title
stringlengths
26
159
content
stringlengths
414
63.9k
Toyota Rush 2016 diperkenalkan di Indonesia
Toyota Rush, yang menerima penambahbaikan di Indonesia pada Mac tahun lalu (April di Malaysia), kini menerima versi 2016 pula. Imej yang diperoleh dari laman web jualan di Indonesia, menunjukkan ia didatangkan dengan versi TRD Sportivo bagi SUV bajet. Menurut laporan tempatan, Toyota akan memperkenalkan Rush TRD Sportivo 7 dan versi tertinggi Rush TRD Sportivo Ultimo tiga barisan dari tujuh-tempat duduk, sementara Rush G pula masih diteruskan dengan dua barisan/lima-tempat duduk. TRD Sportivo terbaharu ini akan menerima jaluran merah di atas gril dan juga pelekat pada bahagian sisi serta penutup tayat simpanan. Manakala Ultimo dilihat turut dilengkapi dengan rim baharu yang lebih sporty. Malah ia juga didatangkan dengan set suspensi TRD Sportivo (penyerap hentak dan gegelung) yang lebih lembut dan lebih selesa berbanding suspensi standard. Mungkin ciri ini bertentangan dengan TRD Sportivo = sporty = teguh, jadi ini mungkin keunikan bagi pembeli di Indonesia. Perubahan ini dilakukan mungkin setelah Toyota Astra Motor melihat sambutan terhadap pengenalan Honda BR-V, SUV tujuh-tempat duduk berdasarkan Mobilio di Indonesia. Sejak 23 Januari, sebanyak 1,000 unit BR-V telah pun diserahkan kepada pemiliknya. GALERI: Toyota Rush facelift di Malaysia
Proton naikkan harga semua model – mulai 15 Feb ini
Proton telah mengumumkan kenaikan harga bagi kesemua modelnya mulai 15 Februari 2016 ini. Ia melibatkan kenaikan antara RM312 sehingga RM2,021 bergantung pada varian modelnya. Kenaikan harga ini tidak dapat dielakkan berikutan kejatuhan ringgit memandangkan kebanyakan bahan mentah dibeli dalam mata wang asing. Malah kelemahan ringgit turut memberikan kesan terhadap kos operasi dan keseluruhan sistem rantaian syarikat. Senarai penuh harga baharu akan dipaparkan di laman web Proton apabila ia bermula kelak. Bagi menyerap impak akibat kesan kejatuhan ringgit, sejak Ogos 2015 lalu, Proton telah melakukan pelbagai usaha termasuklah mengurangkan kos operasi dan rasionalisasi operasi yang diperlukan. Malah impak ini bukan setakat dirasai oleh Proton tetapi boleh dikatakan keseluruhan industri. Para pelanggan yang berhajat untuk membeli kenderaan baharu disarankan mengunjungi mana-mana bilik pameran Proton untuk mengambil peluang promosi sempena Tahun Baru Cina yang sedang dijalankan. Kadar faedah sebanyak 2.8% dikenakan untuk semua kereta Proton dan juga skim graduan dengan bayaran bulanan dari RM258 sebulan turut ditawarkan. Bukan itu sahaja, rebat tunai sehingga RM6,200 bagi model 2015 terpilih dan 30% bagi cenderahati juga ditawarkan. Promosi ini hanya sah sehingga 31 Mac ini.
LPT kawasan paling kerap kemalangan di Pahang
Polis Pahang telah mengenal pasti 30 kawasan yang sering berlaku kemalangan di negeri tersebut dengan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) mencatat jumlah kawasan paling tinggi. Sehubungan itu, Ketua Polis Pahang Datuk Seri Sharifuddin Abd Ghani berkata sempena perayaan Tahun Baru Cina ini, semua kawasan itu akan diberi tumpuan pada Op Selamat 8 yang bermula hari ini hingga 16 Februari depan, dalam usaha mengurangkan kemalangan melalui penguatkuasaan secara menyeluruh. “Objektif operasi adalah bagi memberi kesedaran dan menanam nilai murni kepada pengguna jalan raya supaya mengutamakan aspek keselamatan termasuk ketika meninggalkan rumah untuk pulang bercuti,” katanya. Menurutnya antara tumpuan utama penguat kuasa pada operasi kali ini ialah kesalahan berkaitan had laju, memotong di dua garisan berkembar dan melanggar lampu isyarat, dengan kesemua kesalahan itu akan dikenakan kompaun maksimum RM300 dan tidak boleh dikurangkan. Sharifuddin berkata statistik kemalangan dalam Op Selamat 4 (2014) dan Op Selamat 6 (2015) sempena Tahun Baru Cina lepas menunjukkan peningkatan kes kemalangan daripada 770 kes kepada 787 kes. Katanya kes kemalangan maut juga meningkat daripada 12 kes melibatkan 13 kematian pada Op Selamat 4 kepada 14 kes dengan 15 kematian pada Op Selamat 6. “Jumlah saman yang dikeluarkan turut meningkat kepada 18,373 kes (Op Selamat 6) berbanding 13,408 kes (Op Selamat 4),” katanya. Sementara itu, katanya, di LPT tujuh kawasan direkodkan sering berlaku kemalangan iaitu di Kilometer (KM) 203 hingga 204, KM208 hingga 209, KM211.9, masing-masing di kawasan Kuantan, manakala di Maran ialah di KM182 hingga KM183 dan KM159 hingga KM162. Di Temerloh pula, kawasan LPT yang terlibat ialah di KM95 hingga KM105 dan KM117 hingga 118. Selain LPT, kawasan lain yang sering dicatatkan berlaku kemalangan ialah Kuantan, Rompin, Maran, Temerloh dan Jerantut masing-masing tiga kawasan, Pekan, Bentong dan Bera (dua) manakala Raub dan Lipis pula satu.
Enjin GDI/TGDI baharu Proton – mengapa kini timing chain jadi pilihan setelah lama timing belt digunakan?
Satu lagi elemen besar yang turut membawa perubahan kepada barisan enjin baharu Proton ialah penggunaan timing chain, bagi menggantikan timing belt yang telah digunakan sejak pengeluar kereta nasional ini mula rebadged model Mitsubishi. Kami tahu pastinya anda sudah lama mahukan Proton menggunakan timing chain, bukannya baru sekarang kan? Alasan mengapa ia mengambil masa yang lama, menurut Ketua Pegawai Teknikal Proton Abdul Rashid Musa, ini adalah kerana ia telah digunakan oleh Mitsubishi, di mana Proton telah mempelajari bagaimana hendak merekabentuk dan membangunkan enjin, yang menggunakan timing belt sejak sekian lama dan Proton telah turut ikut sama. Bahkan Rashid juga mengakui permintaan pasaran dan aliran teknologi terkini telah mendorong Proton untuk melakukan perubahan ini. Sebagai kelebihan, Rashid berkata, mereka telah banyak belajar tentang kebolehpercayaan sebenar dan keupayaan servis, di mana timing chain lebih cenderung untuk tahan lebih lama, malah dengan penyelenggaraan yang begitu minima. Walau bagaimana pun, beliau menambah, anggapan orang ramai terhadap Proton kerana menggunakan teknologi lama memang telah lama diperkatakan namun syarikat ini memerlukan masa untuk meneliti sesuatu perkara sebelum membuat perubahan. Memang masih ada lagi jenama lain yang menggunakan timing belt, namun ia tidak dianggap suatu yang serius seperti mana yang Proton hadapi.
Mitsubishi Pajero Sport SUV baharu dilancarkan di Indonesia – enjin 2.4L baharu dan 2.5L lama
Mitsubishi Pajero Sport telah pun dilancarkan di Indonesia pada minggu lalu, selepas beberapa bulan Triton baharu melakukan penampilan perdana di peringkat dunia di Thailand pada Ogos 2015. Pajero Sport baharu ini tampil bagi memberikan persaingan sengit buat Toyota Fortuner SUV yang dibangunkan berdasarkan model pikap Hilux, di Indonesia. Kami menjangkakan kedua-dua SUV ini akan tiba ke pasaran Malaysia pada tahun ini. Pajero Sport ini didatangkan dengan enjin baharu 2.4 liter turbodiesel yang turut didapati pada Triton di Thailand, dengan kuasa 181 PS dan tork 430 Nm pada 2,500 rpm. Unit yang dilengkapi dengan 4N15 MIVEC VGT ini turut dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan dengan mod manual dan pedal penukar gear. Penjana kuasa ini juga adalah untuk spesifikasi bagi Indonesia Dakar 4X4 dan Dakar 4X2 – Exceed 4X2 dan GLX 4X4 MT dengan unit 4D56 2.5 liter bersama kuasa 136 PS/324 Nm. Ia turut dipadankan dengan transmisi auto lima-kelajuan (Exceed) atau manual (GLX) untuk enjin turbodiesel yang besar dan lama. Sistem Super Select 4WD-II turut ditampilkan pada Dakar 4X4. Malah sistem AWD kini turut didatangkan dengan Off-Road Mode (kerikil, lumpur/salji, pasir, batu) dan butang pemilihan pacuan yang menggantikan tuil kawalan yang lama. SUV ini juga dipadankan dengan suspensi double wishbone pada bahagian hadapan dan tiga sambungan jenis gandar tegar, dengan lingkaran gegelung di sekeliling. Empat cakera brek pengudaraan bagi Dakar dan dram di belakang bagi Exceed dan GLX. Versi Dakar turut ditampilkan dengan rim dua-ton 18-inci dengan tayar 265/60 (265/70 R16 untuk yang lain-lain), lampu utama LED dengan lampu nyalaan siang (DRL), bumbung matahari, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, brek parkir elektronik, penghawa dingin dua-zon automatik, tempat duduk balutan kulit, dua tweeter tambahan (keseluruhannya enam speaker), bantuan mula mendaki dan kawalan kestabilan. Malah ini kali pertama ia turut dilengkapi kekemasan kayuan. Bagi sistem multimedia, model teratas Dakar 4X4 dilengkapi dengan sistem 2DIN tujuh-inci dengan navigasi dan paparan pandangan sekeliling. Manakala Dakar 4X2 dan Exceed menerima unit 6.5-inci dengan navi dan kamera undur. Pajero Sport baharu ini boleh didapati dengan lima pilihan warna iaitu Deep Bronze Metallic, Titanium Grey Metallic, Sterling Silver Metallic, White Pearl dan Black Mica. Dan turut menampilkan beberapa elemen tambahan termasuk spoiler belakang, kekemasan paip ekzos, serta hiasan pada bahagian atas dan bawah. Harga bagi pasaran Indonesia bermula Rp.446 juta hingga Rp.623 juta (RM135,765 hingga RM190,266).
Adakah enjin GDI/TGDI yang sedang dibangunkan oleh Proton ini boleh menggunakan Euro 2M RON 95?
Proton telah pun mengumumkan enjin baharu GDI dan TGDI yang sedang dibangunkan untuk model-model kenderaannya menjelang akhir 2017. Walau pun spesifikasi teknikal enjin ini banyak diperkatakan, apakah jenis bahan api yang boleh digunakan oleh kebuk pembakarannya? Persoalannya di sini, adakah bahan api sedia ada di Malaysia ini boleh digunakan oleh enjin Proton yang akan datang? Teknologi suntikan terus bahan api petrol agak sensitif apabila dikaitkan dengan kualiti bahan api. Penggunaan yang berkualiti rendah, bahan api api yang memiliki sulfur yang lebih tinggi akan mencemarkan penukar pemangkin yang lebih canggih yang digunakan pada enjin GDI baharu ini. Di mana enjin tanpa pancitan pembakaran moden sememangnya menghasilkan pencemaran nitrus oksida (NoX) yang lebih tinggi, sekali gus mampu “meracuni” dan adalah tidak berguna. Di Malaysia, pengguna mempunyai beberapa jenis petrol yang berlainan iaitu Euro 2M RON 95, Euro 4M RON 97 dan Euro 4M RON 100. Namun majoriti pengguna di Malaysia ini memilih Euro 2M RON 95 yang lebih mampu milik, namun adakah ia mampu memberikan implikasi terhadap enjin baharu Proton? Menurut Ketua Pegawai Teknikal Proton Abdul Rashid Musa, yang ditemubual secara eksklusif oleh paultan.org baru-baru ini memberikan jawapan mengenainya, Euro 2M RON 95 mampu digunakan bagi barisan enjin baharu ini. Proton juga telah meneruskan perbincangan dengan rakan pembangunan, Ricardo mengenai keperluan RON bagi enjin ini dalam beberapa pasaran berbeza. Sekiranya enjin GDI/TGDI Proton ini mencukupi syarat Euro 6C, maka ia boleh dieksport ke negara lain mengikut apa yang telah direncanakan. Rashid turut menambah, ada sesetengah pasaran yang menggunakan bahan api yang berkualit rendah, namun syarikat ini akan terus menggunakan enjin VVT sedia ada. “Ini sebabnya mengapa kami masih mengekalkan enjin VVT,” katanya. “Malah terdapat sesetengah pasaran di Timur Tengah yang masih menggunakan RON 82.” “Ada kepelbagaian dalam pasaran. Negara-negara membangun mungkin tidak mempunyai kualiti bahan api itu, jadi kami tidak mungkin menggunakan teknologi enjin yang tinggi dalam pasaran berkenaan, walau pun juga di Malaysia. Tetapi pada masa ini, enjin kami boleh menggunakan serendah RON 88 dan sehingga RON 105,” katanya. Sebagai konklusi, adakah ia perlu dirisaukan? Sudah tentu tidak. selain fakta yang enjin ini mampu menggunakan Euro 2M RON 95, pengeluaran pertama enjin baharu ini hanya dijadualkan masuk ke pasaran pada 2018, manakala Euro 4 RON 95 pula diwartakan untuk dijual di Malaysia mulai Oktober 2018.Jadi, enjin baharu ini sudah pasti tidak menimbulkan sebarang isu buat para pengguna.
“AES untuk menyelamatkan pengguna jalan raya, bukan menghukum” – Datuk Seri Liow Tiong Lai
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengumumkan pihaknya telah menerima pelbagai maklumbalas dari orang ramai berhubung dengan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang akan diperluaskan dan juga Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalanraya (KEJARA) yang bakal diteruskan kelak. Selepas mengalu-alukan cadangan dari orang ramai pada bulan lalu, Liow mendakwa menerima banyak maklumbalas positif dari pengguna jalan raya. Kebanyakannya turut mencadangkan lokasi baharu bagi AES, di samping memberikan beberapa saranan untuk menambah baik sistem ini. Menurut laporan The Star, Liow turut mengingatkan pengguna agar menghantar idea masing-masing sebelum 31 Mac ini bagi membantu pihak kementerian menambah baik dua sistem penguatkuasaan undang-undang tersebut. Sambil menyatakan bahawa pelaksanaan sistem AES dan Kejara bukanlah untuk menghukum pemandu, Liow tetap teguh pada pendekatan serampang dua mata iaitu sistem berkenaan adalah untuk menyelamatkan nyawa mereka. Menurut kajian baru-baru ini oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sembilan daripada 10 pengguna jalan raya berkata bahawa mereka akan mematuhi undang-undang lalu lintas jika kamera berada di satu-satu lokasi. “Kira-kira 90% daripada pengguna jalan akan mematuhi had kelajuan di laluan yang ada kamera lalu lintas, berbanding hanya 60% di jalan raya tanpa sistem pemantauan. Ia akan menjadi sangat berkesan dalam mengurangkan kemalangan dan kadar kematian jika kamera dipasang di kawasan-kawasan yang sering berlaku kemalangan,” ujar Liow. Menteri terbabit turut mendedahkan, pada tahun 2015 sahaja, seramai 6,706 pengguna jalan raya terbunuh dalam 489,606 kes kemalangan yang direkodkan. Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan berbanding 6,674 kematia dicatatkan pada tahun 2014 daripada 476,196 kemalangan jalan raya. Sambungnya lagi, “Ini adalah satu hal yang membimbangkan kerana secara purata ia membabitkan sebanyak 18 kematian setiap hari pada tahun 2015, manakala kemalangan jalan raya berlaku bagi setiap minit setiap hari. Kami mahu menjadikan jalan raya lebih selamat untuk semua tetapi penguatkuasaan dan hukuman sahaja tidak berkesan untuk mencapai matlamat ini.Disiplin diri yang membantu untuk menyelamatkan nyawa.” Adakah anda percaya sistem AES dan Kejara yang diperluaskan ini mampu membantu mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya di Malaysia? Kongsikan pendapat anda bersama kami.
KTMB tawar diskaun 50% bagi tambang KTM Komuter dari stesen Padang Besar dan Gemas – hingga 29 Feb
Mulai hari ini sehingga 29 Feb 2016, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan diskaun 50% bagi tambang perjalanan KTM Komuter dari Stesen Padang Besar dan Gemas. Ia adalah bagi perjalanan tren pertama dari stesen Padang Besar ke Stesen Butterworth pada pukul 5.45 pagi. Manakala tren pertama dari Stesen Gemas ke Stesen Seremban/KL Sentral pula pada jam 5.05 pagi. Dalam kenyataan yang dikeluarkan, KTMB berkata, promosi itu adalah untuk perjalanan sehala dan dua hala dari dua stesen berkenaan. Pada 11 September lalu, perkhidmatan tren ulang alik di sektor utara itu mula beroperasi dan menghubungkan 18 buah stesen bermula dari Stesen Kamunting – Butterworth – Padang Besar. Sementara itu, di sektor selatan pula, perkhidmatan tren ulang alik beroperasi 10 Oktober menghubungkan laluan di Stesen Gemas – Seremban – KL Sentral.
Perodua Axia pamer aksi powersliding dalam video Ultra Racing yang dipaparkan di Facebook
The Power Of Perodua Axia by Ultra Racing The Power Of Perodua Axia by Ultra RacingThis is a commercial ads for Ultra Racing, the whole video shooting was done by professional driver within safe compound, please do not attempt to try this on public road. Posted by Ultra Racing News / Events on Sunday, January 24, 2016 Ultra Racing, pengeluar tempatan bagi komponen pengendalian casis, telah menyiarkan video ini menerusi laman Facebook rasmi mereka. Video yang bertajuk “The Power of Perodua Axia by Ultra Racing,” ini adalah bagi mempromosikan pakej “palang keselamatan kenderaan” untuk Perodua Axia, yang anda boleh lihat ia dipandu agak agresif. Video ini bermula apabila seorang anak muda menerima mesej dari ibunya yang mengingatkannya supaya balik ke rumah untuk makan malam. Lantas dia bergegas memandu Axia miliknya untuk pulang ke rumah dengan kadar segera. Apa yang terjadi seterusnya apabila aksi powerslide ini kian rancak, termasuk mengundur secara mendadak, untuk mempamerkan kelebihan produk dari Ultra Racing ini. Dalam babak akhir, anak muda ini selamat sampai ke rumahnya, diikuti dengan mesej, “walau sesibuk mana pun anda, jangan lupa orang yang tersayang,” diikuti dengan gambar produk dan pengingatan keselamatan. Namun, kami tidak pasti adakah anda patut memandu dengan keadaan sebegini biar pun apa jua situasinya. Seperti mana pihak berkuasa sering melaungkan, “biar lambat asal selamat.” Kami rasakan video ini hanya menggambarkan situasi ekstrem apabila produk Ultra Racing ini disifatkan boleh memberi manfaat kepada pemandu untuk membantu mengekalkan kawalan kenderaan. Apa komen anda tentang perkara ini?
Toyota Hilux baharu bakal tiba di Malaysia pada Q2, 2016, diikuti MPV Alphard dan Vellfire pada Q3
Menurut Datuk Ismet Suki, Presiden UMW Toyota Motor, Toyota Hilux baharu dijangka bakal tiba di pasaran Malaysia pada suku kedua (Q2) tahun 2016. Mengesahkan laporan kami sebelum ini tentang Hilux baharu yang bakal diperkenalkan di sini dalam tempoh masa berikut, walau pun tidak memberitahu tentang bilakah giliran Fortuner dan Innova baharu. Hilux versi terkini ini telah pun diperkenalkan di Australia dan Thailand pada Mei 2015. Pikap ini menawarkan dua pilihan enjin dari keluarga GD turbodiesel iaitu berkapasiti 2.4 liter dan 2.8 liter yang dipadankan dengan kotak gear baharu manual enam-kelajuan dan automatik. Ia juga dibina dengan kerangka baharu bersama seni bina Integrated Rigidity Mechanism (FIRM), sementara bahagian dalaman dan teknologi pula telah banyak dipertingkatkan. Tiada sebarang perincian tambahan berkenaan dengan spesifikasi namun pastinya ia memiliki pelbagai pembaharuan. Apa yang pasti kehadiran Hilux baharu ini pastinya memberikan persaingan yang sengit buat model pikap yang baharu yang dilancarkan di Malaysia termasuk Mitsubishi Triton, Ford Ranger dan Nissan NP300 Navara. Sementara itu, turut diumumkan ialah Toyota Alphard dan Vellfire juga bakal tiba ke Malaysia pada suku ketiga pada tahun ini. GALERY: Toyota Hilux pasaran Australia 2015 Toyota HiLux 4×4 SR double cab 2015 Toyota HiLux 4×4 SR double cab 2015 Toyota HiLux 4×4 SR double cab 2015 Toyota HiLux 4×4 SR double cab 2015 Toyota HiLux 4×4 SR double cab Toyota Alphard JDM Toyota Vellfire JDM
Perincian enjin baharu GDI dan TGDI Proton – rekabentuk modular, nisbah lebih mampat, tahan untuk masa hadapan dan penjimatan lebih optimum
Dalam satu temubual eksklusif Paultan.org bersama Ketua Pegawai Teknikal Proton Abdul Rashid Musa minggu lalu, beliau sempat berkongsi beberapa perincian mengenai keluarga baharu bagi enjin Proton, yang diumumkan baru-baru ini. Di mana ia menggunakan suntikan terus bahan api dan akan ditawarkan dengan varian GDI (pancitan bahan api secara terus) dan TGDI (pancitan bahan api secara terus dengan pengecas turbo). Pertama sekali, pembangunan enjin baharu ini didorong dengan kawal selia dan keperluan pasaran, sebagai mana yang dikehendaki oleh Proton sendiri untuk menjadi pemain global yang kompetitif – dan dengan pasaran Eropah sekarang yang memerlukan kenderaan baharu menepati piawaian emisi Euro 6 yang ketat, di mana syarikat ini memelrukan enjin baharu (yang direka sebagai memenuhi piawaian Euro 6C berkuatkuasa tahun 2018 ini). Rashid berkata, Proton memerlukan perubahan dan penambahbaikan keupayaan untuk menjadi lebih kompetitif. Beliau mengakui bahawa Proton agak terlewat untuk memperkenalkan teknologi pemasaan boleh laras (VVT), yang hanya hadir dalam pasaran ketika Iriz diperkenalkan pada hujung 2014 – tetapi menambah syarikat ini sedang bertungkus lumus untuk menyaingi bagi menjadikan sebagai pemain industri yang lebih kukuh. Seperti mana yang didedahkan ketika pengumuman rasmi dilakukan, enjin baharu ini adalah modular dengan kedua-duanya memiliki persamaan rekaan dan komponen yang digunakan. Bagi enjin 1.3 liter dan 1.5 liter GDI dan TGDI merupakan enjin empat-silinder, tetapi memiliki perbezaan lejang; enjin 1.0 liter dan 1.2 liter VVT pula ialah versi tiga-silinder. Enjin ini turut menampilkan nisbah yang lebih mampat iaitu 12:1 untuk enjin GDI dan 10.5:1 bagi enjin TGDI – berbanding 10:1 pada enjin VVT Iriz dan 8.9:1 pada enjin 1.6 liter CamPro CFE/Turbo. Ia juga digabungkan dengan sistem penyejukan enjin yang membolehkan kepala silinder dan block pada suhu yang berbeza bagi mengoptimakan penjimatan. Bagi enjin TGDI, pengecas turbo skrol-tunggal digunakan, bersama enjin 1.5 liter TGDI yang lebih berkuasa boleh menghasilkan sehingga 180 hp dan 250 Nm tork. Selain itu, penyuntik bahan api bagi enjin GDI dan TGDi berkeupayaan menyalurkan bahan api pada tekanan 200 bars, berbanding 2-3 bars bagi sistem penyuntikan standard. Teknologi yang digunakan ini adalah baharu bagi enjin GDI berasaskan paten yang diperoleh dari Petronas apabila Proton membeli teknologi ini pada tahun 2012, sesetengahnya berkongsi dengan rakan kongsi pembangunan Ricardo. Enjin ini juga direka untuk kegunaan masa hadapan, dengan menampilkan penyah-aktifan silinder (menggunakan collapsible roller finger), operasi hibrid sederhana (menggunakan belt starter-generator), kitaran Miller dan suntikan terus bahan api jenis penyembur turut ditambah. Pergerakan enjin kitaran Miller akan diperjelaskan sepenuhnya dalam artikel yang berasingan, tetapi pada dasarnya enjin ini mempunyai injap pengambilan yang dibuka untuk bahagian lejang mampatannya, yang menolak udara/campuran bahan api kembali ke dalam port kemasukan. Ini mengurangkan pemampatan campuran kekal, sekali gus menambah kecekapan. Sebaliknya, suntikan terus jenis semburan, yang menggunakan pemegang suntikan pada bahagian atas kebuk pembakaran untuk menyembur bahan api ke bawah berbanding dari arah sisi bertentangan dengan dinding kebuk pada piston jika mengikut sistem tradisional, sekali gus meningkatkan penjimatan bahan api. Menurut Rashid, sasarannya adalah untuk enjin tersebut mampu mencapai penjimatan sekurabg-kurangnya 40%, hampir menyamai sama hibrid yang digunakan pada Toyota Prius dan Hyundai Ioniq. Rashid berkata, walau pun Proton bukanlah peneraju di dalam teknologi ini, namun mereka mahu membawakan teknologi ini ke satu tahap yang lebih berbaloi, sama seperti yang pernah dilakukan terhadap aspek keselamatan. “Teknologi ini bukannya murah, tetapi kami mahu menyumbangkan secara lebih signifikan dengan menjadikannya sebagai mampu milik dan berpatutan,” ujarnya.
Harga bahan api Feb 2016: RON 95 turun 10 sen, RON 97 turun 20 sen dan diesel turun 25 sen
Untuk bulan kedua tahun ini menyaksikan penurunan harga ketiga-tiga jenis bahan api utama untuk kenderaan di Malaysia selepas harga minyak seglobal dilaporkan terus menjunam. Bagi Februari 2016 ini, bahan api RON 97 berharga RM2.05 seliter (termasuk GST) iaitu melibatkan penurunan sebanyak 20 sen (harga bagi Januari 2016 ialah RM2.25 seliter). Manakala RON 95 pula turun sebanyak 10 sen iaitu harga bagi bulan Februari ini ialah RM1.75 seliter (berbanding RM1.85 seliter pada Januari 2016) dan diesel pula mengalami penurunan yang paling besar iaitu 25 sen menjadikannya RM1.35 seliter (berbanding RM1.60 seliter pada Januari 2016). Ekoran harga bahan api dunia yang tidak menentu, pada 24 Disember lalu, Persatuan Pengusaha Stesen Minyak telah menggesa pihak kerajaan untuk menyemak harga bahan api secara mingguan atas alasan konsep sistem apungan harga terkawal boleh menyebabkan kerugian besar pada mereka. Persatuan tersebut memberikan alasan, sistem apungan harga yang dilaksanakan sekarang memberikan kesan terhadap jumlah bekalan bahan api yang dihantarkan kepada mereka. Walau bagaimana pun, sehingga kini, masih tiada keputusan dibuat memandangkan sistem apungan harga terkawal perlu dikaji semula dan belum mendapat sebarang maklumbalas daripada barisan kabinet.
Honda BR-V dijual di Thailand – varian lima- dan tujuh-tempat duduk, harga bermula RM86,600
Selepas muncul di Thailand Motor Expo 2015, Honda BR-V secara rasminya mula dijual di Thailand dengan menawarkan dua varian. Harganya bermula 750,000 baht (RM86,600) untuk varian V, manakala varian SV pula 820,000 baht (RM94,600). Di bawah hudnya, kedua-dua varian ini dijanakan oleh enjin 1.5 liter SOHC i-VTEC empat-silinder (sama seperti Jazz dan City) yang mampu menyalurkan kuasa sehingga 117 hp pada 6,000 rpm dan tork 146 Nm pada 4,700 rpm. Enjin ini dipadankan dengan Earth Dreams CVT, yang menyalurkan pacuannya ke roda hadapan. Bagi bahagian luarannya, BR-V ditampilkan dengan lampu utama projektor bersama lampu posisi LED, lampu belakang LED berbentuk-C, di mana semua ini adalah standard bagi kedua-dua varian. Lima warna juga ditawarkan iaitu putih, kelabu, hitam, coklat dan perak. Pada bahagian kabinnya, BR-V juga menerima rekaan papan pemuka yang sama seperti Jazz dan City, bersama roda stereng balutan kulit seperti model terdahulu City dan Jazz. Di samping itu, ia juga menampilkan operasi tanpa kunci, penghawa dingin automatik dan unit hiburan dengan skrin sesentuh 6.1-inci bersama sambungan iOS, Android, HDMI, USB dan Bluetooth. Bagi pasaran Thailand, BR-V akan ditawarkan dengan konfigurasi lima- dan tujuh-tempat duduk, bergantung pada varian yang dipilih. Varian V didatangkan dengan dua barisan tempat duduk yang mampu memuatkan lima penumpang, dengan barisan kedua boleh dipisahkan dengan nisbah 60:40 bagi memberikan ruangan belakang yang lebih luas. Jika inginkan lebih tempat duduk, varian SV menampilkan tujuh-tempat duduk dengan tambahan barisan ketiga. Honda berkata, tempat duduk pada barisan ketiga memang sekadar cukup-cukup. Tetapi barisan ketiga itu boleh dipisahkan secara nisbah 50:50 dan boleh dialihkan bagi memaksimumkan ruang kargo. Bagi keselesaan, corong udara penghawa dingin turut diletakkan di barisan kedua. Bagi aspek keselamatan, ia dilengkapi dengan bantuan kestabilan kenderaan (VSA), ABS dengan EBD, dua beg udara di bahagian hadapan sebagai standard. Ia juga menawarkan pilihan tambahan bagi kamera pandang belakang. Apabila sudah sampai di pasaran Thailand, rasanya sudah tidak lama lagi ia akan tiba ke Malaysia pula. Jadi apa pilihan anda, adakan lima- atau tujuh-tempat duduk? Kongsikan komen adan bersama kami.
Lotus Evora 400 2016 dilancarkan – dari RM598k
Lotus Cars Malaysia telah melancarkan Lotus Evora 400 baharu di bilik pamerannya di Jalan Damansara. Ia merupakan supercar sejati menggabungkan prestasi yang tinggi dengan pengendalian Lotus. Evora 400 baharu ini telah dipertingkatkan untuk bahagian kabinnya serta enjin V6 yang telah ditala semula, menjadikan jentera ini lebih tinggi dan lebih berdinamik berbanding model Evora yang terdahulu Kini dengan kuasa 400 hp, Evora baharu ini dipadankanenjin Toyota 3.5 liter bersama Edelbrock supercharger yang membolehkannya turut memberikan tork setinggi 410 Nm. Ia juga menampilkan driver-activated catalytic convertor lencongan dari ekzos ke sistem aliran bebas. Ia turut membolehkan Evora 400 baharu ini dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 4.2 saat dan nisbah kuasa menerusi beratnya dicatatkan pada 290 PS/1000 kg. Malah terdapat perubahan pada Evora ini termasuk rekaan semula pada bahagian hadapan dan belakang serta spoiler yang memberikan berat sebanyak 32 kg pada downforce ketika dalam kelajuan 165 km/j. Penambah baikan pada bahagian dalamannya turut memberikan lebih keselesaan dan gaya yang lebih mewah berbanding model sebelumnya. In termasuklah dengan tiga pilihan kekemasan iaitu standard, kulit dan Alcantara, turut ditawarkan. Malah bahagian ambang kokpit juga direka semula memberikan ia lebih sempit dan sama kedudukan dengan tempat duduk. Perubahan ini dilakukan selepas menerima banyak komen tentang model sebelum ini yang ambang kokpit yang lebih tinggi dan tempat duduk pula lebih rendah menyebabkan proses untuk masuk ke dalam perut Evora agak menyulitkan. Lotus Cars Malaysia juga akan membawa masuk beberapa pilihan model, kedua-duanya bagi transmisi manual dan automatik. Pilihan Base hadir dengan warna signatur iaitu metalik, kawalan kelajuan serta kaliper brek berwarna kuning atau hitam. Manakala Option One pula didatangkan sama seperti Base tetapi ada pertambahan elemen termasuk pek kekemasan kulit atau alcantara dan pek hitam, dengan bumbung, ambang dan perumah cermin dari warna yang sama. Manakala Option Two pula menerima elemen tambahan seperti rim 10-jejari hitam berkilat bersaiz 19-inci (hadapan) dan 20-inci (belakang). Harga bagi Lotus Evora baharu ini seperti berikut :- Transmisi manual Base – RM597,999 Option One – RM624,999 Option Two – RM640,999 Transmisi automatik Base – RM610,999 Option One – RM637,999 Option Two – RM653,999
PLUS keluarkan Jadual Cadangan Perjalanan sempena CNY ini – rebat tol 30% turut ditawarkan
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk perjalanan di Lebuhraya Utara-Selatan pada Hari-Hari Puncak iaitu di antara 5 Februari hingga 14 Februari ini. PLUS turut menjangkakan sebanyak 1.6 juta kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan setiap hari pada hari-hari puncak bersempena dengan cuti perayaan Tahun Baru Cina yang akan datang. Jumlah tersebut merupakan peningkatan sebanyak 20 peratus berbanding 1.3 juta kenderaan pada hari-hari biasa. “Kami menasihati agar pengguna untuk mengikuti TTA ini dan merancang perjalanan agar tidka terperangkap dalam kesesakan lalu lintas terutamanya pada waktu puncak,” kata Pengarah Urusan PLUS, Dato’ Noorizah Hj Abd Hamid. Selain daripada strategi penyuraian trafik, PLUS turut menyusun pelbagai pendekatan dalam memantapkan operasi dan tahap perkhidmatan pada musim perayaan yang akan datang. Menurut Noorizah, PLUS juga akan menugaskan lebih ramai kakitangan di lebuh raya dan pusat kawalan trafik (TMC), menambah jumlah pasukan dan rondaan PLUSRonda, menempatkan pasukan-pasukan bantuan kecemasan di lokasi-lokasi strategik, pertambahan kawasan meletak kenderaan dan pembukaan tandas bergerak sementara di kawasan-kawasan rehat utama, menyediakan trak-trak tunda tambahan di lokasi terpilih, pemantauan trafik dari udara dan lain-lain lagi. Selain itu, “PLUS akan membuka laluan kontra di beberapa laluan yang kritikal untuk menguruskan trafik di laluan-laluan tersebut. Walau bagaimanapun, pengaktifan laluan kontra tersebut bergantung kepada keadaan trafik semasa dan kebenaran daripada pihak Polis”, jelas Noorizah. Di antara strategi lain dalam mengagihkan trafik ialah PLUS menawarkan rebat tol sebanyak 30 peratus pada 4, 11 dan 15 Februari. Rebat tol 30% ditawarkan sepanjang hari bagi pengguna kenderaan Kelas 1 yang membayar tol menggunakan sistem elektronik (menerusi kad PLUSMiles, kad Touch ‘n Go atau SmartTAG) pada 4, 11 dan 15 Februari. Rebat ini diberikan untuk perjalanan jarak jauh (melebihi 100 kilometer) di Lebuhraya Utara-Selatan, lebuh raya ELITE dan lebuh raya NKVE. Rebat tol tersebut boleh dituntut di semua Pusat Khidmat Pelanggan di lebuh raya PLUS bermula 15 Mac hingga 14 Jun tahun ini.
BMW 7 Series serba baharu dilancarkan – 2.0 turbo 4-silinder 730Li dan 740Li, dari RM599k
BMW Group Malaysia hari ini telah melancarkan BMW 7 Series serba baharu yang sudah memasuki generasi keenam, yang menawarkankan pengalaman pemanduan yang mewah dan eksklusif dalam bentuk sebuah sedan kontemporari. Didatangkan dalam dua varian iaitu BMW 740Li dan BMW 730Li serba baharu, ia menawarkan kemewahan dan keselesaan yang digabungkan bersama karekteristik pemanduan paling dinamik, ciri-ciri sofistikated, ambien paling menyenangkan, di samping manfaat daripada sistem pemanduan unik dan termaju yang membuatkan memandu bukan sahaja selamat, malah lebih menyeronokkan. BMW 7 Series serba baharu lebih panjang iaitu 5,238 mm berbanding generasi sebelum ini 5,219 mm (+ 19mm). Namun begitu, dimensi lain seperti lebar, tinggi dan tapak roda tidak berubah. Ini menjadikan BMW 7 Series serba baharu sebagai model paling besar yang pernah dihasilkan oleh BMW. Penampilan dinamik dan berprestijnya turut diserlahkan menerusi perkadaran yang menjadi tanda dagang buat BMW. Misalnya bonet yang panjang, unjuran hadapan pendek, tapak roda panjang, kompartmen penumpang luas dan garis bumbung yang elegan. Bahagian hadapan BMW 7 Series serba baharu yang mantap menyerlahkan lagi penampilannya. Ia juga menjadi kereta pertama BMW yang jelas menggunakan teknologi BMW EfficientDynamics. Gril hadapan pada sedan mewah ini dilengkapi sistem Active Air Stream yang hanya dibuka sekiranya penyejukan udara diperlukan. Bahagian atas lampu utama baharunya lebih nipis dan bahagian bawahnya diratakan. Lampu tersebut diunjurkan sehingga ke gril. Sementara lampu bulat berkembar LED penuh pada BMW 730Li serba baharu diselarikan dengan bahagian atas dan bawahnya, sekali gus memberikan jentera ini penampilan yang fokus serta lebih garang. Menambah aspek yang pertama dalam segmen mewah ialah lampu utama lazer BMW yang dipasang pada varian BMW 740Li. ia mempunyai mod lampu tinggi sejauh 600 meter iaitu dua kali lebih jauh berbanding lampu LED. Penampilan menarik dan eksklusif BMW 740Li ditingkatkan lagi dengan rim aloi ringan jejari berkembar bersaiz 19 inci dan rekaan jejari V untuk BMW 730Li serba baharu. BMW 740Li menawarkan kuasa mengujakan, lancar serta bunyi yang menggetarkan melalui enjin petrol enam-silinder sebaris BMW TwinPower Turbo bersesaran 3.0 liter generasi terkini yang diambil daripada rangkaian enjin BMW EfficientDynamics. Dipadankan dengan transmisi lapan kelajuan Setptronic yang telah dioptimumkan, ia mampu menjana kuasa maksimum 326hp, tork setinggi 450Nm dan pecutan dari 0-100km/j dalam masa hanya 5.5 saat. Purata penggunaan bahan api BMW 740Li serba baharu adalah sekitar 6.6 liter untuk setiap 100km dengan emisi C02 154 gram bagi setiap kilometer. BMW 730Li serba baharu juga menawarkan kuasa dinamik dan penggunaan bahan api yang rendah. Dikuasakan oleh enjin petrol empat silinder sebaris BMW TwinPower Turbo bersesaran 2.0 liter, enjin pada BMW 730Li serba baharu ini berupaya menghasilkan kuasa mencecah 258hp dan tork 400Nm. Ia boleh memecut dari 0-100km/j dalam masa 6.3 saat sahaja. Bacaan penggunaan bahan api BMW 730Li serba baharu adalah 5.8 liter bagi setiap 100 kilometer, manakala tahap emisi C02 pula ialah 134 gram untuk setiap kilometer. Ia juga dibina dengan struktur badannya yang menggunakan Carbon Core, satu produk hasil peralihan teknologi daripada pembangunan kereta-kereta BMW i. Sebagai sebahagian daripada konsep BMW EfficientLightweight, BMW 7 Series serba baharu merupakan kereta pertama dalam segmennya yang menggunakan Carbon-Fibre-Reinforced Plastic (CFRP). Di samping gabungan pintar komponen-komponen aluminium, magnesium dan besi regangan tinggi. Komponen-komponen berteknologi tinggi ini disempurnakan lagi dengan dua gandar suspensi udara yang boleh dilaras sendiri. Ia dipasang bersama Dynamic Damper Control yang didatangkan sebagai satu ciri standard untuk BMW 7 Series serba baharu buat pertama kalinya. Suis Driving Experience Control dengan rekaan baharu diletakkan pada konsol tengah. Mod-mod pemanduan seperti COMFORT, SPORT, ECO PRO dan ADAPTIVE (pertama kali) boleh diaktifkan dengan hanya menekan satu butang. Apabila mode ADAPTIVE diaktifkan, talaan kenderaan akan dipadankan dengan gaya pemanduan semasa. Tahap keselesaan, dinamik dan prestasi boleh ditingkatkan menerusi satu lagi ciri yang pertama di dunia pada BMW 7 Series serba baharu iaitu Executive Drive Pro. Sistem kawalan casis aktif yang dipasang pada BMW 740Li serba baharu melibatkan gabungan fungsi dua gandar suspensi udara dan Dynamic Damper Control untuk mencapai standard keselesaan suspensi, redaman dan getaran yang terbaik. Buat pertama kali juga, penstabil olengan aktif ditawarkan secara elektromekanikal. Ia membolehkan olengan tubuh kenderaan dikurangkan dengan tepat ketika mengambil selekoh pada kelajuan tinggi. Banyak elemen menarik turut ditampilkan menerusi ruang kabin BMW 7 Series ini termasuklah konsep operasi lanjutan iDrive yang baharu. Sebagai tambahan kepada operasi biasa menggunakan iDrive Controller dan sistem kawalan suara yang telah diubah suai, ia turut menawarkan dua pilihan untuk membuatkan operasi kenderaan lebih intuitif, mudah dan selamat. Selain itu, paparan sentuh pada monitor bersaiz 10.25 inci beresolusi tinggi dan anti silau turut ditampilkan. Begitu juga dengan kawalan gestur BMW yang membolehkan pemandu mengakses fungsi-fungsi tertentu kenderaan seperti mengawal suara muzik, menjawab atau memutuskan panggilan telefon dengan hanya menggerakkan satu jari atau tangan. Sistem ini berfungsi menggunakan sebuah kamera infra merah 3D yang dipasang pada bahagian lampu kabin hadapan serta berperanan mengimbas tangan dan mengenal pasti pergerakannya. Di dalam kabin BMW 7 Series serba baharu turut diserlahkan lagi dengan pilihan Lampu Ambien. Ia mempunyai ciri Welcome Light Carpet pada bahagian pintu kereta. Terdapat enam pilihan warna lampu yang boleh dimalapkan. Lampu ini boleh dioperasi dan dipilih melalui menu iDrive. Bukan itu saja, ia juga menampilkan pendingin hawa automatik dengan kawalan empat zon dan tempat duduk yang boleh dilaras secara elektrik bersama fungsi urutan dan Vitality Programme yang membolehkan penumpang menikmati lapan talaan senaman fizikal untuk menyegarkan tubuh badan. Satu lagi inovasi kemewahan ialah unit kawalan BMW Touch Command pada konsol tengah bahagian belakang kabin. Sebagai sebuah tablet bersaiz tujuh inci yang boleh dialih dan disambungkan dengan sistem-sistem kenderaan, para penumpang berpeluang mengakses semua fungsi hiburan dan keselesaan. Kedua-dua varian juga ditampilkan dengan bumbung kaca panorama, namun hanya 740i yang bumbung kaca panoramik Sky Lounge dengan bilah langsir elektrik, fungsi gelongsor untuk tujuan ventilasi dan satu ciri baharu iaitu lampu LED yang mempunyai 15,000 elemen cahaya di dalam kaca bumbung panoramik tersebut. Juga eksklusif untuk 740LI, ia turut didatangkan dengan sistem bunyi Harman Kardon 600w bersama sembilan saluran dan 16 speaker. Manakala 730i pula ditampilkan dengan sistem “HiFi” 205w bersama 12 speaker. Varian 730Li menerima BMW Driving Assistant, pek keselamatan yang mengandungi Approach Control dan Person Warning dengan light city braking, rear collision prevention, lane change, lane departure warning dan rear cross traffic warning. BMW Driving Assistant Plus pula ditampilkan pada 740LI dengan kamera stereo dan radar untuk stereng dan lane control assist, lane keeping assistant dengan active side collision protection, traffic jam assistant, rear cross traffic assist, dan Active Cruise Control dengan Stop & Go. Lapan beg udara turut ditampilkan sebagai standard. BMW 7 Series serba baharu juga ditampilkan dengan BMW Display Key yang memaparkan pelbagai status data kenderaan dan membolehkan beberapa operasi dipilih menerusi ciri Touch Display yang bersepadu. Begitu juga dengan Driving Assistant Plus, dan Lane Departure Warning Assistant. BMW Head-Up Display kini tampil dengan ruang paparan 70 peratus lebih besar dan mempunyai pelbagai ciri tambahan seperti pandangan 3D di persimpangan jalan. Kedua-dua varian ditawarkan dengan pilihan warna seperti Black Sapphire, Cashmere Silver, Mineral White dan Sophisto Grey. Varian 740Li juga didatangkan dengan warna eksklusif Imperial Blue, manakala 730Li pula warna Jatoba. 740Li turut menampilkan pilihan rangkaian warna upholsteri kulit Nappa seperti hitam, Canberra Beige dan Cognac. Bagi 730Li pula dengan pilihan upholsteri kulit Dakota ialah hitam, Canberra Beige dan Cognac. Bagi 730i, harganya bermula RM598,800 OTR tanpa insurans dan RM788,800 bagi 740Li. BMW Group Malaysia menyatakan ia adalah “harga eksklusif” sempena dengan ulang tahun ke-100 BMW, selagi stok masih ada atau sampai notis pemberitahuan. Ia didatangkan dengan waranti selama lima tahun tanpa perbatuan terhad, Program Servis Berjadual Percuma dan Program Waranti Tayar BMW.
VIDEO: LaFerrari ungu TMJ mengaum, bersama Mercedes-Benz S65 AMG Coupe milik TPJ
Jika semalam kita dah jamu mata melihat foto-foto LaFerrari milik Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sewaktu berangkat mengunjungi Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos tempoh hari, nah tonton video ini pula. Memberikan gambaran yang lebih jelas dan pastinya memukau pandangan mata hingga ke hati tatkala melihat hypercar baharu milik TMJ ini. LaFerrari ini diproduksi hanya ada 499 unit di dunia dan bukan boleh dibeli sewenang-wenangnya, tetapi pembeli yang dianggap benar-benar layak terutamanya bagi penggumpul Ferrari yang akan ditawarkan oleh syarikat pengeluarnya untuk membeli jentera ini. Pastinya TMJ layak memilikinya dan warna ungu serta beberapa elemen khusus yang membaluti LaFerrari ini adalah sentuhan peribadi menerusi program Ferrari Tailor-Made. LaFerrari dijanakan oleh enjin 6.3 liter V12 yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 789 hp pada 9,000 rpm dan tork 700 Nm pada 6,750 Nm. Enjin berkuasa tinggi ini turut digabungkan dengan Hybrid Kinetic Energy Recovery System (HY-KERS) dengan motor elektrik berkuasa 163 hp, menjadikan hamburan kuasa keseluruhan mencecah 950 hp dan 900 Nm! Ia juga dipadankan dengan transmisi dual-klac tujuh-kelajuan. Dengan penjana kuasa yang luar biasa ini, ia membolehkan LaFerrari ini dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 3.0 saat, 0-200 km/j hanya di bawah 7.0 saat dan 0-300 km/j dalam 15 saat serta mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 350 km/j. Dalam video ini, turut kelihatan Mercedes-Benz S 65 AMG Coupé milik adinda kepada TMJ iaitu Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman. Tidak kurang hebat juga, S 65 AMG Coup ini dijanakan oleh enjin 6.0 liter V12 turbo-berkembar dengan kuasa sehingga 630 hp.
Lebuhraya Karak dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 beri diskaun tol 10% sempena CNY pada 8 Feb ini – jadual cadangan perjalanan turut dikeluarkan
ANIH Berhad, syarikat konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) akan menawarkan diskaun tol 10 peratus sempena perayaan Tahun Baru Cina pada 8 Februari ini kepada pengguna lebuh raya yang membuat bayaran secara elektronik (ETC). Pengarah ANIH Berhad, En Nik Fauzi Tan Sri Nik Hussein berkata, pemberian diskaun tol itu akan bermula jam 12.00 pagi sehingga 11.59 malam pada 8 Februari. Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya menyasarkan 2.18 juta kenderaan yang akan menggunakan KLK dan LPT 1 sepanjang tempoh sambutan itu bakal menerima manfaat diskaun terbabit. “Ia bagi menyambut seruan kerajaan supaya syarikat konsesi melaksanakan tanggungjawab sosial masing-masing sebagai tanda penghargaan kepada pengguna lebuh raya. “Pemberian diskaun ini ialah kesinambungan program tanggungjawab sosial syarikat terbabit kepada pengguna jalan raya, seperti yang dilakukan pada musim perayaan lain termasuk Aidilfitri, Deepavali dan Krismas. Dalam masa yang sama ANIH turut mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi melancarkan perjalananpara pengguna kedua-dua lebuhraya terbabit. Ia diharap dapat mengurangkan kesesakan melampau khususnya pada waktu kemuncak selain memastikan perjalanan orang ramai lancar, cekap dan selamat sampai ke destinasi.
SPYSHOT: Proton Perdana 2016 tunjuk LED DRL
Ini mungkin set terbaik bagi spyshot Proton Perdana 2016 setakat ini, ia menunjukkan sudut hadapan dan belakang serta profil sisi bagi sedan bersaiz besar ini. Malah ia juga menunjukkan “mata” Perdana buat pertama kali. Terima kasih buat pembaca Aab Zar MY. Lampu nyalaan siang (DRL) antara elemen ‘mesti ada’ sejak kebelakangan ini. Malah Perdana 2016 juga tidak ketinggalan untuk menampilkannya dan kelihatan ia turut menghadirkan LED DRL bagi model ini. Menerusi foto ini, kelihatan posisi bagi lampu isyarat yang diletakkan pada sudut kluster lampu utama. Cermin sisi juga diletakkan pada perumah indikator. Selain itu, Perdana baharu ini juga kelihatan turut menampilkan lampu belakang LED. Berkenaan dengan saiznya, kelihatan Perdana baharu lebih besar berbanding model Honda Accord generasi terdahulu yang sebelum ini merupakan sedan paling besar di bawah segmen-D. Perdana baharu ini juga dikatakan memiliki ukuran 150 mm lebih panjang berbanding Accord. Bakal diproduksikan di Kilang Pengeluaran Sederhana Proton di Shah Alam, Perdana 2016 ini dijangka bakal dilancarkan pada suku pertama tahun ini, dengan mengekalkan enjin Honda 2.0 liter i-VTEC (154 hp/189 Nm) dan 2.4 liter i-VTEC (177 hp/222 Nm) dengan transmisi automatik lima-kelajuan. Model penambah baikannya pula dijangka diperkenalkan pada akhir 2016 di mana Perdana bakal menerima enjin baharu iaitu NE01 2.0 liter empat-silinder, berdasarkan model enjin Petronas E01 yang dibeli oleh pengeluar kereta nasional ini pada tahun 2012. Enjin ini dijangka didatangkan dengan pancitan bahan api secara terus (GDi) dan pancitan bahan api secara terus dengan pengecas turbo (TGDI). Malah Proton juga sedang mempertimbangkan enjin baharu 1.5 liter pengecas turbo dan suntikan terus bahan api TGDI, yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 180 hp dan tork 250 Nm. Mana-mana pun penjana kuasa yang dipilih, ia tetap akan dipadankan dengan transmisi CVT baharu yang bakal diperkenalkan sebelum akhir tahun 2017. GALERI: Pra-pengenalan Proton Perdana 2016 GALERI: Proton Perdana 2016 rendered
SPYSHOT: Proton Persona 2016 tampil lebih jelas
Pagi tadi, kami telah memaparkan lakaran imaginasi digital Proton Persona, kemudian kami menerima foto spyshot baharu yang dirakamkan oleh Isaac Chan. Masih disaluti penyamaran, namun ia memberikan visual yang lebih jelas mengenai Persona 2016 ini. Pertama, Persona ini kelihatan lebih tinggi berbanding dengan model pesaingnya, agak sama dengan Iriz yang 75 mm lebih tinggi berbanding Honda City dan Toyota Vios. Ia memberikan sedikit penjelasan tentang perbandingan antara model pesaing. Foto ini turut mendedahkan sedikit perincian Persona 2016 ini – garisan hadapan pada lampu utamanya lebih berlekuk bersambungan dengan gril, agak lebih kurang sama dengan hasil render dari pakar Photoshop Theophilus Chin dan pemenang Pertandingan Rekabentuk Proton 2014 Pow Ying Hern. Manakala lampu kabusnya lebih bulat, berbanding segitiga pada Iriz, sekali lagi agak menyamai karya Theo. Sementara itu, rodanya pula menerima rekaan baharu yang lebih bergaya, berbanding yang ditampilkan pada Perodua Myvi, Honda Jazz dan Honda City. Proton Persona 2016 bakal diperkenalkan selepas pelancaran Perdana iaitu turut mendahului Saga baharu. Enjin Iriz iaitu 1.3 liter dan 1.6 liter VVT dijangka turut akan ditawarkan pada Persona. Namun semua model baharu Proton akan menerima enjin baharu 1.3 liter dan 1.6 liter suntikan terus bahan api (GDI/TGDI) mulai akhir tahun 2017.
Proton Arena pikap baharu sedang dibangunkan
Dalam temubual bersama Tun Mahathir Mohamad semalam, kami sempat bertanyakan pengerusi Proton ini untuk mengetahui pendapat beliau mengenai Arena, model konsep trak pikap yang tampil dengan imej agresif seperti mana yang pernah dipamerkan di Alami Proton tahun lalu. Proton Arena bukanlah sebuah model yang popular, namun ia menerima sambutan yang agak menggalakkan di pasaran eksport temasuk Australia, yang turut dikenali sebagai Proton Jumbuck. Walau pun Proton telah mengumumkan beberapa model baharu pada tahun ini, namun model konsep trak pikap ini perlu menanti masa yang lama untuk dihasilkan dalam bentuk produksi, menurut Tun Mahathir. Tidak seperti Arena, pikap baharu Proton ini merupakan trak pikap sepenuhnya berbanding pikap utiliti coupe dua-pintu. Jika ia sah diproduksi, ini merupakan model pertama dari Proton yang menggunakan sistem pacuan empat-roda, satu teknologi baharu bagi pengeluar kereta nasional ini. Tun Mahathir turut berkata, beliau berkeyakinan bahawa model baharu ini mampu mendapat tempat di pasaran Australia seperti dahulu. Pengerusi Proton ini turut menegaskan bahawa Proton harus dipacu lebih agresif untuk membangunkan kenderaan masa hadapan. Dengan perkembangan yang kencang dalam industri ini, Proton harus berusaha lebih gigih, biar pun tidak dapat menyaingi pengeluar lain, tapi sekurang-kurangnya turut maju ke hadapan. GALERI: Model konsep Proton Pikap dipertontonkan di Alami Proton 2015
Teknologi baharu Ford bantu kurangkan kerosakan, tingkatkan pengendalian ketika melanggar lubang
Lubang merupakan antara ‘musuh’ utama kenderaan yang dipandu di atas jalan raya, kerana ia kebiasaannya boleh merosakkan tayar, rim, komponen-komponen sistem suspensi dan kadang kala boleh juga merosakkan badan kereta itu sendiri. Ford ada jawapan untuk masalah ini di mana mereka telah mencipta satu teknologi mengawal penyerap hentak dengan komputer untuk meminimakan kerosakan dan meningkatkan kawalan kenderaan akibat permukaan jalan raya yang teruk. Sistem penyerap hentak yang sentiasa dikawal yang akan dilengkapkan pada Ford Fusion 2017 (juga dikenali sebagai Mondeo di pasaran luar Amerika) versi V6 Sport tersebut, dikatakan boleh mengurangkan impak yang kuat akibat melalui jalan berlubang. Ia dapat dilakukan dengan menggunakan teknologi tebatan lubang yang mengesan lubang pada jalan raya seterusnya menghalang tayar dari jatuh terus ke dalam dasar lubang. Komputer pada kereta akan mengesan pelbagai isyarat yang diterima daripada 12 penderia beresolusi tinggi, dan membantu menyelaraskan penyerap hentak setiap dua milisaat untuk respons kenderaan terbaik dalam setiap situasi. Apabila sistem mengesan lubang yang akan dilalui, komputer pada kereta akan melaras penyerap hentak lebih pantas dari sekelip mata kepada tahap yang paling keras, jadi tayar kereta akan ‘tergantung’ dan tidak jatuh ke dasar lubang, dakwa Ford. Disebabkan tayar dan roda tidak jatuh jauh ke dasar lubang, ia tidak akan menghentam tebing lubang yang bertentangan dengan begitu kuat. Suspensi belakang akan bertindak balas dengan lebih cepat, kerana kejadian yang terjadi pada bahagian hadapan akan memberikan isyarat pra-amaran kepada roda belakang sebelum ia sampai ke lubang tersebut. Sistem tersebut telah diuji dan ditala di litar Romeo Proving Ground, Michigan dengan memandunya secara kasar melalui lubang berbentuk segi empat berkali-kali sehingga tidak terkira banyaknya untuk mengperhalusi perisian sistem tersebut. Proses ini juga telah dilakukan di litar ujian Ford Eropah yang terletak Lonmel, Belgium yang mempunyai lebih 100 permukaan ekstrem yang ditiru dari 25 buah negara, termasuk jalan berlubang sepanjang dua kilometer. Di Malaysia, sistem ini mungkin hanya akan menyelesaikan separuh dari masalah pengguna jalan raya kerana di sini bukan hanya terdapat lubang, jalan yang diturap tidak rata dan juga manhole setinggi pembahagi jalan juga merupakan sebab utama rim bengkok dan tayar pecah. GALERI: Ford Fusion 2017
“Kita tidak akan membangun jika hanya rebadge, kita sepatutnya cuma import kereta” – Tun Mahathir
Salah satu isu yang diajukan kepada Pengerusi Proton adalah mengenai kesediaan jenama ini untuk terus membangunkan model kereta sendiri dengan teknologi sendiri, seperti rangkaian enjin baharu dengan suntikan terus, bukan setakat rebadge model jenama lain. Ketika ditanya adakah berbaloi untuk mengeluarkan sejumlah kos yang besar untuk melakukan penyelidikan dan pembangunan sendiri, berbanding lebih murah jika hanya rebadge model kereta jenama lain, Tun Mahathir menjawab, “Kita tidak akan maju jika kita hanya menukar logonya sahaja dan melakukannya lagi. Kita harus ingat bahawa ia adalah agenda negara, bukan setakat tentang keuntungan semata-mata. “Kita mahukan keupayaan dan kepakaran kejuruteraan di negara sendiri. Pembangunan sesebuah model kenderaan menyediakan banyak teknologi kejuruteraan dan buah fikiran. Kita perlu banyak belajar dari mereka.” Tun Mahathir turut berkata, tiada gunanya jika Proton terus hanya menukar logo, “Itu bukan kereta kita. Jika ya, hanya perlu mengimport kereta dan tidak meletakkan logo kita,” katanya lagi. Mahathir berkata, tidak ada gunanya jika Proton telah terus hanya menukar lencana di bahagian hadapan dan belakang kereta. “Ia bukan kereta kita. Kita mungkin juga hanya mengimport kereta dan tidak meletakkan lencana kita, “katanya. Beliau turut menyentuh tentang kerjasama dengan Suzuki, dan bagaimana Proton boleh belajar dari pembuat kereta ke-empat terbesar di Jepun itu. “Mereka mempunyai barisan kereta kecil yang sangat bagus, mereka mempunyai pengetahuan yang baik berkenaan dengan pengurangan kos, mereka mempunyai teknologi yang boleh kita akses. Jadi kita akan dapat banyak belajar dari mereka. “Mereka telah ke India sebelum orang lain buat, dan mereka telah bekerja dengan Maruti. Kini mereka telah menjual sejuta unit kereta di India. Jadi mereka miliki pengalaman yang kita sangat perlukan.” Tun Mahathir turut mendakwa, Suzuki mendapati “Malaysia merupakan pasaran yang terlalu kecil buat mereka,” dan sebab itulah mereka keluar dari negara ini. “Mereka tawarkan kerjasama dengan kita. Kenapa harus tolak? Sudah pasti kita boleh belajar dari mereka,” katanya. Video di atas ada pencerahan lebih lanjut mengenai isu ini.
Kerajaan cadang beri insentif kepada pemandu berhemah – lesen memandu akan digred
Selain menguatkuasakan semula sistem pemberian mata demerit jalan raya (Kejara) yang ditambah baik, Kementerian Pengangkutan juga bercadang untuk menyediakan insentif khas kepada pemandu yang tidak melanggar peraturan jalan raya. Menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, pengenalan insentif ini membolehkan pemandu yang tidak melanggar peraturan jalan raya mendapat kelebihan seperti memperoleh premium insurans yang lebih baik menerusi penggredan lesen memandu masing-masing, laporan Utusan Malaysia. “Contohnya dalam setahun, pemandu tersebut tidak melanggar peraturan, lesennya akan dinaikkan kepada standard emas , jika tahun kedua juga sama, ia akan dinaikkan pula kepada standard platinum. Dengan lesen emas, syarikat insurans mungkin boleh memberikan premium yang lebih baik. “Ini bermakna kerajaan bukan setakat mengenakan penalti kepada pesalah trafik, bahkan turut memberikan insentif kepada pemandu yang berhemah,” ujar Liow. Menurut Liow lagi, dalam masa yang sama pihaknya sedang meneliti cadangan tersebut yang dijangka dilaksanakan tahun ini bersama penguatkuasaan semula Kejara. Katanya, orang ramai juga dialu-alukan untuk memberi cadangan dalam mencari kaedah terbaik dalam mengurangkan kemalangan jalan raya. Berkenaan dengan Kejara pula, Liow berkata antara penambahbaikan yang akan dilaksanakan termasuklah mengekalkan pemotongan mata meskipun pemandu terbabit telah membayar saman.
Kenapa kereta Proton murah di pasaran eksport?
Salah satu topik yang ditekankan ialah penglibatan Proton di dalam pelbagai pasaran eksport. Orang ramai juga banyak mempertikaikan, mengapa harga kereta Proton yang dijual di pasaran luar lebih murah berbanding dengan Malaysia sendiri? Pengerusi Proton, Tun Dr Mahathir Mohamad ada hujahnya yang tersendiri mengenai perkara ini. Menurut Tun Mahathir, penekanan di sini adalah untuk mencapai jumlahnya. Bagi memastikan syarikat memaksimumkan kapasiti pengeluaran, ia adalah sebahagian daripadan cabang perniagaan pembuatan kenderaan. Pengerusi Proton ini juga memberikan satu contoh yang berkesan bagi menjelaskan tentang idea “meningkatkan kepentingan kos”. Ini adalah kerana ia merupakan keperluan untuk memastikan Proton mampu mencecah sasaran jumlah pengeluaran walau pun ia kelihatan membuatkan pengeluar kereta nasional itu rugi dalam pasaran eksport. Untuk mendapatkan pencerahan yang lebih jelas mengenai isu ini, jangan lupa tonton video di atas.
Kerajaan bersetuju pengecualian cukai import ke atas 100 unit Tesla Model S – inisiatif GreenTech Malaysia
Kerajaan telah memberi lampu hijau untuk membenarkan pengimportan tanpa cukai 100 unit Tesla model S atas inisiatif Malaysian Green Technology Corporation (GreenTech Malaysia), lapor New Straits Times. Pengumuman tersebut telah dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa lawatan beliau ke ibu pejabat Tesla Motor di Palo Alto, California. Lawatan beliau selama sejam tersebut telah diberi taklimat oleh Naib Presiden Tesla Motor, Diarmuid O’ Connell. Beliau juga berkesempatan memandu uji Tesla Model X. Perdana Menteri berkata pengecualian cukai untuk kenderaan elektrik (EV) adalah sebahagian usaha kerajaan untuk mempromosi penggunaannya dan mengurangkan pencemaran karbon. “Kereta-kereta ini adalah pencemaran sifar, dan kami mahu persekitaran yang lebih mampan, jadi kami mahu mempromosi kereta seperti ini di Malaysia,” kata beliau kepada wartawan. “Malaysia sudah mengambil keputusan untuk mempromosi kenderaan elektrik di bawah program istimewa di mana kerajaan akan membenarkan 100 unit sedan elektrik premium Model S diimport,” tambah beliau. Najib berkata 100 unit tersebut akan dikecualikan cukai. Pegawai kerajaan yang hadir pada majlis tersebut berkata Tesla mungkin akan dihadkan penjualannya kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sahaja, selari dengan kenyataan semasa inisiatif ini dimulakan tahun lepas. Pada Mei 2015, GreenTech mendedahkan pelan mereka untuk program ini, di mana pada asalnya untuk membawa 120 unit Model S (kemudian dikurangkan kepada 110 unit), yang terdiri daripada model 70D pacuan semua roda dan model 85 pacuan roda belakang. Tesla hanya boleh diperoleh dengan skim sewaan, dan akan ditawarkan sewaan selama dua tahun kepada syarikat GLC untuk digunakan sebagai kenderaan rasmi. Jadi orang awam tidak berpeluang untuk memiliki kereta ini. Tujuan asal untuk program ini adalah untuk memberikan pihak yang berpengaruh akan kelebihan EV dengan menyediakan contoh teknologi kepada mereka, dan ini amat bermakna untuk membantu GreenTech Malaysia untuk mengembangkan skop EV didal negara melalui pelan tindakan Mobiliti Elektrik. Kami telah dilaporkan program sewaan ini akan diberi kebenaran oleh pihak Tesla, di mana mereka tidak berminat untuk menjual kereta ini terus ke Malaysia. Tesla bersetuju untuk menjalankan inisiatif untuk memberi kefahaman kereta mereka adalah digunakan untuk meningkatkan pengetahuan terhadap EV dan teknologinya dengan pembuat polisi. GreenTech Malaysia sudah pun mempunyai dua Model S 85 didaftarkan dan digunakan di dalam negara. Model S 85 tersebut merupakan varian asas 362 hp yang dilengkapi dengan bateri 85 kWh, yang boleh dipandu sejauh 426 km dengan sekali cas. Sebagai ciri standard, ia dilengkapi dengan satu pengecas 10 kW, penyambung mudah alih dengan outlet 240 beserta penyesuai pengecas awam SAE J1772. Bulan lalu, GreenTech membawa salah satu daripada dua 85 tersebut menjelajah ke Kulim, Kedah bermula dari pejabat mereka yang terletak di Bangi dengan hanya sekali cas.
Peugeot 2008 2016 facelift untuk pasaran Eropah
Peugeot 2008 yang telah dilancarkan tiga tahun lalu kini telah menerima sentuhan facelift untuk pasaran Eropah. Crossover tersebut telah menerima nafas baru pada bahagian luaran serta ditambah dengan satu varian baru iaitu GT Line dengan kemasan yang lebih menarik. Pada bahagian luaran , 2008 ini tidak banyak perubahan kecuali pada gril hadapan dengan jaring menegak, lampu hadapan yang direka semula, wheelarch hitam yang dilebarkan serta scuff plate yang baru. Tambahan warna baharu merah ultimate turut diberikan kepada pengguna sebagai opsyen. Varian GT Line menampilkan kemasan elemen hitam berkilat pada sekeliling gril hadapan (bersama unsur krom dan tulisan ‘Peugeot’ berwarna merah), perumah lampu kabus, perumah cermin sisi, rel bumbung dan juga rim 17-inci. Scuff plate keluli tahan karat bahagian belakang kini disekalikan dengan corong paip ekzos, dan lencana GT Line ditampilkan pada kedua belah fender hadapan dan pintu belakang. Pada bahagian dalaman, sistem i-Cockpit masih dikekalkan yang membolehkan pemandu menumpukan perhatian pada jalan. Sistem infotainmen kini dilengkapi Mirror Link dan Apple CarPlay. Untuk varian GT Line pula kini ditambah ambang keluli tahan karat dengan logo Peugeot, pedal aluminium, sulaman benang merah pada jahitan seluruh bahagian dalaman dan lampu LED merah pada paparan instrumen. Ciri baru yang dilengkapi pada 2008 ini ialah teknologi Brek Bandar Aktif, menggunakkan penderia LIDAR yang terletak di bahagian atas cermin hadapan. Sistem ini akan memberhentikan kereta secara automatik sekiranya pemandu tidak perasan ada halangan di hadapan (seperti kanak-kanak melintas) pada kelajuan tertentu. Kamera undur turut dipasang pada SUV kompak ini. Untuk pilihan enjin, 2008 didatangkan dengan opsyen enjin petrol dan diesel. Baru dalam senarai pilihan ialah enjin petrol PureTech tiga-silinder, yang lebih ringan dan lebih cekap penggunaan bahan apinya. Dengan kapasiti 1.2 liter, ia telah dibahagikan kepada tiga jenis iaitu PureTech 82, PureTech 110 dan PureTech 130. Enjin diesel 1.6 liter Blue HDi pula datang dengan tiga varian kuasa iaitu 75 hp, 100 hp dan 120 hp. Enjin-enjin ini akan dipadankan dengan pilihan kotak gear lima atau enam-kelajuan manual dan kotak gear enam-kelajuan Automatik Efisien (EAT6) dengan teknologi Quickshift. GALERI: Peugeot 2008 facelift 2016
Laluan kontra di DUKE mulai 23 Feb ini
Konsortium Lebuhraya Utara–Timur (KL) Sdn. Bhd. (KESTURI), pemegang konsesi bagi Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), dalam kenyataanya berkata akan melaksanakan laluan kontra dari KM 5.7 sehingga KM 3.2 (arah Barat) untuk memberi kelancaran kepada semua pengguna lebuh raya ini bermula 23 Februari 2016. Menurut Pengarah Urusan Ekovest Berhad, Datuk Seri Lim Keng Cheng, pelaksanaan ini telah mengambilkira faktor trafik yang tinggi di Persimpangan Sentul Pasar, terutamanya pada waktu puncak pagi, yang telah mengakibatkan trafik di kawasan berkenaan bergerak agak perlahan. Sehubungan itu, DUKE akan mula mengaktifkan laluan kontra ini mulai jam 7 pagi sehingga 9 Pagi, setiap hari kecuali hari Sabtu, Ahad, cuti umum dan cuti persekolahan. Semua pengguna dari arah bertentangan (Jalan Duta/Plaza Tol Duta) disarankan untuk menggunakan lorong tengah dan kiri, manakala lorong kanan akan ditutup bermula dari KM 3.1 (arah Timur) hingga KM 5.6 (arah Timur). Laluan kontra ini dikhaskan kepada pengguna Smart Tag yang menuju ke arah Plaza Tol Batu. Para pengguna Smart Tag dari arah Ampang/Ulu Kelang/Setiawangsa boleh menggunakan lorong kontra ini untuk perjalanan yang lebih lancar. Laluan kontra ini akan dibuka untuk tempoh sebulan sehingga 22 Mac 2016. “Semua pengguna juga diingatkan untuk memandu secara berhemah dan mematuhi tanda arah dan had kelajuan yang telah ditetapkan. Usaha ini diharapkan dapat membantu dalam kelancaran trafik, memberi keselesaan dan nilai tambah kepada semua pengguna DUKE, terutamanya kepada semua pengguna yang telah memberi sokongan kepada kami sejak lebuh raya ini dibuka kepada orang ramai,” ujar beliau lagi.
Perodua kekal dengan dasar tidak ambil pekerja asing
Baru-baru ini kerajaan mengumumkan akan membawa masuk 1.5 juta pekerja dari Bangladesh yang akan dilaksanakan dalam tempoh tiga hingga lima tahun. Banyak pihak mengemukakan rasa tidak puas hati dengan keputusan ini, termasuklah Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang menghantar memorandum bantahan. Semalam Perodua turut menyatakan pendirian bahawa syarikat tersebut tidak akan mengubah polisi berhubung penggajian sepenuhnya pekerja tempatan, dan tidak akan mengambil pekerja asing, memetik laporan Bernama. Menurut dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Aminar Rashid Salleh, kemasukan pekerja asing dengan andaian kadar pembayaran gaji lebih rendah tidak akan mempengaruhi polisi ‘No to foreign workers’ (Tidak Mengambil Pekerja Asing) yang diperkenalkan sejak awal penubuhan syarikat automotif itu. “Perodua ada polisi tidak menggaji pekerja asing melainkan orang Jepun yang diambil bekerja sebagai jurutera atas kapasiti rakan perniagaan,” katanya. Setakat ini Perodua mempunyai 10,500 tenaga kerja yang kesemuanya warga tempatan.
Proton perlu kembali ke pasaran eksport biar pun bukan ke negara yang besar – Tun Mahathir
Pengerusi Proton Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan kepentingan untuk pengeluar kereta nasional ini kembali ke pasaran antarabangsa. Menurut Tun Mahathir, Proton tidak boleh bergantung kepada pasaran domestik semata-mata kerana ia adalah kecil, dengan jumlah keseluruhan industri tahunan (TIV) di bawah 700,000 unit dan berkongsi dengan pengeluar kenderaan lain termasuk Perodua. Sebelum ini, beliau telah meluahkan tentang sekatan pasaran luar termasuk sifat ‘protectionism’ yang diamalkan oleh beberapa negara sebagai halangan terbesar bagi Proton untuk mengeksport produknya. Malah Proton juga perlu mematuhi piawaian dan peraturan yang ditetapkan oleh negara-negara berkenaan. “Pasaran eksport adalah pasaran yang paling penting. Sebagai contoh, di United Kingdom, kita boleh mengeksport lebih 25,000 unit kereta – jumlah yang begitu besar. Namun kini standard tersebut sudah berubah, kita tidak boleh meneruskan eksport biar pun untuk seunit kereta,” luar Tun Mahathir. Beliau turut menambah, pasaran ASEAN juga dilindungi dan mengamalkan syarat-syarat tertentu kemasukan, termasuk bab cukai dan duti. Disebabkan itu Proton harus bersaing dengan kenderaan luar untuk membina fasiliti pembuatan di negara ASEAN dan dari situ dapat kelebihan daripada segi kadar cukai dan duti yang lebih rendah. Proton Preve dan Exora telah dieksport ke Chile awal tahun ini “Sekarang kita perlu berfikir semula, kita perlu memasang atau menghasilkan beberapa bahagian kereta dalam negara sendiri. Jika perlu, sebagai contoh, kita boleh mengeksportnya ke Bangladesh, biar pun ia bukanlah pasaran automotif yang sangat besar. Tetapi kita terpaksa belajar bagaiamana untuk menghasilkan komponen kereta di negara sendiri,” ujarnya. Tun Mahathir turut berkata, Proton kini sedang mencari peluang untuk memasuki pasaran China, tetapi “syaratnya perlu semuanya diperbuat di China.” Mengenai Thailand pula, beliau berkata, negara tersebut turut memperketatkan peraturan yang menghalang Proton memasuki pasaran berkenaan. Malah mengakui Proton harus menerima dan belajar bahawa setiap negara memiliki keperluan yang berbeza, dan setiap negara tersebut perlu menyelesaikan masalah masing-masing, kerana pasaran ASEAN amat penting. Beliau turut memberi contoh, Indonesia, yang menjual lebih daripada satu juta unit kereta setahun. “Jika kita mengabaikan pasaran ASEAN ini, pastinya akan akan jauh ketinggalan,” katanya. “Kita akan ke sana, tetapi untuk membuatkan kereta-kereta kita boleh diterima di pasaran mereka, kita perlu mengetahui apa yang mereka mahukan. Jadi kita perlu mengkaji setiap pasaran, dan mengurangkan kos kita melalui pembuatan tempatan,” ulasnya lagi. Video di atas mempunyai temubual penuh mengenai isu ini bersama Tun Mahathir Mohamad.
Gambar penuh Renault Megane Sport Tourer didedahkan sebelum pelancarannya di Geneva
Berhubung dengan gambar ‘bayangan’ Megane Sport Tourer yang dimuat naik Renault minggu lalu, minggu ini Renault telah mengeluarkan gambar yang lebih jelas sport wagon yang bakal membuat penampilan sulungnya pada Geneva Motor Show bulan hadapan. Dibina berasaskan Megane generasi-keempat, versi wagon ini banyak membawa semula teknologi, ciri-ciri, dan juga rupa paras dari versi hatchback tetapi dengan ruang kargo yang lebih besar. Gambar yang didedahkan oleh Renault ini adalah dari versi Sport Tourer GT, yang menawarkan ciri yang paling sporty untuk wagon tersebut. Membawa rekaan dari versi hatchback, wagon ini menampilkan bampar hadapan yang agresif dengan gril radiator bercorak sarang lebah dan lencana GT. Apron hadapan diapit oleh dua liang kemasukan udara yang besar yang terletak dibawah lampu hadapan berbentuk-C. Pada bahagian sisi, dapat disaksikan badan kereta ini telah dipanjangkan sesuai dengan status wagonnya. Turut ditampilkan bar bumbung aluminium kemasan matte untuk rupa keseluruhan yang menonjol. Berbeza dengan rekaan hatchback, Sport Tourer tampil dengan cermin dan pintu belakang rekaan baharu. Rekaan pada diffuser belakang dan tip ekzos pula dilihat tidak berapa menonjol jika dibandingkan dengan model hatchback. Tiada gambar untuk bahagian dalaman wagon terbaharu ini. Tapi kami jangkakan rekaan kabin adalah sama seperti model hatchback yang didatangkan dengan skrin sesentuh opsyenal 8.7-inci untuk sistem infotaimen R-Link. Ia digabungkan dengan rekaan minimalis dan juga material berwarna gelap. Spesifikasi mekanikal belum lagi didedahkan tetapi dijangkakan wagon ini bakal dikuasakan dengan enjin turbo petrol dan diesel seperti Megane Hatchback serta digandingkan dengan pilihan kotak gear enam-kelajuan manual atau tujuh-kelajuan klac berkembar EDC automatik. Renault dilaporkan berkata versi GT juga akan menerima sistem steering empat-roda 4Control. Perincian penuh Megane Sport Tourer akan didedahkan Renault selepas kereta ini didedahkan secara rasmi di Geneva Motor Show bulan hadapan. GALERI: Renault Megane hatchback
Toyota C-HR versi produksi bakal membuat penampilan sulung di Geneva Motor Show
Pada Geneva Motor Show bulan hadapan, Toyota akhirnya akan mendedahkan versi produksi Toyota C-HR. Jenama dari jepun tersebut tidak mendedahkan sepenuhnya berkenaan crossover segmen-C ini buat masa sekarang, melainkan fakta yang sudah diketahui SUV ini direka dengan rekaan coupe lima-pintu dan juga menampilkan ‘muka’ signatur terbaru Toyota. Didedahkan sebagai konsep tiga-pintu pada September 2014, Toyota C-HR kemudiannya dikemaskini untuk Frankfurt Motor Show 2015 dengan tambahan dua lagi pintu. Jika konsep menampilkan rekaan baharu yang radikal daripada Toyota, versi produksi akhir mungkin tidak sedemikian. Merujuk pada imej garisan cahaya pendedahan awalan, boleh dibuat kesimpulan beberapa perbezaan diantara versi konsep dan versi produksi. Ini termasuklah lampu hadapan baharu yang lebih besar dan juga bumbung yang lebih tinggi. Sehingga kereta ini didedahkan sepenuhnya, semua yang kami tafsirkan masih lagi bersifat spekulatif. Apa yang pasti crossover ini dibina diatas platform TNGA (Toyota New Generation Architecture), sama seperti Toyota Prius generasi-keempat. Varian hybrid mungkin akan ditawarkan untuk crossover ini. Selain dari Toyota C-HR ini, MPV Toyota Proace (dibina dengan kerjasama PSA Peugeot Citroen) dan Toyota Hilux (yang didedahkan pertama kali di Thailand May 2015)baharu akan turut membuat penampilan sulung Eropah di Geneva. GALERI: Konsep Toyota C-HR di Frankfurt Motor Show 2015 GALLERY: Ujian Prototaip Toyota C-HR Spy-Shots of Cars This image has been optimized for a calibrated screen with a Gamma of 2.2 and a colour temperature of 6500°K Spy-Shots of Cars This image has been optimized for a calibrated screen with a Gamma of 2.2 and a colour temperature of 6500°K Spy-Shots of Cars This image has been optimized for a calibrated screen with a Gamma of 2.2 and a colour temperature of 6500°K Spy-Shots of Cars This image has been optimized for a calibrated screen with a Gamma of 2.2 and a colour temperature of 6500°K Spy-Shots of Cars This image has been optimized for a calibrated screen with a Gamma of 2.2 and a colour temperature of 6500°K
Jualan kenderaan merosot pada Jan 2016 – 44,591
Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan kenyataan, jumlah jualan kenderaan pada Januari 2016 merosot kepada 44,591 unit berbanding 50,602 unit yang dicatatkan pada bulan sama tahun lalu. Jumlah jualan bagi bulan tersebut turun sebanyak 20.5% atau 11,501 unit berbanding Disember 2015 disebabkan tawaran dan diskaun daripada syarikat kereta, yang membawa kepada jualan lebih tinggi dicatatkan pada bulan itu. “Kelulusan pinjaman sewa beli yang lebih ketat turut mempengaruhi prestasi pasaran pada Januari 2016,” kata MAA dalam kenyataan hari ini. Pertengahan Januari lalu, MAA telah mengumumkan angka rasmi bagi Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) bagi 2015, yang dianggap sebagai tahun penuh cabaran bagi industri automotif Malaysia. Walau bagaimana pun, angka yang diumumkan ini ternyata sedikit tinggi iaitu 666,674 unit berbanding 666,487 unit pada tahun 2014. Menerusi jadual angka jualan terbut, menunjukkan prestasi pada bulan Disember 2015 dengan jualan sebanyak 13,309 unit atau 23.7% iaitu lebih tinggi daripada bulan sebelumnya. Malah setakat ini, ia merupakan jumlah bulanan tertinggi bagi tahun lalu.
Honda MSX125SF diperkenalkan di Thai – RM8,303
Honda MSX125SF 2016 telah pun dilancarkan di Thailand, dan ia merupakan yang pertama daripada 10 model baharu yang dijangkakan akan dilancarkan dalam tempoh dua tahun ini. Turut dikenali sebagai Grom bagi sesetengah pasaran, model ini menampilkan beberapa perubahan berbanding model MX125 terdahulu. Masih menggunakan enjin 124.9 cc penyejuk-udara silinder-tunggal PGM-F1, MXS125SF 2016 ini mampu memberikan kuasa sehingga 9.7 hp dan 10.9 Nm pada 5,500 rpm. Walau pun motorsikal ini hanya seberat 102 kg, ia bukanlah sebuah jentera roda-dua yang berprestasi luar biasa, tetapi lebih bersifat “mencukupi”. MSX125SF ini didatangkan dengan empat pilihan warna iaitu Booster White, Burning Red, Eclipse Black dan Hyper Yellow. Model facelift ini turut menampilkan lampu utama LED, kluster instrumen digital, penutup tangki minyak baharu dan ekzos yang diperkemaskinikan. Honda MSX125SF 2016 ini dijual pada harga 70,500 Thai baht (RM8,303). Dalam majlis pelancarannya, A.P. Honda Thailand turut mempertontonkan beberapa model MSX125SF hasil kustom, yang menunjukkan motorsikal ini boleh kelihatan lebih unik. Buat setakat ini, pengedar motorsikal Honda di Malaysia, Boon Siew masih belum memberitahu bakal membawa masuk model ini ke pasaran Malaysia mahu pun tidak. Jika ia dipasarkan di sini, ia bakal bersaing dengan Kawasaki KSR yang kini dijual pada harga di bawah RM8,000.
Volvo V40 T4 baharu berkuasa Drive-E 2.0 liter Turbo, lebih bertenaga – harga kekal RM176k, stok terhad
Volvo V40 T4 dengan enjin Drive-E 2.0 liter turbo empat-silinder baharu sekarang boleh didapati di Malaysia. Kami difahamkan unit-unit terhad ini hanya boleh dibeli di Volvo Clear Marque Jalan Kuching, Kuala Lumpur. Jadi jika anda berminat, jangan berlengah. Kami tidak dapat pastikan sama ada Volvo Car Malaysia akan membawa lebih banyak unit lagi atau tidak berbanding apa yang ada sekarang. Untuk sekarang, V40 T4 ini berharga RM175,888 atas jalan tanpa insuran sama seperti varian T4 sebelum ini. Enjin E-Drive 2.0 liter empat-silinder baharu ini menggantikan penjana kuasa terdahulu 1.6 liter turbo (180 hp/240 Nm) yang menawarkan kuasa yang lebih untuk varian T4 tersebut. Ia menghasilkan kuasa 190 hp dan tork maksima 300 Nm, 10 hp lebih berkuasa dan 60 Nm lebih tork. Model T4 di Malaysia sebelum ini mampu untuk memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8.5 saat, dan mencatatkan kelajuan maksima 225 km/j. Merujuk kepada Volvo Car Malaysia, kami diberitahu T4 versi baharu janaan enjin Drive-E ini mampu untuk memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat dengan kelajuan maksima yang dihadkan pada 210 km/j – ini menjadikan T4 ini sepantas varian T5. Unit transmisi juga telah diperbaharui dengan kotak gear enam-kelajuan automatik torque converter dari Aisin menggantikan kotak gear enam-kelajuan klac-berkembar Ford Powershift dari Getrag. Pengunaan bahan api kini dicatatkan pada 5.6 liter untuk setiap 100 km, di mana versi lama mencatatkan 6.1 liter untuk setiap 100 km. Hanya penukar gear pada stereng dapat dilihat sebagai ciri baru pada versi baru ini. Spesifikasi lain seperti roda aloi 16-inci lima-jejari, tip ekzos berkembar, skrin tengah lima-inci, kemasan dalaman balutan kulit dan lain-lain adalah sama seperti T4 versi terdahulu.
Kerajaan akan mengadakan perlumbaan motorsikal atas jalan raya KL sebagai usaha kekang lumba haram
Dalam usaha mengekang kegiatan perlumbaan motorsikal haram, kerajaan akan mengadakan perlumbaan di sekitar jalan raya Kuala Lumpur untuk memberi peluang kepada Mat Rempit berlumba secara sah. Menurut Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, idea mengadakan perlumbaan ini adalah untuk mengatasi masalah perlumbaan motorsikal haram yang semakin berleluasa sekarang, lapor Malay Mail Online. Tengku Adnan berkata kerajaan akan mempertimbangkan menutup jalan di Kuala Lumpur seminggu sekali untuk tujuan perlumbaan motosikal ini. “Kemungkinan dalam satu minggu, satu atau dua hari kita akan memberikan jalan tanpa kereta dan hanya untuk Mat Moto berlumba pada waktu malam,” ujar beliau kepada wartawan, dan menambah beliau lebih suka dengan panggilan Mat Moto berbanding Mat Rempit. Menyedari ramai rakyat Malaysia berminat untuk berlumba dan menyertai perlumbaan haram yang lebih ekonomikal, beliau menjelaskan Putrajaya tidak mempromosikan perlumbaan haram tetapi cuba untuk mengekangnya dengan menyediakan kaedah alternatif. Beliau berkata kerajaan sebelum ini pernah mengadakan perlumbaan di dalam litar tertutup tetapi respons orang awam terhadap perkara tersebut kurang mendapat sambutan, di mana ia menjadi sebab mengapa mereka kembali berlumba haram di jalan raya. “Kami tidak mahu perlumbaan haram, tetapi kami mahu mereka berlumba di tempat yang telah ditentukan. Jika mereka mahu berlumba, tidak mengapa tetapi kami akan memberikan mereka tempat di mana kita boleh mengawal dengan halangan keselamatan dan lain-lain. Kami akan mengawal situasi kerana kami sedar ini merupakan hiburan buat mereka. Mereka tidak ada jalan lain untuk menghiburkan hati kerana faktor kos yang tinggi,” kata beliau. Tengku Adnan berkata beliau akan merujuk kepada pihak yang berkaitan di dalam kerajaan dan keluar dengan program mengekang isu lumba haram. “Kami akan menyediakan tempat yang selamat dan mungkin kami akan mengadakan pesta, di mana kami akan menyediakan trak yang menjual makanan serta perkara lain yang akan membantu mereka. Ini tidak menggalakkan, tapi anda akan lihat, kami mahu tengok apa yang orang suka,” jelas beliau. Apa pendapat anda dengan idea mengadakan perlumbaan di dalam bandar ini? adakah ia akan mengekang lumba haram atau sebaliknya? Kongsikan pendapat anda pada ruangan komen dibawah.
Polestar bakal membina enjin empat-silinder, 2.0 liter berkuasa 450 hp lebih efisien pada masa akan datang
Divisi perlumbaan dan prestasi tinggi Volvo – Polestar, mempertimbangkan penggunaan enjin empat silinder yang berkapasiti lebih kecil dan lebih efisien. Menurut AutoExpress, walaupun kapasitinya berkurang, Polestar akan memastikan enjin tersebut berkuasa lebih dari 450 hp. Model Polestar sebelum ini seperti S60 dan V60 menggunakan enjin petrol T6 3.0 liter enam-silinder. Enjin tersebut menjana kuasa 345 hp dan tork 500 Nm. AutoExpress turut berkata mereka telah menguji prototaip Polestar berkuasa 450 hp pada 2014, dan percaya ia mampu dilakukan oleh jenama Sweden itu pada model berprestasi tingginya yang akan datang. Enjin 2.0 liter empat-silinder terbaharu yang akan ditala sehingga 450 hp tersebut mungkin menggunakan enjin Drive-E terkini Volvo. “Ini merupakan salah satu cara untuk Volvo menunjukkan yang barisan enjinnya kini mempunyai potensi untuk berkembang,” kata Olle Fast, pengurus penjana kuasa Volvo. Dalam peringkat talaan tertinggi, enjin T6 E-Drive didalam Volvo XC90, S90, dan V90 menghasilkan kuasa 320 hp dan tork 400 Nm. Dalam varian enjin berkembar Hybrid T8, kuasa ditingkatkan lagi kepada 407 hp dan tork 640 Nm. Berdasarkan maklumat ini, ia merupakan sesuatu yang istimewa dari Polestar untuk mengekstrak kuasa 450 hp hanya dengan janaan petrol. Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Polestar mungkin menggunakan kuasa hibrid untuk modelnya yang akan datang. “Volvo merupakan pengeluar besar untuk plug-in hybrid. Kami banyak bekerja untuk teknologi ini supaya kami boleh pergi ke arah yang berlainan dari jenama lain,” kata pengurus produk Volvo Lars Lagstrom apabila beliau menimbulkan persoalan kepada umum berkenaan perkara ini pada Ogos lepas. Tiada dakwaan selanjutnya yang dibuat oleh AutoExpress berkenaan model berprestasi tinggi Polestar seterusnya, selain dari ia akan keluar dengan model S60 dan V60 generasi selepas ini. Kami boleh mengatakan ia pasti ada versi Polestar untuk model XC90, S90 dan V90.
Mitsubishi Malaysia naikkan harga hingga RM8.5k
Pada November 2015 lalu, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah pun mengumumkan kenaikan harga bagi semua modelnya efektif suku pertama 2016. Kenaikan harga ini didorong oleh faktor susut nilai mata wang Ringgit yang memberikan kesan terhadap kos keseluruhan pembuatan kenderaan. “Disebabkan perkara ini, MMM akan terus menawarkan promosi jualan yang menarik buat para pelanggan kami. Malah kami juga akan kekal komited kepada semua rakyat Malaysia untuk memastikan pengalaman pemilikan yang diingini dan kereta yang memberikan nilai pada wang,” ujar CEO MMM Yang Won-Chul. Mitsubishi ASX unit CKD alami sedikit perubahan, lonjakan harga yang lebih tinggi bagi Triton yang diimport dari Thai Kadar penstrukturan harga baharu ini telah pun diumumkan. Tiada perubahan buat Mirage, seakan memberikan gambaran model penambahbaikannya seperti yang diwar-warkan sejak kebelakangan ini bakal tiba tidak lama lagi. Pajero lama pula telah digugurkan dari barisan model tempatan, dan Attrage pula kini hanya ditawarkan untuk satu spesifikasi sahaja iaitu GS, tiada lagi SE. Untuk Attrage GS 2016, ia berharga sekitar RM75k, namun difahamkan varian ini mungkin lebih atau lebih kurang sama, tetapi tanpa lampu nyalaan siang LED. Manakala harga ASX pemasangan tempatan pula tidak begitu banyak berbeza, sementara Triton yang diimport dari Thailand pula mengalami lonjakan harga yang lebih besar. Carta di atas ada senarai harga penuh bagi semua barisan model Mitsubishi yang sedia ada ditawarkan di Malaysia. Kelemahan nilai ringgit pada tahun lalu mendorong kebanyakan pengeluar kenderaan meningkatkan harga jualan masing-masing. Antara jenama yang menaikkan harga ialah Honda, Toyota, Lexus, Kia, Peugeot, Citroen dan Audi. Malah Proton turut menaikkan kadar harga sehingga 4.6%.
Enjin VTEC Turbo 1.5L Honda lebih berkuasa dari apa yang didakwa Honda, lebih laju dari Civic Si 2015
Hondata – syarikat pengeluar kotak komputer enjin (ECU) berprestasi tinggi khas untuk kereta jenama Honda mendedahkan, Honda Civic EX Generasi ke-10 menghasilkan kuasa yang lebih tinggi dari yang ditulis dalam brosur tanpa apa-apa pengubahsuaian apabila diuji di atas mesin dynometer. Honda mendakwa, enjin 1.5 liter VTEC Turbo itu menghasilkan kuasa maksima 174 hp dan tork maksima 220 Nm, hampir sama dengan spesifikasi Civic 2016 spesifikasi Thailand. Namun agak mengejutkan setelah diuji sendiri oleh pihak Hondata di atas mesin dynometer, menyaksikan enjin tersebut berupaya menjana kuasa 177 hp dan tork 258 Nm – 3 hp lebih dan 38 Nm lebih berkuasa dari jumlah sebenar yang diberitahu Honda. Ada beberapa faktor yang mungkin menyebabkan bacaan kuasa ini bercanggah. Pertama, ujian yang dijalankan oleh Honda untuk mengira kuasa enjin tersebut ialah ujian terus pada mesin dyno enjin tanpa unit transmisi. Pada ujian ini, Civic tersebut diuji dengan unit transmisi CVT, membuatkan bacaan yang tepat lebih sukar untuk diperoleh. Torque converter yang terpasang pada unit CVT mungkin boleh memberikan bacaan tork yang lebih tinggi. Hondata juga menjalankan ujian prestasi di mana mereka menjalankan perlumbaan drag di antara Civic 2016 varian EX dan Civic 2015 varian Si (Si adalah varian tertinggi Civic spesifikasi US di mana ia dikenali sebagai varian berprestasi tinggi dan digemari sebagai platform ubahsuai menggantikan varian Type-R). Walaupun Civic Si lebih berkuasa dengan enjin 2.4 liter DOHC i-VTEC yang mampu menjana 205 hp, tetapi dengan tork yang kuat dari Civic EX 2016 mampu menewaskan pencabarnya walaupun dalam mod Eco. GALERI: Honda Civic 2016 spesifikasi Amerika Syarikat 2016 Honda Civic Sedan 2016 Honda Civic Sedan 2016 Honda Civic Sedan 2016 Honda Civic Sedan 2016 Honda Civic Sedan 2016 Honda Civic Sedan 2016 Honda Civic Sedan 2016 Honda Civic Sedan 2016 Honda Civic Sedan
Kerajaan tidak cadang kaji harga minyak secara mingguan ekoran orang ramai tidak bersetuju
Walau pun sesetengah persatuan dan pengusaha stesen minyak mendesak agar pihak kerajaan mengkaji harga minyak secara mingguan, namun buat masa ini ia tidak akan dilaksanakan. Menurut Timbalan Menteri Kewangan Datuk Johari Abdul Ghani, cadangan tersebut dilihat tidak bersesuaian untuk dilaksanakan setakat ini kerana ia tidak dipersetujui oleh orang ramai. “Kita tidak boleh melaksanakan perkara yang orang ramai tidak setuju walau pun perkara ini dibangkitkan oleh sesetengah persatuan atau pengusaha stesen minyak. Perkara itu tidak bersesuaian buat masa sekarang,” katanya. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini berkata tidak ada keperluan bagi pengubahsuaian seterusnya Bajet 2016 buat masa ini kerana harga minyak mentah dijangka stabil sekitar US$30-US$40 setong. Perdana Menteri berkata, kerajaan mungkin menimbang mengubahsuai bajet sekiranya harga minyak jatuh di bawah US$30 setong.
Subaru Forester 2016 CKD mula diproduksi di Malaysia – dua varian dijadualkan untuk Q2 2016
Fuji Heavy Industries (FHI) telah mengumumkan produksi bagi model facelift Subaru Forester unit CKD akan dimulakan di kilang Tan Chong, Segambut. Forester kini menyertai model crossover XV, yang diproduksi di tempat yang sama sejak Disember 2012. TCS merancang untuk memasang sejumlah 10,000 unit Forester setahun. Berdasarkan imej di atas, unit CKD ini bakal menerima model 2.0 liter NA dengan dua varian iaitu 2.0i dan 2.0i-P. Pada November 2015, Forester facelift dengan penyamaran, dikesan sedang diuji di jalan raya di Malaysia, menambahkan lagi desas-desus mengenai model ini yang akan dilancarkan di sini. Forester facelift diperkenalkan di Tokyo Motor Show 2015 lalu. Perubahan pada model facelift ini hanya sederhana, terdapat beberapa peningkatan elemen berbanding model sedia ada. Bagi luarannya, ia hanya diberi sedikit gaya yang berbeza pada gril hadapan dengan bampar baharu (2.0i-P dilihat mengekalkan bampar hadapan varian sebelum ini XT), lampu nyalaan siang berbentuk-C serta lampu belakang dan roda yang diberi penambah baikan. Untuk bahagian dalam, ia dilengkapi dengan panel instrumen baharu bersama paparan pelbagai-informasi LCD berwarna. Selain itu, terdapat beberapa elemen yang dipertingkatkan termasuk menampilkan material kulit. Selain itu, ia juga dilengkapi dengan sistem navigasi SD dan fungsi memori untuk tempat duduk pemandu. Bagi sudut mekanikalnya, Forester turut menambah baik casis AWD dan NVH bagi pengendalian yang lebih dinamik dan selesa. Peningkatan ini termasuk memantapkan lagi casis, menggunakan kaca pintu yang lebih tebal dan menambah baik kotak gear Lineartronic CVT. Di bawah hudnya, dijangkakan ia bakal memilih enjin petrol 2.0 liter aspirasi-natural (150 PS/198 Nm) yang dipadankan dengan kotak gear Lineartronic CVT. Pilihan pengecas turbo yang lebih berkuasa turut ditawarkan, dengan kuasa 240 PS dan tork 350 Nm. Subaru Forester pemasangan tempatan dijangka akan dijual mulai suku kedua (Q2) tahun ini di Malaysia, Thailand dan Indonesia, antara Mac-Mei 2016. Pada majlis memulakan produksinya. Timbalan Presiden FYO Jun Kondo berkata, “FHI akan meneruskan kerjasama dengan Tan Chong International untuk menambah baik jualan Subaru di rantau Asia.”
Disiplin yang tinggi dan 5S faktor kejayaan Perodua
Walaupun Proton lebih dominan dengan gelaran pembuat kereta nasional, Perodua sebagai ‘anak kedua’ mendahului pasaran kereta tempatan selama 10 tahun sehingga sekarang. Walaupun sangat selesa dengan kedudukan kini, tiada tanda-tanda Perodua akan ‘goyang kaki’ dan berpuas hati dengan kedudukan mereka sekarang yang dibuktikan melalui sasaran jualan yang semakin meningkat, begitu juga dengan rekod jualan. Apa kelebihan utama Perodua yang membuatkan ia kompetitif? Di samping mengetahui apa yang majoriti pembeli kereta di Malaysia mahu, kecekapan dari rakan kongsi Perodua iaitu Daihatsu turut menyumbang kepada kelebihan tersebut. Kecekapan yang dibawa ialah disiplin, dan ia membolehkan syarikat tersebut berkembang dengan pesat di dalam industri, kata Presiden Perodua Auto Corporation Sdn Bhd (PCSB) Yasumitsu Morita. PCSB yang menguruskan operasi pengeluaran Perodua masih lagi mengembangkan pangkalan mereka di Sungai Choh, Rawang. Terdapat dua kilang di sana, di mana kilang lama memproduksi Myvi dan Alza, dan kilang baharu Perodua Global Manufacturing memasang Axia. Dijalankan dengan asas yang sama daripada segi teknologi dan proses seperti Daihatsu Kyushu iaitu kilang utama Daihatsu di Jepun, PGM yang berharga RM1.3 bilion telah mula beroperasi sejak ogos 2014. Tetapi ia hanya dilancarkan secara rasmi bulan lalu. Morita-san berkata kilang Perodua telah mempraktiskan Dojo, yang bermaksud “rumah untuk latihan”, bagi menjaga kualiti dan standard servis. Beliau juga berkata syarikatnya mengimplimentasikan organisasi 5S ditempat kerja yang terdiri daripada lima perkataan Jepun iaitu seiri (sisih), seiton (susun), seiso (sapu), seiketsu (seragam) dan shitsuke (sentiasa amal), untuk mewujudkan persekitaran tempat kerja yang selesa untuk semua. Percaya pada prinsip kepimpinan melalui teladan, “Saya dan Zainal akan menunggu seawal 7.30 pagi untuk menyambut pekerja kami di pintu masuk utama,” kata beliau merujuk kepada Timbalan Presiden PCSB Zainal Abidin Ahmad, yang juga hadir sebagai pensyarah kepimpinan yang dijalankan oleh Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) di Universiti Teknologi Malaysia KL. Amalan sedemikian adalah sebahagian inisiatif Perodua untuk mengekalkan disiplin, dan ia akan menghasilkan kejayaan, kata Morita-san seperti yang dilaporkan Bernama. Beliau juga menasihati para pelajar agar berfikiran terbuka, sedia untuk menerima perubahan dan percaya dengan kebolehan diri sendiri untuk mencapai kejayaan. Tahun lalu, Perodua merekodkan jualan tahunan tertinggi dengan 213,300 unit, bersamaan sekitar 32% dalam bahagian pasaran di Malaysia. Perodua mensasarkan 216,000 untuk 2016, dan jika berjaya dicapai, ia merupakan rekod tertinggi untuk mereka.
Tiada kereta sifar-bintang mulai 2020 – NCAP Global
Setiausaha Agong World NCAP, David Ward, baru-baru ini berkata pada Autocar UK, pertubuhan global tersebut mahu semua kereta dengan sifar-bintang tiada menjelang tahun 2020. Ward percaya bahawa hujah yang dikemukakan oleh pengeluar kenderaan yang mempertahankan model-model dengan sifar-bintang ini adalah sebagai tindakan yang “tidak masuk akal”, selain menafikan pembeli kereta hanya mahukan keselamatan asas sebagai standard sahaja. “Alasan tersebut dikemukakan oleh beberapa pembuat kereta kerana mereka perlu menghasilkan kenderaan yang murah untuk menarik minat pembeli, selain mengelakkan pembeli membeli motosikal, tetapi tiada bukti sokongan terhadap alasan tersebut,” ujar Ward lagi. “Pembeli kereta perlukan keselamatan asas sebagai standard, dan kos pula tidak begitu besar, sama ada melalui kejuruteraan platform global yang lebih baik atau melabur sebanyak USD$50 (RM210) untuk beg udara. Hujah yang dikemukakan itu adalah sangat tidak masuk akal,” tambahnya lagi. World NCAP agak kesal dengan pengeluar-pengeluar yang rela menghasilkan kereta yang gagal mematuhi sekurang-kurangnya peraturan UN 924, walau pun bagi menampilkan satu “struktur pelanggaran yang ringkas dan satu beg udara”. Model kenderaan yang dihasilkan oleh Hyundai, Datsun dan Tata bagi pasaran Brazil dan India telah menerima kritikan keras dari organisasi ini sejak beberapa tahun. Ia dijangka berubah, dan Ward turut berkata bersama peraturan yang telah diperketatkan di pasaran tersebut, pastinya kadar penjualan akan meningkat. “Pengguna kini lebih memahami apa yang diperlukan, dan pembuat kereta yang tidak menawarkan waima elemen yang minimum mungkin akan dilabelkan sebagai ‘kegagalan dalam komersial’,” jelasnya lagi. Bertentangan dengan laporan penerbitan Inggeris tersebut tidak lama dahulu, di mana CEO General Motors Mary Barra telah mempertahankan pendirian syarikatnya yang tidak meletakkan beg udara bagi sesetengah modelnya yang dijual di Amerika Latin. “Terdapat banyak kes di mana apabila melebihi standard, ia kurang mendapat sambutan memandangkan harganya yang agak tinggi. Jadi orang di sana kurang berkemampuan untuk membelinya. Membuatkan keinginan untuk memiliki kenderaan tidak tercapai,” tegasnya.
Fasa pertama jajaran MRT Sungai Buloh-Kajang di landasan dijangka mula beroperasi akhir 2016
Perkembangan terkini mengenai fasa pertama projek Transit Aliran Berkapasiti Tinggi (MRT) bakal menyaksikan jajaran Sungai Buloh-Kajang (SBK) antara Sungai Buloh dan Semantan dijangka memulakan operasi pada akhir tahun ini. Menurut Pengarah Projek Jajaran SBK Marcus Karakashian, pihaknya sedang menunggu pembukaan fasa pertama pada hujung tahun ini. “Kerja-kerja pembinaan trek di pintu masuk sudah siap dan sebuah tren elektrik sedang diuji di landasan antara stesen Sentral dan Surian. Manakala stesen-stesen bawah tanah pula sedang dilengkapi peralatan elektrik dan mekanikal,” katanya. Manakala ujian bersepadu berkemungkinan dijalankan pada September. Tambahnya lagi, masih ada banyak lagi kerja-kerja pembinaan yang masih perlu disiapkan. Namun mengesahkan fasa pertama ini berlangsung mengikut jadual.
Volkswagen up! dan Polo dapat sistem BeatsAudio baharu – sesuai untuk generasi media sosial
Kerjasama antara pembuat kenderaan Jerman dan pakar audio terkemuka Amerika BeatsAudio, telah menghasilkan sistem audio premium baharu yang dipasang pada dua buah kenderaan. Model facelift Volkswagen up! dan Polo telah menerima padanan sistem bunyi baharu itu, yang disasarkan untuk golongan muda khususnya generasi media sosial. Ia bakal dipamerkan di Geneva Motor Show 2016 minggu hadapan. Sistem ini mengandungi tujuh loudspeakers berteknologi tinggi, dua tweeter pada tiang-A, dua woofer di bahagian hadapan, dua broadband loudspeakers di belakang dan subwoofer yang disambung pada bahagian tempat simpanan tayar ganti. Sebagai tambahan, 300-watt, lapan-saluran amplifier dan prosesor isyarat digital juga turut ditampilkan. Bukan itu sahaja, terdapat beberapa elemen luaran tambahan turut disertakan. Bagi up!, ia turut dilengkapi dengan pelekat rekaan istimewa “beats”, perumah cermin sisi dengan warna kontras dan rim aloi “Radial” 15-inci. Bahagian dalamnya pula, dipadankan dengan pad pemuka rekaan khas, roda stereng pelbagai-fungsi, plat ambang pintu khas dan tali pinggang keledar berwarna. Sementara bagi Polo pula, ia didatangkan dengan gril radiator hitam berkilat, pintu cermin berwarna dan rim aloi “Syenit” 16-inci baharu. Pada bahagian dalamnya pula, ia ditambahkan dengan rekaan tempat duduk “beats” khas dan kekemasan panel pintu bersama roda stereng balutan kulit dan tali pinggang keledar berwarna. Menurut Ahli Lembaga Pengurusan Kereta Penumpang Volkswagen yang bertanggungjawab dalam Jualan, Pemasaran dan Selepas Jualan, Jürgen Stackmann, “Hampir tidak ada jenama yang menampilkan gaya hidup bagi generasi Facebook seperti ‘Beats’, maka up! baharu ini sangat sesuai untuk hiburan dan mobiliti moden.” GALERI: Volkswagen up! beats GALERI: Volkswagen up! facelift
201,686 memandu tanpa lesen pada tahun 2014 dan 2015, termasuk pelajar sekolah – PDRM
Menurut laporan Utusan Malaysia hari ini, sebanyak 201,686 saman atas kesalahan memandu tanpa le­sen telah dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap golongan remaja yang berusia antara 11 hingga 20 tahun yang sebahagiannya dipercayai pelajar sekolah di seluruh negara sepanjang tahun lalu dan 2014. Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mahamad Ak­hir Darus berkata, pada tahun lalu sahaja, sebanyak 99,782 saman telah dikeluarkan, sedikit menurun jika dibandingkan pada tahun 2014 iaitu mencecah 101,904 saman. Katanya lagi, berdasarkan saman memandu tanpa lesen mengikut pecahan umur, sebanyak 16,862 saman dikeluarkan kepada remaja berusia 11 hingga 15 tahun sepanjang dua tahun itu sementara 184,824 lagi untuk golongan tersebut yang berumur 16 hingga 20 tahun. “Daripada 16,862 saman untuk remaja berusia 11 hingga 15 tahun itu, sebanyak 8,467 saman dikeluarkan pada tahun lalu sementara selebihnya pada tahun 2014. “Bagi remaja berusia 16 hingga 20 tahun pula, sebanyak 91,315 saman dikeluarkan untuk tahun 2015 dan 2014 pula sebanyak 93,509,” katanya. Manakala bagi ke­salahan memandu tanpa lesen turut dilakukan golongan muda berusia 21 hingga 25 tahun yang menerima sejumlah 158,296 saman bagi tahun lalu dan 2014. Bagi golongan berusia 26 hingga 30 tahun pula menerima 127,798 saman pada kedua-dua tahun itu sementara golongan 31 tahun ke atas mendapat 145,429 saman bagi tempoh yang sama. “Keseluruhan saman yang dikeluarkan untuk kedua-dua tahun bagi kesemua golongan itu ialah 633,209 saman,” ujarnya lagi. Semalam, media melaporkan PDRM mahu mengemukakan cadangan untuk tidak lagi mengenakan kompaun bagi pemandu yang memandu tanpa lesen, sebaliknya terus mendakwa mereka di mahkamah. Ia adalah sebagai usaha untuk memastikan semua pengguna jalan raya mempunyai lesen memandu dan tidak mengambil mudah tanggungjawab tersebut.
Haval M4 Elite dilancarkan di Malaysia, harga RM73k; Great Wall Motors kini dikenali sebagai Haval
Haval M4 Elite, yang diberi aksesori tambahan dari model Haval M4 (sebelum ini dikenali sebagai Great Wall M4), telah pun dilancarkan pagi ini. Ia merupakan salah satu bagi varian Haval M4 selain Comfort dan Premium. M4 Elite hanya ditawarkan bagi transmisi automatik AMT enam-kelajuan sahaja. Sebaliknya, varian Comfort dan Premium turut ditawarkan dengan transmisi manual lima-kelajuan. Semua varian dijanakan oleh enjin 1.5 liter aspirasi-natural VVT MPI empat-silinder yang mampu menyalurkan kuasa sehingga 105 hp pada 6,000 rpm dan tork 138 Nm pada 4,200 rpm. M4 Elite ini tampil dengan beberapa perubahan gaya yang lebih ranggi termasuk menampilkan lampu utama projektor halogen baharu dengan lampu posisi LED serta lampu nyalaan siang (DRL) LED. Ia juga dipadankan dengan gril hadapan haksagon baharu dengan rekaan ‘sarang lebah’ yang lebih bergaya. Selain itu, ia turut dipadankan dengan rim aloi pelbagai-jejari 16-inci yang dibaluti tayar 205/60R16 dan rel bumbung. Bagi bahagian kabinnya, ia turut dilengkapi dengan tempat duduk balutan kulit dengan kombinasi warna merah-hitam, perakam video yang terletak di bawah cermin pandang belakang, sistem navigasi bersama skrin sesentuh dengan pemain DVD dan sambungan Bluetooth, paparan pandangan-sekeliling (AVM), konsol tengah, pembaca SmartTag dan butang kawalan audio pada roda stereng. Tidak seperti varian Premium, Elite tidak disertakan dengan kamera undur (kerana sudah ada AVM). Tidak mengenepikan aspek keselamatan, M4 Elite ini turut dilengkapi dengan dua beg udara, ABS dengan EBD dan bantuan brek, ESP, kawalan cengkaman, Battery Alert System dan Bantuan Mula Mendaki. Kesemua varian M4 ditawarkan dengan enam pilihan warna iaitu merah, oren, hitam, putih, biru dan kelabu. Namun jika para pelanggan mahukan warna yang berbeza dan mengikut citarasa, ia turut menawarkan pakej ‘wrapped’ dengan harga yang akan dimaklumkan kelak. Bagi varian M4 Elite, harga (atas jalan tanpa insurans) yang ditawarkan ialah R72,339.41. Manakala bagi varian lain pula, ia berharga (tanpa insurans) RM52,688 (Comfort MT), RM59,519 (Premium MT), RM59,697.69 (Comfort AT) dan RM65,532.33 (Premium AT). Mulai Februari 2016, ia turut ditawarkan dengan waranti pengeluar selama tujuh tahun dengan perbatuan tanpa had. Untuk promosi tiga hari ini (26-28 Februari 2016), pembeli M4 Elite juga akan menikmati rebat insurans atau baucer servis sehingga 25,000 km. Menurut pengedar eksklusif bagi Great Wall Motors dan kenderaan Haval di Malaysia, GO Auto, mensasarkan jualan sebanyak 1,500 unit bagi M4 Elite di pasaran domestik bagi tahun ini. Kenderaan Haval merupakan unit pemasangan tempatan (CKD) yang dipasang di kilang pemasangan milik GO Auto di Gurun, Kedah. GO Auto turut mengumumkan, bagi meneruskan transformasi global GWM, kini GWM Malaysia dikenali sebagai Haval Malaysia. Setakat kini, Haval Malaysia mempunyai dua cawangan dan 19 pusat 3S. Foto rasmi Haval M4 Elite
Mazda CX-5 facelift dilancarkan di Thailand
Mazda CX5 facelift telah dilancarkan di Thailand, menampilkan rupa paras baharu yang ditingkat taraf serta beberapa teknologi baharu. SUV tersebut datang dengan empat varian iaitu 2.0 C, 2.0 S, XD dan XDL. Varian 2.5 kini telah digugurkan dalam barisan varian CX-5. CX-5 2.0 C dan 2.0 S, ia dikuasakan dengan enjin petrol 2.0 liter empat-silinder Skyactiv-G berkuasa 165 PS dan tork maksima 210 Nm. Varian XD dan varian XDL pula dikuasakan dengan enjin turbodiesel 2.2 liter Skyactiv-D. Kesemua varian enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan Skyactiv-Drive yang datang dengan suis penukar mod pemanduan (mod Sport). Hanya varian XDL dilengkapkan dengan sistem pacuan empat-roda sementara varian lain kekal dengan pacuan roda-hadapan. Dapat disaksikan perubahan pada bahagian luaran CX-5 ini melibatkan gril hadapan baharu, lampu hadapan LED baharu, lampu belakang, lampu kabus dan lampu nyalaan siang (DRL). Walau bagaimanapun, untuk varian 2.0 C tiada DRL dan teknologi LED dilengkapkan pada sistem lampu. Varian petrol dipadankan dengan roda bersaiz 17-inci manakala untuk varian diesel, roda bersaiz 19-inci yang lebih besar dipadankan. Pada bahagian dalaman pula, semua varian dilengkapi tempat duduk pemandu boleh dilaras lapan-cara dengan larasan power lumbar. Sistem MZD connect Mazda terkini juga dilengkapkan dalam CX-5 ini. Untuk varian diesel, sistem infotaimennya dihubungkan kepada sembilan-speaker Bose dengan sistem surround sound manakala untuk varian petrol hanya enam-speaker dibekalkan. Untuk teknologi baharu, hanya varian XDL dilengkapi pakej sistem i-ActiveSense Mazda, yang merangkumi lampu hadapan LED Adaptif (ALH) yang membahagikan cahaya lampu tinggi kepada beberapa unit dan mematikan atau menghidupkan lampu secara individu ketika berselisih dengan pemandu lain. Komponen lain di dalam pakej tersebut termasuk sistem amaran Lane Departure, sistem Lane-Keep Assist, Smart City Brake Support (depan dan belakang) serta Driver Attention Alert. Untuk varian tanpa pakej i-ActiveSense, ia masih lagi dilengkapi dengan sistem Advanced Blind Spot Monitoring, Rear Cross Traffic Alert, ABS, beg udara, Kawalan Stabiliti Dinamik, Bantuan Mula Mendaki, dan sistem pantauan tekanan angin tayar. CX-5 XDL dijual dengan harga 1.69 juta baht (RM199,657), sementara XD dijual dengan harga 1.53 juta baht (RM180,754). Untuk varian diesel ia dijual dengan harga lebih murah dari sebelum ini kerana sistem percukaian baharu Thailand yang berdasarkan kadar emisi C02. Untuk model petrol pula ia dijual dengan harga 1.22 juta baht (RM144,130) untuk varian 2.0 C dan 1.33 juta baht (RM157,126) untuk varian 2.0 S. GALERI: Mazda CX-5 2.5L 4WD CKD (spesifikasi-Malaysia)
Yamaha MT-09 2016 bakal dijual di Malaysia mulai Mac ini – warna baharu, dengan tag harga RM45k
Hong Leong Yamaha telah mengumumkan harga bagi Yamaha MT-09 2016 ialah RM44,653, iaitu tiada perubahan harga dari tahun 2015. MT-09 2016 kini didatangkan dengan dua warna baharu iaitu Grey Night Fluo dan Silver Grey & Race Blu. MT-09 turut didatangkan dengan enjin 847 cc tiga-silinder, cecair-penyejuk, DOHC, empat-injap dengan bingkai die-cast aluminium diamond, bersama kotak gear enam-kelajuan. Kuasa yang dihasilkan ialah 115 hp pada 11,500 rpm dengan tork 87.5 Nm. Sistem ABS dan Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) adalah standard untuk model CBU, tetapi ia tidak dilengkapi pada model pemasangan tempatan (CKD). Aksesori tambahan adalah seperti yang terdapat di dalam katalog Yamaha, termasuklah sistem ekzos titanium dan rear carrier. Yamaha MT-09 2016 ini akan boleh didapati di pasaran Malaysia mulai Mac ini. Yamaha turut mengumumkan pengenalan MT-10 dan MT-07 Moto Cage Night Fluo di pasaran UK.
GALERI: Ford S-Max – generasi kedua di bilik pameran SDAC, bakal dilancarkan tidak lama lagi
Ford S-Max generasi kedua dijangka bakal dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi. Model dengan kod nama CD539E ini telah pun dipamerkan di bilik pameran SDAC di Petaling Jaya. Seperti mana model terdahulu, S-Max generasi pertama, MPV tujuh-tempat duduk baharu yang diperkenalkan di Paris pada tahun lalu, boleh didapati dengan penjana kuasa 2.0 liter EcoBoost dengan kuasa 240 PS dan 345 Nm yang pada dasarnya tidak berubah dari CD340. Penjana kuasa ini, yang turut menampilkan butang start/stop secara auto, juga dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan. Bagi pasaran Malaysia adalah model spesifikasi Titanium, di mana ia merupakan varian pertengahan di pasaran United Kingdom, dengan roda 17-inci (dan tayar 235/55) jika diikut pada konfigurasinya, dan model pasaran tempatan ini turut menampilkan unit rekaan unik dengan 10-jejari. Kit standard termasuklah sistem hiburan skrin sesentuh TFT lapan-inci dengan SYNC 2, sistem kawalan penghawa dingin elektronik dua-zon dan corong penghawa dingin belakang serta skrin TFT berwarna 10.1-inci pada kluster instrumen. Masih tidak lagi spesifikasi didedahkan, tetapi model tempatan ini kelihatan turut menampilkan beberapa elemen daripada senarai pilihannya. Termasuklah sistem audio Sony, dengan pertambahan dari empat-speaker ke lapan-speaker. Ia juga ditampilkan dengan kawalan pelarasan automatik tempat duduk hadapan dan tempat duduk balutan kulit pada unit yang dipamerkan pada S-Max di Malaysia yang turut dilengkapi dengan pilihan Titanium X-Pack. Di samping tempat duduk balutan kulit sepenuhnya dengan pelarasan 10-cara bagi tempat duduk pemandu dan lapan-cara bagi tempat duduk penumpang hadapan, pek ini juga didatangkan bersama lampu utama adaptif LED bersama pelarasan automatik. Tempat duduk hadapan turut dilengkapi dengan fungsi mengurut, beroperasi menerusi skrin sesentuh lapan-inci. Kita akan menantikan bilakan S-Max generasi kedua ini akan dilancarkan secara rasmi di negara kita. Malah harganya juga belum didedahkan, namun kemungkinan di antara RM230-RM240k, yang agak sedikit tinggi berbanding varian generasi pertama.
Nissan X-Trail kini dengan warna merah sempena CNY
Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) telah mengumumkan warna baharu bagi model Nissan X-Trail sempena dengan kedatangan Tahun Bahru Cina (CNY) iaitu merah yang dikenali sebagai Flaming Red yang membuatnya nampak lebih menyerlah. Pengarah Pemasaran dan Perancangan Produk ETCM, Tan Keng Meng berkata, “Dengan memperkenalkan pilihan warna ini, kami percaya ia menambah kemeriahan untuk Nissan X-Trail sempena sambutan CNY. Apabila memandu sebuah X-Trail berwarna merah, digabungkan pula dengan penggayaan premium, kemampuan off-road dan teknologi tercanggih, ia memberi kenyataan bagi mempamerkan personaliti yang bertenaga, tidak takut menyahut cabaran dan dinamik.” X-Trail boleh didapati di pasaran tempatan dalam dua varian iaitu 2.5L 4WD dan 2.0L 2WD. Model tertingginya, 2.5L 4WD dikusakan oleh enjin QR25DE-k2 dengan Twin CVTC yang mampu menawarkan kuasa maksimum 171PS pada 6,000rpm dan tork 233Nm pada 4,000rpm. Varian 2.0L 2WD pula menggunakan enjin MR20DD dengan sistem pancitan terus dan Twin CVTC, ia berupaya menjana kuasa sehingga 144PS pada 6,000rpm dan tork 200Nm pada 4,400rpm. Ditawarkan dalam unit terhad, Nissan X-Trail dengan warna Flaming Red ini ditawarkan pada harga RM159,164.06 untuk 2.5L 4WD dan RM136,976.96 bagi varian 2.0L 2WD (harga di atas jalan termasuk GST tanpa insurans di Semenanjung Malaysia). Nissan X-Trail ini hadir bersama jaminan selama tiga tahun atau perbatuan sejauh 100,000km (mana-mana tiba dahulu).
Puspakom lanjut waktu operasi sempena CNY
Demi memenuhi permintaan yang dijangka tinggi menjelang perayaan Tahun Baru Cina (CNY) tidak lama lagi, Puspakom bersedia melanjutkan waktu operasi di cawangan-cawangannya. Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mohammed Shukor Ismail berkata, “Kami telah membuat persediaan awal dan rapi bagi menghadapi kemungkinan peningkatan jumlah kenderaan yang datang untuk pemeriksaan di Puspakom.” Waktu operasi akan dilanjutkan pada hari Sabtu, 23 dan 30 Januari 2016, dari jam 8 pagi hingga 5 petang di cawangan-cawangan yang berikut: Sambungnya lagi, “Para pelanggan yang mempunyai tarikh luput pemeriksaan yang jatuh pada tarikh tersebut atau cuti umum CNY boleh mengambil kesempatan ini untuk membuat perancangan awal untuk pemeriksaan kenderaan mereka.” Malah sempena CNY ini juga, Puspakom turut menawarkan perkhidmatan Pemeriksaan Kenderaan Sukarela (Voluntary Vehicle Inspection-VVI) Percuma mulai 17 sehingga 29 Januari 2016. Ia meliputi 25 peringkat pemeriksaan untuk semua pemilik kenderaan persendirian. Pemilik kenderaan boleh menghantar kenderaan masing-masing untuk diperiksa di semua cawangan Puspakom di seluruh negara kecuali di cawangan Shah Alam, Mak Mandin dan Kota Bharu.
JPJ Selangor sita 65 kenderaan klon sejak 2015
Sindiket kenderaan klon nampak gayanya makin berleluasa di negeri Selangor. Malah semalam, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor telah mengeluarkan kenyataan telah menyita 65 buah kenderaan klon di negeri ini sejak 2015. Menurut Pengarah JPJ Selangor Nazli Md Taib kenderaan klon yang disita termasuklah kereta jenis BMW, Volkswagen, Toyota dan Subaru. Kenderaan ini diseludup masuk (ke Malaysia) dari Singapura oleh sindiket tertentu yang turut beroperasi di laman sosial terutama Facebook berikutan terdapat permintaan oleh pembeli di negara ini, laporan Bernama. “Kenderaan klon ini ditawarkan semurah RM4,000 ke RM5,000 bagi kereta jenis Toyota dan setiap harga yang ditawarkan itu adalah berbeza mengikut jenama serta jenis kenderaan berkenaan,” katanya. Nazli berkata kenderaan tersebut tidak mempunyai dokumen sah selain menggunakan nombor pendaftaran kenderaan yang didaftarkan di Malaysia. “Nombor pendaftaran yang digunakan oleh kenderaan klon ini ada yang masih aktif dan sah di jalan raya. Ada juga nombor pendaftaran yang digunakan tidak aktif atau telah dilupuskan pendaftaran oleh pemiliknya,” katanya. Beliau berkata JPJ bekerjasama dengan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mengenalpasti individu yang terlibat dalam sindiket kereta klon tersebut untuk tindakan selanjutnya. Nazli meminta kerjasama orang ramai yang memiliki kenderaan klon untuk menyerahkannya kepada JPJ kerana katanya memiliki kenderaan klon merupakan kesalahan di bawah Akta JPJ 1987.
Perodua belum ada perancangan untuk menaikkan harga Axia, Myvi dan Alza buat masa ini – Aminar
Awal tahun ini menyaksikan kenaikan harga bagi model-model di bawah jenama Honda, Toyota, Lexus, Kia, Peugeot, Citroen dan Audi. Malah Proton juga telah mengumumkan kemungkinan bakal mengambil langkah yang sama selepas Tahun Baru Cina ini. Namun, bagi Perodua, buat masa ini mereka masih belum ada perancangan untuk mengikuti jejak langkah yang sama. Menurut Presiden dan CEO Perodua Datuk Aminar Rashid Salleh, syarikatnya akan cuba bertahan untuk mengekalkan harga sedia ada selama yang termampu. Walau bagaimana pun, beliau turut berkata, kenaikan harga mungkin tidak dapat dielakkan sekiranya situasi pertukaran mata wang asing semakin parah. “Kami akan terus memantau sehingga ia memberikan kesan yang tidak dapat dielakkan, selepas itu, kami akan mengkaji semula (kenaikan harga). Setakat ini, belum ada perancangan mengenainya,” ujarnya ketika ditemui dalam sesi reviu prestasi tahunan syarikat semalam. Selain harga dan kos, beliau terus menyebut sebab apa Perodua wujud. “Kami sentiasa kembali ke dasar, bahawa objektif penubuhan Perodua adalah untuk menyediakan kenderaan-kenderaan berkualiti dan mampu milik. Sama ada kami menaikkan harga atau tidak, ia bergantung kepada banyak faktor. Kami sangat sensitif mengenainya,” beliau menambah. Aminar juga mendedahkan bahawa pengguna sekarang semakin memilih untuk memiliki kelainan bagi model Perodua. Meskipun begitu, Perodua menjangka permintaan untuk kereta-keretanya menjadi lebih kukuh pada tahun ini dan telah mensasarkan sebanyak 216,000 unit pada tahun ini. Perodua telah mencatatkan rekod jualan sebanyak 213,300 unit pada tahun lalu dengan penguasaan pasaran sebanyak 32%, menjadikannya sebagai pendahulu pasaran automotif Malaysia sejak sedekad yang lalu.
Peranti Penerimaan Kad Mudah Alih (MCAD) bakal digunakan oleh polis trafik bagi ganti saman bertulis
Saman bertulis tangan tidak lama lagi hanya sekadar tinggal ‘kenangan’ sahaja kerana bahagian trafik Bukit Aman akan memperkenalkan penggunaan Peranti Penerimaan Kad Mudah Alih (MCAD), laporan The Star. Peranti ini akan menggunakan MyKad pemandu dan akan disambungkan secara terus kepada bank data dalam talian. “Peranti ini akan membaca MyKad pemandu berkenaan dan polis trafik akan memasukkan input jenis kesalahan dan mencetak saman serta terus menghantar data kepada bank data dalam talian,” ujar Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman SAC Mahamad Akhir Darus. Buat masa ini, bahagian trafik hanya mempunya 600 buah alat yang boleh mengimbas MyKad tetapi dengan adanya MCAD sebanyak 3,700 unit yang bakal diterima, saman akan dapat dicetak secara serta merta. Dalam masa yang sama, menjelang Jun ini, polis trafik juga akan menggunakan sistem Pengesan Nombor Pendaftaran Automatik (ANPR) bertujuan memudahkan pihak polis mengesan kenderaan yang melakukan jenayah atau memiliki saman trafik.
10 jalan utama di ibu negara ditutup secara berperingkat mulai 22 Jan sempena Thaipusam
Sebanyak 10 jalan utama sekitar ibu negara akan ditutup secara berperingkat mulai 10 malam, Jumaat ini bagi memberi laluan perarakan “Pedati Perak” bersempena sambutan Thaipusam, menurut Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur DSP S. Markandan. Antara laluan terlibat ialah Jalan Sultan, Jalan Pudu, Jalan Tun Perak, Jalan Lebuh Ampang, Jalan Ampang, Jalan Munshi Abdullah, Jalan Dang Wangi, Sogo, Jalan Raja Laut dan Jalan Sri Amar. Menurut Markandan, “Perarakan pergi pada Jumaat akan bergerak dari Kuil Sri Maha Mariamman di Jalan Tun H.S. Lee dan melalui sepuluh jalan utama tersebut, kemudian ke Jalan Tun Razak (pusingan-U depan Bomba), Jalan Ipoh (Jalan Salleh), Jalan Kovil Hilir, Lorong Konvil Hulu, Jalan Perhentian, Jalan Ipoh, Jalan Ipoh Batu 5 dan Batu Caves.” Dalam masa yang sama, pihak Bukit Aman turut mengeluarkan kenyataan berhubung kawalan lalu lintas perarakan bersempena Thaipusam yang disambut pada Ahad ini (24 Jan), memetik laporan Bernama. Katanya perarakan pulang pula bermula 4 petang Isnin (25 Jan) dan dijangka berakhir pagi esoknya (26 Jan). Kumpulan perarakan akan bergerak dari Kuil Sri Subramaniar di Batu Caves, seterusnya melalui Jalan Ipoh, Batu 5, Jalan Perhentian, Lorong Konvil Hulu, Jalan Kovil Hilir, Jalan Tun Razak dan Jalan Ipoh. Markandan berkata laluan yang ditutup turut melibatkan Jalan Raja Laut, Jalan Dang Wangi, Jalan Munshi Abdullah, Jalan Ampang, Jalan Lebuh Ampang, Jalan Tun Perak, Jalan Sultan, Jalan Hang Kasturi, Jalan Hang Lekir dan Kuil Sri Maha Mariamman di Jalan Tun H.S Lee. “Penutupan jalan yang berakhir Selasa depan akan dilakukan mengikut pergerakan kumpulan perarakan dan dibuka semula kepada pengguna jalan raya setelah mereka selesai melalui jalan tersebut,” katanya. Oleh itu, orang ramai yang ingin melalui kawasan tersebut dinasihatkan supaya menggunakan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas pada hari berkenaan.
RON 100 di Malaysia – ketahui fungsinya
Pelancaran Petron Blaze 100 Euro 4M di Malaysia Jumaat lalu, telah menimbulkan sikap ingin tahu di kalangan pemandu. Selain daripada harga, ramai yang ingin mengetahui kelebihan dan kelemahan bahan api RON 100 ini. Antara soalan yang paling banyak diterima ialah adakah jumlah octane yang bertambah akan merosakkan enjin atau enjin perlu ditala semula. Mari memahami kejuruteraan kimia 101 untuk seketika. RON membawa maksud ‘Research Octane Number’. Nombor ini mewakili ‘knock-resistance’ bahan api. ‘Knocking’ di dalam istilah dunia automotif ialah pencucuhan pramatang atau peledakan. Di mana apabila bahan api di dalam kebuk pembakaran ‘meletup’ sebelum sepatutnya, ia akan memberikan ‘knocking’ atau ‘pinging’. Ia bukanlah petanda yang baik bagi enjin pembakaran, terutamanya yang menggunakan bahan api petrol. Jika ia terjadi, ia akan menyebabkan kos yang tinggi untuk membaiki (overhaul) enjin tersebut. Bagi enjin prestasi tinggi, nisbah mampatan tinggi yang berfunsi lebih cenderung kepada ledakan apabila menggunakan bahan api dengan RON yang rendah. Ia mungkin akan ‘menyentakkan’ enjin terbabitkan kerana mampatan yang rendah mungkin boleh menjejaskan enjin berkenaan. Bagi kebanyakan enjin moden, dengan Programmable Fuel Injection (PGM-FI), ia boleh menggunakan bahan api dengan RON yang paling rendah termasuk 88 dan yang paling tinggi iaitu 103. Tetapi, jika pengeluar enjin terbabit mengklasifikasikan enjin tersebut sebagai prestasi tinggi, dengan omboh mampatan tinggi atau pengecas turbo, RON yang minimum akan ditetapkan bagi mengelakkan ledakan dan kerosakan pada enjin. Bagi enjin lama yang dihidupkan oleh karburetor, ledakan sering terjadi dengan RON yang lebih rendah kerana peningkatan karbon di kebuk pembakaran membenarkan ‘hot-sport’ untuk membangun dan menciptakan keadaan di mana ledakan boleh terjadi, terutamanya jika di bawah panas terik matahari atau di bawah bebanan. ECU akan merekodkan bacaan dari pengesan knocking (ketukan) jika ledakan terjadi, dan melambat atau mempercepatkan pemasaan pencucuhan sewajarnya. Ada satu had bagi tahap pelarasan yang ditentukan oleh pengeluar dengan meletakkan pelekat pada penutup tangki minyak dengan menyatakan minimum bahan api RON yang boleh digunakan. Perkara lain yang bersangkut-paut dengan kapasiti tenaga yang terkandung di dalam bahan api dan yang dilepaskan ialah apabila ia menjalani proses pembakaran. Maka, jumlah kuasa boleh didapati daripada nyalaan bahan api dengan bilangan nombor yang tidak terhingga dan biasanya RON tidak mempengaruhi keadaan sedemikian. Apa yang dimaksudkan dengan nombor-nombor RON yang tinggi ialah keupayaan menjana enjin tersebut dengan nisbah-nisbah mampatan tinggi dan menjalankan pemasaan pencucuhan. Bagaimana pun, nisbah mampatan tinggi biasanya bermaksud jumlah kebuk pembakaran sangat kecil, yang membawa kepada peledakan. Jadi, adalah suatu yang normal apabila enjin empat-silinder aspirasi-normal memerlukan petrol RON 100? Kemungkinan tidak, kerana kos bahan api akan menjadi lebih berat disebabkan penambahan kuasa. Bukan semua enjin turbo moden akan memerlukan bahan api dengan RON yang tinggi kerana peningkatan tekanan dan saiz kecekapan daripada prestasi tidak diperlukan. Adakan ECU perlu ‘dibaca’ semula atau enjin perlu ditala semula hanya kerana menggunakan RON 100? Sekali lagi, mungkin tidak kerana ECU akan mempercepatkan pencucuhan bagi mengelakkan ledakan. Manfaat menggunakan RON 100 terutamanya bagi enjin yang sangat berprestasi tinggi, berat bebannya akan membenarkan enjin berhadapan dengan mampatan tinggi yang menghasilkan jumlah kuasa (output) yang sangat besar. Sebaliknya, jika menggunakan bahan api RON yang lebih rendah pada enjin prestasi tinggi, ia boleh menyebabkan kebolehpercayaan mengeluarkan output yang kurang memberangsangkan, walau pun ia mungkin tidak akan merosakkan enjin. Namun adalah diperlukan untuk talaan enjin, melainkan ia disarankan oleh pengeluar kenderaan terbabit iaitu perlu menggunakan bahan api RON yang tinggi. Apa yang penting, enjin-enjin prestasi tinggi sebenarnya mempunyai manfaat apabila menggunakan bahan api dengan RON yang lebih tinggi.
Hilang kawalan kenderaan dikenal pasti sebagai punca utama kemalangan maut pada 2015 – Bukit Aman
Hilang kawalan kenderaan atau terbabas merupakan antara punca utama kemalangan maut pada tahun lalu, menurut Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman SAC Mahamad Akhir Darus. Beliau berkata, faktor berkenaan menjadi penyumbang tertinggi kemalangan maut dengan 1,713 kes diikuti dengan kes makan jalan iaitu 764 kes, memetik laporan Bernama. Ini diikuti dengan faktor cuba atau sedang memotong kenderaan di hadapan iaitu 689 kes. Manakala faktor lain ialah memandu dengan had laju berlebihan, memecut sesuka hati dan lain-lain. “Sepanjang tahun lepas, sebanyak 6,706 kes kemalangan maut direkodkan dengan penunggang dan pembonceng motosikal merupakan penyumbang utama dengan 4,203 kes. Ini diikuti kereta dengan 1,358 kes, pejalan kaki 482 kes, lori 223 kes dan lain-lain seperti bas 440 kes,” katanya. Selain itu, pertambahan jumlah penduduk, kenderaan berdaftar dan pemandu berdaftar baharu juga antara faktor peningkatan jumlah kemalangan maut di jalan raya. Bagi pecahan mengikut negeri pula, Selangor, Johor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang merupakan antara negeri yang merekodkan jumlah kes kemalangan jalan raya tertinggi. Sambungnya lagi, “Perlis, Kelantan, Terengganu dan Melaka pula mencatatkan kes kemalangan terendah.” Berkenaan dengan Ops Warta, Mahamad Akhir berkata lebih 1.8 juta waran tangkap telah dikeluarkan sejak 2010. “Daripada jumlah itu, 419,406 waran tangkap masih tertunggak. Polis tidak akan berhenti mengesan pesalah trafik ini sehingga mereka menyelesaikan waran tangkap mereka,” katanya. Beliau berkata sepanjang tahun lepas, sebanyak 162,958 operasi telah dilakukan di seluruh negara dan lebih enam juta saman telah dikeluarkan.
Subaru XV 2016 dilancarkan – bermula RM133k
Setelah diperkenalkan di Thailand pada Disember lalu, kini tiba pula giliran Malaysia untuk menerima kehadiran Subaru XV 2016. Model facelift ini diberi penambahan beberapa elemen serta peningkatan estetika yang lebih optimum tanpa ‘mengusik’ atau mengubah sudut mekanikalnya. Malah Subaru XV 2016 versi Malaysia ini juga sama spesifikasi dengan unit yang diperkenalkan di Thailand dan merupakan model pemasangan tempatan (CKD). Ditawarkan dengan dua varian iaitu 2.0i dan 2.0i Premium (2.0i-P), ia dijanakan oleh enjin boxer 2.0 liter DOHC empat-silinder yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 150 PS pada 6,200 rpm dan tork 196 Nm pada 4,200 rpm. Ia turut dipadankan dengan transmisi Lineartronic CVT enam-kelajuan, di mana kuasanya disalurkan ke-empat-empat roda menerusi sistem Symmetrical All-Wheel Drive (SAWD). Di mana sistem ini akan menyalurkan kuasa dengan nisbah 60:40 iaitu roda hadapan dan belakang. Subaru XV 2016 ini dikatakan mampu memberikan penjimatan bahan api sekitar 7.9 liter bagi setiap 100 km. Subaru XV 2016 ini telah disuntik sedikit perubahan gaya yang lebih segar. Pada bahagian hadapan, gril haksagon diberi rekaan baharu, disambung pada lampu hadapan halogen baharu dengan lampu nyalaan siang LED berbentuk-C. Ia juga dilengkapi dengan lampu kabus. Ia juga dipadankan dengan rim aloi dua-tona bersaiz 17-inci yang tampil dengan rekaan semula, spoiler bumbung dan rel bumbung kekemasan aluminium. Namun tambahan bagi varian Subaru XV 2.0i-P yang memiliki lampu indikator LED dan lampu nyalaan siang (DRL). Pada bahagian kabinnya pula, ia tidak banyak berubah berbanding model terdahulu. Melainkan dengan jahitan kontras berwarna oren pada roda stereng, tombol gear dan beberapa kekemasan lain. Selain itu, ia dipadankan dengan unit Kenwood double-DIN, roda stereng pelbagai fungsi dengan kawalan kelajuan, sistem penghawa dingin automatik, pedal penukar gear, perehat tangan bagi tempat duduk belakang dan tempat duduk balutan kulit. Namun bagi varian 2.0i-P, ia ditampilkan dengan elemen tambahan termasuk unit multimedia dengan skrin sesentuh bersaiz 6.2-inci dengan sambungan Bluetooth, AUX, kemasukan pintar bersama butang penghidup enjin, pedal aluminium, meter paparan info gred tinggi, skrin sesentuh untuk paparan pelbagai fungsi, USB, Premium Audio dengan speaker, sistem bebas tangan, tempat duduk pemandu yang boleh dilaras secara elektronik dan, kamera undur, dan arahan pengecaman suara. Walau bagaimana pun, elemen yang disebut untuk 2.0i-P tiada pada varian 2.0i. Untuk pengetahuan, varian 2.0i ini juga merupakan spesifikasi yang lebih rendah berbanding model Subaru XV yang terdahulu, termasuk tidak didatangkan dengan skrin sesentuh. Bagi keselamatan pula, Subaru XV ini ditampilkan dengan tiga beg udara, sistem Kawalan Dinamik kenderaan (VDC), ABS, EBD, BA, sistem keselamatan pedal dan cagak Isofix. Subaru XV 2016 ini hadir dengan enam pilihan warna iaitu Pure White, Ice Silver Metallic, Desert Khaki, Tangerine Orange Pearl, Dark Grey Metallic dan Obsidian Black Pearl. Bagi harga atas jalan termasuk GST dan insurans, 2.0i ditawarkan pada RM132,724.65, manakala 2.0i Premium (2.0i-P) pula RM137,074.89. Ia turut didatangkan dengan waranti tiga tahun penyelenggaran percuma.
Polis trafik bakal guna sistem ANPR Jun ini
Mulai Jun ini, polis trafik akan menggunakan sistem Pengesan Nombor Pendaftaran Automatik (ANPR) bertujuan memudahkan pihak polis mengesan kenderaan yang melakukan jenayah atau memiliki saman trafik. Menurut Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mahamad Akhir Darus, sistem tersebut dapat merakam nombor plat kenderaan, seterusnya menyalurkan maklumat kenderaan terbabit kepada pihak berkuasa, laporan Kosmo. “Setakat ini kita hanya memiliki satu unit sistem tersebut dan menjelang Jun sebanyak 20 unit lagi bakal beroperasi. Sistem ANPR ini diletakkan pada kereta peronda polis. Jika nombor plat berkenaan dikesan dalam data polis, pesalah terbabit boleh ditahan,” ujarnya. Katanya lagi, dalam masa yang sama sistem tersebut juga dapat membantu mengesan kes-kes jenayah.
Siaran langsung Bajet 2016 (auto/pengangkutan)
Pengubahsuaian bagi Bajet 2016 sedang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sedang berlangsung sekarang. Kami akan melaporkan sebarang perkembangan yang berkaitan dengan automotif menerusi ucapan PM, jika ada. Auto: – Cukai kenderaan import di pulau-pulau bebas cukai akan diperketatkan. Pengangkutan: – Projek utama akan diteruskan termasuk MRT, LRT, Lebuhraya Pan-Borneo, dan Kuala Lumpur-Singapore High Speed Rail (HSR).
Jaguar XE sedan sport dilancarkan – bermula RM340k
Pagi ini, Jaguar Land Rover (Malaysia) Sdn Bhd (JLRM) telah melancarkan sedan sport Jaguar XE baharu yang terkemuka di Malaysia. XE kini melengkapi rangkaian kereta sedan Jaguar, yang turut merangkumi barisan model XF dan XJ. Ia tampil dengan tiga varian dan berharga antara RM340k ke RM580k, termasuk GST, tetapi tanpa pendaftaran, cukai jalan dan insurans. Jaguar XE Prestige 2.0 – RM340,000 Jaguar XE R-Sport 2.0 – RM365,000 Jaguar XE S 3.0 – RM580,000 Menurut pengarah urusan JLRM Tuan Syed Mudzhar Syed Ali, “Binaan ringan, gaya terselaras, bahagian dalam mewah dan pacuan dan pengendalian luar biasa menjadikannya sebuah kereta pemandu sebenar. Menerusi XE, Jaguar mengetengahkan kereta hebat yang pasti menjadi pesaing utama dalam segmen sedan mewah saiz sederhana.” XE ditawarkan dalam tiga pilihan XE iaitu Prestige, R-Sport dan S. Di mana Prestige dipacu oleh enjin petrol 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder dengan kuasa 200PS. Manakala R-Sport dilengkapi dengan versi enjin sama dengan kuasa tambahan iaitu 240PS. Model S pula dilengkapi dengan enjin petrol 3.0 liter supercharged V6 dengan kuasa 340PS yang juga digunakan dalam F-TYPE yang terkenal. Ketiga-tiga pilihan dilengkapi dengan sistem transmisi automatik lapan-kelajuan. XE pacuan roda belakang ialah satu-satunya kenderaan setarafnya untuk menggunakan aluminium-intensive monocoque. Struktur yang sangat mantap tetapi ringan ini, bersama suspensi depan dwipalang siku dan gandar belakang Pautan Bersepadu, menjadi tunggak penanda aras inovatif dinamik kenderaan bagi XE. Hasilnya ialah pacuan luar biasa dengan penjimatan bahan api lebih hebat. XE aluminium-intensive ini merupakan model pertama yang dibangunkan berteraskan seni bina kenderaan modular baharu Jaguar Land Rover. Dasar roda 2,835mm dan kedudukan tempat duduk rendah membolehkan perkadaran sempurna dan profil yang terselaras. Dengan koeifisien seretan hanya 0.26, XE baharu ialah Jaguar paling aerodinamik dan terbaik di kalangan kenderaan setarafnya, mengatasi pelbagai pesaing lain. XE menyediakan antara sistem bantuan pemandu paling canggih di pasaran termasuk sistem Kawalan Perjalanan Semua Permukaan (ASPC). Dibangunkan berasaskan pengalaman berdekad Jaguar Land Rover dalam sistem cengkaman luar jalan, ia memaksimumkan cengkaman kelajuan rendah dalam keadaan jalan raya yang kurang baik. Satu lagi ciri baharu ialah Kawalan Pacuan Jaguar yang membolehkan pemandu memilih mod Biasa, Eko, Dinamik atau Musim Sejuk, yang menukar pemetaan stereng dan pendikit secara halus. Mod Eco menggalakkan pemanduan menjimatkan bahan api manakala mod Dinamik mempertajamkan tindak balas pendikit dan meningkatkan wajaran stereng. Dengan memilih Musim Sejuk, sistem secara automatik mengekang pecutan dan mengguna pakai cengkaman yang lebih beransur untuk keadaan licin. Satu lagi fungsi mengagumkan Jaguar XE baru ialah Pemvektoran Tork menerusi brek yang mengurangkan kejadian belokan terkurang dengan membrek setiap roda dalaman secara lembut seperti yang diperlukan untuk memastikan kereta berada pada garis optimum apabila mengambil selekoh. Hasilnya ialah pengendalian lebih neutral, usaha pengawalan stereng lebih rendah dan akhirnya pengalaman memandu yang lebih memuaskan. XE baharu juga dilengkapi dengan Stereng Bantuan Kuasa Elektrik (EPAS) generasi terkini untuk menghasilkan tindak balas serta-merta dan jitu serta keterhubungan yang dijanjikan sedan sport Jaguar. EPAS memberikan XE tahap pacuan, daya pergerakan dan kejituan stereng lebih baik yang menjadikannya sebuah kereta pemandu yang sebenar. Kabin mewah XE ini menyediakan tahap keselesaan dan ruang yang luar biasa. Bahan dan kemasan yang rapi digabungkan dengan hasil kerja tangan Jaguar menjadikannya ruang dalam yang mengatasi kenderaan setarafnya dan berbeza dari yang lain dalam segmen ini. Tempat duduk belakang boleh memuatkan tiga dewasa dengan selesa manakala but 455-liter yang luas menyediakan banyak ruang simpanan, lebih-lebih lagi kerusi belakang dilengkapi dengan keupayaan lipatan 40:20:40. Sistem info-hiburan InControl Touch baru juga menarik tumpuan termasuk skrin sentuh lapan inci yang inovatif memaparkan antara muka grafik. Sistem Bunyi Jaguar pula menghasilkan julat dan kuasa akustik kepada ruang dalam XE dengan kuasa 80W, empat-saluran dan enam speaker. Sebuah sistem spesifikasi opsyenal yang lebih tinggi, iaitu Sistem Bunyi Meridian 380W menawarkan penghasilan semula audio luar biasa menerusi 12-saluran dan 11 speaker, termasuk sebuah subwoofer. Untuk pengalaman pemilikan lebih hebat, setiap XE disediakan bersama waranti lima tahun atau 150,000km dan bantuan tepi jalan tiga tahun. Pemilik model Prestige dan R Sport 2.0 liter juga menikmati penyenggaraan berjadual percuma selama lima tahun atau 80,000km, manakala pilihan S 3.0 liter menawarkan pakej lima tahun atau 65,000km, yang mana lebih awal. Untuk meraikan ketibaan rangkaian baru dalam keluarga Jaguar di Malaysia, setiap Jaguar XE baharu akan dilengkapi dengan pakej aksesori bernilai RM10,000. Pakej Aksesori Pelancaran XE termasuk plat jejak ambang bercahaya, pedal penukar gear pada roda stereng berwarna Merah Aluminium, pemilih gear direka khas dengan bahagian atas kulit premium dan bezel getah selain grip sentuhan lembut, dan penutup injap tayar unik dengan pilihan empat reka bentuk ikon. Tawaran ini sah untuk bilangan unit dan tempoh yang terhad iaitu selagi stok masih ada. GALERI: Jaguar XE R-Sport
Proton Persona 2016 rendered oleh juara PDC 2014
Semakin hari semakin tak sabar hendak menantikan empat model baharu yang bakal dilancarkan oleh Proton tahun ini. Bagi meredakan seketika detik debaran itu, beberapa pencinta dunia automotif tempatan turut menghasilkan lakaran imaginasi digital (rendered) model-model berkenaan, termasuklah bagi Proton Persona 2016 ini. Ini adalah hasil ilham Pow Ying Hern yang merupakan juara bagi Pertandingan Rekabentuk Proton (PDC) 2014. Jika Theophilus Chin mengimaginasikan Persona 2016 ini dengan imej yang agak mirip Iriz, karya Pow ada sedikit kelainannya. Jika bahagian hadapannya ada sedikit persamaan, namun rekaan Pow ‘meletakkan’ bar krom yang lebih lebar di hadapan secara melintang. Namun padanan gril yang lebih nipis serta ditambahkan pila dengan lampu utama projektor berkembar, yang mungkin tidak akan ditampilkan buat model sebenarnya kelak. Untuk bahagian bawahnya, Pow turut memilih gril bawah trapezoidal yang sama besar seperti pada Iriz, namun menambahkan sedikit lingkaran pada lampu kabus, lebih kurang sama dengan model Kia Optima generasi sebelumnya. Pada bahagian sisinya pula, menampilkan tiang-C pada perumah cermin, berbeza dengan Iriz yang menampilkan garisan tingkap lebih landai. JIka rekaan Theo lebih luas dengan dua kepingan lampu belakang yang lebih nipis, Pow pula memilih lampu belakang yang lebih besar dengan garisan luaran krom dan posisi umpama Volkswagen Polo. Manakala bahagian bampar lebih kurang sama bagi kedua-dua rekaan. Proton Persona 2016 bakal diperkenalkan selepas pelancaran Perdana iaitu turut mendahului Saga baharu. Enjin Iriz iaitu 1.3 liter dan 1.6 liter VVT dijangka turut akan ditawarkan pada Persona. Namun semua model baharu Proton akan menerima enjin baharu 1.3 liter dan 1.6 liter suntikan terus bahan api (GDI/TGDI) mulai akhir tahun 2017.
Kia Cadenza K7 2017 – foto, video baharu dipaparkan
Imej model baharu Kia Cadenza (K7) ini telah pun bertebaran, sejak Kia memperkenalkannya di pasaran domestik. Malah menerusi laman web Kia Motors Korea Selatan, semakin banyak fotonya dipaparkan. Turut dikenali sebagai K7 bagi sesetengah pasaran, Cadenza merupakan sedan besar iaitu selepas Kia Optima (K5), namun sedikit kecil berbanding dengan Kia K900 (K9). Sejak diperkenalkan pada November lalu, generasi terkini bagi Kia Cadenza ini menampilkan gaya keseluruhan serba baharu. Buat pertama kalinya, gril ‘hidung harimau’ yang menjadi signatur Kia dibentuk melengkung ke dalam. Sementara lampu utama LED pula dibalut baharu dengan jaluran krom yang disambungkan dari gril hadapan. Lampu nyalaan siang LED dengan empat-sudut signatur jenama ini turut ditampilkan. Manakala profil sisi pula memberikan gambaran K7 memiliki bonet yang lebih panjang dan garisan bumbung lebih landai. Malah menerusi foto itu juga terpapar rim aloi pelbagai-jejari bersaiz 19-inci yang dibaluti tayar 245/40 R19. Malah lampu belakang baharu yang lebih lebar turut ditampilkan dengan paip ekzos berkembar memberikan paras rupa yang lebih segar. Menerusi spesifikasinya, Cadenza baharu ini turut dilengkapi beberapa elemen baharu termasuk sistem audio Krell Premium Sound, pengecas tanpa wayar, monitor pandangan-sekeliling, skrin paparan head-up dan tempat duduk balutan kulit Nappa. Untuk keselamatan, Cadenza turut dilengkapi dengan sembilan beg udara dan elemen keselamatan aktif termasuk Autonomous Emergency Braking, Advanced Smart Cruise Control, Lane Departure Warning System dan High Beam Assist. Seperti yang dijangka, untuk pasaran Korea, K7 ini akan dijanakan oleh enjin 3.3 liter V6 GDI 290 PS, bukannya 3.3 liter turbo-berkembar V6 seperti mana yang pernah diwar-warkan sebelum ini. Malah enjin 2.4 liter GDI empat-silinder 190 PS dan 2.2 liter e-VGT turbodiesel dengan 202 PS/441 Nm turut ditawarkan. Bahkan Korea merupakan pasaran pertama yang bakal menerima model baharu ini, diikuti oleh Eropah dan Amerika Syarikat. Malah spesifikasi dan perinciannya telah pun dipamerkan di laman web Kia, maka ia tidak akan menunggu masa yang lama untuk dilancarkan. Harga K7 di Korea Selatan bermula 30.1 juta won (RM106,363) bagi varian 2.4 GDI.
Toyota Corolla Altis facelift tiba di Thailand, ESport Nurburgring Edition hadir dengan kit badan baharu
Toyota Corolla Altis updated for the Thai market, ESport Nurburgring Edition gets new bodykit Model penambahbaikan (facelift) Toyota Corolla Altis telah pun tiba di pasaran Thailand, menerima suntikan yang lebih segar pada bahagian dalaman serta penambahan beberapa elemen termasuk enjin. Selain daripada model standard, Corolla Altis ini turut ditawarkan dengan versi ESport dan ESport Nurburgring Edition. Tidak seperti di Malaysia, Corolla Altis spesifikasi Thailand ini tidak ditawarkan dengan enjin 3ZR-FE 2.0 liter Dual VVT-i empat-silinder (145 PS, 187 Nm). Sebaliknya pembeli mempunyai pilihan sama ada enjin 1.6 liter atau 1.8 liter empat-silinder Dual VVT-i. Untuk model terbaharu ini, enjin sebelumnya iaitu 1ZR-FE 1.6 liter telah diberi penambahbaikan bagi menambahkan lagi kuasanya iaitu 125 hp pada 6,000 rpm (sebelum ini 122 hp) dan 157 Nm pada 5,200 rpm (sebelum ini 154 Nm). Perubahan ini turut melibatkan kod bagi model enjin baharu iaitu enjin 1.6 liter diberi kod 1ZR-FBE. Enjin ini dilancarkan oleh E85 gasohol. Sementara itu, enjin yang lebih besar iaitu 2ZR-FBE 1.8 liter masih diteruskan dan ia mampu menghasilkan kuasa sehingga 141 PS pada 6,000 rpm dan tork 177 Nm pada 4,000 rpm. Seperti mana 1ZR-FBR, enjin ini turut dilancarkan oleh E85 gasohol, dan ia dipadankan bagi kedua-dua varian Corolla Altis. Bagi bahagian luarannya, model standard masih dikekalkan imejnya, sama seperti model sebelumnya, selain dari lampu utama projektor LED dengan lampu nyalaan siang LED, dan cermin sisi boleh lipat secara automatik. Varian ESport pula menerima sedikit perubahan luaran. Bagi model ESport standard, ia turut dilengkapi dengan kit badan TRD, bersama elemen tambahan lampu kabus hadapan. Bagi ESport Nurburgeing Edition pula, ia menerima kit badan baharu sepenuhnya termasuk rim bersaiz 17-inci yang cukup sporty dan logo Nurburgring Edition. Untuk bahagian kabinnya, Corolla Altis ini menerima kluster instrumen baharu yang menampilkan grafik baharu, lampu indikator yang diposisi semula dan paparan pelbagai-maklumat berwarna (lebih kurang sama dengan model Toyota/Lexus). Selain itu, ia turut ditampilkan dengan roda stereng balutan kulit baharu dan teknologi Nanoe baharu bagi sistem penghawa dingin, yang mampu melembapkan lagi kulit dan rambut penumpang, selain mewangikan kabin. Corolla Altis ESport Nurburgring Edition turut menerima sentuhan dalaman yang lebih berbeza berbanding model standard, termasuklah tempat duduk balutan kulit berwarna hitam dengan kekemasan merah dan sulaman “ESport”, roda stereng balutan kulit, tombol gear baharu, karpet lantai merah-hitam dan sistem hiburan yang dipertingkatkan termasuk dengan pemain DVD dan fungsi navigasi. Harga bagi Toyota Corolla Altis baharu di Thailand ini bermula 779,000 baht (RM92,290) bagi varian 1.6J, dan 1,079,000 baht (RM127,597) untuk varian 1.8 V Navi. Manakala ESport Nurburgring Edition berharga 942,000 baht (RM111,396) bagi warna Red Mica Metallic dan 952,000 baht (RM112,579) untuk warna White Pearl Metallic. Key
LaFerrari warna ungu milik TMJ sungguh menawan
Keluarga kerabat Johor memang terkenal memiliki koleksi kenderaan yang eksotik, hebat dan menawan. Semalam, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, berangkat mengunjungi Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos dengan LaFerrari berwarna ungu yang sungguh menawan. Menerusi foto yang tersiar di laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers, Yang Teramat Mulia Tuanku telah memandu sendiri jentera berkenaan yang hanya ada 499 unit di dunia. LaFerrari ini dijanakan oleh enjin 6.3 liter V12 yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 789 hp pada 9,000 rpm dan tork 700 Nm pada 6,750 Nm. LaFerrari ini turut dilengkapi dengan cakera karbon seramik Brembo pada bahagian hadapan (398 mm) dan belakang (380 mm). Ia juga dipadankan dengan suspensi double wishbone pada bahagian hadapan dan multi-link di belakang. Memantapkan lagi pengendaliannya, ia turut dipadankan dengan tayar Pirelli P Zero Corsa 265/30 R19 di hadapan dan 345/30R20 di belakang. Bagi setiap pembelian LaFerrari, pembeli boleh menyertai Ferrari Personalisation Programme, bagi mendapatkan lebih banyak pilihan pengkhususan (customisation). Seperti LaFerrari milik TMJ ini, ia diwarnakan dengan bayangan ungu gelap, dipadankan bersama warna hitam pada bahagian bumbung dan roda, bukannya warna klasik Rossa Corsa seperti kebiasaannya. Amacam? Cukup gempak tak LaFerrari ungu milik TMJ ini? Peh! Sungguh menawan kalbu! GALERI: Ferrari LaFerrari
PLUS tawar rebat 30% bagi pembayaran tol secara elektronik di NSE, ELITE, NKVE sempena CNY
Pastinya ramai di antara kita yang merancang untuk pulang ke kampung mahu pun pergi bercuti ke mana-mana destinasi pilihan sempena cuti panjang Tahun Baru Cina (CNY) ini. Bagi yang memandu dan menggunakan lebuhraya di bawah kelolaan PLUS Malaysia, syarikat konsesi ini telah mengumumkan pemberian rebat sebanyak 30% bagi pengguna yang melakukan pembayaran tol secara elektronik. Lebuhraya terbabit ialah Lebuhraya Utara-Selatan (NSE), Lebuhraya ELITE dan Lebuhraya Baharu Lembah Klang (NKVE) pada 4, 11 dan 15 Februari ini. Menurut Pengarah Urusan PLUS, Datuk Noorizah Hj Abd Hamid, rebat tol sebanyak 30% ini akan diberikan kepada pengguna Kelas 1 (kecuali teksi) yang memandu melebihi 100 kilometer dan menggunakan pembayaran tol secara elektronik (menerusi kad PLUSMiles, kad Touch ‘n Go or SmartTAG) pada tarikh yang dinyatakan. Walau bagaimana pun, rebat tersebut tidak akan diberikan serta merta, sebaliknya pengguna perlu membayar kadar tol seperti yang ditetapkan oleh lebuhraya berkenaan. Rebat tol 30% ini hanya boleh ditebus di mana-mana pusat khidmat pelanggan PLUS antara 15 Mac hingga 14 Jun 2016. PLUS turut menyediakan beberapa contoh mengenai rebat tol 30% ini, misalnya seorang pengguna lebuhraya yang memandu antara plaza tol Jalan Duta dan plaza tol Ipoh Selatan akan dapat jimat sebanyak RM7.95 dalam bentuk isian semula. Begitu juga jika memandu antara plaza tol Sungai Besi dan Skudai layak menerima rebat sebanyak RM12.39. “Rebat tol ini ditawarkan kepada pengguna pada hari-hari yang bukan puncak untuk membantu pihak PLUS melaksanakan agihan trafik. Di samping itu, ia dapat dinikmati sepanjang hari pada tarikh-tarikh berkenaan dan tidak tertakluk pada masa tertentu,” ujar Noorizah. PLUS menjangkakan pertambahan trafik di NSE akan meningkat sebanyak 20% iaitu mencecah 1.6 juta kenderaan sehari menjelang hari puncak iaitu pada 5, 6, 7, 9, 13 dan 14 Februari. “Oleh itu, kami akan mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk para pengguna lebuhraya merancang perjalanan mereka dan mengelakkan daripada terperangkap dalam kesesakan menjelang hari puncak pada musim percayaan ini,” tambah Noorizah lagi.
LITRAK umum diskaun tol sempena CNY – potongan 60 sen untuk LDP dan 20 sen di SPRINT pada 8 Feb ini
Sempena dengan sambutan Tahun Baru Cina (CNY) 2016 tidak lama lagi, Kumpulan LITRAK telah mengumumkan diskaun tol sebanyak 60 sen untuk pengguna Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan 20 sen di Lebuhraya SPRINT. Ia akan diberikan bermula jam 12.00 tengah malam sehingga 11.59 malam pada 8 Februari ini. Inisiatif pemberian diskaun tol ini telah pun bermula sejak tahun 2010 lalu sebagai salah satu usaha yang diharapkan mampu membantu pengguna lebuhraya terbabit. Diskaun tol ini juga diberikan ketika beberapa sambutan perayaan termasuk Hari Raya Aidilfitri, Hari Merdeka, Deepavali dan Krismas. Pengumuman ini telah dibuat ketika penganjuran Program Amal Tahun Baru Cina 2016 bersama Rumah Orang-Orang Tua Seri Setia, Sungai Way. Di mana pihak LITRAK turut berbesar hati menyampaikan sumbangan angpow kepada rumah kebajikan tersebut yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Pada 15 Oktober lalu, kedua-dua lebuhraya kelolaan LITRAK iaitu LDP dan SPRINT turut terbabit dalam penstrukturan kadar tol baharu. Bagi LDP yang melibatkan plaza tol Penchala, Petaling Jaya, Puchong arah Utara dan Puchong arah Selatan, kadar tol baharu bagi Kenderaan Kelas 1 ialah RM2.10 berbanding RM1.60 masa ini iaitu peningkatan sebanyak 50 sen. Manakala Kenderaan Kelas 2 pula dinaikkan sebanyak RM1 menjadi RM4.20. Kenderaan Kelas 3 pula akan dikenakan bayaran sebanyak RM6.30. Teksi pula dikenakan bayaran sebanyak RM1 dan bas pula kekal hanya RM1. Manakala bagi SPRINT pula, ia melibatkan laluan Kerinchi Link, Penchala Link dan Damansara Link. Bagi Kelas 1, pengguna lebuhraya berkenaan perlu membayar RM2 di plaza tol Damansara dan RM2.50 di plaza tol Pantai di Kerinchi Link. Manakala kadar tol baharu bagi Kelas 1 di plaza tol Plaza Bukit Kiara pula (Penchala Link) ialah RM3.
LITRAK umum sistem bayaran secara elektronik sepenuhnya di SPRINT Mac ini, LDP Sept 2016
Kumpulan LITRAK telah mengumumkan Lebuhraya SPRINT akan beroperasi secara elektronik (ETC) sepenuhnya mulai 2 Mac ini 12 tengahari, diikuti dengan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) pada September 2016. Menurut Pengurus Jabatan Komunikasi LITRAK, Shah Rizal Mohamed Fawzi, langkah berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha Litrak untuk melancarkan perjalanan pengguna di samping mengurangkan kesesakan di plaza tol. Ia juga seiring dengan usaha kerajaan untuk memastikan semua plaza tol menggunakan 100 peratus sistem bayaran tol secara elektronik menjelang 2018. Beliau turut menambah, hasil daripada kajian yang dijalankan, jangka masa transaksi yang diambil oleh pengguna yang membuat bayaran menerusi kad Touch ‘n Go adalah enam saat (550 kenderaan per jam) dan bagi yang menggunakan SmartTag pula tiga saat (1000 kenderaan per jam). Manakala jangka masa yang diambil sekiranya melakukan traksaksi pembayaran secara tunai ialah 15 saat (400 kenderaan per jam). “Peratus penembusan penggunaan ETC di SPRINT telah meningkat secara drastik daripada 65% ke 80% sejak 2012 hingga 2015. Manakala di LDP pula, ia meningkat daripada 59% ke 73%. Lebih ramai pengguna memilih ETC kerana ia lebih mudah dan pantas,” ujarnya lagi dalam sidang media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) tengahari ini. LDP mempunyai empat plaza tol iaitu Penchala, Petaling Jaya, Puchong Barat dan Puchong Selatan, manakala plaza tol Sprint terletak di Penchala, Damansara dan Kerinchi. Di SPRINT, bagi Kelas 1, pengguna lebuhraya berkenaan perlu membayar RM2 di plaza tol Damansara dan RM2.50 di plaza tol Pantai di Kerinchi Link. Manakala kadar tol baharu bagi Kelas 1 di plaza tol Plaza Bukit Kiara pula (Penchala Link) ialah RM3. Bagi LDP pula, kadar tol baharu bagi Kenderaan Kelas 1 ialah RM2.10, Kenderaan Kelas 2 (RM4.20), Kenderaan Kelas 3 (RM6.30), Teksi (RM1) dan bas pula kekal hanya RM1.
Proton Saga 2016 – lakaran imaginasi digital berdasarkan model semasa yang diperkemaskini
Ternyata 2016 merupakan tahun yang cukup sibuk bagi Proton. Bukan setakat satu model kereta yang bakal dilancarkan tahun ini, malah ada empat lagi model baharu. Salah satunya ialah Proton Saga 2016, iaitu pengganti bagi model paling popular buatan pengeluar kereta nasional ini. Sementara menantikan detik pelancaran itu, Mohd Taufik telah menghasilkan rendered atau lakaran imaginasi digital bagi Saga 2016 ini. Seperti mana yang pernah dilihat menerusi foto spyshot, ia jelas menunjukkan rekaannya berdasarkan model sedia ada tetapi telah disemak semula. Bentuk bonet dan grilnya masih dikekalkan, tetapi kelihatan bar krom Iriz di atasnya. Malah lampu utamanya turut dibentuk semula, melunjur ke atas dan seakan memiliki sedikit imbasan beberapa model Peugeot. Taufik turut menambah sedikit kelainan pada Saga 2016 dengan meletakkan gril bawah trapezoidal seperti Iriz bersama corong udara berkembar. Pada bahagian belakang pula, kelihatan bentuk cermin yang direka bentuk semula dengan tiang-C, dengan lampu belakang yang menyertai kepingan plat nombor krom serta peresap belakang. Daripada sudut teknikalnya, ia dikatakan masih belum diperkatakan, namun Saga 2016 ini mungkin akan dipadankan dengan enjin 1.3 liter VVT sama seperti Iriz dengan padanan kotak gear sama ada CVT atau manual lima-kelajuan. Proton juga bakal memperkenalkan enjin aspirasi-natural 1.0 liter dan 1.2 liter tiga-silinder yang akan memulakan produksi pada akhir 2017, manakala enjin 1.0 liter pengecas turbo pula juga akan diperkenalkan. SPYSHOT: Proton Saga 2016
Cadangan menutup jalan di KL untuk membenarkan Mat Moto berlumba mendapat banyak tentangan
Berikutan cadangan Tengku Adnan Tengku Mansor sebelum ini untuk menutup sebahagian jalan di Kuala Lumpur seminggu sekali untuk Mat Moto berlumba, nampaknya mendapat banyak bantahan dari pelbagai pihak tidak kira dari pihak kerajaan sendiri dan pembangkang, lapor The Star. Menurut Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Johari Abdul Ghani, idea untuk membenarkan Mat Rempit berlumba diatas jalan raya Kuala Lumpur bukanlah idea yang praktikal. Jika mahu mendapatkan perhatian mereka, DBKL perlu menyewa litar lumba seperti di Sepang. “Saya tidak fikir syarikat insuran akan menginsurankan mereka,” tambah beliau. Ketua Wilayah Persekutuan MCA Datuk Yew Teong Look pula dilaporkan berkata, sukan bermotor adalah sesuatu yang bahaya dan ia tidak boleh digalakkan. Tambah beliau DBKL perlu berfikir dulu sebelum membuat keputusan, keselamatan Mat Rempit dan orang awam perlu diambil kira. Ahli Parlimen DAP Cheras Tan Kok Wai juga menentang cadangan ini demi keselamatan orang awam dan Mat Rempit. Jika cadangan ini diluluskan beliau berharap DBKL akan memastikan semua jalan dalam keadaan yang baik. Beliau juga berkata pengumuman dari Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor membuktikan beliau tidak membuat ulangkaji atau melihat dari sudut yang lebih luas. “Selain lubang, penutup longkang yang hilang turut mengundang bahaya juga. Adakah DBKL akan menaik taraf semua fasiliti jalan raya?” tambah beliau.
Mercedes-Benz E-Class ke Malaysia pada Q4 2016
Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah memberikan kesahihan bahawa akan membawa masuk model baharu E-Class ke Malaysia tidak lagi. “Mungkin ia akan sampai dalam suku ke-empat (Q4) tahun ini,” ujar Presiden dan CEO MBM Dr Claus Weidner. Khabar Mercedes-Benz E-Class W213 telah mula bersebaran sejak Januari lalu, kini menggunakan platform MRA yang pernah digunakan pada model C-Class W205. Model generasi ke-10 E-Class bagi pasaran antarabangsa menerima dua pilihan enjin iaitu 2.0 liter empat-silinder untuk E 200 (184 hp/300 Nm), manakala penjana kuasa baharu OM654 2.0 liter turbodiesel pula untuk varian E 220d (194 hp/400 Nm). Kedua-duanya dipadankan dengan transmisi 9G-Tronic automatik sembilan-kelajuan. Antara elemen yang bakal dilengkapi dalam E-Class baharu ini termasuklah skrin paparan 12.3-inci, sistem COMAND Online generasi terkini, sistem Remote Parking Pilot, komunikasi Car-to-x, Kunci Digital Kenderaan dan Drive Pilot iaitu sistem pemanduan sendiri Mercedes-Benz. Cuma untuk pasaran Malaysia sahaja yang belum diketahui perinciannya termasuk tentang penjana kuasanya.
Mitsubishi Triton, ASX Geoseek konsep untuk Geneva
Mitsubishi Motor Corporation (MMC) akan membawa dua versi ‘solekan khas’ bagi trak pikap Triton (L200 bagi sesetengah pasaran) dan model facelift bagi ASX di Geneva Motor Show 2016 yang bakal berlangsung minggu hadapan. Ia dinamakan sebagai L200 Geoseek dan ASX Geoseek, iaitu gabungan bagi “geo” dan “seek”, di mana MMC telah mengekplorasi imej yang lebih bergaya bagi kedua-dua model konsep. Kedua-dua model konsep ini dicat dengan warna kelabu mutiara, yang memberikan gambaran “sifat semulajadi buat SUV” termasuk penambahan bingkai lampu kabus, fender lips, rim aloi, spoiler pintu kargo, bampar belakang dan cermin pintu, dengan sentuhan warna jingga. Tema kelabu-jingga turut menjadi pilihan model konsep Proton Iriz Active…persamaan sekadar kebetulan? “Rupa aktif” cukup diserlahkan dengan penampilan gril hadapan yang bercantum dan plat skid pada bahagian bampar, digambarkan oleh MMC sebagai “bumbung bakul” bagi menyimpan peralatan perkhemahan atau pun membawa basikal. Trak pikap ini turut menampilkan lampu dan pemegang tangan pada rel bumbung, sementara ASX didatangkan dengan lampu kabus LED. MMC turut berkata bahagian dalaman bagi kedua-dua Geoseek ini akan dihiasi dengan kekemasan hitam dan jingga, dengan balutan tempat duduk kombinasi fabrik panel tengah (bagi aliran udara yang lebih bagus) dan kulit lembut (dengan permukaan yang kurang licin). Kena tunggu Geneva Motor Show 2016 berlangsung, barulah perincian tentang kedua-dua model konsep ini akan didedahkan sepenuhnya.
Mercedes-Benz Malaysia dan Cycle & Carriage Bintang lancar Georgetown Autohaus di Pulau Pinang
Belum pun genap seminggu Mercedes-Benz Malaysia Sdn Bhd, bersama pengedar sahnya, Cycle & Carriage Bintang Berhad (CCB), merasmikan semula CCB Autohaus serba baharu di Petaling Jaya, hari ini giliran Georgetown Autohaus di Pulau Pinang dilancarkan. Terletak di 22, Jalan Sultan Ahmad Shah, Georgetown Autohaus ini telah dinaiktaraf mengikut spesifikasi identiti korporat baharu jenama ini dan juga rekaan bilik pameran global Mercedes-Benz Presentation System II (MPS II), yang mana ia turut diadaptasikan oleh lebih 6,000 pengedar Mercedes-Benz di seluruh dunia. Menurut CCB, penaiktarafan ini agak mengambil masa yang lama untuk disiapkan kerana bilik pameran ini terletak dalam sebuah bangunan warisan yang dilindungi oleh UNIESCO. Keasliannya perlu dikekalkan, begitu juga dengan strukturnya, manakala pengubahsuaian hanya melibatkan bahagian dalaman termasuk jabatan selepas jualan. Bilik pameran seluas 33,489 kaki persegi ini turut mampu mempamerkan sehingga tujuh unit kenderaan, mempunyai ruang lounge bagi pelanggan dan juga 14 ruang penyelenggaran di bahagian servis. Sebanyak RM4 juta telah dilaburkan untuk kerja-kerja pembaikpulih, menjadikan jumlah keseluruhan pelaburan CCB bagi pasaran utara kini mencecah RM20 juta sejak tahun 2011. Menurut CEO CCB Datuk Wong Kin Foo, cawangan di Juru dan Bukit Tengah juga telah diperbaharui sebagai sebahagian daripada penaiktarafan semua pengedaran dengan imej baharu. Terkini, CCB memiliki 11 lokasi cawangan seluruh negara dengan tujuh daripadanya merupakan 3S Autohous, dua bilik pameran 1S dan dua pusat servis 2S. Pada penghujung bulan ini, CCB juga akan melancarkan cawangan TREC KL yang terletak di Jalan Tun Razak, dan disusuli pembukaan Autohous di Cheras pada pertengahan tahun ini. Dalam majlis yang sama, MBM turut meraikan ulang tahun ke-130 penubuhan jenama ini. Sejak Mercedes-Benz diwujudkan pada tahun 1886, jenama ini kian berkembang dan bergerak penuh agresif di serata global. Malah ia turut menjadi antara jenama premium mewah yang digemari di seluruh dunia, membuktikan kematangan usianya setanding inovatif yang dipertaruhkan. Presiden dan CEO MBM Dr Claus Weidner berkata, “130 tahun yang lalu, Gottlieb Daimler dan Karl Benz telah melakar nama mereka dalam sejarah automotif berhubung dengan penciptaan mereka dalam industri ini. Dari situ, jenama Mercedes-Benz mula dilahirkan dan telah bergerak secara lebih agresif. Dekad demi dekad, jenama ini telah mencipta kepelbagaian di dalam automotif. Seperti mana slogan Daimler, “If you don’t move forwards, you go backwards. “Dari situ Mercedes-Benz telah mencipta pelbagai inovasi, teknologi dan pengalaman pelanggan yang berkualiti sejak 1886. Seiring dengan prinsip kami, ‘the Best or nothing’, kami terus memacu kecemerlangan dan menetapkan standard dalam industri automotif.” Di Malaysia, kenderaan jenama ini mula dijual sejak tahun 1951. Namun hanya pada tahun 2003, MBM mula dibangunkan untuk meneruskan legasi jenama ini. MBM kini memiliki 23 pengedar bertauliah di Semenanjung dan Malaysia Timur.
Honda Civic Coupe 2016 pasaran Amerika Syarikat – maklumat terperinci dan lebih gambar didedahkan
Honda kembali menyediakan kami informasi berkenaan Honda Civic Coupe 2016, yang telah diperkenalkan pada LA Auto Show tahun lalu.Dirancang akan mula dijual untuk pasaran Amerika pada Mac 2016, Civic Coupe turut menampilkan pelbagai teknologi baru seperti model empat-pintu nya. Apabila dilancarkan nanti, penbeli di Amerika mempunyai lima varian untuk dipilih – LX, LX-P, EX-T, EX-L dan Touring. Dengan harga yang dijangka bermula sekitar USD$20,000 (RM83,741) untuk model asas LX. Seperti model sedan, Civic Coupe turut menerima dua jenis enjin petrol, digandingkan sama ada dengan kotak gear manual enam-kelajuan atau CVT automatik. Enjin 2.0 liter DOHC i-VTEC empat-silider yang menjana 158 hp pada takat 6,500 rpm dan tork maksima 187 Nm pada takat 4,200 rpm akan dilengkapkan untuk varian LX (manual, opsyenal CVT) dan LX-P (hanya CVT). Opsyen enjin 1.5 liter turbo DOHC pancitan bahan api terus pula menjana 174 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 220 Nm bermula 1,700 rpm hingga 5,500 rpm. Enjin turbo ini pula akan dilengkapi pada varian EX-T, EX-L dan Touring, semuanya hanya digandingkan dengan transmisi CVT. Civic Coupe ini juga telah mendapat casis baharu untuk memberikan pemanduan dan pengendalian yang lebih mantap. Ini termasuklah suspensi topang MacPherson dihadapan/gantungan bebas multi-link dibelakang, sesendal (bushing) hidraulik depan dan belakang (LX hanya untuk hadapan), stereng berkuasa elektrik dua pinan baharu dengan nisbah gear bervariasi dan sesendal penstabil depan dan belakang jenis bonded. Berbanding dengan model sebelum ini, Civic Coupe baharu direka dengan lebih lebar – 48 mm di hadapan dan 63 mm di belakang. Kereta ini juga datang dengan Agile Handling Assist untuk pertama kali, di mana ia membolehkan tork brek pada kedua belah tayar hadapan dikawal, meningkatkan prestasi ketika meredah selekoh. Buat pertama kalinya Civic Coupe dipadankan dengan brek parkir elektronik dengan fungsi brake hold, berfungsi sama seperti yang terdapat pada Honda HR-V di sini. Ciri standard lain termasuklah sistem ABS pada semua roda dengan EBD serta VSA. Pada bahagian luaran, Civic Coupe berukuran 4,493 mm panjang, 25 mm lebih pendek dari model sebelum ini. Ia juga 46 mm lebih lebar dengan ukuran 1,798 mm dan 3 mm lebih rendah (1,394 mm). Walau bagaimanapun, kereta ini mempunyai jarak roda yang lebih panjang iaitu 2,700 mm (lebih 79 mm), membolehkan ruang kabin direka dengan lebih luas. Dimensi baru ini turut datang dengan rupa yang baru, seperti yang di prebiu pada Civic Concept 2015. Walaupun seiras dengan sedan pada bahagian muka, model coupe ini menerima ‘stance‘ yang lebih agresif. Dari tiang-A membawa ke belakang, rekaan unik Civic Coupe menampilkan bentuk badan yang 25 mm lebih rendah dari sedan. Ia turut dilengkapi dengan lampu belakang berbentuk-C yang tersendiri. Lampu hadapan LED, yang dikhaskan untuk varian Touring (varian lain hanya dibekalkan dengan lampu projektor halogen) serta lampu nyalaan siang LED menambahkan lagi rupa paras yang ‘kacak’ untuk kereta ini Untuk bahagian roda, varian LX dan LX-P akan menerima roda aloi 16-inci dibaluti tayar 215/55/R16. Manakala untuk tiga lagi varian lain, ia dilengkapi dengan roda 17-inci dibaluti tayar 215/50/R17. Untuk bahagian dalaman Civic ini pula, jarak roda yang panjang dan badan yang lebih lebar membolehkan ruang kabinnya menjadi lebih luas, dengan ruang kelegaan kepala (927 mm depan/ 876 mm belakang), ruang kaki (1,074 mm depan/ 912 mm belakang), ruang bahu (1,445 mm depan/1,336 mm belakang). Ruang penumpang mempunyai keluasan 2,577 liter, manakala ruang kargo pula kini sebesar 337 liter (lebih besar 5.7 liter). Tempat duduk belakang juga boleh dilipat dengan nisbah 60:40 untuk meningkatkan tahap praktikaliti. Untuk keselesaan didalam kabin, Civic ini dilengkapi dengan moonroof, penghawa dingin automatik dua-zon, skrin sesentuh tujuh-inci (resolusi 800×480) sistem infotaimen dengan HondaLink, integrasi Android Auto dan Apple CarPlay (LX dan LX-P hanya dilengkapi skrin sesentuh multimedia asas lima-inci), pemanas kerusi hadapan serta roda stereng dan tuil gear dibalut kulit. Pada semua varian Civic Coupe kecuali varian LX dan LX-P, pemandu akan mendapat informasi dari Driver Information Interface (DII) yang terletak didalam paparan instrumen dibawah speedometer digital. DII yang turut memaparkan bacaan trip,peringatan servis, navigasi dan pemain audio ini boleh dikawal menerusi suis yang terletak pada roda stereng. Untuk ciri keselamatan, hanya varian Touring menerima teknologi keselamatan dan bantuan pemandu Honda Sensing. Sistem ini menghimpunkan pelbagai ciri keselamatan termasuk Collision Mitigation Braking System (CMBS), Lane Departure Warning (LDW), Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Kawalan Kelajuan Adaptif (ACC), Lane Keeping Assist System (LKAS) dan Road Departure Mitigation (RDM) GALERI: Honda Civic Coupe 2016
Toyota Sienta dijual di Malaysia Ogos ini, RM90k?
Berita yang menarik, di mana iklan model MPV Toyota Sienta dari pengedar Toyota telah dipaparkan di Mudah.my, namun tidak mengesahkan adakah benar ia akan tiba di Malaysia. Dengan harga yang disebut iaitu RM89,880, iklan tersebut turut menyebut ia boleh didapati mulai Ogos ini. Sienta bagi pasaran Malaysia mungkin didatangkan dari Indonesia, yang dilaporkan mula dijual pada April ini. Ia diproduksi di PT Toyota Motor Manufacturing di Karawang, Jawa Barat dengan jangkaan sebanyak 25,000 unit, bersama 80% pasaran domestik dan selebihnya untuk dieksport. Fasiliti tersebut merupakan hab pengeluaran kedua bagi MPV selepas Jepun. Kenderaan yang dipasang di Indonesia ini dilaporkan memiliki sedikit kelainan berbanding model Jepun. Salah satunya, model pemasangan Indonesia itu akan didatangkan sama ada dengan pintu gelungsur manual- atau berkuasa elektrik. Ia turut menampilkan dua corong penghawa dingin (tidak terdapat bagi model di Jepun) untuk mengatasi cuaca panas tropika. Selain itu, ia turut didatangkan dengan rekaan tempat duduk yang berbeza. Perbezaan ini bukan suatu yang luar biasa bagi Toyota di Indonesia, kerana model Rush dan Daihatsu Terios juga menampilkan beberapa kelainan berbanding versi Jepun, termasuklah memiliki jarak roda yang lebih panjang. Sebelum ini, Sienta dilaporkan akan dijanakan oleh enjin 1NZ-FE 1.5 liter VVT-i dari Vios, yang mampu memberikan kuasa sehingga 109 PS dan 141 Nm. Walau bagaimana pun, model facelift bagi Avanza kini turut menggunakan penjana kuasa baharu iaitu 2NR-FE dengan Dual VVT-i bersama penjimatan bahan api yang lebih baik serta kuasa 104 hp/139 Nm, maka terdapat kemungkinan Sienta juga akan menggunakan enjin tersebut. Ia juga adalah berbeza dengan model Jepun, yang menggunakan enjin 1.5 liter 2NR-FXE (109 PS/136 Nm) Atkinson dengan digerakkan secara elektrik VVT-iE untuk varian 2WS, 1NZ-FE bagi model 4WD (103 PS/132 Nm) atau 1.5 liter 1NZ-FKE (74 PS/111 Nm) yang dipadankan bersama motor elektrik untuk Sienta Hybrid. Manakala enjin petrol pula dipadankan dengan transmisi Super CVT-i, manakala penjana kuasa hibrid pula digabungkan dengan eCVT. Ada juga perkhabaran yang mengatakan dijangkakan Sienta ini akan diletakkan antara Avanza dan Innova bagi barisan model Toyota pasaran tempatan.
SPYSHOT: Toyota Fortuner 2016 baharu kelihatan berdekatan Padang Jawa, tampil dua set roda berbeza
SUV Toyota Fortuner yang baharu telah dijumpai di Malaysia sekali lagi. Kali ini gambar terbaharu SUV tujuh-tempat duduk ini telah dihantar kepada kami oleh Tengku Izzudin, yang menemui SUV ini berdekatan Padang Jawa, Shah Alam. Gambar dua contoh Fortuner generasi kedua ini telah diambil sekali dan ia dilengkapi dengan dua set roda yang berbeza. Gambar SUV yang menampakkan bahagian hadapan dilengkapi dengan set roda sama dengan apa yang telah kami paparkan sebelum ini (juga di Shah Alam). Gambar kedua pula yang menampakkan tiga-suku bahagian belakang SUV berkenaan, ia dilengkapi dengan set roda yang lebih kecil. Lencana Fortuner masih lagi ditutup seperti sebelum ini, tetapi jika diamati bahagian belakangnya ia ditampal dengan pelekat “intercooler VNT” yang merujuk kepada teknologi “Variable Nozzle Turbodiesel” yang telah sedia dipakai untuk model-model Toyota sebelum ini. Jadi tiada sebarang petunjuk berkenaan enjin diesel yang mana menjana Fortuner baharu ini. Di Thailand, Fortuner baharu telah didedahkan menggunakan dua enjin turbodiesel siri GD yang baharu – enjin 1GD-FTV 2.8 liter dengan 177 hp dan tork 450 Nm, dan enjin 2GD-FTV 2.4 liter dengan 150 hp dan tork 400 Nm. Kedua-dua enjin ini menggantikan enjin 3.0 liter dan 2.5 liter diesel terdahulu. Enjin petrol 2.7 liter Dual VVT-i yang dipertingkat turut ditawarkan disana, menjana kuasa 166 hp dan tork 245 Nm. Fortuner turut dilengkapi dengan transmisi enam-kelajuan automatik torque converter menggantikan kotak gear automatik empat-kelajuan sebelum ini. Kotak gear manual enam kelajuan turut disediakan untuk spesifikasi yang lebih rendah. Sebelum ini, Fortuner di Malaysia boleh didapati sama ada dengan enjin petrol 2.7 liter atau 2.5 liter turbo diesel. Untuk model baharu, sama ada Toyota akan menggunakan enjin sama seperti spesifikasi Thailand atau tidak masih lagi menjadi teka-teki. Kami juga berharap kotak gear enam-kelajuan automatik dan sistem 4X4 adalah standard untuk Fortuner baharu spesifikasi Malaysia nanti. Seperti yang diketahui sebelum ini, UMW Toyota akan memperkenalkan tiga model baharu dalam keluarga IMV di Malaysia tahun ini. Fortuner yang dilihat ini akan menyertai trak pikap Hilux dan MPV Innova dalam pasaran. Ketiga-tiga model tersebut dijangka akan dilancarkan di Malaysia pada suku kedua dan ketiga tahun ini. GALERI: Spyshot Toyota Fortuner di Malaysia GALERI: Toyota Fortuner 2016 2015 Reveal of All New Toyota Fortuner. (Crusade pre-production model shown) 2015 Reveal of All New Toyota Fortuner. (Crusade pre-production model shown) 2015 Reveal of All New Toyota Fortuner. (Crusade pre-production model shown) 2015 Reveal of All New Toyota Fortuner. (Crusade pre-production model shown) 2015 Reveal of All New Toyota Fortuner. (Crusade pre-production model shown; fresh water crossing shown) 2015 Reveal of All New Toyota Fortuner. (Crusade pre-production model shown; fresh water crossing shown) 2015 Reveal of All New Toyota Fortuner. (Crusade pre-production model shown) 2015 Reveal of All New Toyota Fortuner. (Crusade pre-production model shown) 2015 Reveal of All New Toyota Fortuner. (Crusade pre-production model shown) 2015 Reveal of All New Toyota Fortuner. (Crusade pre-production model shown) 2015 Reveal of All New Toyota Fortuner. (Crusade pre-production model shown) 2015 Reveal of All New Toyota Fortuner. (Crusade pre-production model shown) 2015 Reveal of All New Toyota Fortuner. (Crusade pre-production model shown) 2015 Reveal of All New Toyota Fortuner. (Crusade pre-production model shown) 2015 Reveal of All New Toyota Fortuner. (Crusade pre-production model shown) 2015 Reveal of All New Toyota Fortuner. (Crusade pre-production model shown) 2015 Reveal of All New Toyota Fortuner. (Crusade pre-production model shown) 2015 Reveal of All New Toyota Fortuner. (Crusade pre-production model shown) 2015 Reveal of All New Toyota Fortuner. (Crusade pre-production model shown) Toyota Fortuner Crusade interior with fawn leather accented trim (Pre-production model shown.) Toyota Fortuner Crusade interior (Pre-production model shown.) Toyota Fortuner Crusade interior with fawn leather accented trim (Pre-production model shown.) Toyota Fortuner Crusade interior (Pre-production model shown.) Toyota Fortuner Crusade interior with fawn leather accented trim (Pre-production model shown.) Toyota Fortuner Crusade interior with fawn leather accented trim (Pre-production model shown.)*** Toyota Fortuner Crusade interior with fawn leather accented trim (Pre-production model shown.) Toyota Fortuner Crusade interior with fawn leather accented trim (Pre-production model shown.) Toyota Fortuner GX interior (Pre-production model shown.) Toyota Fortuner GX interior (Pre-production model shown.) Toyota Fortuner GX interior (Pre-production model shown.) Toyota Fortuner GX interior (Pre-production model shown.) Toyota Fortuner GX interior (Pre-production model shown.)
PANDU UJI: Reviu Nissan NP300 Navara di Malaysia
Jika dahulu penerimaan orang ramai terhadap kenderaan trak pikap hanya sesuai untuk mereka yang sering perlu membawa barangan yang banyak termasuk peniaga, kontraktor, pekerja ladang, serta yang kerap memandu di permukaan jalan yang ekstrem mahu pun off-road. Namun kini, ia telah berubah di mana trak pikap ini turut sesuai digunakan sebagai pengangkutan harian atau pun yang gemarkan gaya hidup yang lasak. Sejak persepsi terhadap trak pikap ini berubah, pengeluar kenderaan sebegini turut mengubah arah rekaan mereka supaya kelihatan lebih bergaya, ditambah pula dengan adaptasi pelbagai teknologi dan menambah baik elemen pengendaliannya. Pada 26 November yang lalu, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) telah pun melancarkan model Nissan NP300 Navara baharu untuk pasaran Malaysia. Ia digambarkan sebagai ‘pikap paling unggul’ kerana memiliki fleksibiliti untuk menjadi kenderaan yang boleh dipercayai dan lasak dalam melaksanakan tugas. Dalam masa yang sama, ia menjanjikan keselesaan dan ruang yang luas untuk kegunaan riadah dan perjalanan di hujung minggu. Ia ditawarkan dengan enam iaitu VL, V, SE A/T, SE M/T, E dan Single Cab. Bagi mengetahui sejauh mana kehebatan NP300 Navara baharu ini, kami telah melenjan pikap ini dalam pemanduan secara off-road dan corak perjalanan biasa iaitu untuk kegunaan seharian sama ada merentas lebuh raya mahu pun di bandar. Dengan diberi unit pandu uji varian tertinggi iaitu VL, cetusan rasa yang tercipta mencorakkan kepelbagaian gambaran. Jika dilihat daripada imej yang dipertaruhkan, sememangnya ia mudah menambat perhatian. Varian VL ini didatangkan dengan lampu utama LED berbentuk boomerang yang lengkap dengan lampu nyalaan siang (DRL) merupakan yang pertama dalam kelasnya. Ia turut disertakan dengan rim aloi dua-tona 18-inci, sementara varian lain sekadar unit reflektor halogen biasa dan rim aloi 16-inci (bagi single cab dan double cab varian E hanya rim keluli biasa). Selain itu, ia turut didatangkan dengan gril signatur ‘V-motion’ Nissan serta menyerlahkan aspek estatiknya. Varian ini juga ditampilkan dengan rel bumbung. Menjengah bahagian kabinnya, bentangan dalaman Navara ternyata menepati kehendak gaya hidup masa kini. Malah papan pemukanya hasil ilham model X-Trail namun memiliki sentuhan permukaan yang lebih kasar dan keras. Balutan kulit upholstery pula menjadi pilihan bagi tempat duduk, roda stereng dan tombol gear, memberikan cetusan elemen elegan di situ, tetapi hanya untuk varian VL sahaja. Tempat duduk yang diinspirasikan daripada graviti sifar (Zero Gravity Inspired Seats) yang pertama dalam kelasnya memberi sokongan pada tulang belakang pemandu dan penumpang hadapan. Varian VL dilengkapi dengan tempat duduk kulit sepenuhnya, manakala lain-lain varian hanya fabrik. Sementara sudut tempat menyandar untuk tempat duduk belakang yang telah ditambah baik bersama corong pendingin hawa memastikan keselesaan penumpang belakang pada setiap masa. Skrin warna Advanced Drive Assist Display (ADAD) bersaiz 5.0-inci memaparkan maklumat kenderaan untuk memudahkan pemanduan. Sementara stereng yang sporty bersama butang kawalan memberikan pemandu akses terus ke atas sistem audio dan kawalan jelajah di hujung jari sahaja. Manakala pendingin hawa dua zon dan corong udara di bahagian belakang pula memberikan penyejukan kabin yang optimum. Ia turut dilengkapi dengan butang kawalan pada roda stereng iaitu untuk audio, sistem bebas-tangan Bluetooth, kawalan kelajuan, kunci pintar bersama butang penghidup/mematikan enjin dan paparan bersaiz 5.0-inci dengan sokongan FM/AM/MP3 (sama seperti model Teana 2.0XL atau 2.5XV), sambungan USB, kamera pandang belakang dan enam pembesar suara. Selain itu, ETCM turut menawarkan sistem Navigasi Multimedia TCAT dengan skrin sesentuh 7.0-inci bernilai RM3,922 sebagai pilihan, namun ia tidaklah begitu efisien daripada segi operasinya dan tidak banyak berbeza dengan produk yang dijual di luar yang boleh didapati dengan harga yang lebih rendah. Satu-satunya kekurangan yang terasa tentang bahagian kabin pikap ini ialah sudut kecondongannya lebih kepada sebuah kereta biasa, tidak boleh dilaraskan ketinggiannya secukup yang mungkin, malah ia boleh mendatangkan kurang selesa pada pemandu yang bertubuh tinggi. Jika anda duduk di tempat duduk belakang sebagai penumpang, tempat duduk yang agak menegak pasti mengundang rasa yang kurang selesa terutamanya jika melibatkan perjalanan yang jauh. Namun corong penghawa dingin (satu-satunya dalam kelasnya) mengurangkan rasa tidak selesa itu, malah elemen ini seakan memberikan sentuhan kemewahan pada pikap ini. Bagi muatan kapasitinya, Navara double cab ini berukuran 1,503 mm bagi petak kargonya dengan kedalaman 475mm, iaitu kurang sedikit daripada Triton iaitu 1,520 mm dan Ranger (1,549 mm). Navara ini dikatakan mampu membawa muatan seberat satu tan. NP300 Navara ini mempertaruhkan enjin yang telah ditambah baik iaitu 2.5L Diesel YD25 Nissan dengan sistem geometri boleh ubah (VGS) turbo intercooler. Ia mampu menghamburkan kuasa maksimum sehingga 190 PS dan puncak tork 450 Nm pada 2,000rpm iaitu lebih 16 PS dan 47 Nm berbanding model sebelumnya. Nissan turut mendakwa penjimatan bahan apinya juga telah dipertingkatkan sekitar 11%. Namun kuasa tersebut hanya boleh didapati bagi VL, sedangkan varian lain hanya 163 PS dan 403 Nm, iaitu kurang 11 PS berbanding model sebelum ini. Walau bagaimana pun, varian V dan VL turut digabungkan dengan transmisi automatik tujuh-kelajuan bersama mod manual iaitu pertama dalam kelasnya. Manakala SE hanya auto. Kesemuanya turut didatangkan dengan pacuan 4×4 sebagai standard, termasuk memiliki butang Shift-On-Fly 4×4. Di mana dari pacuan 2WD, boleh ditukarkan pada 4H untuk 4WD ketika memandu di bawah kelajuan 100 km/j. Dari 4H hendak bertukar ke 4LO, kenderaan harus berhenti sepenuhnya (0 km/j). Jika memandunya di laluan biasa termasuk lebuh raya, untuk mendapatkan kelajuan yang diingini, dari titik pegun atau rev yang rendah, ia seolah mengambil sedikit masa untuk hambatan kuasa. Namun jika sudah mencapai kelajuan yang diingini, kuasanya mudah dikekalkan. Ia mungkin dipengaruhi oleh kotak gear automatik yang seakan teragak-agak untuk ‘kickdown’, walau pun penukarannya lancar dan cepat. Namun kecederungannya untuk bertahan pada nisbah yang lebih tinggi bagi kecekapan bahan api yang lebih baik. Malah jika memandu dalam kelajuan yang agak tinggi, bunyi bising enjin menyerap masuk ke dalam kabin, biar pun dalam gear yang tinggi. Namun bunyi seretan angin dan tayar agak kurang kedengaran, berbanding model pesaingnya iaitu Ranger. NP300 Navara baharu ini juga menggunakan Multi-link bersama penyerap hentak bagi suspensi belakangnya. Ia turut dipadankan bersama Independent Double-Wishbone dengan palang penstabilan untuk suspensi hadapan, memberikan pengendalian yang lebih optimum. Hasilnya, dengan pegas gegelung ini, Navara mampu menyerap kesan hentakan dengan lebuh baik. Dalam kelajuan rendah mahu pun sederhana, ia memang terasa selesa. Namun jika dalam kelajuan yang lebih tinggi, suspensinya terasa agak lembut dan ini kurang sesuai untuk pikap terutamanya jika membawa muatan. Bagi olengan badannya, ternyata pikap ini berusaha keras untuk mengurangkan kesan yang kurang menyenangkan. Malah daya cengkamannya dan kestabilannya agak optimum berbanding Navara yang lama. Namun kelemahan pada suspensi yang agak lembut itu membuatkan kesan olengannya masih dapat dirasai. Malah pikap ini terasa agak berat bila berada dalam kelajuan yang rendah. Ketika melenjannya di laluan off-road, ia banyak memberi peluang mengenali karakter pikap ini. Meredahi laluan berlopak ternyata tidak begitu menyulitkan. Namun ketika menuruni bukit yang agak licin, keberanian agak teruji. Biarpun ia dilengkapi dengan dilengkapi sistem ciri Active Brake Limited Slip untuk menawarkan cengkaman lebih baik serta meningkatkan kestabilan kenderaan di atas jalan yang licin dengan Bantuan Menuruni Bukit, ia seakan menggelongsor dengan agak mendadak biar pun pedal pendikit tidak disentuh. Maka kawalan stereng sangat ditagih bagi memastikan pikap ini mampu menuruni bukit dengan keadaan permukaan jalan yang licin lebih selamat. Selain itu, pikap ini turut memiliki sistem Bantuan Mula Mendaki yang dirasakan lebih efektif. Selain itu, ia turut dilengkapi aspek keselamatan lain termasuklah dua beg udara di bahagian hadapan, cagak tempat duduk kanak-kanak (ISOFIX), Kawalan Dinamik Kenderaan, ABS, EBD, Bantuan Brek dan Sistem Kawalan Cengkaman untuk membantu pemandu agar sentiasa berada dalam kawalan serta dapat mengelakkan daripada bahaya dalam situasi-situasi kecemasan. Peningkatan elemen yang ketara termasuk banyak perubahan yang dilakukan terhadap NP300 Navara ini boleh dianggap bonus kerana ternyata ia lebih baik berbanding model sebelumnya. Dengan harga atas jalan (tanpa insurans) RM120,800 bagi VL, ia dilihat lebih berbaloi berbanding model Ranger yang lebih tinggi harganya. Malah boleh dikatakan ia bersesuaian dengan NP300 Navara yang digambarkan sebagai Mother Trucker baharu di jalanan. Manakala varian lain pula berharga RM109,800 bagi varian V, RM102,800 (SE A/T), RM97,800 (SE M/T), RM89,800 (E) dan RM79,000 (single cab). Ia juga hadir bersama jaminan selama tiga tahun atau perbatuan sejauh 100,000km (mana-mana tiba dahulu).
KL MRT : Penutupan sementara di Jalan Semantan, Jalan Cheras dan Taman Billion mulai 24 Feb
Beberapa jalan di Jalan Semantan di Damansara, Jalan Cheras dan bulatan Taman Billion di Cheras akan ditutup bermula 24 Februari ini. Penutupan tersebut berikutan kerja-kerja pembinaan fasiliti MRT menurut MMC-Gamuda KVMRT (PDP), lapor Bernama. Di Jalan Semantan, lebuhraya SPRINT, lorong paling kanan akan ditutup dalam jarak 300 meter selama 17 hari (sehingga 11 Mac) untuk kerja-kerja melebarkan jalan. Lorong tersebut ditutup untuk 24 jam dalam tempoh masa tersebut, tetapi dua lagi lorong masih lagi boleh digunakan oleh pengguna jalan raya yang menuju ke KL dan PJ. Lorong sepanjang 120 meter di Jalan Cheras menuju Lebuhraya MRR2 dari Kajang berdekatan bulatan Taman Billion ditutup selama 24 jam untuk kerja-kerja pembinaan laluan MRT sehingga 1 April ini. Kenyataan yang dikeluarkan oleh MMC-Gamuda menyebut, “Sebagai jalan alternatif ke Jalan Cheras (bahagian KL), pengguna jalan raya dari Kajang adalah dinasihatkan untuk menggunakan bulatan Taman Billion untuk masuk ke MRR2. Begitu juga di Jalan Cheras, akan ada penutupan melibatkan pengguna jalan raya KL dan Kajang di Taman Midah bermula 11 malam sehingga 5 pagi. Penutupan tersebut akan mengambil masa selama 63 hari sehingga 26 April hadapan.” “Trafik dari KL menuju Kajang akan dihala kan ke jalan dalam di stesen minyak Petronas berdekatan tanah perkuburan Kristian Cheras dan keluar ke Jalan Cheras melalui jalan keluar di Mc’Donald sepanjang penutupan tersebut.” Pengguna jalan raya dari kajang menuju KL, akan dihala kan ke laluan stesen MRT Taman Midah yang akan datang.
Honda Civic 2016 pasaran Amerika Syarikat dipanggil semula berhubung masalah gegelang omboh enjin
Honda akan melakukan panggilan semula untuk Honda Civic 2016 pasaran Amerika Syarikat atas isu yang berkaitan dengan enjinnya. Pengeluar kereta terbabit telah pun menghentikan pesanan jualan untuk beberapa varian sejak awal Januari lalu, dan akan mengeluarkan kenyataan rasmi berkenaan isu ini setelah Pentadbiran Keselamatan Lebuhraya Nasional Amerika Syarikat (NHTSA) meluluskan pelan panggilan semula tersebut. Menurut Bloomberg Business, berita akan berlaku panggilan semula ini bermula apabila buletin servis bertarikh 30 Januari 2016 mula dipos pada ruang forum pengedar, di mana ia mendedahkan kerosakan melibatkan atau kesilapan pemasangan gegelang omboh (piston ring), yang boleh menyebabkan enjin rosak dan tidak berfungsi serta dalam keadaan yang paling teruk mungkin akan menyebabkan kebakaran di bawah hud. Buletin tersebut juga memberitahu dianggarkan 34,000 unit Civic 2016 terlibat dalam panggilan semula ini, dan pada masa ini juga tiada lagi bekalan alat ganti disediakan untuk mengatasi masalah ini. Menurut buletin itu juga Honda US menjangkakan akan memberitahu pelanggannya berhubung panggilan semula ini bermula pertengahan Mac 2016. Atas sebab kurang informasi rasmi dari Honda US berhubung isu ini pada masa sekarang, informasi dari Transport Canada mendedahkan isu ini hanya melibatkan model tertentu yang menggunakan enjin 2.0 liter sahaja dan enjin 1.5 liter VTEC Turbo tidak terlibat. Panggilan semula tersebut menyatakan sebanyak 10,698 unit Civic terlibat. Civic sedan untuk pasaran Amerika Utara diproduksikan oleh dua syarikat – Honda Manufacturing of Greensburg di Indiana, US dan Honda of Canada Mfg (HCM) di Alliston, Ontario. Panggilan semula ini sepatutnya tidak melibatkan Honda Civic 2016 yang dijual di Thailand dan Filipina, kerana sedan tersebut hanya dijual dalam versi 1.8 liter SOHC i-VTEC dan 1.5 liter VTEC Turbo untuk kedua-dua pasaran terbabit. GALERI: Honda Civic 2016 2016 Honda Civic Sedan 2016 Honda Civic Sedan 2016 Honda Civic Sedan 2016 Honda Civic Sedan 2016 Honda Civic Sedan 2016 Honda Civic Sedan 2016 Honda Civic Sedan 2016 Honda Civic Sedan
Ferrari California T terima pakej Handling Speciale
Maranello telah mengumumkan pakej pengendalian terbaharu bagi Ferrari California T. Pakej pilihan ini dinamakan sebagai Handling Speciale (HS), yang memberikan penambah baikan bagi kawalan kenderaan, F1-Trac logic yang disemak semula, sistem ekzos baharu dan beberapa penambahan estetik bagi 2+2 convertible. Pakej HS ini bakal dipamerkan di Geneva Motor Show 2016. Peningkatan pengendalian ini dilakukan menerusi penentu ukuran khusus pada bahagian mod Sport. Dengan pek ini, California T turut menerima pelarasan peredam baharu dengan gegelung yang dimodifikasi. Set gegelung hadapan juga lebih keras sebanyak 16% dan belakang pula 19%. Mod Sport juga telah dipertingkatkan dengan penaiktarafan peredam SCM3 magnetorheological, yang menambah kelajuan pada respons peredam serta meningkatkan lagi keupayaannya. Selain itu, F1-Trac logic turut memberikan kuasa pendikit yang lebih baik terutamanya di selekoh dan permukaan jalan yang beralun. Selain itu, gear-shift logic pada mod Sport, kedua-duanya automatik dan manual, juga telah dimodifikasi. Pertukaran gear California T juga lebih pantas dan sporty. Pek HS ini juga didatangkan dengan sistem ekzos baharu dengan silencers, menampilkan dua paip dengan rekaan geometri baharu. Ekzos ini dibangunkan bersama-sama perisian kawalan kotak gear dan enjin. Ia juga memberikan respons yang lebih pantas dan menambah baik bunyi dan volume. Ferrari berkata sistem ekzos baharu ini juga memberikan pemanduan yang lebih menguja dalam semua tahap kelajuan. Sebagai peningkatan kosmetik, pakej HS ini juga didatangkan dengan gril hadapan baharu dengan warna Grigio Ferro Met dan peresap belakang dengan warna yang sama serta paip ekzos berwarna hitam pekat. Pada bahagian dalamnya, plak khas yang menandakan pakej HS ini turut ditampilkan. Selain itu, angka prestasinya masih kekal sama. California T menampilkan enjin 3.9 liter V8 pengecas turbo yang mampu menghasilkan 560 hp dan tork 755 Nm. Ia mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 3.6 saat dan mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 316 km/j. GALERI: Ferrari California T di Malaysia SONY DSC
VEP bantu selesaikan masalah kenderaan negara jiran tidak bayar saman dan isu kereta klon – KP JPJ
Sistem Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) yang bakal dilaksanakan mulai Mei ini dilihat mampu membantu menyelesaikan masalah kenderaan dari negara jiran yang tidak membayar saman. Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Ismail Ahmad, ketika ini kenderaan dari Singapura yang masuk ke Malaysia tidak mempunyai rekod, laporan Bernama. “Sekarang ini kereta dari Singapura yang masuk ke Malaysia tidak ada rekod sebab itu kereta Singapura yang melakukan kesalahan apabila mereka berada di Semenanjung, bebas tidak bayar saman dan boleh keluar masuk ke negara kita. “Jadi apabila kita laksanakan VEP nanti semua kereta yang melakukan kesalahan di negara kita dia tidak boleh balik sehingga urusan saman itu dibayar,” katanya dalam sidang media hari ini. Katanya lagi, selain mengenal pasti kenderaan negara jiran yang tidak membayar saman, sistem VEP itu nanti akan turut membantu JPJ mengawal dan menangani sindiket kereta klon. Katanya tahun lalu pihaknya menyita 760 kereta klon namun percaya masih banyak kenderaan berkenaan berada dan digunakan di negara ini. “Apabila sistem VEP dilaksanakan nanti semua kenderaan dari Singapura yang masuk ke negara ini perlu didaftarkan, isu kereta klon akan dapat dikawal dan menangani sindiket kereta klon di negara ini,” katanya. Ismail berkata kebanyakan pemilik kenderaan klon mengetahui bahawa kereta yang dibeli itu adalah kereta klon. Beliau berkata urusniaga membeli kereta klon biasanya dijalan secara tunai memandangkan tiada institusi kewangan yang memberi pinjaman memandangkan kenderaan berkenaan tiada sebarang dokumen. Seterusnya menegaskan memiliki kenderaan klon merupakan satu kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan juga Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Peugeot 308 THP Active – berharga RM119,888
Sebelum ini, harga jangkaannya ialah RM120,888, namun kini Nasim Sdn Bhd telah mengesahkan harga rasmi bagi Peugeot 308 THP Active ialah RM119,888, iaitu RM17,000 lebih murah berbanding varian 308 THP yang berharga RM136,888. Seperti kebiasaannya, kenderaan yang harganya lebih murah pasti ada perubahan pada elemen yang ditampilkan. Sebagai contoh, lampu utama reflektor yang menjadi pilihan berbanding LED, dan juga ia tidak disertakan dengan pengesan parkir hadapan. Malah bampar hadapan juga telah direka semula untuk menempatkan lampu nyalaan siang LED. Berbanding model biasa 308 THP yang dipadankan dengan rim aloi “Sapphire” 18-inci, 308 THP Active memilih rim “Rubis” dengan saiz yang lebih kecil iaitu 17-inci. Jika model sebelum ini turut mempunyai roda aloi sebagai simpanan, tapi bagi Active, ia sekadar roda keluli biasa sahaja. Pada bahagian dalamnya, 308 THP Active menampilkan tempat duduk balutan fabrik, berbanding Alcantara iaitu pilihan yang lebih mahal, serta fungsi urut juga telah ditiadakan. Namun bernasib baik kerana masih terdapat beberapa elemen yang telah dikekalkan termasuk skrin paparan sesentuh 9.7-inci dan sistem audio 3D Arkamys enam speaker. Malah prestasi model ini juga tidak berubah, masih dijanakan oleh enjin 1.6 liter twin-scroll pengecas turbo yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 150 hp dan tork 240 Nm. Enjin ini turut dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan bersumber Aisin. Sebagai keselamatam, 308 THP Active turut ditawarkan dengan enam beg udara dan program kestabilan elektronik (ESP) sebagai standard. Walau bagaimana pun, kawalan kelajuan dinamik, amaran pelanggaran kecemasan dan sistem brek pelanggaran kecemasan telah ditiadakan. Terdapat lima warna ditawarkan termasuklah Rouge Red, Mocha Brown, Artense Grey dan Nera Black. Varian mampu milik 308 THP ini telah pun berada di bilik pameran Peugeot sejak Disember lalu dan tempahannya juga sudah dibuka.
Tesla Model S 85 hanya satu cas penuh bagi perjalanan KL-Kedah; diuji GreenTech Malaysia
Baru-baru ini, Malaysian Green Technology Corporation (GreenTech Malaysia) menganjurkan program pemanduan yang membabitkan dua unit Tesla Model S 85 dari Bangi menuju ke Kulim, Kedah. Perjalanan sehala itu hanya melibatkan satu cas penuh, ujar CEO GreenTech Malaysia Ahmad Hadri Haris kepada paultan.org. Perjalanan itu bermula jam 5 pagi pada 13 Januari lalu, dengan model S 85 berwarna Midnight Silver bertolak dari Bangi dengan satu cas penuh, bersama bacaan kapasiti bateri dalam lingkungan 491 km. Dengan merentasi Lebuhraya Utara-Selatan, jentera terbabit dipacu mengikut had laju menggunakan kawalan jelajah (cruise control) yang turut bergantung pada keadaan lalu lintas. Dalam jam 8.30 pagi, jentera ini sampai di kawasan R&R Sg Perak, dengan baki kapasiti bateri dalam lingkungan 212 km. Beberapa minit sebelum jam 11 pagi, S 85 ini selamat sampai di kilang First Solar, Kulim Hi-Tech Park, selepas menempuhi perjalanan sejauh 383 km, dengan kapasiti bateri masih berbaki 53 km. Ringkas mengenai First Solar, ia merupakan pengeluar American photovoltaic (PV) iaitu panel lapisan solar, yang mempunyai kilang pemasangan di Kulim Hi-Tech Park, dengan bilangan tenaga kerja seramai 4,000 orang di seluruh Malaysia. Perumah Pengecas Tesla telah dipasang secara sementara di First Solar untuk mengecas Model S, dengan punca kuasanya dijanakan dari tenaga solar yang disediakan oleh syarikat terbabut, dengan kos sifar, ujar Hadri. Mampu menyalurkan 32A pada fasa-tunggal 240 voltan, yang membolehkan bateri dicas pada kadar 41 kWh, dengan cas sepenuhnya selesai lebih kurang jam 10 malam, kapasiti bateri dalam lingkungan 494 km. Pada 14 Januari lalu, satu sesi demostrasi telah dilakukan di First Solar, di mana jentera terbabit menuju ke Pulau Pinang pula, yang kemudiannya dicas sepanjang malam dengan menggunakan soket tiga-pin (13A, 240V), memberikan kadar pengecasan sehingga 10 kWh. Keesokannya harinya, S 85 ini meneruskan perjalanan dari Pulau Pinang ke Serdang, Kedah, di mana Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir melancarkan sistem solar PV 12 kW dari First Solar di masjid. Malah beliau turut berbesar hati untuk melihat lebih dekat S 85 dan memandu ujinya buat seketika. Kemudian jentera ini dicas sepanjang malam di First Solar, sekali lagi menggunakkan Perumah Pengecas Tesla sementara, yang mampu mencapai kapasiti dalam lingkungan 497 km. Perjalanan pulang ke KL pada 16 Januari pula membabitkan jarak perjalanan sejauh 390 km, dan ketika Tesla ini sampai di pejabat GreenTech, kapasiti bateri masih berbaki 18 km, dengan penggunaan tenaga dari bateri dalam lingkungan 187 Wh/km. Hadri berkata, jumlah keseluruhan jarak perjalanan sejauh 1,267 km tanpa sebarang kos, jentera ini telah dicas sebanyak dua kali menerusi perumah pengecas Tesla dengan saluran kuasa dari tenaga solar dan kemudian sekali lagi dicas menggunakan soket tiga-pin dari kuasa janaan TNB. Lebih penting lagi, ia telah menunjukkan S 85 ini mempunyai keupayaan penggunaan tenaga yang lebih tahan lama, meletakkannya sebagai antara EV yang paling berkuasa dalam kelasnya. GALERI: Tesla Model S 85
SPYSHOT: Proton Perdana 2016 hampiri produksi
Proton Perdana 2016 semakin menanti detik pelancarannya, membuak-buakkan lagi perasaan tidak sabar untuk melihatnya selepas 11 tahun menanti. Sementara detik tersebut, kami masih banyak menerima foto spyshot model ini, terkini kiriman Mohd Nizam Mohd Razak, Akmal Latip dan Huzaifah Azman. Walau pun masih dilitupi penyamaran sepenuhnya, namun bentuk asasnya masih boleh kelihatan, yang menampakkan perbezaan berbanding model Honda Accord generasi ke-lapan yang pernah digunakan sebelum ini. Pertambahan panjangnya iaitu Perdana lebih panjang sebanyak 150 mm berbanding Accord, memberikan perbezaan yang lebih jelas. Foto sebelum ini kelihatan memberikan bayangan Perdana 2016 telah diberi rekaan semula pada bahagian hadapan, dipadankan dengan lampu utama projektor bersama lampu nyalaan siang LED, garisan bumbung yang lebih panjang menampakkan ciri lebih elegan serta lampu belakang LED berbentuk-C bersama ekzos berkembar. Malah bahagian kabinnya juga dijangka mempunyai banyak perubahan termasuk padanan warna baharu beige (berbanding hitam pada ruang dalaman Accord). Bakal diproduksikan di Kilang Pengeluaran Sederhana Proton di Shah Alam, Perdana 2016 ini dijangka bakal dilancarkan pada suku pertama tahun ini, dengan mengekalkan enjin Honda 2.0 liter i-VTEC (154 hp/189 Nm) dan 2.4 liter i-VTEC (177 hp/222 Nm) dengan transmisi automatik lima-kelajuan. Model penambah baikannya pula dijangka diperkenalkan pada akhir 2016 di mana Perdana bakal menerima enjin baharu iaitu NE01 2.0 liter empat-silinder, berdasarkan model enjin Petronas E01 yang dibeli oleh pengeluar kereta nasional ini pada tahun 2012. Enjin ini dijangka didatangkan dengan pancitan bahan api secara terus (GDi) dan pancitan bahan api secara terus dengan pengecas turbo (TGDI). Malah Proton juga sedang mempertimbangkan enjin baharu 1.5 liter pengecas turbo dan suntikan terus bahan api TGDI, yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 180 hp dan tork 250 Nm. Mana-mana pun penjana kuasa yang dipilih, ia tetap akan dipadankan dengan transmisi CVT baharu yang bakal diperkenalkan sebelum akhir tahun 2017. GALERI: Pra-pengenalan Proton Perdana 2016 GALERI: Proton Perdana 2016 rendered
Proton SUV rendered berdasarkan Suzuki Vitara
Selepas menghasilkan lakaran digital (rendered) “Proton Ertiga” iaitu model Suzuki Ertiga dengan logo Proton, mendorong Theophilus Chin untuk menghasilkan “Proton Vitara” pula, iaitu SUV Suzuki Vitara dengan transformasi bersama logo Proton. Di mana Theo mengimaginasikan gril Preve pada “Proton Vitara” ini, tidak seperti mana imej asal Suzuki Grand Vitara yang pernah diperkenalkan di Paris pada tahun 2014 lalu (atau turut dikenali sebagai Escudo bagi pasaran domestik). Setakat ini Proton tidak pernah ada model SUV walau pun pengeluar kereta nasional ini pernah menghasilkan model konsep SUV pada tahun 2010 dan model konsep Iriz Active yang mengikut acuan VW Cross Polo dan Hyundai i20 Active. Setakat ini, cuma disahkan Suzuki Ertiga dipilih sebagai model kerjasama pertama antara Proton-Suzuki. Menurut laporan berita dari Indonesia yang memetik kenyataan Suzuki Indomobil Sales (SIS) berkata Ertiga akan dieksport ke Malaysia dalam bentuk komponen terurai (knocked down) dan kemudian akan dipasang semula (CKD) mulai suku kedua (Q2) tahun 2016. Laporan tersebut turut menyebut SIS akan mengeksport sebanyak 1,500 unit Ertiga kepada Proton setiap bulan, iaitu menyamai 18,000 unit setahun, seganda daripada jumlah eksport Suzuki Indonesia sendiri iaitu dari Rp 2 trilion ke Rp 4 trilion. Produksi bagi kit komponen terurai untuk Malaysia ini akan dimulakan pada Mei ini di kilang SIS yang terletak di Cikarang. Proton turut mengumumkan model kerjasama Proton-Suzuki ini akan memasuki pasaran sebelum 2016 berakhir. Di Indonesia, Ertiga diletakkan di bawah segmen MPV-Bawahan dan bersaing dengan Toyota Avanza dan Honda Mobilio. MPV tujuh tempat duduk ini dijanakan oleh enjin 1.4 liter dengan kuasa 92 PS dan tork 130 N,. Motor K14B ini dipadankan dengan kotak gear manual lima-kelajuan dan automatik empat-kelajuan. GALERI: Versi rendered Suzuki Ertiga berlogo Proton GALERI: Suzuki Vitara di Paris 2014 GALERI: Suzuki Escudo di Tokyo Motor Show 2015
Proton lancar kempen “It’s in the drive” hingga 31 Mac
Hujung minggu lalu, PROTON Holdings Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, PROTON Edar Sdn Bhd (“PROTON Edar”) pertama kalinya melancarkan kempen “It’s in the drive” kepada semua rakyat Malaysia beserta Peraduan ‘Pandu Uji & Menang’. Ia merupakan titik permulaan kepada siri penjelajahan satu Malaysia oleh PROTON Edar yang melibatkan beberapa lokasi tumpuan utama serta pusat beli-belah di negara ini dari 23 Januari sehingga 31 Mac 2016. Pemenang yang terpilih bagi peraduan yang berlangsung akan berpeluang memenangi hadiah-hadiah mingguan seperti TV LCD 42”, barangan elektronik seperti telefon bimbit dan iPad mini bernilai lebih kurang RM150,000 kesemuanya. Pada penghujung peraduan ini, seorang pemenang yang dipilih akan membawa pulang hadiah utama berupa sebuah Proton Suprima S 1.6 premium. “Kempen ini adalah untuk mewujudkan kesedaran tentang bagaimana kereta-kereta Proton telah berkembang maju berbanding model terdahulu kami sejak keluaran Proton Saga yang pertama. Salah satu cara untuk merasai perbezaan ini ialah dengan memandu uji sendiri kereta Proton dan pada masa yang sama berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah yang menarik,” ulas Dato ‘Abdul Harith Abdullah, CEO Proton. Ia telah pun memulakan siri penjelajahannya pada hujung minggu lalu di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam. Sebagai permulaan, kempen ini menawarkan kadar faedah 2.8% bagi semua kereta Proton dan skim graduan khas dengan ansuran bulanan bermula dari RM258 sebulan. Bagi ganjaran kesetiaan pula, rebat sehingga RM3,000 ditawarkan kepada semua pemilik Proton yang ingin menggantikan atau membeli sebuah lagi kereta Proton. Ini merupakan tawaran pertukaran yang hebat untuk semua pemilik kereta Proton di mana mereka boleh menukar kereta lama mereka kepada kereta Proton yang baharu dengan rebat sebanyak RM100 bagi setiap tahun usia kereta mereka. Selain itu, diskaun sehingga RM6,200 bagi model 2015 yang terpilih juga disediakan. Pada kempen pelancaran ini, sesi pemanduan berhemah turut dijalankan di mana pelanggan akan diperlihatkan dengan kemahiran pemanduan yang betul untuk mencegah dari berlakunya kemalangan atau perlanggaran, mengenalpasti ancaman dan bahaya serta bagaimana untuk bertindak dalam keadaan kecemasan. Sebagai sebahagian daripada kempen keselamatan Tahun Baru Cina yang sedang berlangsung, pemilik kereta Proton juga digalakkan untuk menghantar kereta mereka bagi pemeriksaan keselamatan 30 mata percuma. Pemilik turut berpeluang mendapatkan harga istimewa untuk pakej perkhidmatan bagi pemeriksaan berjadual mereka di samping diskaun 30% ke atas semua barangan Proton sepanjang tempoh kempen ini diadakan. Penduduk Malaysia dengan kad pengenalan atau pasport dan lesen memandu yang sah layak mengambil bahagian bagi peraduan “Pandu Uji & Menang”. Peraduan ini akan dibahagikan kepada dua kriteria kelayakan. Pertama, pelanggan boleh berkunjung ke mana-mana bilik pameran PROTON di seluruh negara dan pandu uji mana-mana model Proton, isi borang pandu uji, jawab beberapa soalan mudah dan peserta akan berpeluang untuk memenangi hadiah mingguan. Bagi hadiah utama pula, pelanggan yang telah menempah kereta mereka semasa kempen ini dijalankan akan berpeluang untuk memenangi sebuah kereta Suprima S. Untuk maklumat lanjut mengenai kempen “It’s in the Drive”, peraduan “Pandu Uji & Menang” dan model Suprima S, kunjungi bilik pameran PROTON atau lawati www.proton.com.
Suzuki Ertiga berlogo Proton, 3 versi rendered
Setelah sahih Proton akan rebadged model Ertiga dari Suzuki, kami telah meminta Theophilus Chin untuk menghasilkan rekaan ‘rendering’ bagi “Proton Ertiga” ini. Pastinya model ini tidak akan digelar Ertiga, namun mungkin Proton akan memberikan sedikit sentuhan yang berlainan buat imej MPV ini. Jadi manalah tahu rekaan ini boleh dijadikan idea yang dijangkakan. Theo telah memberikan tiga set Ertiga dengan logo Proton – pertama berdasarkan Ertiga versi original yang diperkenalkan pada tahun 2012, keduanya mengikut versi facelift yang diperkenalkan sewaktu Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2015 pada Ogos 2015 dan ketiga pula versi model Ertiga Dreza, yang memiliki imej berbeza daripada model standard. Malah Theo turut menghasilkan rekaan bagi papan pemuka dengan logo Proton pada tengah roda stereng. Adakah Proton bakal mengekalkan rekaan yang ringkas atau pun tampil dengan ‘wajah Proton’? Suzuki Ertiga telah disahkan menjadi salah satu model yang bakal ditukar logonya (rebadged) ke Proton dengan kerjasama pengeluar kenderaan nasional tersebut dengan Suzuki. Menurut laporan berita dari Indonesia yang memetik kenyataan Suzuki Indomobil Sales (SIS) berkata Ertiga akan dieksport ke Malaysia dalam bentuk komponen terurai (knocked down) dan kemudian akan dipasang semula (CKD) mulai suku kedua (Q2) tahun 2016. SIS akan mengeksport sebanyak 1,500 unit Ertiga kepada Proton setiap bulan, iaitu menyamai 18,000 unit setahun, seganda daripada jumlah eksport Suzuki Indonesia sendiri iaitu dari Rp 2 trilion ke Rp 4 trilion. Produksi bagi kit komponen terurai untuk Malaysia ini akan dimulakan pada Mei ini di kilang SIS yang terletak di Cikarang. Proton turut mengumumkan model kerjasama Proton-Suzuki ini akan memasuki pasaran sebelum 2016 berakhir. Pada masa ini, Suzuki mengeksport Ertiga dari Indonedia ke beberapa negara Asia termasuk Filipina, Thailand, Vietnam dan Brunei dalam versi CBU. Walau bagaimana pun, eksport ke empat pasaran berkenaan dianggarkan sebanyak 400 unit pada setiap bulan. Selain itu, Suzuki turut memproduksi Mazda VX-1 dan Ertiga (rebadged) untuk pasaran Indonesia. Suzuki Ertiga muncul buat pertama kali di India pada tahun 2012, sebelum MPV tujuh tempat duduk itu diproduksi di Indonesia. Ia memiliki ukuran jarak roda 2,740 mm (Perodua Alza 2.750 mm, Proton Exora 2,730 mm) dan dijanakan oleh enjin 1.4 liter dengan kuasa 92 PS dan tork 130 N,. Motor K14B ini dipadankan dengan kotak gear manual lima-kelajuan dan automatik empat-kelajuan. GALERI : Suzuki Ertiga Facelift di GIIAS 2015
Prestasi jualan kenderaan di Malaysia 2015 vs 2014 – siapa yang menang, siapa yang tewas tahun lalu
Industri automotif Malaysia telah pun melalui cabaran yang getir pada tahun 2015. Ini termasuklah implementasi cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan kelemahan ringgit dalam pertukaran mata wang asing memberikan sumbangan pada faktor kelembapan tahun lalu. Walau bagaimana pun, data di atas menunjukkan yang kita masih berada pada tahap yang baik, dengan Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) tertinggi yang direkodkan. Seperti mana yang dilaporkan semalam, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengumumkan angka rasmi bagi Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) bagi 2015 yang ternyata sedikit tinggi iaitu 666,674 unit berbanding 666,487 unit pada tahun 2014. Tidak dinafikan, implementasi GST turut membuatkan sesetengah pembeli menangguh niat untuk membeli kenderaan baharu. Malah ada sesetengah jenama automotif juga terpaksa berhempas pulas untuk menawarkan diskaun dan promosi menarik bagi memastikan produk mereka terjual. Namun ada juga sesetengah jenama yang bernasib baik kerana dengan adanya perancangan yang penuh teliti, mereka mampu berkembang melebihi jangkaan, iaitu Mercedes-Benz Malaysia. Walau bagaimana pun, terdapat beberapa jenama seperti Peugeot, Kia, Hyundai dan Mitsubishi mengalami penurunan jualan pada tahun lalu. Tahun lalu, menyaksikan kejayaan dua jenama kerana berjaya menduduki carta teratas bagi jualan kenderaan iaitu Perodua, dan Honda. Mengulangi sejarah kejayaan pada tahun 2014 (dengan 195,579 unit terjual), Axia dan Myvi menambahkan lagi kejayaan buat Perodua yang telah melonjakkan lagi rekod jualannya sehingga 9.1% (17,728 unit) pada tahun lalu. Begitu juga dengan Honda yang berjaya menduduki carta teratas bagi jenama bukan-nasional di negara ini dengan peningkatan jualan sebanyak 22.5% (17,407 unit) berbanding tahun 2014. Bukan suatu yang memeranjatkan kerana model HR-V, City dan Jazz begitu meledak di pasaran, sekali gus memberikan saingan yang cukup sengit kepada Toyota selaku pesaing paling rapatnya. Walau pun model Camry Hibrid dikecualikan cukai dan kemunculan model Camry yang dipertingkatkan, namun data menunjukkan rekod jualan Toyota sedikit menurun iaitu 8.1%, kurang daripada 8,275 unit berbanding tahun sebelumnya. Malah dengan rekod yang dicatatkan, meletakkan Toyota di belakang Honda dengan perbezaan sebanyak 1,142 unit iaitu 93,760 unit terjual pada tahun 2015. Mazda turut dilihat sebagai jenama yang turut memperoleh kejayaan pada tahun lalu, dengan peningkatan sebanyak 25.9% berbanding tahun sebelumnya. Ia merangkumi jualan sebanyak 14,325 unit pada tahun 2015, pastinya banyak disumbangkan dengan kehadiran Mazda 2 baharu dan model CX-5. Manakala jualan yang dicatatkan oleh Nissan turut meningkat sebanyak 1.9% (883 unit) dengan jumlah keseluruhan sebanyak 47,235 unit. Model Nissan X-Trail dan Serena S-Hybrid antara penyumbang terbesar dalam rekod jualan Nissan ini. Tidak perlu diperkatakan lagi tentang kejayaan yang dicatatkan oleh Mercedes-Benz Malaysia kerana jenama ini telah mengungguli segmen kenderaan premium pada tahun lalu. Dengan rekod jualan sebanyak 11,034 unit pada tahun lalu, ia menyaksikan lonjakan yang begitu besar iaitu 54.7% berbanding prestasi pada tahun 2014. Manakala BMW pula berada di belakangnya dengan jualan keseluruhan sebanyak 7,515 unit pada 2015 (-3.8%), diikuti oleh Lexus dan Audi (yang jika dihitungkan kedua-duanya iaitu 2,101 + 1,592 = 3,693 unit) yang tidak mencapai setengah pun jualan daripada BMW. Malah tahun lalu turut menyaksikan prestasi yang begitu lemah berbanding tahun sebelumnya bagi model Volkswagen yang menyosot sebanyak 28.2%, hanya mampu terjual 6,405 unit pada tahun lalu, walau pun giat menawarkan pelbagai promosi jualan yang menarik. Perkara ini turut dirasai oleh Kia yang hanya mencatat jualan sebanyak 4,674 unit iaitu setengah daripada jumlah pada tahun sebelum ini. Manakala bagi Mitsubishi pula, walau pun model baharu Triton diperkenalkan, turut merosot sebanyak 22.7% iaitu hanya 10,992 unit yang terjual. Bagi Chevrolet dan Peugeot pula, jualannya merosot sebanyak masing-masing 46.9% dan 45.7%.
DBKL tawar diskaun saman sepanjang Feb ini
Sempena dengan Hari Wilayah pada 1 Februari ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengumumkan tawaran diskaun untuk semua saman kereta dan motosikal sepanjang Februari ini, laporan Malay Mail Online. DBKL berkata, saman yang dikenakan dari RM100 hingga RM300 akan dikurangkan ke kadar tetap RM50 dan RM30, bergantung pada saman asalnya. Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mhd Amin Nordin Abd Aziz, inilah masa yang paling sesuai untuk menyelesaikan saman tertunggak. “Selepas ini, ia akan menjadi RM100 atau RM150, jadi selesaikannya sekarang,” ujarnya kepada pihak media semalam.
Jaguar F-Type SVR 2016 – 567 hp, 700 Nm, 321 km/j
Kewujudan Jaguar F-Type SVR Coupe 2016 telah diketahui sebelum ini, tetapi satu-satunya perincian yang diberikan oleh Jaguar adalah jentera ini boleh mencapai kelajuan maksima 321 km/j. Jaguar kini telah mengesahkan, sebelum kemunculan sulungnya pada Geneva Motor Show, F-Type SVR ini yang hadir dalam bentuk badan coupe dan convertible akan dijana oleh enjin V8 Supercharged 5.0-liter berkuasa 567 hp dan tork maksima 700 Nm. Dibina atas kekuatan asas F-Type yang diakui oleh media permotoran dan orang ramai, SVR telah menaiktaraf segalanya ke tahap terbaik termasuk casis, unit kuasa, dan aerodinamik aktif. Para jurutera Jaguar Special Vehicle Operation bekerjasama dengan Project 7 untuk menghasilkan F-Type SVR yang lebih ringan, lebih lincah dan lebih laju tanpa menjejaskan kebolehan kereta ini sebagai kenderaan harian. Hasilnya F-Type SVR ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.5 saat sahaja dan boleh mencapai kelajuan maksima 321 km/j untuk coupe, manakala untuk versi convertible ia sedikit perlahan iaitu 314 km/j. “Objektif kami adalah untuk mengambil semua aspek yang disukai pelanggan berkenaan F-Type – prestasi, pengendalian, bunyi, rekabentuk – dan mengangkatnya ke tahap yang lebih tinggi. Inilah yang F-Type SVR dapat lakukan: ia sebuah supercar berkelajuan 321 km/j yang boleh dipandu setiap masa,” kata John Edwards, pengarah urusan Jaguar Land Rover Special Operations. Ada beberapa perubahan dibuat untuk mengangkat SVR ke satu tahap prestasi supercar yang lebih tinggi. Ini termasuklah ruang kemasukan udara yang lebih besar pada bampar hadapan bersama penyejuk udara kemasukan yang diolah dan sirip bonet yang direka semula. Ini digabungkan dengan penambahbaikan pada sistem penyejuk dan kecekapan sistem penghantaran kuasa. Sistem ekzos titanium dan Inconel baharu yang lebih ringan mengurangkan back-pressure serta mengurangkan berat sebanyak 16 kg. Dengan menggunakan Inconel sebagai menggantikan logam tahan karat, ketebalan dinding tiub ekzos dapat dikurangkan sehingga separuh iaitu hanya 0.6 mm. Bersama dengan injap titanium aktif pada penyenyap belakang,F-Type SVR 2016 menampilkan bunyi ekzos yang lebih tersendiri terhasil dari empat corong paip ekzos. Prestasi enjin yang dipertingkat ini dihantar ke keempat-empat tayar menerusi kotak gear lapan-kelajuan Quickshift yang ditala semula dan sistem pacuan empat roda Jaguar Intelligent Driveline Dynamics (IDD). Perubahan yang dilakukan pada sistem IDD dan penambahbaikan pada unit karbeda aktif elektronik (EAD) pada bahagian belakang memberikan pengagihan tork yang optimum antara kedua belah roda belakang serta antara roda belakang dan hadapan. Digabungkan dengan sistem Kawalan Penstabilan Dinamik (DSC) SVR, cengkaman dan dinamik pemanduan dioptimakan untuk semua jenis keadaan jalan dan cuaca, menambahbaik kebolehan kereta tersebut untuk dipandu setiap hari. Suspensi jenis double wishbone pada depan dan belakang serta injap di dalam penyerap hentak boleh-ubah setiap masa yang telah ditala, bersama perisian sistem Dinamik Adaptif yang juga turut ditala semula memberikan keselesaan pada kelajuan rendah dan pengendalian jitu pada kelajuan tinggi. Berbanding dengan F-Type R AWD, SVR ini 25 kg lebih ringan, dan boleh diringankan lagi sehingga 50 kg dengan pemasangan peralatan opsyen tambahan seperti sistem brek Matrix Karbon Seramik dan bumbung serat-karbon. Aerodinamik aktif adalah sebahagian daripada pakej prestasi SVR, dengan sayap belakang serat-karbon yang akan terangkat apabila kelajuan mencecah 96 km/j dan 112 km/j untuk varian convertible dan coupe. Sayap tersebut juga akan terangkat secara automatik ketika pemandu menekan butang mod Dynamic. Ketinggian bahagian hadapan ditarik kebawah menerusi penggunaan sirip pada wheelarch liners, dan tray bawah lantai yang terletak di bawah suspensi belakang mempercepatkan pengaliran udara, merendahkan tekanan dan menarik kereta ini ke bawah. Jaguar tidak lupa untuk menaik taraf pada bahagian dalaman F-Type SVR 2016. Tempat duduk berprestasi tinggi SVR Performance balutan kulit dipasang untuk pemandu dan penumpang, dan boleh dipilih dalam tiga warna. Sistem infotainmen InControl Touch menampilkan skrin sesentuh bersaiz lapan-inci digandingkan dengan sistem audio surround Meridian berkuasa 380 watt. Jika anda memilih untuk memasang sistem InControl Touch Plus, kuasa sistem ini akan diinjakkan kepada 770 watt. Tempahan telah mula diambil oleh pihak Jaguar untuk F-Type SVR 2016. Untuk varian coupe, ia dijual dengan harga 110,000 pound sterling (RM663,000). Manakala untuk varian covertible ia berharga 115,485 pound sterling (RM696,000). Penghantaran supercar harian berkelajuan 321 km/j ini dijangka bermula pertengahan 2016. GALERI: Jaguar F-Type SVR 2016
Pengguna transmisi manual ‘gila’- Jeremy Clarkson
Kebanyakan ‘kaki kereta’ bersetuju tidak ada sistem transmisi lain yang paling mengujakan ketika memandu selain bermain dengan pedal klac dan tuil gear sistem transmisi manual tradisional, sejajar dengan terma “real men use three pedals”. Tetapi tidak untuk bekas pengacara program televisyen automotif Top Gear, Jeremy Clarkson berhubung posting terbaharunya di Sun Motors. Jeremy mempersoalkan mengapa orang masih mempertimbangkan untuk memilih transmisi manual sekarang, seolah-olah mereka yang membeli kereta bertransmisi manual berkata, “Saya tak perlukan televisyen dengan alat kawalan jauh. Saya masih lagi boleh berjalan dengan sempurna untuk menukar siaran.” Beliau menambah lagi, “Mereka yang masih mahu membeli kereta bertransmisi manual adalah dari jenis memilih untuk tidak membeli mesin basuh dan lebih suka membasuh baju di sungai yang terdekat.” Beliau merujuk lebih dari 70% daripada semua kereta yang telah terjual di Britain adalah bertransmisi manual, dengan itu lebih 70% daripada pemilik kereta di Britain adalah ‘gila’. Sudah tentu Jeremy bukan mencari kontroversi. Beliau mengakui kotak gear manual adalah jawapannya jika anda memandu di litar lumba. Walau bagaimana pun, dengan kebanyakan kereta menghabiskan masanya di dalam persekitaran bandar, beliau menggambarkan transmisi manual merupakan sesuatu yang menjengkelkan. Transmisi automatik terkini adalah lebh efisien dan efektif berbanding sebelum ini, di mana kebanyakannya mampu menukar gear lebih laju daripada manusia biasa. Sebahagian pengeluar telah menghentikan penggunaan kotak gear manual termasuk Ferrari dan Lamborghini. Jadi apa pendapat anda berhubung perkara ini? Kongsikan pendapat anda pada ruang komen di bawah.
Pelumba Indonesia Rio Haryanto bakal menyertai Manor Racing dalam F1 dengan tajaan RM60 juta?
Terdapat perkhabaran pasukan Formula One dari Britain, Manor Racing, telah melepaskan pelumba Will Stevens, dan bakal menggantikannya dengan pelumba dari Indonesia, Rio Haryanto. Malah Haryanto turut dikatakan akan membawa bersama wang sebanyak 10 juta pound sterling (RM60 juta) hasil tajaan syarikat minyak nasional Indonesia, Pertamina. Memetik laporan The Telegraph, Stevens yang mengalami prestasi kurang memberangsangkan sepanjang musim lalu, juga telah mengumumkan pengundurannya dari pasukan terbabit dan mahu mencari peluang baharu di Amerika Syarikat. Haryanto, 23, menyertai pasukan Campos Racing pada tahun lalu, dan telah menyertai GP2 dan menghabiskan pusingan keempat dengan mendapat tempat pertama sebanyak dua kali. Ini menjadikan Haryanto sebagai pelumba Indonesia pertama dalam Formula One selepas mendapat superlicense setelah berjaya dalam ujian pemanduan 300 km di Silverstone pada tahun lalu. Jejak langkah yang agak jauh berbanding pelumba Malaysia, Jazeman Jaafar, yang menyertai siri Blancpain dan mengalami kesukaran untuk mendapatkan tajaan sehingga perancangannya menyertai Formula tergendala sehingga tahun 2016.
Mitsubishi Lancer 2004-2006 dipanggil balik – isu pengepam beg udara penumpang, 895 unit terlibat
Mitsubishi Motors Malaysia (MMM), telah mengumumkan panggilan balik (recalled) bagi sejumlah 895 unit Mitsubishi Lancer yang diproduksi dari September 2004 hingga April 2006. Ini disebabkan pengepam beg udara pada tempat duduk penumpang didapati bermasalah. Di mana ia boleh mengeluarkan serpihan besi sekiranya beg udara tersebut meletup yang boleh mengakibatkan kecederaan pada penumpang. “MMM mengambil inisiatif ini untuk memastikan keselamatan para pelanggan diberi keutamaan dan berasa sesal dengan perkara ini. Pengepam beg udara yang didapati bersalah itu akan digantikan dengan komponen baharu,” ujar Yang Won-Chul, CEO MMM. MMM akan menghantar surat pemberitahuan kepada semua pemilik Mitsubishi yang terlibat dan kos penggantian ini akan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat ini.
Lotus Elise Cup 250 – paling laju, 200 unit setahun
Ringan dan paling laju. Itulah yang dipertaruhkan buat model baharu Lotus Elise Cup 250. Dengan penyingkiran berat sebanyak 21 kg dari model Elise terdahulu, kini Elise Cup 250 menambah lagi kuasanya sebanyak 26 hp. Kini ia hanya seberat 931 kg, Elise Cup 250 boleh mencapai kelajuan maksimum sehingga 248 km/j dengan pacuan 0-100 km/j dalam hanya 4.3 saat. Secara tidak langsung merekodkan Elise Cup 250 sebagai model Elise yang paling laju. Model pengganti bagi Elise Cup 220, Cup 250 ini telah mengurangkan berat bateri lithium-ion sebanyak 10 kg, tempat duduk gentian karbon hanya seberat 6 kg dan rim aloi pula dikurangkan sebanyak 1.5 kg. Manakala Pek Karbon Aero (pemisah hadapan, sayap belakang, peresap belakang dan penambahan lantai sisi) telah dikurangkan beratnya sebanyak 10 kg. Jentera ini juga merupakan roadster pertama sebagai model standard dengan hard top sebagai pilihan. Dijanakan oleh enjin 1.8 liter supercharged bagi versi baharu, Elise Cup 250 ini mampu menghamburkan kuasa sehingga 243 hp pada 7,200 rpm dan tork 250 Nm antara 3,500 dan 5,500 rpm. Jentera ini pernah dipandu uji di trek Hethel dan mencatatkan masa 1 minit 34 saat, iaitu empat saat lebih pantas berbanding rekod yang pernah dicatatkan oleh Cup 220, sekali gus menjadikan Elise yang paling laju dalam barisannya. Apatah lagi ia digandingkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan, memantapkan lagi prestasinya. Jentera ini turut dilengkapi dengan Pengurusan Prestasi Dinamik Lotus (DPM) yang menyalurkan mod Sport bagi menambahkan respons pendikit, mengurangkan cengkaman dan mengelakkan understeer serta membenarkan kawalan dipertingkatkan selepas sistem ini beroperasi. Ia turut ditampilkan dengan tayar hadapan 195/50 R16 (belakang 225/45 R17) bagi memberikan kawalan yang lebih tajam dan responsif, menurut Lotus. Cup 250 ini juga turut menggunakan suspensi ala sukan permotoran dan komponen brek dari Cup 220, termasuk palang anti-olengan hadapan boleh laras, peredam sport Bilstein dan lingkaran gegelung Eibach. Bukan itu sahaja, ia turut menampilkan kaliper hadapan omboh-berkembar AP Racing dan omboh-tunggal Brembo bagi sistem ABS yang ditala khas dan tayar Yokohama AO48. Pada bahagian kabinnya, ia turut dilengkapi dengan suiz yang lebih besar bagi DPM, lampu utama dan lampu kabus belakang, yang dipasang bersama butang penghidup enjin baharu. Malah turut menampilkan Alcantara berwarna merah atau hitam sebagai standard, dengan Pek Kulit. Elise Cup 250 ini bakal dijual di pasaran utama kecuali Amerika Utara mulai April ini. Produksi untuk peringkat global terhad hanya 200 unit setahun sahaja.
Pinjaman sewa beli yang lama menyebabkan Proton hilang nilai untuk wang berbanding jenama import
CEO Proton Datuk Abdul Harith Abdullah mengakui pengeluar kereta nasional itu telah kehilangan kelebihan nilai untuk wang pada produknya berbanding jenama luar, akibat tempoh pinjaman yang dipanjangkan kepada sembilan tahun. Tempoh pinjaman yang lebih lama tersebut membolehkan pengguna membeli kereta yang lebih mahal. Harith memberitahu media semalam, semasa tempoh pinjaman yang lebih pendek sebelum ini, Proton mempunyai kelebihan yang besar dalam jualan – menjangkaui 60% dalam pasaran tempatan. Tetapi dengan kemampuan pengguna untuk membeli kereta yang lebih mahal sekarang, tambahan pula kegagalan untuk memenuhi pasaran segmen-B yang agak besar, Proton telah kehilangan kelebihan tersebut. “Kami hilang faktor nilai untuk wang tersebut kerana kemampuan untuk membeli kereta telah meluas,” kata beliau. “Kami gagal untuk menguasai segmen ini, dimana ia lebih tertumpu pada jenama.” Beliau juga turut kesal dengan orang ramai membeli kereta dari jenama lain walaupun dibekalkan dengan ciri keselamatan dan kelengkapan ditahap yang lebih rendah. “Kami perlu membuat analisa berkaitan hal ini. Kami telah memberikan yang terbaik dari segi prestasi, keselamatan dan kelengkapan. Enam beg udara, rating keselamatan lima-bintang dari ANCAP – semua ini sejak 2012. Kami telah melengkapkan segalanya dalam kereta kami,” katanya. Harith menambah kerana persepsi negatif terhadap Proton, pembeli tidak mahu cuba untuk memandu uji model Proton, jadi mereka tidak mengetahui sebenarnya kemampuan sebenar model terbaharu Proton seperti Preve, Suprima S dan Iriz. “Anda perlu memandu uji model-model ini, kerana ia telah terbukti, apabila anda memandu uji, peluang untuk memilih membeli Proton adalah tinggi,” kata beliau. Sentimen ini merupakan penggerak utama dibelakang kempen ‘ It’s in the Drive‘ Proton, menggalakkan orang ramai untuk memandu uji sendiri kereta baharu, berbanding hanya berpegang kepada perasaan prejudis yang dipendam sekian lama. Ini juga sebab mengapa Proton sekarang ini menganjurkan peraduan Pandu Uji dan Menang, yang mana setiap orang yang memandu uji Proton layak berpeluang memenangi hadiah, termasuk sebuah Suprima S jika mereka menempah kereta baharu. Harith berkata Proton bergelut di bawah Polisi Automotif Nasional (NAP), di mana tempoh pinjaman sewa-beli maksima ditambah dari lima tahun ke sembilan tahun. “Jika kerajaan atau Bank Negara membuat keputusan untuk memendekkan tempoh masa bayaran pinjaman maksimum ke lima tahun, anda boleh lihat perubahan drastik pada angka jumlah jualan kami. Saya agak yakin tentang perkara ini,” tambah beliau. “Saya berpendapat pinjaman sewa beli kereta tidak patut dipanjangkan sehingga sembilan tahun. Jika pembayaran dipanjangkan sebegitu lama, apabila anda membuat keputusan untuk menjual kereta selepas dua tahun, anda perlu membayar lebih kepada bank berbanding harga pasaran kereta tersebut sebelum dapat menukar kereta,” ujar beliau.
Suzuki Satria F150 2016 dilancarkan di Indonesia – 18.5 hp, 13.8 Nm, harga bermula RM6,763
Selepas pelancaran Honda CBR150R pada 14 Februari lalu, kini tibalah giliran Suzuki Satria F150 pula. Motosikal jenis kapchai ini dikatakan memiliki prestasi yang mengagumkan iaitu 18.5 hp dan tork 13.8 Nm, ibarat paling berkuasa dalam kelasnya. Satria F150 dilihat turut menampilkan sedikit peningkatan pada bahagian enjinnya untuk mendapatkan lebih kuasa. Sistem suntikan bahan api semburan-berkembar baharu menggunakan enam pengesan yang mampu menyalurkan bahan api secara lebih optimum dalam apa jua keadaan cuaca. Kadar pemampatannya juga dinaikkan iaitu dari 10.2:1 menjadi 11.5:1, secara tidak langsung memberikan penjimatan bahan api yang lebih efisien. Sudut injap juga kini lebih bersesuaian, dengan injap ekzos dan pengambilan udara yang lebih besar untuk mendapatkan kadar campuran udara-minyak masuk dan keluar lebih cepat, serta turut menampilkan badan injap pendikit yang lebih besar. Malah omboh diposisikan pada blok yang lebih ringan dan kecil, bagi menambahkan mekanikal enjin yang lebih efisien. Kapchai ini disasarkan pada golongan pelajar dan pekerja berusia muda, ia ditawarkan dengan dua versi iaitu gred standard dan gred tinggi. Bagi gred standard, harganya bermula pada 21.65 juta rupiah (RM6,763) dan menampilkan tiga pilihan warna. Sementara gred tinggi pula berharga dari 21.95 juta rupiah (RM6,863) dan ditawarkan dengan dua pilihan warna. Sebelum beristirahat, admin kasih TVC All New Satria F150.. Ssttt ada Aleix Espargaro naik Satria injeksi loh bro and sis… :)#AllNewSatriaF150 #NyalakanNyali #BeraniDiadu Posted by Suzuki Motor Indonesia on Tuesday, February 16, 2016
Mercedes-AMG GT naiktaraf turbo Stage 1 dari Renntech – kuasa meningkat ke 716 hp dan 889 Nm
Mercedes-AMG GT sememangnya sebuah jentera yang memang hangat kuasanya. Namun apabila ia menerima sentuhan Renntech bagi menala semula model tersebut, pasti ledakan kuasanya bertambah mengujakan. Bagi Renntech, proses talaan semula ini sangat menyeronokkan kerana kuasa yang dihasilkan cukup luar biasa Renntech telah melakukan modifikasi pada enjin 4.0 liter bi-turbo V8 bagi Mercedes-AMG GT dengan meningkatkan kit turbo bagi Stage 1 dengan roda pemampat yang lebih ringan, perumah pemampat yang baharu dan impeller yang lebih besar. Ia turut disertakan dengan Pakej Prestasi R1 iaitu penapis udara aliran tinggi dan downpipe dari besi keluli tahan karat. Modifikasi ini turut melibatkan penaiktarafan ECU, yang meningkatkan kuasa sehingga 716 hp dan 889 Nm berbanding talaan Brabus sebanyak 600 hp dan 750 Nm. Peningkatan kuasa ini turut memberikan masa pecutan 0-100 km/j dalam hanya 3.8 saat. Bukan itu sahaja, Renntech turut membangunkan kit penambahbaikan suspensi yang menampilkan suspensi gegelung Renntech dan peredam OEM. Dengan pelarasan semula ketinggian, tinggi suspensi jentera ini menurun sebanyak 38 mm pada bahagian hadapan dan belakang. Sesuai dengan penambahan kuasa, kit turbo Stage 1 ditawarkan pada harga USD$11,880 (RM49,918), sementara kit suspensi pula USD$1,980 (RM8,320). GALERY: Mercedes-AMG GT S
Lencongan trafik di KESAS dari 23 Feb hingga 22 Julai
Kesas Sdn Bhd, telah mengeluarkan kenyataan bahawa lencongan trafik sementara akan dilakukan secara berperingkat di sepanjang Lebuhraya Shah Alam bermula dari 23 Februari hingga 22 Julai 2016. Lencongan ini adalah bagi pelaksanaan kerja-kerja membaikpulih permukaan jalan. Menurut syarikat terbabit, lencongan dan penutupan lorong akan dilakukan secara berperingkat bermula dari jam 11 malam hingga 6 pagi. Pengguna lebuhraya terbabit turut dinasihatkan agar memandu lebih berhati-hati dan mematuhi arahan papan tanda yang disediakan di kawasan lencongan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
Kementerian Kerja Raya sasar ‘sifar jalan berlubang’
Kementerian Kerja Raya menyasarkan semua jalan di bawah selenggaraannya, ‘zero pothole’ atau sifar jalan berlubang, mulai tahun ini. Menurut menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof, usaha ke arah itu telah pun dimulakan, antaranya menggerakkan pasukan audit untuk memantau keadaan jalan dan mengarahkan konsesi yang bertanggungjawab menjalankan kerja penyelenggaraan untuk segera memperbaiki kerosakan, laporan The Malay Mail. “Kita sudah wujudkan program ‘Rakan JKR’ iaitu pengguna sama-sama meninjau dan menyampaikan maklumat kepada kita apabila ada lubang pada jalan raya supaya syarikat konsesi boleh ambil tindakan. “Jika syarikat konsesi lambat mengambil tindakan, mereka boleh dikenakan tindakan, termasuk penalti atau denda disebabkan kegagalan mematuhi syarat, terma perjanjian konsesi yang ditandatangani,” katanya. Katanya, syarikat konsesi yang dilantik bertanggungjawab sepenuhnya untuk memastikan jalan berada dalam keadaan yang baik, menguruskan aduan berkaitan kerosakan jalan dengan segera dan kualiti kerja mesti mematuhi piawaian yang ditetapkan. Bagi memastikan kesegeraan untuk bertindak terhadap aduan berkaitan jalan berlubang, kementerian telah menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) iaitu bagi lubang atau kerosakan ringkas, tindakan mesti diambil dalam tempoh 24 jam. Manakala bagi kerosakan jalan yang sukar diselesaikan, tindakan perlu dibuat dalam tempoh 14 hari, sementara masalah kerosakan yang lain perlu dilaksanakan tidak lewat dari setahun. Malah pihak kementerian juga mengalu-alukan kerjasama daripada orang ramai untuk memberi maklumat melalui Twitter, laman web Aduan JKR dan akaun Facebook.