilik pameran Mertzyu Auto Nissan adalah dari 8.00 pagi – 9.00 malam setiap hari Isnin hingga Sabtu, dan 9.00 pagi – 5.00 malam setiap hari Ahad dan Cuti Umum. Pusat Servis TCEAS pula dibuka dari 8.30 pagi – 5.00 malam setiap hari Isnin hingga Sabtu.
Mercedes-Benz GLC 250 4Matic dilancarkan – RM329k
Sebuah lagi SUV baharu dari Mercedes-Benz telah pun dibawa masuk ke pasaran Malaysia yang pastinya mampu menambat hati golongan kelas atasan. Mercedes-Benz GLC 250 4Matic telah pun dilancarkan semalam di KLPAC, dengan tag harga RM328,888 (bersama GST dan tanpa insurans). Tampil dengan falsafah reka bentuk yang lebih sensual dan memiliki kemodenan estetika pada sudut padangan klask yang lasak, GLC 250 4Matic turut mempunyai sedikit sentuhan gaya model seniornya, G-Class, tetapi lebih berciri moden. Daripada sudut pandangan hadapan, karakteristiknya juga terserlah dengan gril radiator tiga-dimensi bersama satu ram berkembar serta menempatkan logo jenama ini pada garisan rekaan baharu. Malah padanan lampu hadapan LED bersama Sistem Pencahayaan Pintar turut memberikan pandangan yang cukup mantap buat SUV ini. Bampar hadapan dengan ‘underguard’ bersepadu turut didatangkan dengan ciri tambahan bagi versi off-road dengan satu sudut tuju yang lebih besar serta ditambah dengan versi AMG yang bergaya. Bagi profil sisinya pula, ia kelihatan umpama model coupe namun masih mengekalkan imej yang elegan. Garisan sisinya lebih landai dan mantap. Pada bahagian belakangnya pula, terserlah imej penuh maskular dengan garisan kontur yang berorientasi melintang dan padanan lampu belakang LED. Ia juga ditampilkan dengan spoiler belakang bagi memberikan imbasan penuh sporty. Menjengah bahagian kabinnya, rekaan penuh elegan merajai segenap ruang. Malah rekaannya juga telah dipertingkatkan dengan gaya yang lebih moden dan mewah. Padanan material berkualiti tinggi yang memberikan ilham gaya mewah turut dapat dilihat menerusi kekemasan kayuan pada papan pemuka serta pilihan kulit nappa. Bumbung matahari yang boleh dibuka turut menjelmakan imej elegan dan serba mewah itu. Rekaan utama pastinya lebih tertumpu pada bahagian papan pemuka dan konsol tengah. Elemen lain yang turut ditampilkan termasuklah sistem hiburan Audio 20 CD, skrin paparan bersaiz tujuh-inci, sistem navigasi Garmin Map Pilot, sistem Burmester Surround Sound dengan 13 speaker dan kamera belakang 360-darjah. Walau pun kelihatan agak kecil daripada pandangan luaran, namun ruang kabin dan tempat penyimpanan barang di bahagian belakang amat memuaskan. Tempat duduk belakang yang boleh dilipat secara 40/20/40 dengan menawarkan ruang kargo yang lebih luas iaitu mencecah 1,600 liter iaitu lebih 500 liter dalam keadaan normal. Pintu kargo juga boleh dibuka secara automatik dengan sistem ‘HANDS FREE ACCESS’. Bagi aspek keselamatan, SUV ini turut dilengkapi dengan Collision Prevention Assist Plus, Crosswind Assist, Attention Assist dan Active Parking Assistant sebagai standard. GLC 250 4Matic ini dipadankan dengan enjin 2.0-liter dengan hamburan kuasa 211 hp pada 5,500 rpm dan puncak tork 350 Nm antara 1,200 hingga 4,000 rpm. Ia turut dipadankan dengan transmisi automatik 9G-Tronic sembilan-kelajuan. Padanan enjin dan transmisi ini membolehkan SUV ini dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 7.3 saat serta mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 250 km/j. Manakala penggunaan bahan apinya tercatat sekitar 6.5 hingga 7.1 liter bagi setiap 100 km (menurut ujian European NEDC). Terdapat lima mod permanduan bagi Dynamic Select iaitu Eco, Comfort, Sport, Sport+ dan Individual dengan tombol kawalannya terletak pada konsol tengah. Manakala Pakej Kejuruteraan Off-Road juga ditampilkan termasuk fungsi Aturan Kelajuan Menurun Bukit, off-road, dan laluan licin. Mercedes-Benz GLC. Unter der Kofferraumabdeckung finden sich weiterer Stauraum und Ablagefächer.
Benelli TnT25 bakal berada di Malaysia – RM12,990
Benelli Keeway Motorcycles Sdn Bhd (BKM) pemasang dan pengedar motosikal jenama Benelli dan Keeway di Malaysia akan melancarkan sebuah model baharu pertengahan bulan Januari ini. Benelli TnT25 merupakan keluarga terbaharu dalam rangkaian model Benelli di Malaysia, akan mula berada di pasaran tempatan selewat-lewatnya sebelum penghujung Januari ini di semua rangkaian pengedar yang bertauliah. Beberapa buah negara termasuk Itali, India, Thailand dan Indonesia telah pun mula memasarkan model ini sejak November lalu. Kemasukannya ke Malaysia adalah bagi memenuhi permintaan pengguna yang mahu menaik taraf kelas motosikal dari cub ke naked sport. Pengurus Kanan Pembangunan Perniagaan, Komunikasi dan Hubungan Luar BKM, Wan Najib Wan Daud berkata, Benelli TnT25 adalah model naked sport terbaharu dari keluarga Benelli di mana sebelum ini pasaran tempatan telah pun diperkenalkan dengan model TnT300, Tnt600 dan TnT899 dan TreK 1190. “Kemasukan model baru ini adalah untuk memberi pilihan kepada pengguna sedia ada atau yang baru selain memberi kemudahan untuk tidak perlu menaik taraf kelas lesen B2 kepada B,” katanya. Wan Najib menambah, BKM ada menerima cadangan dari pengguna agar memperkenalkan model di bawah 300cc bagi memberi kemudahan kepada pengguna yang tidak mahu menaik taraf kelas lesen dan percaya model Benelli TnT25 adalah yang terbaik untuk golongan ini. Benelli TnT25 menggunakan enjin silinder tunggal selain beberapa perubahan kecil dilakukan terhadap model baru ini seperti penggunaan bahan api yang ekonomi, sistem gantungan teleskopik terbalik 41mm dan sistem pembrekan dengan cakera tunggal 280 mm. “Pengenalan model ini adalah untuk memberi pilihan kepada pengguna selain mengukuhkan kedudukan jenama Benelli di pasaran tempatan namun jika ia berjaya memberi impak yang besar kepada pasaran ia merupakan bonus kepada BKM,” katanya lagi. Benelli TnT25 akan dijual pada harga RM12,990 (tidak termasuk GST) dan didatangkan di dalam dua warna pilihan iaitu merah dan hijau. Model tersebut didatangkan dalam tempoh jaminan selama setahun atau 10,000 kilometer (yang mana datang dahulu) dan tempoh jaminan boleh dilanjutkan lagi untuk tiga bulan dengan syarat pemilik harus mendaftar pembelian melalui laman web BKM iaitu www.benelli.keeway.my
Petron Blaze 100 Euro 4M dilancarkan di Malaysia
Petron Malaysia telah melancarkan bahan api baharu Petrol Blaze 100 Euro 4M bagi pasaran tempatan. Majlis pelancarannya telah di Stesen Petron Batu Tiga, Shah Alam, pagi tadi yang disempurnakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin. Petrol Blaze 100 ini dijual pada harga RM2.80 per liter, iaitu sedikit lebih mahal berbanding V-Power Racing yang dijual oleh Shell. Malah ia juga 45 sen lebih mahal berbanding RON 97, yang kini berharga RM2.25 per liter. Blaze 100 Euro 4M dirumuskan dengan Tri-Activ, sebuah formula mempunyai tiga aksi yang memberikan kuasa, perlindungan enjin dan kilometer lebih baik. Bahan api berprestasi tinggi ini menawarkan tindak balas enjin sangat baik serta kuasa pecutan optimum. Ia turut menawarkan pembersihan enjin luar biasa untuk mengekalkan kecekapan enjin dan penjimatan bahan api lebih baik. Menurut Ketua Jabatan Dagangan Runcitnya, Faridah Ali, pelancaran Petron Blaze 100 Euro 4M adalah sebahagian daripada janji syarikatnya kepada pengguna untuk memperkenalkan bahan api dan perkhidmatan yang inovatif. Disebabkan faktor pengagihan yang terhad bagi tangki simpanan bahan api yang menawarkan Petron Blaze 100, gred bahan api baharu ini akan menggantikan Petron Blaze 97 yang sedia ada di stesen-stesen yang dipilih. Beliau juga menyatakan bahawa syarikat itu merancang untuk meningkatkan bilangan stesen yang menawarkan RON 100 bahan api bergantung kepada permintaan pengguna. Dengan pelancaran Petron Blaze 100, pemilik kenderaan jentera berprestasi tinggi (kereta dan motosikal berkuasa tinggi, termasuk model spesifikasi seperti Honda Civic Type R, Toyota 86 dan sebagainya), kini mempunyai pilihan untuk mendapatkan bahan api yang lebih bersesuaian.
Honda Wave Dash FI dilancarkan – dari RM5,299
Boon Siew Honda telah melancarkan model terbaharu, Honda Wave Dash FI, yang lebih berkuasa dan lebih selamat serta memiliki penjimatan bahan api yang lebih cekap. Dengan slogan ‘Racing Absolute’, Wave Dash FI baharu ini turut menawarkan prestasi yang lebih menarik dan lebih sporty. Ia ditawarkan dengan dua pilihan varian iaitu Wave Dash S (brek cakera tunggal) dan Wave Dash R (brek dwi cakera). Malah Boon Siew Honda turut berikan pilihan model Wave Dash Repsol Edition dengan pelekat badan Repsol tetapi memiliki persamaan sifat dengan Wave Dash R. Wave Dash FI dipadankan dengan enjin berkapasiti 109cc penyejuk udara, empat-lejang, OCH yang mampu memberikan kuasa maksimum sehingga 8.38hp pada 7,500 rpm dan puncak tork pula pada 8.42Nm pada 6,000 rpm. Enjin ini turut dipadankan dengan transmisi automatik empar plat jenis basah dengan empat-kelajuan. Wave Dash FI ini turut dilengkapi dengan teknologi PGM-FI yang berfungsi bagi pembakaran bahan api yang lebih baik dan cekap tanpa mengorbankan kuasa pecutan motosikal. Ia memberikan prestasi lebih memberangsangkan, sekali gus memiliki kualiti tunggangan yang lebih baik serta lebih mesra alam sekitar. Tangki bahan api juga telah dipertingkatkan iaitu 4.0-liter dan ia dapat membantu penunggang mencapai jarak perjalanan yang lebih jauh. Bagi imej yang ditampilkan, ia ternyata lebih rugged dan sporty. Penambahan lampu isyarat yang bergaya dan pemantul cahaya di bahagian belakang serta posisi lampu tengah pada motosikal ini. Penambahan ciri ini turut meningkatkan lagi keselamatan penunggang dan pembonceng terutamanya pada waktu malam atau keadaan gelap. Malah model ini juga dilengkapi dengan plat pelindung haba bersadur krom baharu untuk tahap keselamatan yang lebih tinggi. Siri Wave Dash R dan S ini didatangkan dengan pilihan warna Merah Lincah, Biru Vital Metalik, Hitam Magelanik Mutiara dan Repsol Jingga Berkilau. Harga (tidak termasuk GST) yang ditawarkan pula ialah RM5,299 bagi Wave Dash S, RM5,549 (Dash R) dan RM5,699 (Dash R Edisi Repsol).
Shell Helix tawar Angpau Bertuah sempena CNY
Pada setiap musim perayaan utama di Malaysia, pengguna kenderaan dinasihati untuk menservis kenderaan mereka sebelum memulakan perjalanan. Ini termasuklah menukar minyak enjin supaya pergerakan enjin kenderaan berjalan lebih lancar. Bagi yang memilih minyak enjin Shell Helix, sempena dengan musim perayaan Tahun Baru Cina (CNY) kali ini, jenama ini bakal memberikan anda ganjaran bagi mereka yang bertuah. Mulai sekarang hingga 29 Februari 2016, setiap pembelian minyak enjin kereta penumpang pek empat-liter Shell Helix Ultra, Shell Helix HX 7 atau pek empat-liter/tiga-liter Shell Helix HX5 akan menikmati ganjaran serta-merta dalam bentuk Angpau Bertuah mengandungi baucar tunai atau baucar bahan api percuma. Terdapat dua cara untuk mendapatkan Angpau Bertuah ini. Pertama sekali, bagi pembelian di bengkel Shell Helix untuk menerima Angpau Bertuah yang mengandungi baucar tunai bernilai RM30 dan pelanggan berpeluang untuk memenangi RM888. Selain itu, pelanggan juga boleh membeli pek empat-liter produk Shell Helix di stesen Shell di seluruh negara untuk menerima Angpau Bertuah mengandungi baucar bahan api percuma bernilai sehingga RM20. “Kami mahu memberi ganjaran kepada pemilik kereta kerana menggunakan minyak enjin Shell Helix, terutamanya semasa musim perayaan. Teknologi terkini dalam minyak enjin kami memastikan pembersihan lebih baik, perlindungan lebih unggul serta prestasi dan penjimatan minyak lebih tinggi supaya anda boleh menikmati kebebasan dan keyakinan penuh di jalan raya,” kata Leslie Ng, Pengurus Besar Minyak Pelincir Shell – Malaysia dan Singapura.
Isuzu Malaysia tawar rebat tunai sehingga RM12,888 bagi tempahan D-Max atau MU-X sempena CNY
Sempena dengan sambutan Tahun Baru Cina (CNY) tidak lama lagi, Isuzu Malaysia menawarkan bonus rebat tunai sehingga RM12,888 dengan setiap tempahan D-Max atau MU-X. Dua tahun lalu, varian terbaru D-Max iaitu D-Max V-Cross diperkenalkan. Ia menampilkan tiga varian iaitu D-Max V-Cross 3.0 manual, D-Max V-Cross 3.0 automatik dan varian tertinggi iaitu V-Cross Safari. Ia dipacukan denngan enjin lebih berkuasa iaitu 3.0 liter yang mampu menghamburkan sehingga 177 PS pada 3,600 rpm dan puncak tork 380 Nm pada 1,800 hingga 2,800 rpm. Ia dijual pada harga RM101,343.90 (V-Cross 3.0 MT), RM107,459.90 (V-Cross 3.0 AT) dan RM118,485.90 bagi V-Cross 3.0 Safari. Manakala Jun lalu pula, Isuzu Malaysia telah melancarkan model MU-X yang hadir dengan dua varian iaitu 4×2 dan 4×4. Ia dipacu oleh enjin diesel commonrail 2.5 liter 4JK1-TCX empat-silinder dengan kuasa mencecah 136 PS dan tork 320Nm pada rpm serendah 1,800rpm. Bagi varian MU-X 2.5L 4×2, ia berharga RM147,543.40 dan untuk MU-X 2.5L 4×4 pula ialah RM160,210.40. Ia merupakan harga atas jalan berserta GST dan tanpa insurans. Setiap pembelian model ini turut didatangkan dengan waranti selama lima tahun/100,000 km (yang mana tiba terlebih dahulu). Untuk maklumat lanjut mengenai promosi CNY atau kenderaan Isuzu, sila layari laman web www.isuzu.net.my/home atau hubungi talian 1-300-88-1133.
Perodua Axia jadi pilihan pasukan peronda PDRM
Perodua telah menyerahkan empat buah Perodua Axia kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu majlis Penyerahan Kunci Kenderaan Pasukan Perodua Axia yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman baru-baru ini. Majlis penyerahan tersebut telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn. Bhd., Dr. Zahari Husin dengan menyerahkan replika kunci Perodua Axia kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri, Khalid Abu Bakar. “Kami berharap dengan sumbangan ini, ia adalah sebagai menyatakan dedikasi kami dengan adanya “kenderaan peronda komuniti” terhadap pegawai polis yang menjalankan tugas mereka,” ujar Presiden dan CEO Perodua Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh. Tujuan penyerahan kenderaan ini adalah untuk kegunaan PDRM bagi penugasan rondaan di komuniti penempatan dan kawasan perumahan. Dua buah kenderaan tersebut akan ditempatkan di Balai Polis Brickfield dan Taman Tun Dr. Ismail (T.T.D.I) manakala dua buah lagi adalah bagi kegunaan AMANITA di IPK Kuala Lumpur dan Selangor. Setakat ini, PDRM telah menggunakan lebih 670 unit kenderaan Perodua sebagai kenderaan rasmi sejak tahun 1995.
Suzuki S-Cross versi facelift muncul dalam sesi pembentangan para pengedar di Perancis
Kami telah menerima beberapa foto Suzuki S-Cross versi facelift, yang dikatakan telah dipertontonkan menerusi sesi pembentangan para pengedarnya di Perancis baru-baru ini. Versi facelift bagi generasi kedua SUV ini kelihatannya mempunyai beberapa perubahan gaya. Bahagian hadapannya paling ketara dengan perubahan yang lebih diperkemaskini termasuk penampilan bampar baharu, gril hadapan trapezoidal yang lebih besar serta rekaan lampu utama baharu. Malah S-Cross facelift ini juga dikatakan memiliki jarak kelegaan tanah yang lebih tinggi. Malah bahagian kabinnya juga menerima perubahan termasuk pada papan pemukanya. Malah barisan enjin Boosterjet baharu dijangka turut dipadankan termasuk pilihan 1.0L dan 1.4L petrol dan 1.6L diesel. Ia bakal digabungkan dengan transmisi automatik enam-kelajuan bagi kesemua unit. Namun ada ura-ura mengatakan enjin 1.4L dan 1.6L juga akan dipadankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan, sementara unit 1.0L pula dengan manual lima-kelajuan. Suzuki kini tidak lagi dipasarkan di Malaysia selepas Proton-Suzuki menandatangani perjanjian kerjasama pada tahun lalu. S-Cross yang dipasarkan di negara ini yang dilancarkan pada akhir 2014 lalu dijual pada harga atas jalan RM129,888, dijanakan oleh enjin 1.6 liter M16A empat-silinder dengan kuasa 117 hp dan tork 156 Nm. Ia dipadankan dengan transmisi CVT serta didatangkna dengan konfigurasi pacuan roda-hadapan. GALERI: Suzuki S-Cross di Malaysia
Volkswagen mungkin terpaksa jual Ducati, Scania dan MAN untuk tampung kos kerugian akibat Dieselgate
Skandal Dieselgate sememangnya menggemparkan industri automotif seglobal, malah bukan setakat menjejaskan reputasi dan kredibiliti Volkswagen (VW), malahan turut menyebabkan kerugian besar pada syarikat terbabit. Menurut The Detroit Bureau, Volkswagen telah mengumumkan sedang mempertimbangkan kemungkinan besar terpaksa menjual kepentingannya dalam Scania, dan MAN. Mereka menjelaskan, “Kami sedang mempertimbangkan pelbagai jalan penyelesaian termasuk menarik diri dari pasaran saham dan menjual kepentingan dalam beberapa buah syarikat utama.” Walau bagaimana pun, sebarang keputusan muktamad masih belum diambil namun menegaskan ‘kos yang amat besar’ sangat-sangat diperlukan untuk menampung sejumlah kerugian akibat skandal ini. Menurut analisis Citi, VW memerlukan sejumlah $13.5 bilion, namun anggaran jumlah keseluruhan yang diperlukan adalah sekitar $55 bilion. Buat setakat ini, VW telah membelanjakan lebih $7 bilion untuk menampung kos bagi skandal ini dan turut menerima pinjaman tambahan berjumlah $20 bilion dari bank Eropah. Malah jika kos yang diperlukan masih tidak mencukupi, ada ura-ura mengatakan kemungkinan besar VW turut terpaksa menjual kepentingannya dalam Ducati.
Mitsubishi bakal pasang Mirage dan Attrage di Filipina
Mitsubishi Motors Corporation (MMC) telah mengumumkan bakal mengambil bahagian dalam Program Strategi Penambahbaikan Automotif Komprehensif (CARS) di Filipina. Ia merupakan inisiatif daripada kerajaan negara terbabit untuk menambah baik industri automotif, dan menurut Mitsubishi, bagi mengembangkan operasi pengeluaran di Filipina, ia akan memasukkan model Mirage hatchback dan Attrage sedan (atau lebih dikenali sebagai Mirage G4 di sana) dalam program terbabit menjelang tahun 2017. Penambahan dua model terbabit dalam produksi pemasangan tempatan, Mitsubishi akan menyuntik dana sebanyak 4.3 bilion peso (RM372 juta) di kilang Santa Rosa bagi membina prasarana baharu. Malah pelaburan tersebut juga membolehkan kilang terbabit meningkatkan lagi kapasiti pengeluaran mereka. “Mitsubishi Motors telah membina produksi dan perniagaan jualan di Filipina lebih 50 tahun. Filipina merupakan salah satu daripada pasaran paling penting bagi kami. Malah kami berbesar hati untuk menyumbang sesuatu yang cukup bermakna buat industri automotif Filipina dengan membangunkan fasa baharu ini,” ujar Osamu Masuko, pengerusi dan CEO MMC. Mitsubishi Motors Philippines Corporation (MMPC) telah memulakan operasi pemasangan di kilang pengeluaran baharu di Santa Rosa sejak Januari 2015. Terletak 45 km dari Manila, kilang ini mampu memproduksikan sehingga 50,000 unit setahun, berbanding kilang di Cainta yang menghasilkan pengeluaran sebanyak 30,000 unit setahun, sejak tahun 1964.
Honda Australia umum panggilan semula bagi isu beg udara Takata – Jazz, CR-V, Insight dan City terlibat
Honda Australia telah mengumumkan panggilan semula (recalled) ekoran masalah beg udara Takata. Setakat ini, sebanyak 21,083 unit kenderaan di Australia yang terlibat. Ia melibatkan Honda Jazz (2012-2014), Jazz Hybrid (2012-2013), CR-V (2011), Insight (2012-2013) dan City (2012). Walau bagaimana pun, untuk pengetahuan, tidak semua kenderaan yang disenaraikan ini terlibat dan ia masih dikenalpasti. Bagi kenderaan yang disenaraikan, untuk kepastian, para pemiliknya diminta melayari laman web Honda Australia untuk mengetahui adakah kenderaan mereka terlibat dalam kempen ini. Sekiranya terlibat, mereka dikehendaki menghantar segera kenderaan masing-masing ke pusat servis yang dilantik untuk menukar beg udara terbabit. Buat masa ini, kenderaan Honda di Malaysia masih belum disahihkan turut terlibat mahu pun tidak. Nantikan perkembangan selanjutnya dari paultan.org.
Honda HR-V RS diperkenalkan di Jepun
Jika anda mempunyai Honda HR-V dan inginkan kelainan pada gayanya, ini mungkin boleh dijadikan idea buat anda. Honda Japan telah pun memperkenalkan varian RS bagi Honda Vezel (nama yang digunakan bagi pasaran domestik). Dengan gaya yang lebih ranggi, ia bakal menyertai varian Style Edition yang telah pun menjengah pasaran berkenaan, selain model standard. Malah Honda Japan juga mengesahkan akan memperkenalkan varian Honda Vezel Hybrid RS selain Honda Vezel RS. Bagi varian RS ini, ia ditampilkan dengan spoiler lips, skirt sisi, rim yang lebih bergaya bersaiz 18-inci, lampu kabus hadapan LED dan bahagian kabinnya pula dihiasi dengan kekemasan serba hitam. Walau bagaimana pun, tiada perubahan daripada sudut mekanikalnya. Penjana kuasa hibrid masih kekal dengan 1.5 liter SOHC i-VTEC empat-silinder (132 PS/156 Nm) dengan gabungan motor elektrik i-DCD (30 PS/160 Nm), bersama kuasa yang disalurkan menerusi transmisi CVT tujuh-kelajuan. Manakala versi tanpa hibrid juga sama tanpa motor elektrik sebagai penjana kuasa. Buat masa ini, harga bagi Honda Vezel RS ini masih belum diumumkan, tetapi dijangka ia bakal mula dipasarkan di Jepun pada hujung bulan ini. Sebarang perkembangan terkini akan dilaporkan dari semasa ke semasa.
Audi bakal pamerkan model baharu Q Mac ini
Audi telah menyebarkan gambar pengenalan pertama bagi model baharu Q, dijadualkan di Geneva bulan hadapan. Gambar yang disebarkan menerusi laman Facebook rasmi Audi ini memaparkan model SUV Q3, Q5 dan Q7 yang diparkir di garaj dengan ada satu petak parkir kosong yang tertulis “soon”. Ia seakan memberikan gambaran bahawa Audi bakal memperkenalkan model baharu Q bagi melengkapkan barisan Q sedia ada. Buat masa ini, tiada sebarang klu tetapi pemerhati industri automotif global ada yang berpendapat kemungkinan besar ia akan menggunakan Q2 memandangkan Audi sudahpun mendaftarkan nama tersebut. Malah Audi juga pernah mengumumkan Q2 bakal dipasarkan pada suku kedua tahun 2016, jadi kemungkinan besar model versi produksi akan dipamerkan di Geneva bulan hadapan. Jika benar ia Q2, ia menggunakan platform MQB tetapi sedikit pendek dan dipacukan oleh pacuan roda-hadapan tetapi turut ditawarkan dengan sistem AWD. Apa saja perkembangannya, kena tunggu di Geneva bulan hadapan.
Polis cadang naikkan kadar saman trafik untuk membendung kemalangan – statistik kian meningkat
Melihat kenaikan kadar kemalangan jalan raya termasuk yang menyebabkan kematian semakin meningkat, pihak polis bercadang untuk menaikkan kadar saman. Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata cadangan tersebut diharap dapat menghalang para pemandu daripada melanggar undang-undang terutamanya yang gemar memandu laju. “Ia juga mampu mencegah pemanduan yang berbahaya di lebuh raya, terutamanya menjelang musim perayaan kerana kadar kematian akibat kemalangan dilihat agak tinggi ketika ‘Op Selamat 8/2016’ dijalankan sempena Tahun Baru Cina,” ujar Khalid dalam laporan yang disiarkan oleh The Sun. Khalid turut meluahkan kekesalannya apabila ada sesetengah pengguna jalan raya yang ingkar mematuhi undang-undang ini kerana berpendapat kadar kompaun sebanyak RM300 tidak memberikan apa-apa makna buat mereka. “Kami mungkin akan meningkatkan kompaun tetapi kadar tersebut perlu dibincangkan kemudian,” katanya lagi. Menurut Khalid, Op Selamat sempena Tahun Baru Cina pada tahun lalu mencatatkan peningkatan sebanyak 18.8% jumlah kemalangan dengan sebanyak 17,632 kes direkodkan berbanding 14,836 kes pada tahun sebelumnya. Manakala kadar kematian akibat kemalangan pula meningkat sebanyak 22.4% iaitu sebanyak 186 kes berbanding 152 kes pada tahun 2014. “Sesiapa yang melanggar undang-undang perlu berhadapan dengan kompaun yang maksimum. Sudah tiba masanya untuk kita bersikap tegas terhadap semua pengguna jalan raya. Tiada lagi advokasi di jalan raya dari kami,” tegas Khalid. Beliau turut berkata Ops Selamat akan berakhir pada 16 Feb ini.
Ferrari GTC4 Lusso pengganti FF – kuasa 680 hp
Maranello telah pun mengumumkan Ferrari FF tidak akan disambung, sebaliknya bakal digantikan oleh GTC4 Lusso dengan ledakan kuasa yang lebih hebat. Kalau nak diikutkan, GTC4 Lusso ini sebenarnya model facelift bagi FF tetapi telah diterapkan rekaan yang lebih evolusi dengan perubahan kosmetik yang sedikit berbeza, serta namanya turut diubah. Rekaannya juga banyak perubahan termasuk bahagian bampar hadapan yang direka semula dengan pengambilan udara terbina dalam, bersama corong udara belakang, spoiler yang terpasang di bumbung dan lampu belakang yang diperkemaskinikan. Malah Ferrari turut menampilkan peresap belakang dan berkata perubahan pada bahagian badannya mampu membantu meningkatkan lagi aerodinamik yang lebih efisien. Menjengah bahagian kabinnya, GTC4 Lusso menampilkan sistem hiburan terkini dengan skrin paparan 10.25-inci dan juga roda stereng yang lebih kecil untuk menempatkan beg udara yang lebih kompak. Malah butang kawalan baharu turut melengkapi elemennya. Paling menguja, GTC4 Lusso ini dijanakan oleh enjin 6.2-liter aspirasi-natural V12 yang diangkat dari model FF tetapi dipertingkatkan lagi kuasanya menjadi 680 hp dan tork 697 Nm (berbanding 651 hp/683 Nm pada FF). Jentera ini juga mampu mencapai kelajuan dari 0-100 km/j dalam hanya 3.4 saat, namun kelajuan maksimumnya masih kekal pada 335 km/h. Selain itu, GTC4 Lusso turut menampilkan Slip Side Control yang bekerjasama dengan peredam dan kawalan perbezaan elektronik. Menurut Ferrari, teknologi ini membolehkan jentera ini memiliki pengendalian yang lebih bertenaga dengan kuasa tork tambahan termasuk ketika dipandu pada “pemukaan jalan yang dilitupi salji, basah atau kurang cengkaman”. Ferrari GTC4 Lusso ini dijangkakan bakal didedahkan pada umum pada Mac ini di Geneva dan kebarangkalian harganya juga lebih mahal berbenading FF kerana menampilkan elemen yang diperkemaskinikan dan dinaiktaraf.
Yamaha 135LC 2016 sah berharga RM7,068
Hong Leong Yamaha, selaku pengedar rasmi Yamaha bagi pasaran tempatan, telah mengesahkan model Yamaha 135LC 2016 akan dijual pada harga RM7,068 termasuk GST. Ia dijadualkan bakal dilancarkan pada Mac ini. Yamaha 135LC 2016 ini ditawarkan dengan tiga warna baharu iaitu merah, putih dan biru, bersama skim warna putih dan rim dengan warna kontras merah. Ia masih mengekalkan enjin yang sama seperti model terdahulu iaitu 134 cc penyejuk-cecair silinder tunggal yang memberikan kuasa sehingga 12 hp pada 8,500 rpm. Manakala tork puncaknya pula ialah 11.8 Nm pada 5,500 rpm. Terdapat beberapa perubahan pada model facelift ini termasuklah lampu ‘pilot’ LED, lampu belakang yang diberi rekaan semula yang disambung pada lampu brek belakang dan juga chin visor baharu. Model 135LC versi 2015 ialah RM6,318 menjadikan harga bagi model facelift naik sebanyak RM747.
Kerajaan bakal tentukan nasib Uber – SPAD
Masih belum ada jalan penyelesaian berhubung dengan Uber biar pun ia telah diperluaskan perkhidmatannya. Namun, menurut Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar, kini hanya menantikan keputusan dari kerajaan berhubung dengan status Uber ini. Beliau turut berkata, kenderaan yang menawarkan perkhidmatan pengangkutan awam perlulah memohon lesen berkaitan, sambil menambah Uber juga tidak terlepas daripada proses ini walau pun perkhidmatan tersebut makin berkembang dan popular di kalangan pengangkutan awam pilihan orang ramai. “Kami telah pun membuat beberapa perbincangan dengan Kementerian Pengangkutan dan Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia berhubung isu ini. Sebenarnya ia tidak menjadi masalah jika Uber mendapat lesen ini, tetapi sehingga kini tidak dipatuhi,” ujarnya. Tambahnya lagi, pihak kerajaan perlu meminda undang-undang berkaitan apabila satu keputusan dibuat mengenai perkhidmatan tersebut. “Walau bagaimana pun, kami mahu berikan yang terbagi bagi pengangkutan awam,” ujarnya.
Grand Saga beri diskaun 10% pada 8 Feb ini
Taliworks Corporation Berhad (TCB), syarikat pegangan Grand Saga Sdn Bhd (Grand Saga), yang kini memegang konsesi Lebuhraya Cheras-Kajang, telah mengumumkan pemberian diskaun sebanyak 10% bagi pengguna Kelas 1 Lebuhraya Cheras-Kajang (Grand Saga) pada 8 Februari ini sempena sambutan Tahun Baru Cina (CNY). Diskaun itu berkuat kuasa mulai 12.01 tengah malam hingga 11.59 malam pada 8 Februari ini. Dalam masa yang sama, Grand Saga juga akan mengedarkan 1,000 kad Touch ‘n Go, yang biasanya berharga RM10, dengan nilai sedia ada sebanyak RM4. Ia akan diedarkan secara percuma di lorong tunai plaza tol NNKSB bermula Jumaat ini (5 Februari) sehingga stok masih ada. Pengurus Besar Kanan Grand Saga, A.Rajasolan berkata ia adalah sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bertemakan ‘Berkhidmat untuk Rakyat, Membantu Komuniti’ bagi menghargai penggunanya. Lebuh Raya Cheras-Kajang Highway ialah antara laluan empat lorong pertama di Malaysia, yang sepanjang 11.5 kilometer dari Persimpangan Connaught, Cheras ke Saujana Impian, Kajang.
DUKE tawar 10% diskaun sempena CNY
Sempena dengan sambutan Tahun Baru Cina (CNY) ini, Ekovest Berhad, syarikat konsesi bagi Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE) menawarkan diskaun sebanyak 10% kadar tol untuk pengguna lebuhraya terbabit. Diskaun kadar tol ini adalah untuk kenderaan Kelas 1 (kenderaan ringan dengan dua gandar dan tiga atau empat roda, kecuali teksi) yang ditawarkan pada 8 Februari 2016 sahaja, dari jam 12.01 pagi hingga 11.59 malam. Menurut Pengarah Urusan Ekovest Berhad, Datuk Seri Lim Keng Cheng, “Ini merupakan salah satu daripada pelbagai inisiatif di bawah Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat ini bagi meraikan sambutan CNY.”
Pengguna lebuhraya diminta berhati-hati agar tidak terlanggar objek ‘tidak diketahui’- PLUS
Pengguna jalan raya yang melalui persimpangan Ipoh dan Bidor dari Lebuhraya Utara-Selatan dinasihatkan agar berhati-hati dengan pelbagai jenis objek sering ditemui bersepah di permukaan jalan, termasuklah serpihan tayar, besi paip dan juga sejadah. Menurut Pengurus Seksyen C1 PLUS Asnor Ali, lebih dari 1,570 objek telah ditemui sepanjang 66 km di lebuh raya terbabit pada tahun lalu. Katanya, pihak PLUS sendiri tidak mengetahui sama ada objek tersebut sengaja dibuang di atas jalan atau pun terjatuh dari kenderaan, memetik laporan Malaymail. “Lebih separuh dari objek terbabit ialah serpihan tayar kenderaan berat. Malah kami juga menjumpai batu besar, batang paip, serpihan kayu dan peralatan rumah termasuk sejadah. Walau bagaimana pun, setakat ini kami tidak pernah menerima laporan ada pihak yang sengaja membuang objek-objek berkenaan di lebuhraya,” ujar Asnor.. Perkara ini dinyatakan susulan kemalangan yang melibatkan sebuah bas di lebuhraya berkenaan (arah selatan berhampiran tol Tapah) yang terlanggar tayar besar yang menyebabkan bas terbabit hilang kawalan dan terbakar. Akibat kemalangan ini, seramai lapan orang terbunuh dan 21 penumpang lain cedera. Sehubungan itu, Asnor memintar agar pengguna lebuh raya tidak membuang apa-apa objek di lebuh raya. Katanya, “Bagi semua pengguna lebuhraya terutamanya pemandu lori, dinasihatkan agar sama-sama bertanggungjawab. Sila periksa keadaan tayar kenderaan dan memastikan muatan yang dibawa diikat kemas sebelum memulakan perjalanan.”
Volkswagen buka Pusat Servis Teknikal ketiga, merupakan bilik pameran VW terbesar di Malaysia
Volkswagen Group Malaysia telah membuka Pusat Servis Teknikal ketiga iaitu Pusat 4S Volkswagen Puchong yang dikendalikan oleh Swire Motors. Pusat 4S ini mampu memenuhi keperluan para pemilik kenderaan Volkswagen dari segi jualan hinggalah selepas jualan yang melibatkan servis umum & pantas, pembaikan akibat kemalangan, badan dan cat, selain diagnostik dan pembaikan utama. Memiliki keluasan mencecah 92,000 kaki persegi, Pusat 4S Volkswagen Puchong kini mempunyai 24 ruang penyelenggaraan dan boleh dikembangkan menjadi 35 ruang pada masa depan. Ia juga memiliki bilik pameran Volkswagen paling besar yang boleh mempamerkan 15 buah kenderaan dan dua ruang penyerahan kereta. Swire Motors telah melabur sebanyak RM20 juta untuk membuka Pusat 4S Volkswagen Puchong. Malah turut merancang untuk menyediakan ruang servis ekspres pada masaakan datang. Selain servis serta pembaikan kecil dan besar, perkhidmatan lain yang turut disediakan termasuklah penjajaran tayar, servis pendingin hawa, pembaikan akibat kemalangan, badan dan cat serta aksesori. Ia juga memiliki pusat Badan & Cat bertauliah yang dilengkapi teknologi terkini seperti pistol udara tahan karat baharu untuk kerja-kerja mengecat dengan cat berasaskan air. Cat baharu yang telah ditambah baik itu memerlukan lapisan lebih nipis. Ia juga menawarkan hasil cat yang lebih bersih dan cantik berbanding cat berasaskan pelarut. Antara kemudahan lain yang disediakan ialah sebuah lounge dilengkapi empat buah komputer untuk kegunaan pelanggan, TV dengan pelbagai saluran Astro, sebuah kafe dan WIFI berkelajuan tinggi. Pengarah Urusan Volkswagen Group Malaysia, Armin Keller berkata, “Ini merupakan Pusat Teknikal Volkswagen yang ketiga dilancarkan dalam tempoh setahun dan menjadi bukti bahawa pelanggan sememangnya menjadi keutamaan kami. Tahun ini akan menjadi tahun di mana Volkswagen Malaysia memberi fokus untuk meningkatkan pengalaman pemilikan buat semua pelanggan kami.” Pusat 4S Volkswagen Puchong beroperasi mulai Isnin hingga Sabtu dari jam 8.30 pagi hingga 6 petang dan dari jam 9 pagi hingga 6 petang pada hari Ahad dan cuti umum untuk bilik pamerannya. Bagi perkhidmatan selepas jualan pula, ia beroperasi mulai Isnin hingga Sabtu dari jam 8 pagi hingga 8 malam.
Honda Thailand rai warisan Civic menerusi video – generasi ke-10 FC disebut bakal muncul tidak lama lagi
Sebagai pengenalan bagi Honda Civic generasi ke-10 di Thailand, Honda Thailand telah menerbitkan video warisan bagi meraikan model sebelum ini iaitu dari generasi ke-sembilan Civic, dengan menyebut generasi ke-10 bakal muncul tidak lama lagi. Ia mula didedahkan di Amerika Syarikat pada September 2015, model segmen-C ini telah dikesan diuji di Thailand pada November tahun lalu dan beberapa kelihatan di jalan-jalan di sekitar negara berkenaan. Thailand bukanlah satu-satunya hab di rantau ini yang bakal menerima FC baharu ini. Malah ia juga bakal dipasarkan di Indonesia tidak lama lagi, dengan enjin 1.5 liter pengecas turbo. Di Amerika Syarikat, Civic gen-10 ini dipadankan dengan enjin 1.5 liter turbo yang boleh menghamburkan kuasa sehingga 174 hp pada 5,500 rpm dan tork 220 Nm antara 1,800 hingga 5,000 rpm. Ia juga menawarkan pilihan enjin 2.0 liter aspirasi-natural empat-silinder, dengan kuasa 158 hp dan tork 187 Nm. Kedua-dua enjin ini dipadankan dengan transmisi CVT automatik yang telah dipertingkatkan. Menurut satu sumber dari Indonesia, enjin turbo akan menjadi pilihan di republik berkenaan, namun difahamkan bagi pasaran Malaysia pula, penjana kuasa tersebut tidak akan ditampilkan. Sebaliknya hanya ditawarkan dengan enjin 2.0 liter sahaja, tetapi ia masih tidak kesahihan mengenainya. Sementara itu, tonton dahulu video warisan Civic dari Honda Thailand ini. Mana satu pilihan Civic terdahulu yang anda minati? Kongsikan bersama kami. GALERI: Honda Civic (FC) generasi ke-10 2016 Honda Civic Sedan 2016 Honda Civic Sedan 2016 Honda Civic Sedan 2016 Honda Civic Sedan 2016 Honda Civic Sedan 2016 Honda Civic Sedan
Mercedes-Benz C200 Avantgarde diperkemaskinikan – roda lebih besar, kurang krom, ekzos berkembar
Mercedes-Benz C 200 Avantgarde telah pun diperkemaskinikan bagi model tahun 2016. Apa yang kami faham, perubahan yang dilakukan ini adalah model yang dikeluarkan dari November 2015. Perubahan terbesar yang dilakukan ialah padanan roda baharu dengan rim lima-jejari bersaiz 18-inci, dibaluti tayar 225/45R18 untuk hadapan dan 245/40R18 di belakang. Ia menggantikan roda bersaiz 17-inci yang dibaluti tayar 225/50R17 bagi model 2015. Selain itu, kekemasan krom pada bahagian bampar hadapan serta bahagian sisi pada bampar belakang juga telah dibuang. Bukan itu sahaja, cermin sisi juga telah disingkirkan kekemasan kromnya, hanya tinggal jaluran krom pada bahagian atas indikator lampu isyarat. Pada bahagian belakang, corong ekzos bersepadu pada bahagian bampar belakang kini berfungsi. Malah paip ekzosnya juga tampil baharu, setiap satunya terletak di kanan dan kiri pada bampar belakang. Sebelum ini, model C200 hanya mempunyai paip eksoz berkembar pada bahagian kiri bampar belakang dengan corong ekzos bersepadu palsu. Namun, kini corong ekzos tersebut telah berfungsi dan nampak lebih baik berbanding sekadar hiasan. Tiada perubahan pada bahagian dalaman namun elemen AGILITY SELECT kini telah ditukar namanya menjadi DYNAMIC SELECT, maka label pada butang kawalannya juga telah bertukar dari AGILITY ke DYNAMIC.
JPJ ketatkan kawalan terhadap kenderaan klon
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor telah mengumumkan bakal melaksanakan Op Tahun Baru Cina (TBC) selain terus mengesan dan menyita kenderaan klon di negeri berkeaan. Menurut laporan yang disiarkan oleh Bernama, sebanyak 98 kenderaan klon di negeri ini telah disita sepanjang tahun lepas hingga Januari tahun ini. Pengarahnya Mohd Rusdi Mohd Darus berkata kesemua kenderaan terbabit dikesan menerusi operasi kenderaan klon yang dilakukan anggota penguat kuasa JPJ di seluruh negeri. “Daripada 98 kenderaan, 17 disita di Johor Baharu, Kluang (48), Muar (17), Segamat (enam), Mersing (lima), Batu Pahat (tiga) manakala Pontian (dua),” katanya. Mohd Rusdi berkata kenderaan yang disyaki klon ditahan di lokasi yang dikenal pasti dan menjalani pemeriksaan sebelum dibawa balik ke pejabat JPJ berhampiran sekiranya nombor casis dan nombor pendaftarannya tidak sama sebagai mana dalam sistem mySikap JPJ. Katanya, JPJ Johor akan mempertingkat operasi terhadap kenderaan klon secara berterusan dan menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati sekiranya ditawarkan kenderaan pada harga murah kerana dikhuatiri ia adalah kenderaan klon. Beliau turut berkata Op Tahun Baru Cina ini akan menumpukan penguatkuasaan kepada pemandu bas ekspres dan penunggang motosikal kerana kumpulan itu merupakan penyumbang utama kepada kemalangan jalan raya. Manakala Op Khas Motosikal pada tarikh yang sudah dikenal pasti juga akan dilakukan dengan tumpuan terhadap penunggang dan pembonceng.
RM27.8 juta telah dibelanjakan untuk meningkatkan keselamatan jalan raya sepanjang tahun lalu
Sebanyak RM27.8 juta telah dibelanjakan untuk kerja pemulihan di 60 lokasi kemalangan di jalan-jalan utama dan lebuh raya pada tahun lalu. Menurut Menteri Kerja Rata Datuk Seri Fadillah Yusof, ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan bagi meningkatkan lagi tahap keselamatan dan mengurangkan risiko kemalangan, laporan Bernama. “Kerajaan amat mengambil berat soal ini dan berasa sedih sekiranya ada kemalangan terutamanya yang melibatkan kematian dan kehilangan anggota keluarga,” ujarnya. Fadillah turut berkata adalah tidak berbaloi memiliki jalan dan lebuhraya kelas pertama tetapi disebabkan sikap segelintir pengguna jalan raya yang tidak mematuhi peraturan menyebabkan kemalangan boleh berlaku. Dalam masa yang sama kementeriannya telah mengeluarkan arahan ‘henti kerja’ di lebuh raya utama selama 14 hari bermula hari ini. Ia sebagai langkah mengurangkan kesesakan di lebuh raya yang disebabkan kerja-kerja pembinaan dan penyelenggaraan. Namun ia dikecualikan bagi kerja-kerja kritikal. Dalam masa yang sama, larangan penggunaan kenderaan berat di jalan dan lebuh raya akan dikuatkuasakan Jabatan Pengangkutan Jalan selama empat hari. “Ia bermula iaitu pada 6 dan 7 Feb manakala 13 dan 14 Feb kerana dijangka berlaku peningkatan trafik pada hari tersebut. Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSLKM) akan mengambil inisiatif lain antaranya mengaktifkan laluan kontra di beberapa lokasi lebuh raya yang sesak dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia,” ujarnya.
Enjin GDI dan TGDI Proton – kos penyelenggaraan menjimatkan berbanding CamPro, jarak servis 20k km
Barisan enjin baharu Proton sudah tentu memiliki teknologi yang lebih baik berbanding apa yang ditawarkan oleh CamPro. Dengan pelbagai elemen yang lebih baik termasuk suntikan terus, pengecas turbo dan nisbah pemampatan yang lebih tinggi, adakah kos penyelenggarannya juga akan meningkat? Ketika sesi temubual eksklusif paultan.org dengan Ketua Pegawai Teknikal Proton Abdul Rashid Musa memberitahu, ia sepatutnya menjadi lebih rendah berbanding enjin CamPro. Beliau menyatakan bahawa enjin yang dijadualkan bakal berada di pasaran pada tahun 2018 ini akan mempunyai jarak servis yang lebih lama. “Jarak servisnya akan dua kali ganda berbanding enjin VVT yang digunakan pada masa ini dan saya percaya teknologi yang lebih matang ini yang membuatkan kitaran jangka hayat komponennya lebih panjang, agak boleh dipercayai,” katanya. Rashid berkata Proton menyasarkan untuk memanjangkan kitaran servis bagi enjin baharu GDI dari 10,000 km yang ditawarkan pada Preve, Suprima dan Iriz ke 20,000 km, per servis. “Tetapi semestinya anda perlu memeriksa bahagian lain di dalam enjin. Adakalanya orang akan keliru apabila teknologi tinggi digunakan. Maka tidak perlu untuk memeriksa minyak enjin. Walau bagaimana pun, perlu memantau keadaan enjin bergantung pada kegunaan anda.” “Kos servis akan menjadi lebih murah, semestinya. Saya rasa ia adalah antara kekuatan enjin ini,” tambahnya lagi. Apatah lagi dengan penggunaan timing chain akan membuatkan kos penyelenggaran lebih rendah. Rashid turut memberitahu enjin baharu ini bukan memfokuskan pada kereta sport termasuk yang prestasi tinggi. “Saya tidak menyebut prestasinya hebat, tetapi prestasinya bagus, rendah penyelenggaran. Prestasi tidak semestinya bermaksud kuasa kuda. Prestasi juga boleh dikaitkan dengan penjimatan bahan api, emisi dan perkara yang berkaitan,” katanya lagi. Beliau turut berkata, seperti keselamatan, ia memiliki tiga tahap penyelenggarannya iaitu pelindungan, pencegahan dan ramalan. Tahap pertama bagi penyelenggaran iaitu perlindungan, di mana ia dilindungi dari perkara yang merosakkan termasuk kepanasan melampau. Tahap kedua pula, pencegahan, ini termasuk rutin penyelenggaran bagi membantu mengelakkan enjin menjadi rosak. Manakala tahap ketiga pula, penyelenggaran ramalan atau kognitif, di mana Proton sedang mencari implementasinya bagi kenderaan akan datang. Rashid juga berkata enjin baharu ini boleh digunakan pada masa yang datang dengan mengamalkan kaedah Condition Based Maintenance (CBM). Dengan kaedah ini, kereta terbabit akan dianalisa bagi mengetahui keadaan sebenarnya bagi menukar minyak enjin, daripada bergantung pada kitaran tetap.
Proton seharusnya tidak dipersalahkan kerana harga kenderaan yang tinggi di negara ini – Tun M
Dalam entri terbaharu menerusi blognya, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa Proton tidak harus dipersalahkan dan dianggap sebagai penyebab harga kenderaan tinggi di negara ini. Sebelum ini pengerusi Proton itu turut menyeru rakyat Malaysia supaya memandu uji model Proton terlebih dahulu sebelum melemparkan kritikan. “Kami bukanlah punca harga kereta tinggi. Bantuan yang kami peroleh dari kerajaan juga diberikan kepada syarikat lain disebabkan oleh kandungan tempatan. Kita mempunyai hampir 90% kandungan tempatan, jadi kami kurang membayar duti eksais,” ujarnya. Kenyataan ini adalah bagi menjawab banyak andaian daripada pembeli yang percaya harga kenderaan yang tinggi di negara ini adalah disebabkan oleh pihak kerajaan terpaksa melindungi Proton. “Sejak ditubuhkan, Proton telah membayar lebih daripada RM24 bilion dalam cukai sementara menerima hanya RM14 bilion dalam potong duti eksais, bukan secara tunai. Ya, kami telah menerima sebahagian daripada geran penyelidikan dan pembangunan yang dijanjikan kepada industri,” jelasnya lagi. Sambungnya lagi, cukai ke atas kenderaan bermotor adalah punca kepada kenaikan harga. Tetapi kerajaan perlu mengenakan cukai pada para pengguna jalanraya kerana jalan dan infrastruktur lain yang disediakan oleh kerajaan. Malah bekas perdana menteri Malaysia ini juga mengingatkan bahawa apabila membeli kereta yang diimport, wang akan mengalir keluar dari negara ini untuk menjamin ekonomi negara terbabit, malah sebagai manfaat kepada pekerja mereka. “Apabila anda membeli kereta tempatan, wang akan kekal dalam negara, pekerja akan mendapat wang, pengedar dan ejen juga pekerja mereka akan menikmati perniagaan yang diusahakan dan ekonomi tempatan akan berkembang. Ribuan keluarga menikmati kehidupan yang selesa,” ujarnya. Tegasnya lagi, “Bayangkan sekiranya semua industri tempatan ditutup, amat sedikit yang mampu membeli barangan import. Kita akan kembali menjadi sebuah negara dunia ketiga yang gagal.” “Malaysia ialah sebuah negara perdagangan, kita mengeksport dan mengimport. Sekiranya import melebihi eksport, kita tidak akan berkembang dan makmur,” ujarnya yang turut berkata sebelum ini Proton telah banyak mengeksport kereta ke UK. Tetapi sejak pengenalan standard baru pengeluaran dan kecekapan bahan api, Proton tidak dapat menjual mana-mana kereta di UK. Walau bagaimana pun, Proton telah melakukan inisiatif yang diperlukan untuk membolehkannya menyambung eksport ke negara berkenaan. “Pembangunan enjin baru Proton oleh jurutera yang bekerjasama dengan RICARCDO di UK sekali lagi akan membolehkan kita memenuhi syarat-syarat di UK dan Eropah. Kami berharap untuk mengeksport semula kereta kami di negera-negara seperti ini,” ujar Pengerusi Proton ini.
Pandu uji kereta Proton dahulu sebelum nilai – Tun M
Berikutan pelbagai persepsi negatif yang timbul terhadap Proton waima di negara sendiri, Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M) menggesa semua rakyat Malaysia untuk memandu uji model terbaharu jenama itu sebelum mengkritik atau menilai. Ia diluahkan menerusi kenyataan daripada blognya berikutan kejayaan Proton dalam membangunkan barisan enjin terbaharu di UK. “Proton menyedari persepsi negatif terhadap jenama ini di pasaran Malaysia. Terutamanya yang memiliki kenderaan import. Tidak ada apa yang dapat memujuk mereka untuk membeli kereta Proton. Sudah tentu kebanggaan memiliki kereta buatan Malaysia tidak ada pada mereka,” terang Tun M. Pengerusi Proton itu turut berkata, persepsi tersebut kebanyakannya adalah berkenaan dengan model terdahulu Proton. Namun bagi model terkini, ia jauh sama sekali bezanya berbanding yang terdahulu. Malah ia tampil dengan pelbagai elemen yang kompetitif sama seperti yang ada pada kebanyakan model yang harganya jauh lebih mahal. “Banyak benda yang telah diberi penambah baikan dan turut menawarkan pelbagai elemen berbanding model kenderaan lain dalam kategori yang sama. Malah, dengan harga yang jauh lebih rendah, banyak elemen dalam kenderaan Proton biasanya hanya ada pada model jenama lain yang lebih mahal. Saya rasa semua pekerja kami termasuk barisan jurutera telah melakukan perkara yang terbaik biarpun tidak ada sokongan dari orang kita sendiri,” ujarnya. Katanya lagi, “Sesuatu perkara itu perlu diadili dengan mengalaminya sendiri. Untuk itu, ia terdapat pada kereta Proton yang baharu. Anda perlu memandu untuk mengetahui kecekapannya. Saya memandu Iriz dan Suprima S dan percayalah, saya sangat seronok memandu kereta ini. Terutamanya Iriz, yang mempunyai stereng berkuasa elektrik. Ia sangat ringan dan ia bertindak balas dengan cepat apabila melakukan pecutan. Saya fikir kereta Proton layak dipandu uji oleh seluruh rakyat Malaysia. Beritahu kami tentang pengalaman anda. Kritiklah kereta ini. Kami mahukan maklumbalas supaya kami boleh menambah baik kereta ini.” Jadi selepas membaca artikel ini, adakah anda memiliki hasrat untuk memandu uji mana-mana model terbaharu Proton? Kongsikan pendirian anda bersama kami.
Kuala Lumpur disasarkan bebas masalah jalan berlubang menjelang 2017 – DBKL
Menjelang tahun 2017, Kuala Lumpur dijangka akan bebas dari masalah jalan berlubang, menurut Timbalan Pengarah Kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Sabudin Mohd Salleh. Memetik laporan yang disiarkan oleh Bernama, DBKL menyedari banyak berlaku masalah jalan berlubang, mendap, tampalan tidak sempurna dan retak sehingga mengundang banyak masalah lain seperti menjadi punca kepada kemalangan. Antara faktor utama yang menyebabkan masalah jalan berlubang ialah pembangunan berterusan yang sentiasa berlaku di sekitar ibu kota serta diikuti kaedah penurapan jalan tidak sempurna yang dilakukan syarikat utiliti yang bertanggungjawab mengorek lubang. “Oleh yang demikian, DBKL sentiasa sedang memantau setiap projek pembangunan yang dilaksanakan di bandar raya ini demi memastikan setiap jalan, laluan pejalan kaki terutama yang terletak berhampiran tapak projek berada dalam keadaan baik dan selamat digunakan,” kata Sabudin. Katanya lagi, sekiranya keadaan adalah sebaliknya, DBKL akan menarik balik permit kelulusan pembangunan atau tidak meluluskan sijil kelayakan kepada pemaju. Adalah menjadi tanggungjawab pihak pemaju membaiki jalan yang rosak berhampiran tapak projek mereka yang disebabkan kekerapan lori bermuatan tinggi keluar-masuk di jalan utama sedia ada sehingga jalan menjadi berlekok, berlopak dan seterusnya berlubang. Selain itu Sabudin berkata mulai tahun ini, syarikat utiliti tidak lagi dibenarkan membuat kerja menurap jalan yang mereka korek, sebaliknya ia akan dilaksanakan sepenuhnya oleh pihak DBKL dengan kos turapan akan ditanggung syarikat utiliti berkenaan. “Pada tahun lalu, sejumlah 13,612 jalan berlubang di sekitar Kuala Lumpur telah diturap dan diperbaiki oleh pihak kami dan bagi bulan Januari tahun ini, sebanyak 1,153 jalan telah kami perbaiki,” katanya.
Dasar pelupusan kenderaan lama dilihat mampu tingkatkan industri automotif tempatan – Aishah
Setahun yang lalu, Institut Automotif Malaysia (MAI) telah mencadangkan program melupuskan kenderaan berusia. Di mana pemilik kereta berusia lebih 10 tahun boleh mendapatkan rebat sehingga RM5,000 untuk membeli kereta baharu menerusi satu skim yang dicadangkan. Namun sehingga kini, program yang diusulkan itu masih ditangguhkan. Semalam, Utusan Malaysia melaporkan dasar pelupusan kenderaan lama merupakan langkah yang boleh dilaksana bagi memastikan pertumbuhan industri automotif kepada negara termasuk dari segi pembayaran cukai kepada kerajaan. Memetik kenyataan Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad, menerusi industri automotif sahaja, secara kasarnya telah menyumbang bayaran cukai lebih RM6 bilion setahun kepada kerajaan dan oleh itu penting untuk mengiktiraf kepentingan sektor automotif. Katanya, selain dasar pelupusan kenderaan lama, antara pendekatan lain termasuklah insentif-insentif baharu untuk menggalakkan lagi pertumbuhan sektor kenderaan cekap tenaga (EEV). “Dasar pelupusan kenderaan lama ini adalah penting untuk mengalakkan pembelian kenderaan baharu, sekali gus mampu meningkatkan permintaan dalam industri ini. Dalam masa yang sama, pihak bank perlu lebih mudah memberikan pinjaman kenderaan bagi merancakkan perkembangan industi ini,” ujarnya. Walau pun telah mencatatkan TIV tertinggi dalam sejarah pada 2015 berjumlah 666,674 buah, namun bagi tahun ini, MAA telah mengunjurkan jumlah jualan industri (TIV) kenderaan yang lebih rendah tahun ini sebanyak 650,000 buah. Ini adalah didorong oleh kenaikan harga kereta oleh syarikat-syarikat penjual disebabkan kemerosotan nilai ringgit serta syarat pinjaman kereta yang ketat oleh bank, secara tidak langsung bakal menjejaskan jualan kenderaan sekali gus menjangka TIV tahun ini akan merosot. Katanya, pemain-pemain industri tempatan sedar tentang risiko yang bakal dihadapi tahun ini serta mempunyai pengalaman untuk menghadapi cabaran-cabaran yang ada.
Mazda CX-5 versi facelift didedahkan harga baharunya- model 2.5L kini RM10k lebih murah, 2.0L lebih mahal
Berikutan prebiu Mazda CX-5 facelift versi pemasangan tempatan (CKD) pada minggu lalu, beberapa pengedarnya telah pun mendedahkan harga kedua-dua varian SUV ini iaitu 2.0L dan 2.5L. Bukanlah suatu yang mengejutkan apabila CX-5 2.5L lebih murah berbanding model sebelum ini, tetapi model 2.0L pula naik harga, berikutan terdapat beberapa perubahan dalam senarai elemen bagi semua model ini. Bermula dengan varian 2.0L, kini pembeli boleh memilih dua varian 2WD (model 4WD tidak lagi ditawarkan) iaitu GL dan GLS. Dengan harga RM128,375.50 (solid) dan RM128,775.50 (metalik) bagi GL, manakala harga GLS pula ialah RM142,375.50 (solid) dan RM142,775.50 (metalik). Harga baharu ini menyaksikan peningkatan sebanyak RM2,610 berbanding yang ditawarkan oleh Bermaz untuk harga CX-5 2.0L 2WD terdahulu (GL dan High-Spec). Kedua-duanya adalah harga atas jalan tanpa insurans. Terdapat beberapa pertambahan elemen pada varian GL iaitu ia turut disertakan dengan sistem hiburan baharu MZD Connect yang disambungkan dengan sistem bunyi enam-speaker. Selain itu, GL turut menerima lampu utama halogen projektor automatik dan lampu kabus serta lampu belakang jenis mentol, rim aloi 17-inci, butang penghidup enjin dan tempat duduk fabrik dengan pelarasan manual. Bagi varian 2.0L GLS pula, ia dilengkapi dengan lampu utama LED adaptif dengan pelarasan sendiri bersama lampu nyalaan siang LED sebagai standard berserta pengesan parkir hadapan dan fungsi navigasi untuk MZD (RM1,270 tambahan untuk GL). Seperti varian terdahulu High-spec, tempat duduk balutan kulit turut jadi pilihan buat GLS, tetapi ia juga turut ditawarkan pada GL dengan kos tambahan RM2,900. CX-5 2.5L ini turut mengekalkan pilihan 2WD dan 4WD seperti model CBU terdahulu. Bagi harganya, varian 2WD ditawarkan pada RM154,766.70 (solid)/RM155,166.70 (metalik), manakala model 4WD pula RM166,266.70 (solid) dan RM166,666.70 (metalik). Ini menjadikan versi CKD ini RM10,000 lebih murah berbanding model CBU yang terdahulu. Walau pun ada penurunan harga, senarai elemennya tidak dipandang remeh. Ia memberikan rim aloi baharu bersaiz 19-inci (dengan tayar 225/55R19) bagi menggantikan rim 17-inci pada model CBU dulu. Diikuti dengan rekaan berkemasan perak pada model 2.5L CKD. Elemen tambahan lain termasuklah lampu utama LED (terdahulu hanya bi-xenon) dan lampu belakang LED, sistem hiburan MZD Connect (dengan navigasi standard pada kedua-dua varian). Walau bagaimana pun, bumbung matahari elektrik dan sistem bunyi Bose sembilan-speaker tidak dikekalkan bagi varian ini. kedua-dua enjin 2.0 liter (153 hp @ 6,000 rpm/200 Nm @ 4,000 rpm) dan 2.5 liter (184 hp @ 5,700 rpm/250 Nm @ 3,250 rpm) SkyActiv-G suntikan-terus empat-silinder masih dikekalkan. Turut dikekalkan ialah transmisi automatik SkyActiv-Drive enam-kelajuan, namun versi baharu ini memiliki mod Sport yang lebih responsif, pemilihan butang kawalan berbanding tuil gear. Begitu juga dengan aspek keselamatan yang tiada perubahan, kesemua model masih kekal dengan enam beg udara, ABS dan EBD, bantuan brek, Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC) dan kawalan cengkaman. Walau pun Bermaz masih belu mengumumkan harga baharu ini, namun ia dijangka akan berlaku sewaktu ia dilancarkan kelak. GALERI: Mazda CX-5 facelift
PANDU UJI: Lexus IS 200t F Sport – kapasiti enjin diturun gred ke 2.0L, harga lebih tinggi
Apabila diberi peluang untuk menguji kehebatan Lexus IS 200t dari varian F Sport, pastinya ia tidak akan dilepaskan. Apatah lagi ingin sangat mengetahui kelebihannya selepas menguji model terdahulu, IS 250, yang memiliki kapasiti enjin lebih besar iaitu 2.5 liter. Namun Lexus berkata, walau pun enjinnya diturunkan grednya ke 2.0 liter, namun prestasinya tidak mengecewakan. Masih ada kelebihan yang dipertonjolkan. Walau pun begitu, padanan enjin 2.0 liter ini telah bergabung tenaga dengan pengecas turbo baharu serta teknologi Dual VVT-iW (Variable Valve Timing-intelligent Wide), membantunya memberikan ledakan kuasa yang sukar terjangka. Mampu bertindak bila-bila masa dan pastinya mendorong kepuasan pada tahap maksimum. Penjana kuasa ini mampu meledakkan kuasa sehingga 241 hp pada 5,800 rpm dan tork 350 Nm antara 1,650 hingga 4,400 rpm. Malahan ia juga memiliki kelebihan enam kuasa kuda tambahan berbanding model NX dan RX 200t biar pun menggunakan enjin yang sama. Selain itu, IS 200t ini turut digandingkan dengan transmisi automatik Sports Direct Shift lapan-kelajuan yang membantu menambahkan lagi kemantapan prestasinya. Padanan penjana kuasa ini memberikan IS 200t ini mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 7.0 saat sebelum berkeupayaan mencapai kelajuan maksimum sehingga 230 km/j. Jika dibandingkan dengan jentera buatan Jerman, IS 200t bukanlah pesaing BMW 320i dan Mercedes-Benz C200 walau pun ada sedikit persamaan. Namun jika dibandingkan mengikut sudut kuasanya, di Malaysia, 200t ini mampu menyaingi BMW 330i M Sport (252 hp, 350 Nm, 5.8 saat) dan Mercedes-Benz C250 AMG Line (211 hp, 350 Nm, 6.6 saat). Selain C300 dengan kuasa 248 hp dan 370 Nm. Tidak dinafikan, mengendalikan IS 200t F Sport ini memang cukup selesa. Sehebat tag harganya iaitu RM384,900, ia memang tidak lokek mempersembahkan prestasi yang mengagumkan, tidak kiralah sama ada pemanduan di kawasan bandar, kampung mahu pun dipacu di lebuh raya. Ia umpama memiliki karakteristik yang tersendiri di dalam pemanduan mengikut keadaan jalan. Jika sekadar memandu di kawasan bandar, tanpa perlu menagih kerahan tenaganya, IS 200t F Sport bersikap lebih tenang dan tidak mendesak untuk tekanan pedal, meluncur mengikut keadaan. Meski pun terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, namun IS pantas memberikan respons yang diingini. Apabila keadaan mula lancar, ia tidak teragak-agak memuntahkan kuasanya. Ketika memacunya di lebuhraya, kekuasaan IS 200t F Sport lebih jelas terpancar. Kuasa turbonya pantas menyerlah walau pun tidak begitu memberikan tekanan pada pedal pendikit. Ia mampu meluncur lancar dan pantas dan efek turbonya memang tidak mengecewakan, membuatkan rasa terhadap enjin 2.0 liter ini seakan berkapasiti lebih besar. Penukaran gearnya juga pantas dan lancar, namun sedikit kelemahan terasa apabila jentera baru mula bergerak dan ketika daya pendikit mula menerima rentak. Ia agak kurang bertenaga untuk memberikan respons yang lebih sempurna, Tapi ini bukanlah isu yang besar kerana kotak gearnya seakan pantas menyembunyikan kelemahan ini. Bila kenderaan mula dipacu sedikit laju, penukaran gearnya bertukar rentak, lebih lancar. Namun jika jentera dipandu agak perlahan dan waktu itu mahu memotong kenderaan di hadapan, kelemahan ini juga sedikit terasa. Namun pengendalian yang cukup selesa turut mengetepikan soal kekurangan ini. Pengendaliannya memang mantap tetapi sedikit kelemahan dirasai pada suspensi adaptifnya, sedikit terasa olengan badan. Perkara yang sama dirasai sewaktu memandu uji model RX. Walau bagaimana pun kelemahan ini seakan mampu diatasi oleh roda sterengnya yang lebih jitu. Ketika memandu dalam kelajuan yang tinggi, stereng bertukar karakter menjadi berat sekali gus mampu mengawal kenderaan supaya lebih stabil. Karakternya bertukar jika memandu dalam keadaan yang perlahan dan sederhana kelajuannya dengan roda stereng terasa lebih ringan. Penulis sempat menuju ke Ijok dan seterusnya Kuala Selangor, melalui jalan lama dengan keadaan laluan banyak berselekoh dan permukaan yang kurang rata. Di sinilah karakter IS 200t F Sport ini kian teruji. Adakalanya pemanduan sedikit terencat apabila terpaksa mengekori barisan lori dan treler, hendak memotong agak membahaya pula kerana keadaan jalan yang banyak selekoh. Namun apabila ada ruang dan kesempatan untuk memotong, penulis lebih senang memilih mod Sport atau Sport + kerana ia lebih pantas dan padu. Selain itu, ia turut dilengkapi dengan dua mod lagi iaitu ECO dan Normal bagi sistem Pemilihan Mod Pemanduan. Seperti mana yang dikatakan pada perenggan atas, olengan badan sedikit dirasai sewaktu merentasi jalan banyak selekoh dan terasa kesan bumpy yang minimal jika melalui permukaan jalan yang beralun atau tidak rata. Tetapi jika dalam kelajuan yang sederhana, ia dapat mengurangkan rasa itu. Daripada segi ciri aerodinamiknya, IS 200t F Sport ini telah mencapai level tertinggi Cd iaitu hanya 0.25 Cd sekali gus meletakkan model ini dalam kelas yang tersendiri. Ia bukan sahaja mengurangkan daya seretan angin tetapi juga mampu memberikan penjimatan bahan api yang lebih efisien iaitu dianggarkan hanya 7.0-liter bagi setiap 100 km, kestabilan yang lebih mantap sewaktu jentera dipacu laju dan pengurangan bunyi bising dari luar daripada menyerap masuk ke dalam kabin. Sesekali kaki harus bermain dengan pedal brek, sistem brek IS 200t F Sport memang antara yang paling selesa. Malah ia mampu menyempurnakan pemanduan biar pun terpaksa membrek dalam keadaan mengejut. Difahamkan sistem brek bagi model ini telah direka semula dan dipertingkatkan. Di mana cakera breknya telah ditingkatkan ke 17-inci berbanding 16-inci pada model terdahulu, sekali gus memberikan lebihan kuasa berhenti yang lebih optimum malah lebih responsif. Bukan itu sahaja, kesemua varian IS ini turut dilengkapi dengan Front Performance Rod bagi menambahkan kestabilan dan pengendalian yang lebih mantap. Di samping itu, ia mampu memberikan kemantapan pada kawalan termasuk ketika melalui selekoh tajam. Malah penguasaan pemanduan yang lebih selesa cukup dirasai menambahkan keseronokan pengendaliannya. Selain itu, pastinya sistem keselamatan VSC menjadi faktor utama ia bertindak lebih baik. Kawalan kestabilannya mampu bertindak secara responsif. Untung juga apabila Lexus menyertakan barisan elemen keselamatan standard yang boleh dikatakan lengkap bagi IS ini. Selain VSC, ABS dan EBD, IS ini turut dilengkapi dengan Bantuan Brek, Kawalan Cengkaman, Bantuan Mula Mendaki, Paparan Titik Buta (elemen baharu) dan juga Kepekaan Lintasan Trafik Belakang, selain memiliki 10 beg udara (model terdahulu hanya 8 sahaja), kamera undur dan cagak ISOFIX. Mengenai imejnya, sebenarnya tidak banyak perbezaan dengan model yang terdahulu. Namun ini tidak bermakna IS baharu ini ditampilkan dengan imej ala kadar walau pun sifatnya masih menyamai model terdahulu. Padanan lampu utama HID (Xenon) dengan lampu kabus hadapan LED yang dipertingkatkan serta gril radiator menyerlahkan sifatnya yang garang dan serba mewah. Manakala garisan sisinya juga melahirkan profil yang lebih menyerlah. Rekaan rim aloinya yang dipertingkatkan dengan padanan tayar 225/40 R18 (hadapan) dan 225/38 R18 (belakang). Bahagian belakangnya pula lebih elegan tetapi tidak begitu sarat. Nampak sedikit ringkas tetapi masih bersesuaian dengan imej keseluruhannya. Gaya elegan, sofistikated dan mewah menjalari bahagian kabinnya. Bahagian papan pemukanya tidak begitu sarat dengan butang kawalan dan lampu analog yang terletak pada bahagian tengah papan pemuka menjadi trademark Lexus untuk mengekalkan sentuhan klasik dan mewah. Tombol mod pemanduan terletak pada konsol tengah bersama Remote Touch Interface iaitu kawalan skrin pelbagai-fungsi yang telah dipertingkatkan. Ia turut dilengkapi sistem kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, roda sterengnya juga dilengkapi dengan butang kawalan, penghawa dingin dua-zon, pedal penukar gear di belakang roda stereng, brek parkir kaki, skrin paparan EMV bersaiz tujuh-inci, dua terminal USB dan AUX, sistem navigasi dan sambungan Bluetooth dengan kit bebas tangan. Paling mengujakan bagi penulis ialah sistem audionya yang memang syok! Varian IS 200t F Sport ini dilengkapi dengan sistem audio Mark Levinson Premium Surround dengan 15-speaker bersama fungsi AM/FM, DVD, MP3 dan WMA. Sistem audio ini memang terbaik malah perjalanan panjang yang diiringi hiburan memang tidak membosankan. Dengan saiz ukuran 4,662 mm panjang, 1,810 mm lebar, 1,430 mm tinggi dan jarak roda 2,800 mm, ruang dalaman Lexus IS ini juga boleh dikatakan agak luas dan cukup selesa. Tempat duduk balutan kulit sepenuhnya dan tempat duduk pemandu turut memiliki 10 pelarasan secara elektronik dan memori. Malah ia juga memiliki ruang storan berkapasiti 480 liter dengan posisi tempat duduk belakang normal. Bagi semua varian IS, ia ditawarkan dengan lima pilihan warna iaitu Starlight Black GF, Sonic Titanium, Sonic Quartz (tidak ditawarkan bagi F Sport), Platinum Silver dan Red MC.CS, tetapi bagi F Sport, ada dua warna eksklusif iaitu White Nova GF dan Heat Blue CL. Setiap pembelian mana-mana model Lexus turut didatangkan dengan waranti selama tiga tahun atau 100,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu). Secara konklusi, dengan kapasiti enjin yang diturunkan (dengan alasan mampu memberikan penjimatan bahan api yang lebih efisien) tetapi harganya pula memang cukup tinggi, IS 200t F Sport harus mempergunakan jenamanya untuk menyaingi model pesaing lain. Biarpun prestasinya jarang mengecewakan dengan pengendalian yang mampu meledakkan adrenalin, jika terlihat pada tag harganya, perlu diseimbangi keputusan antara bersandarkan jenamanya atau pun prestasinya yang menjadi taruhan. Pilihan di tangan anda!
Jalan yang ditutup di Lebuhraya Dr Lim Chong EU dibuka sempena CNY mulai 5 hingga 9 Feb
Pihak Pengurusan Tapak Projek Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengeluarkan kenyataan, sempena sambutan Tahun Baru Cina ini, jalan antara persimpangan Lebuhraya Kampung Jawa dan Hilir Sungai Keluang 1 di Lebuhraya Dr Lim Chong Eu berhampiran Batu Maung yang kini ditutup akan dibuka sepenuhnya bermula 5 hingga 9 Februari. Bermula 10 hingga 14 Febuari pula, jalan berkenaan akan hanya ditutup pada 10 malam hingga 5 pagi. Mulai 15 Febuari dan seterusnya, jadual penutupan jalan itu adalah seperti biasa iaitu dari pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari serta 9 malam hingga 5 pagi. Pada masa ini jalan berkenaan ditutup setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari serta 9 malam hingga 5 pagi bagi menaik taraf Lebuhraya Bayan Lepas sejak Ogos tahun lalu.
Ferrari FF 2016 diprebiu sedikit dalam perbentangan tahunan – bakal diperkenalkan hujung bulan ini
Ferrari mengambil kesempatan untuk menayangkan sedikit imej model Ferrari FF versi facelift ketika sesi pembentangan tahunan bersama para pelabur. Imej tersebut diselitkan bersama slaid pembentangan bagi bagi salah satu isu yang diusulkan. Biar pun tiada sebarang pengumuman rasmi mengenainya, namun difahamkan imej terbabit adalah sama dengan yang bakal ditampilkan pada Ferrari FF 2016. Dijangka bakal dijanakan oleh enjin 6.3 liter V12 yang telah dipertingkatkan, ia mampu menghamburkan kuasa sehingga 690 hp. Enjin ini juga dikatakan bakal dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan dan sistem pacuan empat-rodanya juga telah dipertingkatkan. Selain itu, Ferrari FF 2016 juga ditampilkan dengan beberapa pembaharuan termasuk sistem hiburan baharu dan juga dilengkapi dengan beberapa komponen aerodinamik aktif. Ferrari FF 2016 dijangka bakal diperkenalkan pada penghujung bulan ini di Concorso d’Eleganza Villa d’Este.
JPJ memperketatkan proses pendaftaran kenderaan import di Langkawi dengan kerjasama Kastam
Mengulas mengenai langkah pengubahsuaian Bajet 2016 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 28 Jan lepas, Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Ismail Ahmad berkata proses pendaftaran kenderaan import di Langkawi kini diperketatkan menerusi sistem bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kastam Diraja Malaysia (KDM) yang dibangunkan Julai lepas. Menurutnya lagi, sistem itu membolehkan penyaluran maklumat secara langsung antara JPJ dan KDM mengenai permohonan mendaftarkan kenderaan yang diimport ke Langkawi. “Selama ini banyak penipuan untuk mengelakkan cukai berlaku kerana kami masih pakai kaedah manual. Sekarang ini tidak lagi kerana sistem komputer kami diintegrasikan dengan sistem kastam hingga isu penipuan cukai sukar dilakukan,” katanya. Dalam pengumuman pengubahsuaian Bajet 2016 baru-baru ini, Najib berkata langkah memperketatkan pengecualian cukai kenderaan import di pulau bebas cukai itu bertujuan meningkatkan jumlah dan kecekapan kutipan hasil kerajaan.
Prasarana sasar 1.5 juta penumpang sehari menjelang pertengahan 2016 – melibatkan LRT dan bas Rapid
Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menyasarkan jumlah penumpang perkhidmatannya sehari akan meningkat kepada 1.5 juta orang menjelang pertengahan tahun depan. Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Azmi Abdul Aziz, unjuran itu berdasarkan pembukaan laluan sambungan LRT jajaran Ampang dan LRT jajaran Kelana Jaya serta pembukaan laluan baharu Mass Rapid Transit (MRT), memetik laporan Bernama. “Projek sambungan jajaran LRT laluan Ampang dijadualkan dibuka pada 31 Mac depan, projek sambungan jajaran LRT laluan Kelana Jaya pada 30 Jun depan manakala laluan MRT Sungai Buloh ke Kajang pada Disember tahun ini,” katanya. Katanya lagi, buat masa ini bilangan penumpang Prasarana telah mencecah 1,001,800 orang sehari meliputi penumpang laluan LRT Kelana Jaya, laluan LRT Ampang, laluan Monorel dan perkhidmatan bas Rapid KL termasuk Bus Rapid Transit laluan Sunway, Rapid Penang dan Rapid Kuantan. Dalam masa yang sama, Prasarana akan mempertingkatkan kemudahan di semua 60 stesen miliknya supaya lebih mesra pengguna.
UMW Toyota rai CNY dengan promosi istimewa – rebat tunai RM4k bagi Vios, Hilux dan RM3k untuk Altis
Sempena dengan Tahun Baru Cina (CNY) yang diraikan bulan ini, UMW Toyota Motor menganjurkan promosi istimewa di kesemua bilik pameran Toyota di seluruh negara. Bagi yang membeli model baharu Vios, Corolla Altis atau Hilux dari sekarang sehingga 31 Mac 2016, bakal menerima rebat tunai dan aksesori tambahan secara percuma. Untuk yang membeli model Vios baharu, tawaran rebat tunai sehingga RM4,000 atau kadar faedah 1.8% bakal ditawarkan termasuk aksesori percuma bernilai sehingga RM6,600. Manakala pembeli Corolla Altis baharu pula berpeluang menerima rebat tunai sehingga RM3,000 dengan aksesori percuma bernilai sehingga RM7,200. Bagi Hilux pula, ditawarkan dengan rebat tunai sehingga RM3,000 dan aksesori percuma sehingga RM5,200. Tertakluk pada terma dan syarat. Bukan itu sahaja, ‘Pertandingan Beli & Menang’ turut dianjurkan sehingga 31 Mei 2016, di mana setiap pelanggan yang membeli model baharu Toyota sepanjang tempoh promosi, berpeluang memenangi model baharu Toyota Vios TRD Sportivo atau Toyota Corolla Altis 1.8G dengan rekaan sporty. Manakala bagi ‘Pertandingan Pandu Uji dan Menang’ bermula sekarang sehingga 31 Mei 2016 pula, sebanyak 200 pemenang bertuah yang memandu uji model Toyota berpeluang memenangi baucer membeli-belah bernilai RM500. Bagi yang menjual kenderaan milik sedia ada dan dinilai oleh Topmark, turut berpeluang menerima hadiah percuma (tertakluk pada terma dan syarat). Pada 20 dan 21 Februari 2016 ini, semua bilik pameran Toyota juga bakal menganjurkan Chinese New Year Showroom Weekender iaitu aktiviti pandu uji dan pelbagai lagi acara menarik bagi meraikan sambutan CNY. Untuk maklumat lanjut, sila kunjungi mana-mana bilik pameran Toyota berhampiran.
BMW M760i xDrive 2017 dengan ledakan kuasa 600 hp
Dijangka bakal melakukan penampilan perdana di Geneva Motor Show 2016 bulan hadapan, BMW M760i xDrive 2017 tampil dengan pakej penggayaan penuh aerodinamik termasuk bahagian hadapan yang nampak lebih agresif dan spoiler belakang yang membuatkan imejnya lebih garang. Model ini juga dilengkapi dengan sistem ekzos sport, kekemasan Cerium Grey dan rim aloi eksklusif 20-inci yang dibaluti tayar Michelin Pilot Super Sport. Rekaan dalamannya tidaklah begitu menonjol tetapi perekanya telah memberikan sentuhan istimewa termasuk roda stereng tiga-jejari, pedal keluli tahan karat dan plat ambang pintu iluminasi. Malah ia turut menampilkan konsol tengah yang unik dengan kekemasan hitam berkilat dan logo V12. M760i xDrive 2017 dijanakan oleh enjin 6.6-liter M Performance TwinPower Turbo V12 yang mampu menghamburkan kuasa hingga 600 hp dan puncak tork 800 Nm. Ia juga disambungkan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan dan sistem pacuan semua roda dengan tumpuan kuasa lebih pada roda belakang berbanding hadapan. Gabungan penjana kuasa ini membolehkan M760i xDrive 2017 dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 3.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum pada 250 km/j. Untuk mengekalkan kawalan pengendaliannya, barisan juruteranya telah menala semula suspensi udara dan sistem Active Comfort Drive dengan teknologi Road Preview. Sedan mewah ini juga mempunyai sistem Integral Active Steering supaya dapat memantapkan lagi pergerakannya. M760i xDrive ini bakal mula dipasarkan di Amerika Syarikat awal tahun hadapan dan harganya hanya akan diumumkan menjelang pelancarannya.
BMW i8 Protonic Red Edition bakal muncul di Geneva
Sementara menantikan detik debaran Geneva Motor Show 2016, BMW telah mengumumkan perancangan untuk menjadikan pertunjukan automotif antarabangsa itu sebagai pentas mempertontonkan model baharu i8 Protonic Red Edition. Walau pun belum bersedia mendedahkan perincian penuh dan menyebarkan banyak foto, namun BMW telah mengesahkan model ini ditampilkan dengan luaran unik Protonic Red termasuk sentuhan metalik Frozen Grey. Model ini juga bakal dilengkapi dengan rim aloi jejari-W 20-inci yang dicat dengan warna aluminium pekat dan Orbit Grey metalik. Keunikan gayanya turut diserlahkan menerusi rekaan dalaman dengan kehadiran jahitan kontras merah, kekemasan gentian karbon dan sulaman “i8” pada perehat kepala. Ia juga menampilkan plat ambang pintu “Protonic Red Edition”, pemegang pintu gentian karbon dan tali pinggang keledar berwarna kelabu. Ciri lain yang dipersembahkan termasuklah perincian seramik hitam pada pemilih gear dan karpet lantai istimewa dengan jahitan tepi kulit dan jahitan kontra merah. Seperti model standard, i8 Protonic Red Edition ini turut memilih penjana kuasa plug-in hybrid dengan gabungan enjin 1.5 liter TwinPower Turbo tiga-silinder, motor elektrik (131 hp) dan pek bateri lithium-ion. Gabungan itu mampu menghamburkan kuasa maksimum sehingga 362 hp dan puncak tork 570 Nm yang membolehkan i8 dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 4.2 saat sebelum mencecah kelajuan maksimum sehingga 249 km/j. BMW i8 Protonic Red Edition ini bakal memasuki produksi pada Julai dan ia hanya boleh didapati dalam tempoh masa yang terhad. BMW akan mewar-warkan perincian lanjut mengenainya kelak. BMW i8 Protonic Red Edition BMW i8 Protonic Red Edition
Honda Accord 2016 bakal diperkenalkan di Thailand
Untungnya Thailand kerana bakal menerima kemasukan Honda Accord 2016 pada 25 Februari ini. Honda Thailand telah pun menyebarkan video menerusi laman Youtube, menunjukkan beberapa sudut model facelift Accord terutamanya pembaharuan yang dibuat pada bahagian luarannya. Paling menjadi perhatian ialah lampu utama LED bersama lampu nyalaan siang, dengan bahagian hadapan yang diberi penambahbaikan. Malah ia juga dilengkapi dengan gril hadapan yang lebih mantap, lampu kabus dan lampu belakang baharu. Rekaan rimnya pula sedikit sama dengan model sedia ada Accord 2.4L. Namun, video tersebut tidak menunjukkan bahagian dalamannya, cuma pastinya terdapat perubahan dan penambahan elemen, termasuk sistem hiburan dan instrumen baharu. Malahan, Accord 2016 ini juga dikatakan telah dimantapkan prestasi pemanduannya dengan peredam baharu, sistem stereng berkuasa elektrik yang ditala semula dan menggunakan material alumnium pada bonet kereta. Untuk pilihan enjin, model bagi pasaran Amerika Utara ditampilkan dengan 2.4 liter Earth Dreams empat-silinder (185 hp) dan 3.5 liter V6 (278 hp), dengan padanan transmisi CVT atau manual enam-kelajuan, serta automatik enam-kelajuan. Bagi Accord 2016 versi Thailand pula, masih tiada kesahihan mengenai spesifikasinya. Malah Accord 2016 versi USA juga dipenuhi dengan pelbagai sistem keselamatan (Honda Sensing) termasuk Kawalan Kelajuan Adaptif (ACC), Sistem Brek Tebatan Pelanggaran (CMBS), Amaran Penukaran Laluan (LDW), dan Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW). Namun tidak dipastikan sama ada ia ada pada Accord 2016 versi Thailand mahu pun tidak.
SPYSHOT: Proton Perdana 2016 hampir mirip kabin Honda Accord – kekemasan kayuan, beige
Kali ini, foto spyshot yang kami terima dari pembaca Daniel Soon, bukan sahaja lebih jelas menampakkan susuk badan Proton Perdana 2016 ini, malah ‘membongkarkan’ bahagian kokpit terutama papan pemukanya. Ternyata bahagian kokpitnya hampir mirip dengan rekaan Honda Accord generasi sebelum ini. Ia menampilkan roda stereng tiga jejari dengan butang kawalan, bersama skrin paparan (mungkin bagi sistem audio bersama navigasi) dengan bentangan papan pemuka yang agak ringkas bersama warna hitam pekat. Bukan itu sahaja, padanan kekemasan kayuan turut jadi pilihan pada bahagian konsol tengah dan panel pintu. Warna kuning langsat (beige) turut menjadi pilihan bagi balutan kulit tempat duduk serta permukaan pintu. Malahan masih mengaplikasikan brek tangan seperti model yang lain serta mempunyai dua tempat letak cawan di bahagian konsol tengah. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, Perdana 2016 ini turut dilengkapi dengan lampu nyalaan siang (DRL) LED, lampu isyarat yang diletakkan pada sudut kluster lampu utama, serta lampu belakang LED. Perdana 2016 ini bakal diproduksikan di Kilang Pengeluaran Sederhana Proton di Shah Alam. Ia dijangka dilancarkan pada suku pertama tahun ini. Walau pun cuba ‘lari sedikit’ dari terus dibayangi imej Honda Accord, namun Perdana 2016 ini masih mengekalkan enjin Honda 2.0 liter i-VTEC (154 hp/189 Nm) dan 2.4 liter i-VTEC (177 hp/222 Nm) dengan transmisi automatik lima-kelajuan. Baru-baru ini, Proton turut mengesahkan model penambah baik Perdana ini dijangka diperkenalkan pada akhir 2017 di mana ia bakal menerima enjin baharu iaitu NE01 2.0 liter empat-silinder, berdasarkan model enjin Petronas E01 yang dibeli oleh pengeluar kereta nasional ini pada tahun 2012. GALERI: Pra-pengenalan Proton Perdana 2016 GALERI: Proton Perdana 2016 rendered
Kia Niro Hybrid 2017 diperkenalkan di Chicago
Kia turut mengambil kesempatan memperkenalkan Niro 2017 di Chicago Auto Show 2016 yang sedang berlangsung. Diletakkan di bawah segmen-B, SUV crossover ini digambarkan sebagai kenderaan hibrid tanpa kompromi, tampil dengan gril yang lebih langsung, spoiler belakang, rel bumbung, lapisan plastik pada badan, dan rim aloi 18-inci. Manakala bagi bahagian kabinnya, ia menampilkan roda stereng tiga-jejari, kekemasan putih berkilat dengan sentuhan metalik. Niro turut menampilkan butang penghidup enjin, kluster instrumen berteknologi tinggi, dan sistem hiburan UVO3 dengan paparan tujuh-inci, termasuk sambungan Android Auto dan Apple CarPlay. Kejuruteraan pembangunan Niro 2017 juga menumpukan pada pengurangan bunyi bising, getaran dan kekasaran (NVH) supaya boleh memberikan keselesaan sebaik mungkin. Sebahagian daripada inisiatifnya, Niro 2017 dilengkapi dengan lapisan kaca akustik, pemegang enjin yang direka khas dan aci pacu pelengkap (driveshaft) sama-panjang. Niro 2017 memilih penjana kuasa Kappa 1.6 liter GDI suntikan-terus bahan api dengan padanan motor elektrik berkuasa 43 hp, dengan bateri polimer lithium-ion 1.56 kWh yang terpasang di bawah tempat duduk belakang, untuk kuasa yang diperlukan ke motor daya tarikan. Enjin ini turut dipadankan dengan transmisi dual-klac enam-kelajuan yang menyalurkan kuasa ke roda hadapan, dengan sistem gabungan kuasa sehingga 148 PS dan 264 Nm. Sistem hibrid elektrik-petrol pada Niro ini juga sama seperti yang ada pada Hyundai Ioniq hybrid. Bagi memberikan penjimatan bahan api yang lebih optimum, Niro 2017 turut dilengkapi dengan Sistem Bantuan Pemanduan Eco, termasuklah Panduan Perlahan yang secara efektif akan memaklumkan pada pemandu bila kenderaan harus diperlahankan dan dibrek. Malah ia turut menampilkan sistem Kawalan Tenaga Ramalan dengan menggunakan sistem navigasi dan kawalan kelajuan untuk “perubahan topografi pada jalan dan menguruskan aliran tenaga, masa yang sesuai untuk menukar bateri dan masa yang terbaik untuk menggunakan storan tenaga bagi penjimatan yang optimum”.
Hyundai Santa Fe dan Santa Fe Sport 2017 – dipertingkatkan gaya dan teknologi
Hyundai telah pun memperkenalkan model facelift bagi Santa Fe yang membuat penampilan perdana di Chicago Auto Show 2016 yang sedang berlangsung. Ia tampil dengan rekaan yang lebih segar dan didatangkan lebih banyak teknologi terkini. Kedua-dua varian Santa Fe dan Santa Fe Sport 2017 ini telah diberikan suntikan yang lebih segar bagi menyerlahkan lagi penggayaannya termasuk padanan gril hadapan yang kelihatan lebih mantap, lampu nyalaan siang LED baharu, lampu utama dan lampu belakang yang diberi penambahbaikan, ekzos berkembar dan panel jumpelang (rocker) baharu dengan kekemasan perak. Hyundai turut menambah lebih banyak teknologi terutamanya bagi pilihan sistem hiburan dengan sambungan terkini termasuk menampilkan sistem audio dengan paparan LCD berwarna lima-inci, paparan skrin sesentuh tujuh-inci dengan Android Auto™ bagi Santa Fe Sport, sistem navigasi dengan skrin sesentuh lapan-inci bersama Android Auto™, audio premium Infinity®, QuantumLogic® Surround dan Teknologi Penyimpanan Muzik Clari-Fi™ serta Hyundai Blue Link® dan port USB untuk barisan ketiga (kedua-duanya standard untuk Santa Fe). Bukan itu sahaja, ia turut menampilkan tempat duduk penumpang dengan pelarasan ketinggian secara elektronik, pemegang cawan untuk barisan kedua (model terhad Santa Fe), kawalan kemasukan tanpa kunci, sistem telefon pintar dengan Bluetooth, butang kawalan audio pada roda stereng, kekemasan dalaman kayuan dan ruang konsol tengah yang direka semula. Malah turut memantapkan lagi sistem keselamatan yang lebih jitu termasuk Kawalan Kelajuan Pintar, Amaran Penukaran Lorong, Brek Kecemasan Automatik dengan Pengesan Pejalan Kaki dan set lampu adaptif dengan Bantuan Lampu Tinggi. Ia turut menampilkan kamera pandang belakang, dan cermin sisi dengan paparan titik buta. Elemen lain yang turut ditambah ialah pemilihan Mod Pemanduan dengan tiga pelarasan iaitu Sport, Eco dan Normal. Malah Hyundai turut menawarkan model Santa Fe dengan versi pacuan roda-hadapan dan semua-roda. Santa Fe 2017 ini dijanakan oleh enjin 2.4 liter dengan kuasa 185 hp dan 2.0 liter pengecas turbo (245 hp) bagi Santa Fe Sport, dengan Santa Fe tujuh-tempat duduk pula dipadankan dengan enjin 3.3 liter V6 (290 hp). Kesemua model digabungkan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan. Hyundai turut menawarkan pilihan baharu Blue Link bagi sambungan keselamatan dan diagnostik yang menampilkan Kawalan Menghidup Enjin dengan Kawalan Suhu, Pelindungan Kecurian Kenderaan dan Kawalan membuka/Mengunci Pintu. Harga yang ditawarkan bermula $25,350 (RM105,529) untuk model 2.4L FWD Sport dan $30,800 (RM128,217) bagi FWD Santa Fe SE. GALERI: Hyundai Santa Fe 2017 GALERI: Hyundai Santa Fe Sport 2017 2017 Santa Fe Sport
Johor negeri pertama guna ANPR di pintu masuk negara – bakal diperluaskan menjelang Jun ini
Johor akan menjadi negeri pertama yang menggunakan peranti pengimbas nombor plat kenderaan atau ‘Automated Numbers Plate Recognition’ (ANPR) untuk mengesan pemilik kenderaan yang memiliki waran tangkap dan saman trafik tertunggak. Menurut Ketua Polis Johor Bahru Selatan Assistant Komisioner Sulaiman Salleh, peranti tersebut akan di pasang di Tambak Johor pada minggu hadapan dan boleh mengesan pesalah trafik yang berhenti di pusat pemeriksaan tersebut. JBS (Johor Bahru Selatan) turut menerima tiga peranti, salah satunya dipasang secara tetap di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) bangunan Sultan Iskandar, menurut laporan The Star. “Manakala lagi dua peranti digunakan ketika melakukan operasi khas,” ujar Sulaiman. Pesalah trafik pertama yang ditangkap menerusi peranti ANPR adalah pemandu kereta yang sepatutnya sudah dilupuskan dengan plat pendaftaran palsu. Ia dikesan dalam operasi yang berlangsung semalam. ASP Sulaiman turut berkata, kamera pada peranti tersebut akan terus disambungkan ke tablet yang mengandungi pengkalan data pesalah trafik. Peranti tersebut akan memberi isyarat pada pegawai trafik yang bertugas sekiranya terdapat kenderaan yang dikesan menerusi pengkalan data terbabit. “Peranti ANPR akan digunakan untuk kenderaan pendaftaran tempatan atau pun luar, akan digunakan oleh polis daerah dan dipasang di semua pintu masuk negara menjelang awal Jun ini. Malah sistemnya akan disambungkan ke rekod Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), bagi memudahkan pihak berkuasa mengesan kenderaan yang dicuri atau pun kenderaan tidak berdaftar mahu pun individu yang dikehendaki polis,” tambahnya lagi. Dalam masa yang sama, ASP Sulaiman turut berkata pengeluaran saman trafik juga boleh dilakukan dengan menggunakan Sistem Bayaran Kompaun Dalam Talian (MCOPS). “Peranti MCOPS lebih kurang macam pencetak mini yang boleh digunakan di mana-mana secara lebih mudah dan mempunyai aplikasi mobiliti khas, pegawai yang bertugas boleh memasukkan data pesalah trafik bagi mengeluarkan saman secara serta-merta. Malah ia juga boleh mencetak gambar kenderaan terbabit sebagi bukti kesalahan trafik,” ujarnya lagi sambil menasihati pesalah trafik supaya menyelesaikan saman tertunggak secepat yang mungkin.
Kia Malaysia memperkenalkan Kia Cares sebagai pelan perlindungan komprehensif – bukan untuk komersil
Kia Malaysia telah memperkenalkan pelan pelindungan baharu untuk semua pemilik kenderaan Kia iaitu Kia Cares. Sama seperti RTI-GAP Insurance untuk kereta Nissan dan Peugeot Protect, Kia Cares ini dibuat bagi memberikan liputan yang lebih komprehensif bagi polisi insurans kenderaan. Secara umumnya, kenderaan yang rosak teruk akibat kemalangan, kebakaran, banjir, bencana alam atau dicuri, polisi insurans kenderaan biara hanya akan membayar mengikut nilai pasaran semasa kenderaan berkenaan, dan bukannya harga jualan sebenarnya. Namun Kia Cares mencipta liputan yang berbeza iaitu mengikut harga jualan dan juga jumlah yang diinsuranskan. Sebagai tambahan, pelan ini juga termasuk dengan pilihan kenderaan ganti termasuk jika terlibat dengan kemalangan yang mengakibatkan kenderaan tidak boleh diperbaiki lagi, dicuri atau bencana alam. Contohnya, jika anda membeli model baharu Kia Cerato 1.6 SX dengan harga RM101,888 (OTR dengan insurans), dengan jumlah yang diinsurans sebanyak RM97,000. Kemudian kereta tersebut dicuri tidak lama selepas anda baru sahaja mendapatnya. Pihak syarikat insurans bersetuju untuk membayar jumlah yang diinsuranskan iaitu RM97,000, dan ia boleh membantu bayaran balik pinjaman (RM101,888), dan memerlukan anda menggunakan duit sendiri sebanyak RM4,888. Dengan Kia Cares, ia akan membantu anda menyelesaikan bayaran selebihnya itu iaitu RM4,888, jadi anda tidak perlukan mengeluarkan duit poket sendiri. Malah Kia Malaysia juga berkata proses ini akan berlangsung dengan pantas dan tidak mengambil masa yang lama. Walau bagaimana pun, terdapat beberapa terma dan syarat yang ditetapkan bagi pelan perlindungan Kia Cares ini. Pertama, ia hanya boleh didapati bagi setiap pembelian model baharu Kia mulai 1 Januari 2016. Kedua, ia tidak melindung kenderaan yang digunakan untuk tujuan komersil. Terakhir, pelan ini tidak boleh dipindah milik.
Honda Civic hatchback prototaip akan dipertontonkan di Geneva – miliki gabungan rekaan sedan dan coupe
Honda telah merancang untuk mempertontonkan model prototaip Civic hatcback generasi akan datang di Geneva Motor Show bulan hadapan. Selepas memperkenalkan Civic dalam bentuk sedan dan coupe, Honda kini lebih bersedia untuk memperkenalkan Civic hatchback lima-pintu yang dijangka bakal menjengah pasaran Eropah mulai 2017 ini. Ia bakal dipasang di kilang Swindon, United Kingdom serta unit pemasangan di sana juga akan dieksport ke beberapa pasaran luar termasuk Amerika Syarikat. Menerusi foto yang tersebar ini, kelihatannya ia senada dengan konsep sedan dan coupe, malah boleh dikatakan gabungan antara dua bentuk kerangka itu serta ternyata ia nampak begitu sporty. Bahagian bamparnya lebih lebar dengan ekzos berkembar yang terpasang di bahagian tengah serta spoiler menambahkan lagi gayanya. Lampu belakang pula umpama berbentuk boomerang dan sangat berpadanan dengan hatchback ini. Ia bakal dijanakan oleh enjin 1.0 liter bersama pengecas turbo baharu tiga-silinder dengan kuasa yang dijangka sehingga 127 hp dan tork 200 Nm. Malah ia turut dipadankan dengan transmisi manual enam-kelajuan. Ia juga akan menyertai unit 1.5 liter pengecas turbo seperti Civic untuk pasaran Amerika Syarikat. Enjin yang lebih berkuasa ini dipadankan dengan transmisi CVT, tetapi model 2017 ini juga dikatakan bakal mempunyai pilihan kotak gear manual enam-kelajuan terutamanya bagi pasaran Eropah. Selain model prototaip Civic hatchback ini, Honda juga akan mempertontonkan Clarity Fuel Cell bersama model konsep Jazz Keenlight di Geneva bulan hadapan. Dalam masa yang sama, Honda turut mengesahkan model NSX bakal tiba di Eropah pada tahun ini. GALERI: Honda Civic coupe 2016 2016 Honda Civic Coupe 2016 Honda Civic Coupe GALERI: Honda Civic sedan 2016 2016 Honda Civic Sedan 2016 Honda Civic Sedan 2016 Honda Civic Sedan